Oh, Pengikut Setiaku!!!

Tuesday, December 11, 2012

#10 cerpen : Dendam Untuk Cinta.


Tajuk: Dendam Untuk Cinta
Nama penulis: NOORAIHAS
Tarikh pos : 11 Disember 2012

“Nur Radhiah!” Tinggi suara ayah menyebut namaku. Tetapi aku sikit pun tidak gentar! Aku menjeling tajam pada seraut wajah yang berdiri berhampiran dengan ayah. Wajah sinisnya menyapa pandanganku. Namun, bila ayah memandangnya, cepat-cepat air muka wanita separuh abad itu bertukar mendung. Hipokrit!


“Jangan kamu berani nak tinggi kan suara dengan isteri ayah! Ayah tak pernah ajar kamu untuk jadi kurang ajar!” jerkah ayah lagi padaku. Manakala  perempuan itu sibuk menenangkan ayah.

Aku melemparkan senyuman sinis pada pasangan ‘romantik’ itu. Tak sangka ayah sudah pandai meninggikan suara padaku semata-mata isteri barunya itu, merangkap ibu tiri padaku.

Ibu tiri! Ah, betapa aku anti dengan semua perkataan yang ada ‘tiri’ di belakangnya! Kenapa ayah tak nak faham? Kenapa ayah harus melupakan mama dan berkahwin dengan perempuan tu? Kenapa ayah harus melupakan mama dengan begitu cepat? Adakah semua lelaki  macam ayah? Tak boleh hidup tanpa wanita walau sehari?

Hatiku sedih bila memikirkannya. Walau bagaimana kuat aku membantah, ayah tetap dengan keputusannya untuk mengahwini perempuan itu! Aku sendiri keliru, apa yang bagus sangat tentang janda beranak satu itu pada pandangan mata ayah. Mujur sahaja aku tidak menghadiri majlis akad nikah ayah yang berlansung pada bulan lepas, kalau tidak mesti aku mati dek sakit hati!

“Sekarang ayah Cuma nampak salah Dhiah je kan? Sejak ayah kahwin dengan perempuan ni!”marahku serentak itu ayah melayangkan tangannya di pipiku.

Aku menahan rasa pijar yang menjalar disekitar pipiku. Sakit! Tapi sakit lagi hatiku! Aku mengetap bibir. Geram! Nampaknya ayah sudah pandai menaikkan tangannya ke mukaku juga. Perkembangan yang ‘bagus’!

Untuk seketika wajah ayah seperti terpana. Seolah-olah dia juga terkejut dengan tindakannya tadi. Ibu tiriku itu pula bertindak mengusap lengan ayah. Berpura-pura menenangkan kemarahan ayah kononnya! Aku mengukirkan senyuman sinisku.

“Kalau Dhiah rasa tak boleh terima Makcik Ros, Dhiah boleh berambus dari rumah ayah!” sambung ayah selepas beberapa ketika.

Aku sedikit tersentak. Keluar dari rumahku sendiri? Ahh, bukan aku! Tapi perempuan itu yang harus berambus! Walau apa pun yang berlaku, aku takkan angkat kaki keluar dari rumahku sendiri! Sebaliknya aku yang akan berusaha membuat isteri  baru kesayangan ayah itu keluar dari sini. Ini janjiku!

“Dhiah, tak akan keluar dari rumah Dhiah sendiri. Dan ayah pun takde hak nak halau Dhiah!” putusku dengan tegas. Kaki aku buka menuju ke kamarku. Biar apa pun yang berlaku, perempuan itu pasti akan mendapat balasannya!


***
Aku sedang menunggu Huzaiman, kekasih hatiku. Dia adalah satu-satunya lelaki yang aku sayangi selain ayah. Hubungan yang sudah terbina hampir setahun ini bermula dengan pertemuan yang sangat dramatik! Kami dipertemukan secara tidak sengaja apabila dia menyelamatkan tas tanganku daripada diragut pencuri. Selepas itu kami saling berhubungan antara satu sama lain dan tanpa kami sedari, aku dan Huzaiman rupanya bekerja dalam satu syarikat Cuma berlainan bahagian!

“Dhiah!” Aku segera berpaling pada suara yang menyapaku. Tanpa sedar aku mengukirkan senyuman.

“Huz!” sapaku sedikit ceria melihatnya. Hilang sebentar masalah demi melihat wajah tenangnya.

“Dah lama tunggu Huz?” Soalnya lalu mengambil tempat di sebelahku. Dia kemudiannya menggamit pelayan restoran untuk mengambil pesanannya.

“Baru lagi,” jawabku lalu menyisip minumanku.

“Banyak kerja kan sekarang? Nak makan pun terlewat,” rungutnya lalu mengeluh perlahan.

Aku mengangguk turut setuju dengannya. Aku memahami apa yang dimaksudkannya itu. Sebagai akauntan syarikat, kesibukkan Huzaiman pasti lebih daripada aku yang Cuma menjadi pegawai HR ini. kadang-kadang kami tiada masa untuk keluar bersama.

“Dhiah, kita kahwin,” ujar Huzaiman tiba-tiba membuatkan aku tergamam sendiri. Aku meneguk air liur dengan payah. Kahwin?

“Huz, main-main kan?” tebakku padanya bersama tawa kecilku tapi wajah Huzaiman tetap serius.

“Huz serius Dhiah. Kita masing-masing sibuk sampai takde masa nak jumpa. Lagipun, kita dah setahun bercinta. Huz sayang Dhiah, Dhiah sayang Huz. Kan?”katanya dengan muka yang begitu mengharap.

Aku terharu mendengarnya. Aku memang ingin memaknakan hubungan kami dengan perkahwinan tetapi masalahnya keadaan keluargaku masih tidak ‘harmoni’. Aku perlu menghalau Mak cik Ros dahulu dan membuat ayah membenci perempuan itu selamanya barulah aku akan memperkenalkan Huzaiman pada ayah.

“Err...Dhiah memang cintakan Huz. Tapi Dhiah tak bersedia lagilah nak berkahwin,” Aku memberi alasan.

Huzaiman mengeluh perlahan. Tangannya sudah menyentuh jari jemariku. Meminta pengertianku dalam diam.

“Dhiah, Huz dah bersedia untuk menjadi suami Dhiah. Kalau Dhiah tak bersedia dari pelbagai aspek dalam perkahwinan kita, macam tak reti memasak ke, mengemas ke, jaga anak ke, Huz sanggup terima dan bantu Dhiah sepenuh hati Huz,”ujarnya bersungguh.

Aku mengetap bibir. Bukan itu yang aku tidak bersedia Huzaiman. Aku Cuma tidak bersedia untuk memperlihatkan sisi keluarga ‘bahagia’ aku kepada kau! Jerit hatiku.

“Dhiah tak kesian ke kat Huz? Huz dah di penghujung 20-an dah tau. Kerja ada. Rumah pun dah ada. Yang takde Cuma isteri aje,” tambahnya lagi sambil mencuit hidungku.

Aku tergelak kecil demi melihat ekspresi mukanya yang mencebik , berpura-pura sedih itu. Aku sedar dia cuba ‘menarik’ aku untuk bersetuju dengan permintaannya itu. Hati  kecilku masih ragu-ragu. Selagi ‘urusan’ aku tidak selesai, aku tidak akan berasa tenang. Tapi kalau  aku berkahwin dengan Huzaiman pun, tidak semestinya rancangan aku akan terbantut. Aku masih boleh menghalau Mak cik Ros dari rumahku secara ‘senyap’. Malah, aku akan terima kebahagiaan secara berganda! Bahagia kerana dapat bersama Huzaiman dan bahagia kerana dapat menghalau Mak cik Ros!

“Sayang? Dengar tak Huz cakap ni?” Suara Huzaiman mengembalikan aku ke alam nyata. Aku tersenyum seraya mengangguk padanya.

“Jadi, sayang setuju?” Tanya Huzaiman dengan terujanya.

Aku menarik nafas dalam-dalam. Sengaja membangkitkan keresahan Huzaiman yang memandang penuh mengharap.

“Ye, Dhiah sudi kahwin dengan Huz,” Aku bersetuju akhirnya. Huzaiman membulatkan matanya sebelum meletuskan tawanya . Gembira dengan persetujuanku.

          “Thanks sayang. Huz akan bahagiakan Dhiah. Nanti Huz bincang dengan mama,beritahu pasal hubungan kita dan bawa keluarga Huz datang meminang Dhiah,”terangnya tentang perancangan kahwin kami.     

Aku Cuma mengangguk lantas tersenyum. Turut tidak sabar menunggu hari itu tiba. Hari di mana aku di ikat menjadi suri hatinya. Semoga TUHAN mempermudahkan segalanya. Doaku dalam hati.

AYAH merenungku tajam. Memandang seperti aku sudah melakukan jenayah besar. Padahal aku Cuma memberitahu tentang rancangan aku untuk mendirikan rumah tangga bersama lelaki pilihanku.Mak cik Ros yang sentiasa ‘setia’ di sisi ayah hanya menatapku dengan pandangan sinis. Seolah-olah dia sedang merancang sesuatu.

“Ayah setuju tak? Tanyaku setelah sekian lama mendiamkan diri.

Ayah berdehem beberapa kali. Matanya sekali-sekala mengerling ke arah isteri barunya itu. Seolah-olah menghantar bicara dalam diam.

“Ayah suka kalau Dhiah sudah bersedia nak mendirikan rumah tangga,” Ayah sudah mula bersuara.

“....tapi bukan dengan pilihan Dhiah tapi pilihan ayah,” sambung ayah membuatkan aku terduduk. Terkejut!

“Ayah, Dhiah tak setuju! Dhiah Cuma akan berkahwin dengan pilihan Dhiah sahaja. Bukan pilihan ayah!” bentakku dengan suara yang meninggi.

“Dhiah!” Suara ayah meninggi. Marah!

“Abang, sudahlah tu. Jangan paksa Dhiah kalau dia tak nak,” Mak cik Ros memujuk ayah. Aku hanya mencebik melihatnya. Aku tahu ini semua mesti rancangannya!

“Abang tak kira! Dhiah mesti kahwin dengan anak Ros! Titik!”

Ternganga mulutku untuk seketika. Apa? Kahwin dengan anak Mak cik Ros? Ayah mesti sudah hilang akal! Walaupun aku tidak kenal siapa gerangan anak tiri ayahku itu, aku tetap tidak akan berkahwin dengannya!

“Dhiah tak nak!” bantahku sekeras-kerasnya.

“Dhiah!” Sekali lagi ayah menaikkan tangannya ke mukaku. Aku memegang pipi yang sudah tentu memerah kesakitan. Ayah kejam!

“Abang, sudahlah!” pujuk Mak cik Ros lagi. Dalam kesempatan yang ada dia sempat menjeling padaku. Perempuan kurang ajar!

“Ros jangan nak bela budak ni. Entah jantan mana dia nak jadikan suami. Bukan kita kenal pun! Kalau anak Ros tu takpelah jugak. Abang kenal,” kata ayah  lalu menikam mataku dengan pandangan tajamnya.

Ahh, sampai hati ayah cakap begitu padaku! Aku anak kandung ayah tapi ayah seolah-olah tidak memahamiku. Tak akanlah aku nak musnahkan hidupku dengan mengahwini lelaki yang bukan-bukan! Besar betul ‘penangan’ Mak cik Ros! Seratus peratus ayah berubah!

“Ayah setuju atau tak, Dhiah hanya akan berkahwin dengan pilihan Dhiah sahaja!” putusku lalu berlari ke bilikku tanpa mempedulikan jeritan ayah yang kuat memanggil namaku.
***
               Huzaiman memandangku dengan pandangan serba salah. Aku kehairanan sendiri. Kenapa dia harus kelihatan begitu runsing setelah aku memintanya mengahwiniku secepat mungkin? Adakah dia tidak mahu mengahwiniku hanya kerana ayahku tidak bersetuju?

“Huz,” panggilku bersama jemari yang sengaja disulamkan ke dalam celahan jari jemarinya yang meruncing.

“Dhiah, Huz rasa kita takde jodoh,” ujarnya perlahan tapi masih sempat telingaku menangkapnya. Segera aku menarik tanganku dan menikam anak matanya tajam.

“Apa Huz cakap? Dhiah tak dengar?” Aku berpura-pura tidak faham.

“Huz mintak maaf. Bukan Huz tak nak kahwin dengan Dhiah tapi mama Huz dah ada calon untuk Huz.  Sumpah Huz tak tahu!” Bersungguh Huzaiman cuba menerangkan situasinya padaku.

Aku memeluk tubuhku lalu menggelengkan kepala beberapa kali. Tidak sangka lelaki yang aku sanjungi mudah menyerah.

“Huz tak rasa kita boleh bahagia kalau kita melanggar kata orang tua kita. Jadi, jalan terbaik kita ikut sahaja permintaan mereka,” sambungnya lagi tanpa sedar melukakan hatiku. Senangnya Huzaiman berkata!

“Mudahkan Huz mengalah? Nampaknya hubungan kita memang tiada makna pada Huz. Sebelum berjuang pun Huz dah menyerah. Tapi takpelah. Mungkin betul apa Huz cakap kita tak akan bahagia tanpa restu keluarga. Jadi, hubungan kita cukup sampai di sini. Saya doakan awak berbahagia dengan pilihan mama awak,” pintaku lalu berdiri, ingin beredar.

“Dhiah,” Huzaiman menghalangku dari berlalu. Tangannya erat mencengkam pergelangan tanganku. Lama dia merenungku.

“Huz akan tetap mencintai Dhiah sampai bila-bila,” janji Huzaiman padaku. Aku menggeleng. Senyuman sinis aku hadiahkan padanya.

“Saya tak perlu cinta dari lelaki yang mudah menyerah, Huzaiman,” bicara akhirku padanya. Huzaiman tertunduk mendengarnya.

MAK CIK ROS melemparkan senyuman sinisnya tatkala aku menjejakkan kaki ke dapur. Ibu tiri aku itu sedang menyediakan bahan-bahan untuk memasak makanan tengahari. Percaya atau tidak, aku tidak pernah menjamah masakannya walaupun ayah kerap kali menyuruhku berbuat demikian. Untuk apa aku makan makanan dari air tangannya? Buatnya dia letak ‘apa-apa’ habis aku! Tanpa mempedulikannya, aku membuka pintu peti ais untuk mengambil minuman sejuk.

“Jadi ke kau nak kahwin dengan lelaki pilihan kau tu? Nampak macam tak jadi je?” perlinya dengan tangan yang sedang ligat menghiris bawang merah.

Aku menghempas peti ais. Tidak jadi mengambil air minuman sejuk. Aku mencekak pinggangku dan memandang tajam padanya.

“Apa sebenarnya yang Mak cik Ros tak puas hati dengan saya? Sepatutnya saya yang tak puas hati dengan Mak cik sebab mak cik kahwin dengan ayah saya semasa kubur mak saya merah lagi!” semburku dengan kening yang sudah terjungkit sebelah. Mencabar!

“Untuk masa terdekat ni aku tak akan bagitahu kau sehingga hari itu sampai. Hari  di mana kau menderita. Hari yang kau rasa apa yang pernah aku rasa dulu,” katanya masih menyembunyikan niat sebenarnya dariku.

“Menderita? Saya tak pasti saya yang akan menderita. Tapi saya yakin yang mak cik akan menderita sebab saya!” Aku sudah mengangkat janji.

Mak cik Ros sedikit tergamam sebelum menyembunyikannya dengan senyuman penuh sindiran padaku.

“Aku suka semangat kau. Tapi aku yakin hidup kau yang akan menderita sepenuhnya,” Mak cik Ros turut mengikrar janjinya.

“Saya akan bongkarkan semuanya pada ayah dan ayah akan benci mak cik seumur hidup!” ujarku bersama rasa dendam yang meluap.

“Aku tunggu  hari itu sampai,” cabar Mak cik Ros dan sekali lagi melemparkan senyuman sinisnya padaku. Wajahnya langsung tak terbias rasa takut atau gementar dengan bicaraku. Apa-apa pun aku akan bongkarkan segalanya pada ayah! Tekadku.

HANYA tinggal beberapa ketika lagi aku bakal bergelar menantu kepada ibu tiriku sendiri. Dalam terpaksa aku menerima juga anaknya itu demi sebuah jawapan dan boleh jadi juga perkahwinan ini terjadi kerana aku mahu membalas dendam pada Mak cik Ros . Selain itu, aku mahu membuktikan pada Huzaiman yang cintaku padanya sudah musnah pada hari dia menyerah pada kehendak mamanya.

Majlis akad nikah berlangsung di rumahku secara kecil-kecilan atas permintaanku. Cukuplah kehadiran saudara mara terdekat dan jiran tertangga. Teman sepejabat pun aku tidak undang kerana bagiku ini bukan perkahwinan atas dasar cinta atau kerelaanku sendiri yang perlu di sambut meriah. Malah, nama penuh bakal suamiku juga aku tidak ambil tahu. Apa yang aku tahu ayah memanggilnya Iman. Walau bagaimanapun Iman itu, aku tidak akan pernah jatuh cinta padanya kerana dia anak kepada Mak cik Ros, ibu tiriku!

Aku semakin berdebar apabila ada suara yang sudah bersorak mengatakan pengantin lelaki  sudah bergerak ingin memasuki kamar pengantin perempuannya. Aku menundukkan wajah ke bawah. Tidak mahu melihat siapa pun dia.

“Nur Radhiah, salam suami awak tu,” arah Mak andam perlahan di tepi telingaku. Aku mendongak perlahan sambil tanganku hulurkan untuk bersalam. Sepasang anak mataku membulat apabila wajah lelaki yang sudah sah menjadi suamiku menyapa pandanganku. Huzaiman!

Huzaiman tidak beriak. Bersahaja memandangku yang masih dalam kejutan. Hatiku dipalu rasa terkejut yang amat sangat! Huzaiman anak Mak cik Ros? Anak kepada ibu tiriku? Jadi, selama ini aku bercinta dengan anak perempuan itu?

Tangan lelaki itu aku sambut dan  cium seadanya memandangkan ramai mata yang sedang memerhati ke arah kami pada saat ini.  Biarlah rasa hairan dan terkejut ini aku pendamkan untuk seketika sehingga majlis selesai.

Puas aku menunggu Huzaiman masuk ke kamar peraduan yang dihias cantik sempena hari perkahwinanku. Seharian aku langsung tidak membuka mulut berbicara dengannya. Malah, dia juga begitu. Kami seolah-olah dua insan yang tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Aku kaku. Dia membisu. Dalam hati aku tertanya-tanya sendiri, adakah semua ini sudah di rancang?

Daun pintu yang dikuak dari luar menyedarkan aku dari lamunan. Seraut wajah kepenatan milik Huzaiman aku pandang. Dia melangkah tenang ke bilik air tanpa mempedulikan aku yang masih berdiri di tepi katil.

Selama setengah jam aku menunggu dia membersihkan diri akhirnya lelaki itu keluar dengan tubuh yang sudah lengkap berbaju tidur. Seperti tadi, dia tetap tidak mempedulikan aku. Sebaik sahaja menyidai tuala, dia terus berlalu ke katil ingin melelapkan mata! Hatiku mendongkol geram. Boleh dia berpura-pura seperti tidak berlaku apa-apa? Tanpa membuang masa aku merapati katil dan menarik kasar selimut yang sudah membaluti tubuhnya.

“We need to talk!”Keras suaraku meluahkan apa yang aku rasa.
Huzaiman menarik kembali selimut. Masih tidak mahu mempedulikan aku. Untuk kesekian kalinya aku menarik selimutnya dan menghempasnya ke lantai.

Huzaiman bangun dan bergerak menjauh dariku. Dia nampak marah. tapi aku masih tetap merapatinya demi sebuah penjelasan!

“Huz, Dhiah...”

“Hei, perempuan kau dengar sini! Mulai hari ini kita buat hal masing-masing. Kau dengan hidup kau dan aku dengan hidup aku!” ujarnya dengan bahasa yang kasar.

Tergamam aku mendengarnya. Betul ke aku sedang berhadapan dengan lelaki yang pernah aku cintai? Aku mengukirkan senyuman pahit padanya. Aku harus kuat! Aku juga harus sedar yang lelaki di hadapanku ini bukan Huz yang aku cintai tapi Iman, anak Mak cik Ros, ibu tiri yang amatku benci. Kalau itu yang diputuskannya, aku juga tidak mahu terhegeh-hegeh padanya meminta penjelasan! Biar aku yang mencarinya sendiri.

“Well, i guess hubungan kita tak ubah macam orang asing, walau hakikatnya kita suami isteri. Begitu Iman?” sindirku, pedih. Mulai saat ini tiada lagi Huz. Yang ada Cuma Iman.

Huzaiman melemparkan senyuman sinisnya padaku sebelum mencapai selimut yang aku lempar tadi dan beredar ke katil.

“Hmm...gembira berurusan dengan orang yang faham bahasa. Tak penat nak terang lebih-lebih,” ujar Huzaiman dengan sarkastiknya.

Aku terdiam sebelum berlalu ke sofa dan merehatkan tubuhku di situ. Mata aku pejamkan, berdoa agar semua ini hanya mimpi buruk sahaja.
***
“Macam mana malam pertama kau semalam? Seronok? Opps! Aku lupa pulak, anak aku dah janji dengan aku yang dia tak akan sentuh kau. Mesti kau sedih, kan?” Mak cik Ros pagi-pagi lagi sudah menambah beban di kepalaku.

Aku melemparkan senyuman sinis pada perempuan separuh abad itu. Biar dia fikir yang aku langsung tak kisah sama ada  anak kesayangannya itu sentuh aku atau tidak.

“Mak cik, terima kasih ye cakap kat anak mak cik macam tu. Sekurang-kurangnya kalau saya bercerai dengan anak mak cik nanti takdelah saya ralat nak cari  pengganti lain. Maklumlah, janda berias gitu! Suci lagi murni!” balasku bersama tawa kecil, menyindir.

Mak  cik Ros menjelingku tajam. Tidak berpuas hati. Air minuman yang dihidangnya sebentar tadi diteguk rakus untuk meredakan amarah. Aku menggelengkan kepala bersama senyuman. Aku tidak akan kalah Mak cik Ros!

            “Hmm!” Aku mengalihkan pandangan pada suara yang berdehem di belakangku. Huzaiman mengambil tempat disebelah mamanya. Wajahnya yang bersahaja itu menjengkelkan aku. Entah apa yang merasuknya berubah seratus peratus begini. Tapi aku tidaklah begitu hairan. Penangan Mak cik Ros lah katakan . Sedangkan  ayah boleh berubah selepas berkahwin dengannya ini kan pula anaknya sendiri. Mesti senang dia canangkan cerita buruk tentangku kepada Huzaiman sehingga lelaki itu hilang rasa cinta padaku.

“Kenapa termenung? Makanlah,” arah Huzaiman disambut senyuman sinis oleh mamanya. Aku pantas bangun. Tidak berselera selepas ditegur begitu. Baru sahaja aku ingin mengangkat kaki, lenganku ditarik kasar sehingga aku terduduk kembali.

“Duduk!” tegas Huzaiman tanpa mempedulikan aku yang kesakitan dek penangannya tadi. Aku mendengus perlahan.

“Ros, masak apa pagi ni?” Suara ayah memecah keheningan dapur. Ceria. Mungkin gembira kerana satu-satunya anak perempuannya sudah mendirikan rumah tangga tanpa menyedari aku sebenarnya menderita.

“Masak bihun goreng je bang,” balas Mak cik Ros bersama senyuman manisnya. Menyampah aku melihatnya. Sepanjang sesi sarapan, aku hanya mendiamkan diri. Langsung tidak terpanggil untuk berbual sama meskipun ayah banyak kali mengajukan soalan padaku.

AKU mengemas fail-fail kerja yang berselerakan di atas meja. Sebentar lagi aku akan keluar untuk makan  tengahari. Aku sudah berjanji dengan Rusdi untuk belanjanya makan tengahari memandangkan dia banyak membantu menyelesaikan kerja-kerjaku yang tertangguh kerana cuti kahwin yang aku ambil.

“You dah siap?” Soal Rusdi yang tiba-tiba muncul di muka pintu pejabatku. Aku tersenyum sebelum mengangguk.

Restoran yang dipilih Rusdi berhampiran dengan  tempat kerja kami. Maka , kami tidak perlu tergesa-gesa menghabiskan makanan kerana dihambat masa. Sementara menunggu makanan, aku dan Rusdi berbual-bual kosong sehinggalah Huzaiman muncul dan menyertai kami. Aku kembali diam, membiarkan Huzaiman bersembang berdua bersama Rusdi. Sesekali Rusdi menarik aku untuk berbual dan aku hanya menjawab seadanya. Apabila makanan yang dipesan sampai, aku terus menjamah tanpa mempedulikan mereka.

“Dhiah, ada something kat tepi bibir you,” tiba-tiba Rusdi bersuara padaku.

Aku meraba-raba di sekitar bibirku seperti mana yang dikatakan Rusdi tetapi tetap tidak aku jumpa apa-apa yang melekat di situ sehinggalah dia membantu. Ibu jarinya menguis sisa makanan yang berada di tepi bibirku. Aku mengukir senyuman tanda terima kasih pada Rusdi. Huzaiman yang duduk bertentangan di sebelahku tiba-tiba bangun dan pamit. Aku menjungkitkan bahuku tanda tidak tahu bila Rusdi menghantar isyarat bertanya dengan mengangkat sebelah keningnya padaku.

Sampai sahaja di rumah, aku segera beredar ke kamar dan baring, merehatkan diri di atas katil. Penat! Seharian berhadapan dengan tugasan pejabat cukup untuk buat aku terlelap seketika. Lenaku terganggu apabila terasa ada seseorang yang mengambil tempat di sebelah pembaringanku. Aku membuka mata dan ingin segera bangun apabila menyedari yang Huzaiman sedang baring di sisiku namun dihalangnya. Berat dadaku dek tangannya yang sengaja di jatuhkan di situ, mengambil kesempatan betul!

“HuzaIman!” Aku terjerit kecil dan berusaha mengalihkan tangannya dari berada di atas dadaku. Akhirnya dia mengalihkan tangannya dan mendengus kasar.

Aku segera bangun dan beredar ke almari, mengambil baju. Baru sahaja aku ingin berlalu ke bilik mandi, suara Huzaiman kedengaran.

“Lelaki lain pegang kau suka. Bila aku suami kau sentuh sikit kau dah melenting!” sindirnya bersama renungan tajam.

Aku tersenyum sinis mendengarnya. Cemburu?

“Huzaiman, awak harus berpegang pada janji. Awak kan dah janji dengan mama awak tu untuk tidak menyentuh saya. Jadi, untuk apa awak membangkitkan isu sentuh, pegang ni?”perliku, berani.

Huzaiman bangun dan menghampiriku. Untuk seketika dia mengelilingiku. Memandangku dari atas sehingga ke bawah. Aku hanya mempamerkan raut wajah selamba, seolah-olah tidak kisah dengan perbuatannya.

“Janji? Ada apa dengan janji tu? Sama ada ditepati atau dimungkiri, itu urusan aku dengan mama. Tapi kau isteri aku, Cuma urusan aku seorang!” Tegasnya lalu menolak aku jatuh ke lantai.

Tanpa belas kasihan dia mengorak langkah ke bilik mandi. Tapi, belum sempat kakinya mencecah lantai bilik mandi, aku bersuara menentang kata-katanya tadi.

“Saya akan pastikan gelaran isteri itu sekejap sahaja Huzaiman. Bila saya dah tahu apa muslihat mama awak tu dan bongkarnya pada ayah, awak dah tak berguna lagi!” ujarku keras.

“Sekejap atau lama, itu semua dalam tangan aku. Dan percayalah, bila hakikat sebenarnya terbongkar, kau tak akan mampu berdiri pun!” sanggahnya sebelum menghempas pintu bilik mandi. Aku mendengus kasar. Apa-apalah!

Pintu bilik yang diketuk beberapa kali menganggu kosentrasiku yang sedang membaca sambil berbaring. Aku menjadi malas untuk membuka pintu bila aku sedar yang Mak cik Ros yang mengetuknya. Melihat Huzaiman yang baru siap mandi dan hanya bertuala sahaja, idea jahatku muncul. Pantas tubuh lelaki itu aku dekati sebelum memeluknya erat. Huzaiman meronta kecil ingin melepaskan diri, tapi aku tidak peduli.

Setelah beberapa ketika aku melepaskannya dan tersenyum puas melihat tanda merah di dadanya yang putih itu. Dia terkejut! Aku berpura-pura selamba. Dia cuba menolak tubuhku menjauh, tapi aku bertahan.

“Sayang, pakailah baju dulu. Nanti mama nampak malu,” Aku sudah mula menjalankan watakku. Suara aku biarkan kedengaran manja dan sedikit mendesah. Biar Mak cik Ros gelisah mendengarnya.

Pintu bilik yang dikuak kasar menggembirakan aku. Cepat-cepat aku menarik tubuh Huzaiman supaya jatuh menindih tubuhku di atas katil. Huzaiman yang tidak bersedia dan masih terpinga-pinga dengan perbuatanku tadi tidak dapat mengelak dari jatuh di atas aku.

“Iman!” jerkah Mak cik Ros pada anak lelakinya itu. Huzaiman yang masih terpinga bertambah terkejut melihat mamanya yang sudah berada dalam bilik kami. Segera dia bangun. Aku pula berpura-pura membetulkan baju yang kononnya terdedah.

“Mama! This is not what you think!” Huzaiman membela diri. Aku tersenyum menang melihat air muka Mak cik Ros yang sudah berbahang menahan marah sebelum dia berlalu dan menghempas kembali pintu bilikku.

Huzaiman kembali berpaling melihat ke arahku. Wajahnya juga memerah. Bengang kerana aku sudah membuat mamanya berfikir yang bukan-bukan. Aku dengan muka yang bersahaja kembali berbaring di katil dan menyambung bacaan aku tadi.

Baru sekerat aku membaca, majalahku ditarik kasar sebelum dicampak ke lantai. Aku memandangnya tajam. Cari gaduh nampak! Aku ingin bangun, tapi tidak Berjaya bila tangan lelaki itu sudah mencengkam kedua-dua bahuku. Aku meronta-ronta tapi tidak Berjaya memandangkan kudrat lelakinya lebih dariku.

“Huzaiman alihkan tangan awak! Saya cakap alihkan tangan awak!” marahku. Malangnya lelaki itu tidak berganjak sedikit pun.

“Kenapa? Tadi kau okey je peluk aku. Kau gembira je bila tarik aku jatuh atas kau. Jadi aku fikir kau mesti mengharap lebih dari tu kan?”cabarnya. aku menelan air liur, ketakutan tiba-tiba menerpa hatiku.

Wajah Huzaiman yang mendekat secara tiba-tiba itu menggusarkan hatiku. Aku memalingkan muka ke arah lain dan menolak badannya bila terasa bibirnya menyentuh kulit leherku kasar. Sakit!

“Sekarang kita seri! Aku ada. Kau pun ada!” katanya sambil memegang dadanya yang terdapat kesan merah di situ angkara aku tadi.

Aku memegang leherku. Mesti sudah memerah! Jahanam! Aku tidak sangka Huzaiman jadi sebegini kasar denganku. Tidak ada sedikitkah belas kasihan di hatinya untukku?

“Jangan risau, aku tak akan sentuh kau lebih-lebih. Nak tahu kenapa? Sebab aku tak nak kau membawa zuriat aku. Aku tak nak ada zuriat dengan keturunan pembunuh!”

Aku tersentak! Keturunan pembunuh? Apa maksud dia?

“Siapa keturunan pembunuh? Apa yang kau cakap ni Huzaiman?” Tanyaku kasar. Sudah berubah bahasa panggilanku padanya.

“Buat-buat tak tahu! Aku benci dengan keturunan munafik!” Huzaiman melangkah ke almari dan menyarung pakaiannya dan keluar meninggalkan aku kebuntuan seorang diri.
***
“ Hei, perempuan! Kau dengar sini, kau goda anak aku pun belum tentu anak aku akan tertariklah!” aku menjungkitkan kening sebelum tersenyum.

“Ye ke? Cuba mak cik tengok kat leher saya ni. Ada apa ye?” Sengaja aku memalingkan leherku ke arah Mak cik Ros. Tergamam sekejap ibu mertua merangkap ibu tiriku itu melihat kesan merah sebesar duit syiling sepuluh sen itu.

“Kau ni memang kurang ajar kan?” marah Mak cik Ros dan mendekatiku. Tangannya sudah di angkat.

“Mak cik janganlah marah. Sepatutnya saya yang marah sebab mak cik kacau saya dengan Iman tadi,” ujarku sengaja menekan perkataan ‘kacau’ itu dan meledakkan tawa mengejek padanya.

“Eee...kau,” Mak cik Ros tidak jadi meneruskan kata-katanya sebaik sahaja melihat bayang ayah yang melalui ruangan antara dapur dan ruang tamu.

“Arghh!”

Aku dan Mak cik Ros segera berpaling dan berlari anak keluar setelah mendengar jeritan ayah yang tiba-tiba. Tergamam aku melihat ayah yang terdampar di sebelah tangga tidak sedarkan diri. Segera aku memangku kepala ayah.

“Ayah! Ayah bangun!” Aku menggerakkan tubuh ayah beberapa kali.

“Mak cik call ambulance. Call ambulance!” arahku dalam suara yang menjerit. Tapi Mak cik Ros tetap diam dan kaku memandang.

“Kenapa ni?” Huzaiman yang baru turun terkejut melihat ayah sudah terlentang tidak sedarkan diri. Dia merapati dan  mencempung tubuh ayah.

“Iman! Jangan!” Halang Mak cik Ros bila Huzaiman ingin membantu membawa ayah ke hospital.

“Mak cik kalau mak cik nak balas dendam pun bukan sekarang masanya. Ayah yang penting sekarang. Kita kena selamatkan ayah dulu!” tegasku dan bergerak ke pintu.

“Balas dendam? Aku bukan nak balas dendam tapi ini pembalasan! Sudah, Iman! Jangan tolong. Biarkan je!” larang Mak cik Ros lagi.

Aku terkedu mendengarnya. Pembalasan?

“Mama Iman janji ini kali pertama dan terakhir Iman tolong ayah,” janji Huzaiman pada Mak cik Ros. Sebak aku mendengarnya. Rupanya masih ada sisa kasihannya padaku.

Sampai  sahaja di hospital ayah terus dimasukkan ke wad kecemasan. Aku pula sudah mundar-mandir sendiri di hadapan wad tersebut. Risau. Huzaiman yang tadinya duduk sudah berdiri.

“Awak nak ke mana?” Soalku. Saat-saat begini aku betul-betul perlukan seseorang untuk menemaniku.

“Balik,” ringkas Huzaiman menjawab tanpa memandangku. Aku meraih tangannya. Meminta pengertian dan belasnya dalam diam.

“Temankan saya,” pintaku bersama pandangan yang mengharap.

Huzaiman melepaskan tangannya yang berada dalam genggamanku. Dia mula memandangku, menghantar pandangan yang aku tidak mampu tebak sendiri.

“Setakat ini je aku mampu tolong. Ihsan sebagai manusia. Walaupun orang macam bapa kau tak sepatutnya ditolong!” ujarnya tanpa perasaan.

Aku mengetap bibir. Sebenarnya apa masalah Mak cik Ros dan Huzaiman dengan keluargaku? Apa yang kami sudah buat?

“Apa maksud awak?”

Huzaiman tiba-tiba mendengus kasar. Mukanya sudah merah menahan marah.

“Kalau kau tak tahu, biar aku beritahu sekarang. Bapa kau dah bunuh ayah aku! Sepuluh tahun lepas, dia langgar ayah aku sampai mati dalam satu kemalangan!Tapi, sebab tiada saksi dan bapa kau sendiri tak mengaku salah, ayah aku mati tak terbela!” luahnya bersama intonasi suara yang keras.

Aku menggeleng.

“Kau tipu! Ayah aku tak buat semua tu! Kau tipu!” jeritku. Lantas kedua-dua belah telingaku ditekup dengan tangan. Tidak sanggup mendengar pembohongannya.

“Suka hati kau! Nanti bila bapa kau dah sedar, kau tanya. Until then, good bye Radhiah!” pamitnya dan berlalu.

SUDAH sebulan aku berulang alik dari rumah ke hospital. Doctor yang merawat ayah mengesahkan yang ayah lumpuh separuh badan kesan daripada jatuh. Mak cik Ros dan Huzaiman pula sudah keluar dari rumah semenjak hari itu. Walaupun, aku masih kabur dengan perkara yang sebenar, tapi aku masih tidak menyuarakannya pada ayah kerana bimbang tahap kesihatannya terjejas. Cukuplah berita Mak cik Ros keluar rumah dan tidak menjenguknya di hospital membuatkan ayah muram. Aku tidak mahu menambah beban yang sedia ada.

“Maaf kan ayah Dhiah,” pinta ayah padaku. Aku mengukirkan senyuman ringkas.

“Tak ada apa yang nak dimaafkan ayah. Semuanya takdir,”balasku lalu menghulurkan minuman pada ayah.

Ayah tetap merenungku dengan pandangan sayu.

“Ayah ingat, dengan mengahwini Mak cik Ros, ayah boleh tebus dosa ayah pada keluarga mereka. Tapi tak sangka jadi macam ni. Masa depan Dhiah musnah. Dhiah hilang kebahagiaan Dhiah sendiri. Kalaulah ayah kahwinkan Dhiah dengan pilihan Dhiah sendiri mesti Dhia tak akan lalui semua ni,” luah ayah. Kesal. Tanpa menyedari yang Huzaiman sebenarnya adalah pilihanku.

Aku menggeleng perlahan. Tangan ayah aku usap dengan penuh kasih. Aku tak sanggup melihat ayah terus menyalahkan dirinya walaupun aku terkejut mendengar pengakuannya tadi. Kebahagiaan aku mungkin masih boleh dicari kerana aku masih muda, tapi kebahagiaan ayah mungkin tidak lama. Ayah sudah tua.Wanita yang dianggap mampu menggantikan tempat mama dan menemani ayah dihujung senja Cuma hadir untuk membalas dendam rupanya.

“Dhiah redha ayah. Sekarang yang penting ayah sihat. Kebahagiaan  Dhiah Cuma ayah. Ayah sihat, Dhiah dah cukup bahagia,” ujarku bersama linangan air mata. Ayah juga mengalirkan air matanya.

“Okeylah, ayah rehat ye. Esok Dhiah datang lagi. Dhiah gerak dulu,” Aku meminta diri. Ayah mengangguk seraya tersenyum sayu padaku.

Di pejabat, aku hanya duduk termenung. Benar kata Huzaiman, terbongkarnya hakikat yang sebenar, aku pasti tidak mampu untuk berdiri sekalipun. Setelah segalanya tersingkap, aku tidak boleh menyalahkan Mak cik Ros dan Huzaiman seratus peratus kerana bertindak begitu. Mereka Cuma mahu  aku dan ayah merasai apa yang pernah mereka lalui suatu ketika dahulu. Tidak berdaya bila insan tersayang di timpa kecelakaan. Cuma aku bernasib baik kerana ayah masih diberi kesempatan untuk hidup sedangkan mereka kehilangan orang yang disayangi untuk selamanya.

“Dhiah!” Rusdi memanggilku dari arah pintu. Aku melemparkan senyuman padanya.

“Ada apa Di?” Soalku.

“Time to go home!” ceria suaranya di halwa telingaku.

Aku menepuk dahi. Terlupa yang keretaku rosak dan sedang berada di bengkel untuk dibaiki. Aku sudah meminta tolongnya untuk mengambil dan menghantarku untuk sementara waktu memandangkan kami tinggal dalam satu taman yang sama Cuma berlainan peringkat sahaja. Segera aku mencapai beg sandangku dan bergerak keluar beriringan dengan Rusdi.

Rusdi menghantarku pulang  setakat di hadapan rumah sahaja. Sebaik sahaja mengucapkan terima kasih padanya, kereta Rusdi terus meluncur laju meninggalkan perkarangan rumahku.

Baru sahaja aku ingin mengunci semula pintu pagar, kereta milik Huzaiman berhenti betul-betul di hadapan pintu pagar. Mahu tidak mahu aku kembali membuka pintu pagar seluasnya, memberi laluan untuk lelaki itu memakirkan kenderaannya di dalam.

“Seronok nampak? Baru habis dating?” perli Huzaiman padaku.

“Awak ada tertinggal apa-apa ke kat rumah ni? Kalau ada ambil cepat dan balik. Saya tak nak mama awak fikir yang bukan-bukan tengok awak balik lewat,” kataku tanpa menghiraukan sindirannya tadi.

“Sejak bila kau dengan Rusdi? Kenapa tak ajak dia teman kau kat sini?”Huzaiman langsung tidak mengambil perhatian dengan kata-kataku. Malah, semakin giat menyindirku.

“Saya nak naik bilik dulu. Kalau awak nak balik jangan lupa kunci pintu dan pintu pagar,” Aku berlalu ke kamar, membiarkan Huzaiman terkulat-kulat sendirian di bawah.

Belum sempat aku menutup daun pintu, tangan Huzaiman mencelah masuk. Aku membiarkan sahaja. Selagi kami masih bergelar suami isteri, bilikku juga masih biliknya.

“Mama nak aku ceraikan kau!” bicara Huzaiman padaku setelah dia melabuhkan duduknya di birai katil. Raut wajahnya muram ketika menyebut perkataan ‘cerai’ itu.

Aku tidak terkejut. Memang itu yang aku jangkakan setelah semua ini berlaku. Tapi mengapa Huzaiman bagai tidak rela? Adakah dia masih mencintai aku? Ahh, itu tidak mungkin! Dia sendiri kata yang hubungan kami tidak ubah seperti orang asing. Jadi, nyatalah dia tidak menginginkan perkahwinan ini.

“Ikut jelah cakap mama awak tu. Saya okey je,” Selamba aku berkata. Bagai tidak kisah dengan perkataan cerai itu.

“Kenapa kau tak kisah?Oh, aku lupa pulak. Kau kan dah ada pengganti. Nak-nak aku tak pernah sentuh kau, mesti Rusdi seronok dapat janda berias kan?”Huzaiman sudah membuat andaian sendiri.

Aku menjungkitkan bahu. Malas nak melayan kata-katanya yang lebih pedas dari cili itu. Kalau aku melayan, makin menjadi-jadilah Huzaiman membidas aku. Lantas, tuala aku ambil dan berlalu ke kamar mandi.

Aku fikir Huzaiman sudah pulang setelah hampir setengah jam aku membersihkan diri. Tapi andaianku merosot apabila melihat dia yang berbaring santai di katil. Bajunya juga sudah bertukar.                                                                                                                                                                                                  

“Saya rasa baik awak balik. Mama awak mesti tengah risau,” aku ‘menghalau’ Huzaiman dengan cara halus.

“Kalau pasal mama kau tak perlu risau. Aku beritahu mama yang aku balik rumah aku,” jawabnya selamba.

Aku mengeluh berat. Maknanya malam ini dia bermalam di sini? Ah, suka hati dialah. Tidak ada apa yang perlu aku risau. Dia pernah berkata yang dia tidak akan menyentuh aku, anak keturunan pembunuh ayahnya. Lalu aku mengambil tempat di sebelahnya. Mata ini betul-betul sudah kepenatan. Baru beberapa minit meletakkan kepala di bantal, aku terus lena.

Tubuh yang terasa di hempap, memaksa aku membuka mata dalam terpaksa. Hilang ngantukku bila wajah Huzaiman menyapa pandanganku. Begitu hampir wajah kami. Aku meronta-ronta, ingin melepaskan diri.

“Huzaiman, apa awak buat ni? Let me go!” jeritku bersama tangan yang sudah memukul dadanya. Huzaiman tidak berganjak sedikit pun. Matanya tajam menikam anak mataku.

“Untuk malam ini sahaja, tolong...tolong penuhi kehendak aku sebagai suami dan...sayangi aku sebagai lelaki yang pernah kau cintai,” pintanya.

Aku memejamkan mata dan berhenti meronta demi mendengar bicaranya yang kedengaran sendu di telingaku. Air mata yang sudah mengalir di pipi di seka jemari kasar miliknya sebelum sebuah kucupan singgah di situ dan melurut ke bawah.
***

Tergesa-gesa aku melangkah ke bilik mandi dan menghamburkan muntah di sinki. Masuk kali ini sahaja sudah enam kali aku berulang-alik ke bilik mandi. Nampaknya aku benar-benar sudah salah makan! Tapi makan apa?

Setelah rasa mual sedikit berkurangan aku melangkah keluar dari bilik dan beredar ke ruang tamu. Ayah yang sedang menonton televisyen memandang pelik padaku yang baru sahaja melabuhkan punggung di sebelahnya. Kepala aku picit-picit halus. Pening!

“Dhiah sihat tak? Pucat je muka,” kata ayah sambil meletakkan tangannya di dahiku.

Aku menggeleng perlahan tidak mahu ayah bimbang.

“Pening sikit ayah. Cuaca kot. Sekejap panas sekejap mendung,” dalihku sebelum bertindak menuangkan minuman sejuk ke dalam gelas dan meneguknya.

Ayah mengangguk dan kembali menonton televisyen. Bunyi kereta memasuki perkarangan rumah, membuatkan aku dan ayah saling berpandangan. Siapa? Tanpa menunggu masa yang lama, aku bergerak ke pintu dan membukanya.

Tergamam aku bila wajah Huzaiman dan Mak cik Ros terjengul di hadapanku. Aku memberi ruang pada keduanya untuk masuk. Untuk seketika ruang tamu menjadi hening.

“Ros,” ayah menegur Mak cik Ros yang masih berdiri sambil memerhatikannya. Mak cik Ros hanya melemparkan muka sombongnya.

“Aku datang nak bagitahu yang aku dah mintak fasakh. Minggu depan kita jumpa di mahkamah!” kata Mak cik Ros dengan angkuhnya. Terkedu aku mendengarnya kepala yang tadinya berdenyut sedikit bertambah sakit pula jadinya.

“Ros, tak boleh ke Ros maafkan abang?” pinta ayah yang lebih kepada merayu.

Mak cik Ros tersenyum sinis.

“Kalau maaf kau boleh hidupkan suami aku, aku pasti maafkan kau. Tapi masalahnya tak boleh,” bidas Mak cik Ros lalu memandangku.

“Dan kau pun Radhiah akan di ceraikan Huzaiman,”

Aku memandang Huzaiman lama. Namun, lelaki itu langsung tidak memberi reaksi.  Aku mengeluh perlahan. Kecewa. Dia langsung tidak berusaha mempertahankan perkahwinan kami setelah kejadian sebulan lebih itu berlaku. Aku benar-benar diperlakukan seperti habis madu sepah dibuang! Jadi, untuk apa lagi aku mengharap padanya lagi? Cinta? Tanggungjawab?

“Ros! Dhiah tak salah. Abang yang salah. Jangan musnahkan hidup dia Ros,” rayu ayah.

“Ayah sudah. Dhiah tak kisah,” ujarku selamba bersama rasa pening yang mencengkam kepala. Huzaiman tergamam mendengarnya. Dia pantas menarik tanganku kasar, aku yang tidak bersedia terjatuh akibat tersalah langkah.         

“Dhiah!” jerit ayah dan Huzaiman serentak sebelum pandanganku kelam, tidak sedarkan diri.
***
Aku mengusap lembut pipi montel Muhd Haziq bin Muhd Huzaiman.  Bayi  lelakiku yang berusia 3 bulan itu mempunyai raut wajah yang sangat memberat pada ayahnya. Anak yang menyatukan kembali hubungan yang hampir terlerai dan memadamkan api dendam Mak cik Ros dan Huzaiman sendiri.

“Menyusu lagi?”Aku memandang pada suara yang bertanya. Kemudian, menepuk perlahan katil, memintanya duduk di sebelahku.

“Anak abang ni kan memang kuat menyusu,” balasku perlahan pada Huzaiman. Dia tersengih sendiri.

“Ala, ibu ni Haziq lapar. Mestilah Haziq nak susu ibu. Tak kan Haziq nak makan KFC pulak,” ajuk Huzaiman sambil mengusap pipi Haziq yang masih menyusu.

Aku mencubit lengan suamiku itu bila kata-katanya itu seperti mahu mengenakan aku. Huzaiman mengelak perlahan sebelum tertawa kecil. Gembira dapat mengenakanku.

“Ayah dengan mama mana?” Soalku setelah tawa Huzaiman reda.

“Kat bawah. Tengok tv,” ujarnya sambil mencium pula pipi anak kami.

Aku tersenyum sendiri. Syukurlah segalanya sudah beransur pulih. Allah S.W.T telah menerima doaku. Mak cik Ros dapat memaafkan kesilapan ayah dan Huzaiman kembali menjadi seperti Huzaiman yang pernah aku cintai dulu.

Selesai menyusukan Haziq, aku meletakkannya di dalam baby cot yang terdapat di sebelah katil dan kembali duduk di sebelah Huzaiman. Lelaki itu menyandarkan kepalanya di bahuku sebelum meraih tanganku dan mengucupnya lembut.

“Abang,”

“Hmm,”

“Sebelum abang kahwin dengan Dhiah, abang betul-betul cintakan Dhiah ke atau sekadar berpura-pura sebab nak balas dendam pada Dhiah?”

Huzaiman berdehem beberapa kali dan membetulkan duduknya sebelum menjawab pertanyaanku. Raut wajahnya tenang, seolah-olah tidak terganggu dengan soalanku tadi.

“Mula-mula tak,” jawabnya, terus-terang.

Aku diam. Memberi ruang supaya dia meneruskan lagi.

“Tapi sebab Dhiah lain,”Aku mengerut dahi tanda tidak mengerti.

“Kalau perempuan lain dating pakai cantik-cantik. Dhiah pulak pakai selipar, seluar jean lusuh dengan t-shirt bodoh je. Sempoi habis! Itu yang abang suka Dhiah,” terangnya bersama senyuman di bibir.

“Tapi, sebab dah janji dengan mama, abang terpaksa sembunyi semua perasaan abang pada Dhiah. Hanya Allah je tahu betapa hati abang sakit bila terpaksa menyakiti Dhiah,” tambahnya lagi.

Aku mengangguk faham. Tapi, masih ada satu lagi pertanyaanku. Kalau dia tidak rela menyakitiku mengapa dia meninggalkan aku dan kembali semula padaku setelah aku di sahkan hamil? Adakah dia akan meninggalkan aku jika aku tidak di sahkan hamil?

 “Kalau Dhiah tak pengsan sebab mengandung dulu, abang tetap akan ceraikan Dhiah ke?” Tanyaku. Sudah lama perkara ini bermain dalam kotak fikiranku. Cuma baru hari ini aku berpeluang untuk bertanya.

“Tak,” jawabnya pantas.

“Kenapa?” Aku kehairanan.

“Ingat tak yang abang tiba-tiba tarik Dhiah lepas Dhiah cakap Dhiah tak kisah kalau abang nak ceraikan Dhiah tu?” Huzaiman memandangku dalam.

Aku mengangguk.

“Abang sebenarnya nak cakap kat Dhiah yang walau apa pun berlaku abang tak akan ceraikan Dhiah. Walaupun mama pasti  membantah. Kan, abang  pernah cakap yang Dhiah urusan abang. Tambahan, kuasa menjatuhkan talak ada di tangan abang. Mama tak boleh masuk campur,” terangnya bersungguh padaku.

“Lagipun, sejak malam tu abang tak boleh tidur. Asyik teringat kan Dhiah je. Nak-nak malam tu Rusdi ada hantar mesej kat Dhiah, wish good night konon. Sakit hati abang!” luahnya bersama wajah yang muram.

Aku mengerutkan dahi. Rusdi ada hantar mesej?

“Dhiah tak sedar pun,” kataku perlahan. Huzaiman tiba-tiba mengukirkan senyuman.

“Sayang memanglah tak sedar. Kan sayang ‘overtime’ malam tu. Terus tertidur lepas tu,”Nakal suaranya mengenakan aku.

“Eee...gatal!” Aku mencubit lengannya dan mana-mana anggotanya yang hampir denganku. Huzaiman tergolek di atas katil dalam cubaannya untuk mengelak dari terkena cubitanku. Penat mengelak akhirnya, dia meraih tubuhku ke dalam pelukan.

“I love you,” bisiknya di telingaku.

“Love you too,”sambutku. Lembut.

Akhirnya, dendam untuk cinta ini terlerai sudah. Benarlah kata bijak pandai, sebuah kelahiran, mendatangkan sejuta nikmat kebahagiaan. Aku bersyukur kerana kelahiran bayiku menyatukan dan meleraikan segala-galanya...

19 comments:

Ruunna Qizbal said...

best sangat2

AZ said...

cerpen baru. okay. seronok baca. tapi kan kena check huruf besar, huruf kecik sikit. hehe.

in zfyrh said...

cerpen br =)
keep it up...

Nooraihas said...

Thanks Ruunna! i'll appreciate your comment so much!

Nooraihas said...
This comment has been removed by the author.
Nooraihas said...

AZ yang tak nak check! tunggang terbalik la :p

Nooraihas said...

thanks in Zfyrh! saya masih berlajar untuk memuaskan hati pembaca :)

in zfyrh said...

lps ni leh try wt novel plak hehhehe =)

An-Najah said...

Hai sis, best citer ni :) you're such a talented writer.keep it up :D

Nooraihas said...

thank you so much An-Najah! i'll do everything to make sure people around me feel joy baca my 'ksarut-marut'! hehehe

Nina Shukri said...

akak saya peminat setia cerpen akak... cerpen akak teramatlah best and menarik minat sesiapa yg baca cerpen akak

ija anas said...

dahsyat kan cerpen ni. tak pernah terfikir nak ada kisah camni. tapi logik. best! :)

Anonymous said...

lebih kurang mcm cerpen jodoh bersulamkn dendam la...

Anonymous said...

Finally ! Dulu pernah baca cerita nii . Dah lama gila baca . Tapi lupa tajuk cerita niii . Akhirnya jumpa balikk . terus save cerita ni dekat bookmarks

Anonymous said...

boring mcm penah baca cite nie

Anonymous said...

Skenye... Best

Hajar Ali said...

Besttttttt.. Asal lambat sgt sy jmpa blog cik writer ni¿
Love ur KARYA!!!

Unknown said...

Akak ? Where have you been ? Busy eh ? Rindu nk baca cerpen akak yg baru update. Dh 2-3 kali baca tp still nk baca lg. Jalan cerita best kak.

Unknown said...

Bagus