Oh, Pengikut Setiaku!!!

Saturday, April 27, 2024

Cervel: Hal Hebat Lukeman

 



Nak cari coklat! Nak makan coklat!


'Nak cari coklat. Nak makan coklat!


'Nak cari coklat. Nak makan coklat!


' Yeay!' Sorakku dalam hati apabila mata sudah dapat menangkap jenama coklat yang di idam-idamkan.


Sedapnya! Rasa tak sabar nak beli dan makan. Lalu segera coklat jenama Toblerone itu dicapai.


Namun dek kedudukan coklat itu yang agak sedikit tinggi menyukarkan aku untuk mencapainya.


Terjingkit-jingkit juga kaki aku  ini semata nak mendapatkannya, tapi tak berjaya jugak!


Ish, kenapalah letak tempat  tinggi sangat? Tak boleh ke letak rendah sikit untuk orang cumil macam aku senang capai?


Kepala aku pusingkan ke kiri dan ke kanan. Hampa bila tak nampak kelibat pembantu kedai yang lalu lalang. Mungkin masing-masing sibuk dengan tugas lain memandangkan pelanggan tak ramai waktu 8 malam sekarang.


Cuma aku seorang  saje gedik keluar semata nak puaskan ngidam!


Takpelah, kita cuba sekali lagi. Lalu aku jingkitkan kaki dan lompat-lompat sikit tapi tak dapat-dapat jugak!


Kecewa tapi masih tetap mencuba lagi sehinggalah ada tangan yang mencapai coklat idaman hatiku itu dari arah belakang tubuh.


Eh?


Aku segera berpaling. Nak tengok sikit wajah orang yang ambil coklat tu, yang pada akhirnya membuatkan aku tertelan air liur sendiri.



"Hai,isteri. Comel perut tu. Dah berapa bulan?"


Ya Allah!



JARI-JEMARI menggenggam sesama sendiri. Air liur pun tiba-tiba lebih banyak yang perlu diteguk dari kuantiti biasa-biasanya.


Berdebar.


Kepala juga dari tadi menunduk cuma sekali sekala curi-curi mengerling ke arah coklat Toblerone yang berada di atas meja.


Sedapnya!


Apabila coklat itu ditolak ke arahku, barulah aku pandang wajah lelaki dihadapanku ini.


"Makanlah. Nanti meleleh air liur baby."


Mendengar itu, aku ambil Toblerone lalu bingkas berdiri. Nak segera berlalu.


Geram jugak bila diheret tanpa rela ke kedai makan yang berdekatan dengan kedai coklat tadi. Suka hati dia saje!


"Ada saya suruh pergi?Saya suruh makan coklat tu je!" Tegas lelaki itu bersama pandangan dinginnya.


Aku mendengus kasar.


"Saya tak ada urusan dengan encik. Jadi saya boleh buat apa saja dan pergi mana yang saya suka!" marahku dan sekali lagi ingin berlalu.


"Betul ke tak ada? Kalau macam tu ini apa?" Soalnya kembali bersama sentuhan di permukaan perutku.


Dek terkejut dengan sentuhan itu, tak semena-mena kaki dan perut aku terasa kejang! 


"Auch!"


Cepat-cepat aku melabuhkan duduk kembali ke kerusi. Jari pula sudah mula mengusap lembut di sekitar perut. Meredakan kekejangan tadi.


Bila terasa sentuhan lembut di kaki, terus pandangan aku jatuhkan di kepala lelaki yang sedang bertinggung sambil mengurut lembut di sekitar betis dan tapak kakiku.


Perlahan, aku cuba mengalihkan tangannya dari kakiku.


"Nak melawan lagi?" Provoknya masih meneruskan urutan di kaki.


Aku mendengus untuk sekian kalinya. Asyik mendengus je dari tadi, dah serupa badak sumbu!


"Kalau nak melawan lagi, saya kena  bawak balik rumah. Kita berlawan kat rumah..."


Heh, dah kenapa nak ajak aku balik rumah pulak?Ingat aku hadap? Mengada!


"...pandai sikit saya nak senyapkan awak," sambungnya bersahaja.


Tidak semena  mata aku membulat mendengarnya. What?Ingat lawak ke?


"Ee awak ni memang spesis muka tak malu ya? Kalau ada orang dengar awak cakap tadi, kita nak letak muka kat mana?"


Dia tergelak kecil.


Eyy...geramnya! Sejak bila entah jadi lelaki mudah terhibur ni? Dulu tak adalah ceria  sangat macam ni. Siap pakej diam beku kalau tak kena mood dia!


Salah makan ke salah bangun dari tidur ni? Takkan lepas beberapa bulan tak jumpa dah hilang kewarasan?



"I miss you! So much!" Luahnya secara tiba-tiba.


Hah, yelah tu! Getus hatiku, menyampah. Tapi tetaplah rasa berdebar dengan luahannya yang kedengaran ikhlas.


Walaupun aku tak berapa faham dengan situasi ini tapi aku yakin ada sesuatu yang dah berlaku sepanjang 5 bulan lepas.



Beberapa bulan yang banyak berlalu...




Aku ada banyak rancangan yang nak dicapai sebelum usia mencecah 30 tahun. Antaranya termasuklah melancong secara solo dengan sekumpulan orang baru. 



Sebenarnya, aku sudah lama ikuti kumpulan aktiviti melancong  dekat sosial media. Cuma, sebelum itu hati belum tergerak nak ikut aktiviti kumpulan mereka. 


Memandangkan sekarang, duit pun ada, komitmen pun dah lancar jadi aku rasa sekarang adalah masa yang sesuai untuk aku pecahkan 'kepompong' hidup aku, jadi lebih berani dan beri diri sendiri ganjaran selepas berlelah mencari wang selama ini. Sekarang, masa untuk aku  bahagiakan diri sendiri.


Dan di sinilah aku menunggu ahli rombongan cik Kiah bersama ketua kumpulan trip kami ini. Bunyi macam ramai saje. Tapi sebenarnya tak sampai 10 orang.


Sengaja aku pilih ketika  tak ramai. Maklumlah, bukan pandai bergaul sangat pun aku ni. Kalau kumpulan kecil senang sikit nak fokus tapi sikit sangat pun tak best sebab rasa janggal lah pulak.


"Maaf ya. Kita tunggu seorang lagi ahli kumpulan trip kita ni. Katanya, sikit lagi nak sampai," beritahu Azlan, ketua trip percutian ke Hatyai, Thailand.


Ya betul. Aku cuma nak ke negara Jiran aje. Itu pun sebelah Perlis. Bak kata kawan aku, Jerit sikit dah dengar kat Malaysia suara aku.


Tapi walaupun dekat, masih mencabar untuk orang yang tak pernah ke luar negara macam aku ni. Tak mengapa. Semua orang ada pengalaman pertama.


"Maaf. Aku lambat sikit!" Aku memalingkan muka apabila mendengar suara lelaki mencelah dalam kumpulan kecil kami.


Oh, mungkin inilah ahli kumpulan yang lambat tu. Nasib baiklah trip ni bergerak menggunakan van. Kalau naik ETS Kuala Lumpur-Padang Besar tentulah kena tinggal gara-gara terlambat.


Aku pandang orangnya sekali lagi apabila dia memperkenalkan diri sebagai, Lukeman. Dari riak air muka, nampak macam serius orangnya. Bercakap pun 'aku-kau' dengan orang asing.


"Okay memandangkan semua dah sampai kita gerak sekaranglah ya. Pak Halim, jom." Ajak Azlan lalu menepuk bahu Pak Halim, pemandu van separuh usia yang berdarah Melayu-Thailand itu.


Di dalam van, Aku duduk bersebelahan dengan Lukeman. Bukan tidak ada ahli kumpulan perempuan yang lain. Cuma semua tempat itu dah penuh. Tinggallah kerusi sebelah aku saja yang kosong untuk Lukeman duduk.


"Aku duduk sini. Harap kau tak kisah," katanya lalu menyandar tubuh ke badan kerusi.


Aku hanya mengangguk. Tidak pedulikan lelaki itu, aku keluarkan earphone dari poket kecil beg dan pasang ke telinga. Lagu Govinda x Ernie Zakri, Hal Hebat mula berkumandang di gegendang telinga.


Bila dengar saje lagu ini rasa berharap betul bertemu dengan orang yang tepat untuk dikongsikan seluruh hidup. Tapi dah hampir 30 tahun ni, aku jadi malas nak berharap. 


Doaku kalau berjumpa jodoh biarlah selamanya. Usia macam ni nak tenang-tenang saje. 


Mata mula terasa memberat, perlahan lena menjemputku. Harapnya bila buka mata dah sampailah dengan selamat. Amin!


RASA macam sekejap saja tidur tapi bahu yang terasa di kuis-kuis beberapa kali menyebabkan aku terpaksa membuka mata tanpa rela.


Dah kat mana ni? 


"Turun. Kita nak cop passport," beritahu Lukeman.


Membulat mataku. Cepatnya dah sampai sempadan! So, lama jugak lah aku tidur? Boleh tahan jugak aku membuta. Harapnya, tak adalah kesan air liur basi ke tahi mata ke apa kat muka ni.


"Terima kasih!" ucapku pada lelaki itu. Dia hanya mengangguk perlahan sebelum berjalan ke bahagian cop passport.


Hmm... memang tak banyak mulut dia ni. Tapi malu jugaklah. Sebab ada beberapa orang perempuan ahli rombongan ni. Tapi Lukeman yang lelaki itu jugalah yang kejutkan aku. 


Apa semua ahli rombongan perempuan yang lain dah putus asa ke nak kejutkan aku? Tak pun Azlan si ketua rombongan ni.


Takpelah. Yang penting tak ada apa perkara buruk berlaku. Yang penting trip Hatyai sudah pun bermula! Yeayyy!

   



OR NAYYY... 


Selama tiga hari dua malam bercuti ke Hatyai, aku tak sangkalah pulak trip ni jadi percutian menjaga orang sakit.


Lukeman yang tegap dan sihat itu tiba-tiba terkena keracunan makanan. Maklumlah trip Hatyai ni trip jalan-jalan dan makan sampai pengsan. 


Ya sungguhlah si Lukeman tu nyaris pengsan sebab cirit birit dan muntah. Nasib baik tak demam saje. Kalau tak dah kena serah diri ke hospital. Dan nasib baiklah aku ada hampir semua ubatan untuk menghadapi situasi kecemasan macam ni.


Berterima kasihlah kepada perangai 'aunty-aunty' aku yang terlebih bersedia dengan situasi kecemasan macam ni. Kalau ikutkan, peserta lain dan Azlan pun ada namun tidaklah selengkap aku.


Jadi di sinilah aku, menjaga Lukeman. Tidaklah jaga sangat. Sekarang pun kami dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Dah nak balik rumah pun. Bye Thailand. Bye Hatyai.


Alahai...


Tanpa sedar aku mengeluh perlahan. Aku faham, tak ada siapa minta jatuh sakit cuma yalah terkilanlah sikit sebab tak dapat nak menikmati percutian pertama kali ini dengan sepenuhnya.


Takpelah, ikhlaskan hati...ikhlas...ikhlas...Aku fokus menyebut perlahan perkataan ikhlas itu, semoga menyerap ke dalam hati tapi terganggu pula bila lengan baju di tarik perlahan.


Aku pandang bahu kiri. Lukeman pandang aku dengan wajah pucatnya.


"Kenapa?" Soalku.


"Aku mintak maaf."


Maaf? 


"Aku dah menyusahkan kau."


Ohh...


"Kalau tak keberatan, boleh bagi phone number kau?"


Eh? Serentak itu aku angkat kepala. Pandang tepat ke dalam mata lelaki itu. Kenapa pulak nak kena bagi nombor telefon ni? Bukan ada kepentingan pun. Lainlah dia nak sponsor trip yang baru. 


"Kenapa?"


"Nak tambah kenalan. Tak boleh ke?" Selamba lelaki itu menjawab.


Tapi aku dah kelu. Ini ke cara lelaki nak mengorat? Sesungguhnya aku tak ada pengalaman. Help!


Nak bagi ke? Tak bagi karang cakap kita ni perempuan sombong berlagak cantik pulak. Kalau bagi, risau scammer ke orang jahat ke?


"I'm not anything bad that you are thinking right now!" Macam tahu-tahu pulak dia ni!Ada kuasa boleh baca fikiran ke apa?


"Eh? Sorry!" Bagi saje. Bagi yang salah. Biar sampai ke sudah tak dapat call! So, selamatlah aku dari situasi-situasi yang remeh dan mengundang bahaya.


"Your phone number?"


"01234567890!" Laju dan yakin aku menjawab. Biar nampak tidak menipu walaupun hakikat sebaliknya.


Bila nampak lelaki itu menaip di papan skrin telefon pintarnya, aku segera meminta diri.


"Bye Lukeman. Assalamualaikum!" Cepat kaki aku melangkah. Tapi baru beberapa langkah ke depan tubuh sudah bergerak kebelakang gara-gara beg galas yang di tarik.


Eh, dia ni! Tak sihat pun masih ada stamina ya nak tarik-tarik beg orang!


"Aku cuma sakit. Tapi tak bodoh nak tahu kau menipu atau bercakap betul!" Lukeman bersuara geram.


"Okay. Okay!" Balas aku sedikit gentar lalu menaip nombor sebenar di papan telefon pintar dia.


Ya Allah, apakah hikmah di sebalik pertemuan aku dengan lelaki ni?Dugaan ke? Takkan lah jodoh pulak kan? 


Tak!


Rasanya tak!


Aku selalu doakan jodoh aku lelaki yang berlemah lembut dan menyayangi aku. Bukan spesis macam ais kutub dan barbaric macam lelaki gua!


"Good! I'll text you. Nanti aku akan fikirkan cara untuk balas budi baik kau sepanjang kita kat Hatyai." Lukeman nampak berpuas hati apabila berjaya mendapatkan nombor telefon aku yang sebenar.


Tak payah! Tak balas pun takpe. Tak jumpa terus lagi takpe! Tapi suara protes itu hanya bergaung dalam hati aku saje.


Lukeman melambai perlahan bila kenderaan miliknya sudah tiba. Saat melihat tubuhnya menghilang dalam perut kereta, aku melepaskan nafas lega.


Takpe. Dia boleh ada nombor telefon aku. Tapi kuasa menjawab call dan 'block' ada di tangan aku!


Hopefully...takdir kita tak bertembung lagi, Lukeman.


MUNGKIN kuasa tidak menjawab 'call' dan 'block' ada di tangan aku. Tapi kuasa orang yang berduit dan mampu melakukan apa saja ada di tangan Lukeman. 


Itu hipotesis akulah. Kerana dengan izin Tuhan, Lukeman dapat juga menjejak aku. Dan di sinilah aku, berdepan dengan lelaki yang mukanya sudah memerah menahan marah.



"Susah sangat nak jawab call? Nak balas whatsapp aku. And kenapa kau block nombor aku?Teruk sangat ke aku ni" Lukeman tak menjerit. Suara dia monotone saje.


Sekurang kurangnya tak menakutkan aku yang masih terkejut kerana tempat persembunyiannya sudah di gempur musuh.


Aku tarik hembus nafas.


"Encik Lukeman," panggil aku sengaja meletakkan panggilan 'encik' dihadapan nama dia. Biar dia tahu yang antara kami ni ada ruang yang dipanggil 'strangers'.


"Saya tak faham kenapa Encik Lukeman susah susah nak balas budi saya. Padahal saya tak kisah pun. Haritu dah cakap terima kasih pun saya dah okay dah. Kita dah tak berhutang apa- apa dah. Janganlah risau.


Kita teruskan saje hidup macam biasa. Kalau terjumpa kat tepi jalan, kita boleh saling menyapa. Boleh ke?" Tegasku. Sesungguhnya aku dah tak kuasa nak berbasa basi. Terus terang begini mungkin akan buat lelaki ini lebih faham.


Tapi reaksi diberikan Lukeman pula sebaliknya. Air mukanya bertambah serius.


"Aku rasa kau pun tak jelas. Biar aku straight to the point, aku suka kau. Balas budi semua ni sebab aku nak perhatian kau. Faham?"


What?


Takkanlah baru kenal 3 hari 2 malam dah jatuh cinta? Nampak sangat banyak tengok TikTok ni!


"Aku betul sukakan kau. Let's be serious and see what we can be after that!" Tegas Lukeman sekali lagi menyatakan perasaannya.


Sukakan seseorang adalah perkara normal yang berlaku dalam hidup manusia. It's surreal. Aku akui itu. Tapi kerana terlalu mendadak, aku jadi curiga.


Kalau prosesnya normal, macam daripada berkawan biasa kepada kawan baik kepada kekasih lepas tu tak mengapalah. Ini terlalu cepat untuk aku. Walaupun aku dah berusia tapi ini perkara baru dalam hidup aku. Macam terlalu dongeng.


"Kalau kau takut, kita boleh berkawan macam biasa. Aku akan tunggu sampai saatnya hal hebat akan berlaku dalam hidup kita."


Hal hebat apa?Jatuh cinta ke kahwin?Pertanyaan itu bagaimanapun hanya bergema dalam hati. Tapi tetap melepaskan nafas lega.


Kalau dari awal ringkas macam gitu kan senang. Tak adalah nampak menakutkan sangat.


"Baiklah!"Aku setuju.




SELEPAS setengah tahun berkenalan, akhirnya aku terbuka hati untuk menerima Lukeman sebagai suami. 


Pemuda berusia 33 tahun itu sah bergelar suami aku dengan sekali lafaz. 


Sepanjang mengenali Lukeman, dia lelaki yang bertanggungjawab walaupun tak banyak cakap. Lelaki yang bertindak cepat bila sudah tahu apa yang dia mahukan. 


Mungkin sebab dia seorang ketua jabatan di tempat kerja, dah biasa buat keputusan dan tindakan segera.


"Awak nak mandi dulu ke?" Tanyaku sebaik melihat lelaki itu melangkah masuk ke dalam bilik.


Dia menggeleng. Sebelum menggamit aku untuk datang menghampiri dia.


Tubuhku segera dia tarik lembut jatuh ke pangkuan dia.


"Terima kasih!" Lafaz dia selepas berdiam diri untuk beberapa ketika.


"Terima kasih jugak kerana sudi jadi suami saya," balas ku dengan senyuman di bibir.


Mudah juga ya jodoh aku tiba. Siapalah sangka percutian aku ke Hatyai berakhir dengan perjodohan. Auch! Happynyaa! Desis hatiku.


"Janji dengan saya, kita akan hadap apa saja di depan dengan tenang, waras dan sentiasa dalam mode berbincang." Pesan Lukeman semakin memeluk erat pinggangku.


Mendengar itu aku mengangguk laju. Bersetuju dan berjanji. Kami kan sudah melepasi umur 30-an rasanya mode bergaduh, darah muda, beremosi tu dah berlalu. Moga-mogalah. Amin.


"Sayang awak Luke," bisikku malu-malu.


Lukeman senyum nipis tidak membalas tapi dahi aku tetap menerima hadiah kucupan lembut darinya. Berdebar kita!


"Assalamualaikum Isteri."


"Waalaikumsalam, suami!"



***


Destinasi bulan madu kami bukanlah satu rahsia lagi. Sudah tentu, Hatyai dipilih untuk menggantikan trip 'tersakiti' kami dulu. 


Rasa kelakar pun ada. Kali kedua pergi ke tempat yang sama, bertemankan orang yang sama, cuma status saje yang berbeza. Dulu saling tak mengenali, sekarang suami isteri!


Kali ini, Lukeman memilih untuk menaiki ETS dari KL sentral ke Padang Besar, Perlis. Selepas hampir 7 jam perjalanan dan melalui pemeriksaan Imigresen di Padang Besar dan Hatyai, kami tiba juga.


Destinasi pertama tentulah tempat makan!Memandangkan sampai Hatyai pun dah petang, kami terus ke ASEAN Night Market! Kali ini, Lukeman lebih berhati-hati, mungkin sudah belajar dari kesilapan lalu. 


Aku pun turut rasa bertanggungjawab memantau makanan dan minuman yg di ambilnya. Kan, saya isteri beliau sekarang.


Lukeman pula, walaupun tidaklah banyak berkata-kata, tapi setiap tindakan dan perhatian pada keselamatan dan kebajikanku dijaga dengan rapi. Tersentuh sungguh hati ini. Kerana peribadi ini yang seorang wanita normal impikan dari seorang lelaki halal dalam hidupnya.


"Hati-hati. Kereta sebelah kanan awak tu laju," pesannya serentak menarik tanganku rapat ke sisinya.Ketika itu kami di Pasar Kim Yong. Jalannya sesak tapi masih ada pemandu tempatan yang  memandu laju untuk menyelit.


Aku senyum kecil. Tanda berterima kasih. Rasa hangat dan lapang di dalam hati berada di sisi lelaki itu.


"Sayang awak,Luke!"Luahku, tanda menghargai tindakan kecilnya tadi.


Dia hanya mengangguk sambil memegang erat genggaman tanganku sebelum membawa kami melintas ke arah cafe terkenal di seberang jalan pasar itu.


Cumil betul!Desis hatiku. Bila dah halal, rasa semuanya manis dan berpahala. Auch!



MANIS bulan madu dibawa berterusan hingga ke ulang tahun perkahwinan kami yang pertama. Alhamdulillah. Dah setahun kami dan moga hingga ke akhir usia hendaknya.


"Awak ada nak ke mana ke sempena anniversary?" Tanya Lukeman sambil menyeterika baju kerjanya.


Aku yang ketika itu sedang melipat baju pakai harian kami, terdiam seketika.


Tadi, Lukeman dah bawa kami makan malam di restoran kegemaran kami. Hanya sambutan kecil dan saling bertukar hadiah antara kami, tapi hangatnya terasa hingga ke hati. Masih kehangatan yang sama. Alhamdulillah.


Selepas makan malam, Lukeman bawa aku  night walk session kat taman. Sengaja, bagi perut kami bertenang lepas menjamu selera tadi.


Namun rasa seronok betul berjalan waktu malam di taman, sambil berpegangan tangan dengan orang yang kita sayang. Lepas berjalan, kami pulang ke rumah dan menyambung kerja-kerja rumah pulak. Begitulah rutin pasangan 30-an.


"Saya, tak kisah. Saya ikut saja. Tapi kalau boleh,saya nak ke Indonesia. Mungkin Bali," beritahuku sambil mengerdipkan mata beberapa kali. Berlagak comel.


Selalu, aku buat begitu kalau mahu dia turutkan kehendakku. Tapi tak adalah sehingga dia tak ada peluang lansung nak lakukan sesuatu mengikut kehendaknya. 90 peratus daripada itu, Lukeman pasti akan menurut!


"I see. Then, make me agree with you." Lukeman berkata sambil merapat ke sisi tubuh aku.


Aku kerling ke arah almari. Baju dan seluar kerja dia yang siap diseterika sudah bergantung rapi di situ. Dah siap kerja rupanya! Patutlah free.


Aku pandang wajah dia. Eh, dah masuk mode menggatal pakcik ni!


"Boleh. Lepas awak siap tolong simpan baju?" balas ku lantas mengenyit sebelah mata.


Lukeman tak berkata apa tapi lelaki itu segera membantu menyimpan pakaian yang sudah siap dilipat ke dalam almari.


'Barulah win-win situation!' Bisik hatiku sambil menyembunyikan senyuman.




PULANG dari Bali,  aku dan Lukeman dikejutkan dengan kedatangan seorang wanita separuh abad yang sangat disayangi oleh Lukeman tapi sangat digeruni oleh aku.


"Assalamualaikum, nenek. Dah lama sampai?" Tegur Lukeman, lalu tunduk bersalaman dengan neneknya, Puan Mariah, di ikuti aku.


"Waalaikumsalam. Aku dah lama sampai. Kamu ni dari mana? Tak reti jawab panggilan aku ke?" Puan Mariah membalas sekaligus tidak menunggu waktu lama untuk terus memarahi kami.


Mendengar itu, Lukeman terus memeluk bahu neneknya. Terus, wajah Puan Mariah berubah tenang. Sejuk hatilah dia dek terpujuk dengan tingkah lembut si cucu sulung.


"Luke dengan isteri baru sampai Malaysia. Kami ke Bali, Jumaat lepas. Kenapa nenek datang tak bagitahu dulu?"


Puan Mariah mendengus kasar apabila mendengar jawapan daripada Lukeman.


"Bercuti? Dari habiskan duit pergi bercuti baiklah pergi bawa isteri kamu ni pergi ke doktor. Dah setahun kawin tak mengandung lagi. 


Kamu ingat kamu muda lagi Lukeman? Isteri kamu ni pun dah berusia. Lama mana lagi masa yang ada nak mencuba? Cuba kamu bagitahu aku?"


Turun bahu aku akibat terasa hati dengan kata-kata yang keluar dari mulut nenek Lukeman.


Lukeman tertangkap wajah mendung aku lalu dia tarik tubuh aku duduk di sebelah dia.


Jari jemari aku di sulam sebelum digenggam erat oleh jemari kasar milik dia.


"Ini rumah tangga Luke. Nenek tak boleh campur tangan. Ada tak ada anak ni bukan kerja Luke dan isteri apatah lagi nenek. Ini kerja Tuhan.


"Kalau ada rezeki, kami terima. Tak ada pun kami terima sebab Tuhan tahu yang terbaik untuk kami. Nenek sebagai orang yang berusia dan ada ilmu agama patutnya dah tahu," bidas Lukeman dengan suara tenang tapi jelas ketegasannya.


Puan Mariah menghela nafasnya perlahan-lahan. Mungkin cuba bertenang. Tapi riak wajah tak berpuas hati itu masih terpampang jelas. Tajam mata tua itu memaku pandangannya ke muka aku.


"Ikut kamulah. Aku dah cakap, kalau kahwin dengan anak Makcik Faridah, dah selesai masalah kamu ni!"


Hati aku dah rasa pedih sangat. Dari tadi lagi. Bagai dihiris-hiris pulak. Bukan dengan pisau, tapi lidah manusia.


Lukeman tidak semena berdiri.


"Nenek! Luke tak suka dengar nenek cakap macam ni.


"Isteri Luke masih ada di sini. Isteri Luke ada telinga, ada hati. Tapi sampai hati nenek cakap perkara ni macam dia tak wujud!"


Puan Mariah terkedu. Terkejut dengan nada suara Lukeman yang sedikit tinggi daripada biasa.


"Kalau nenek datang nak melawat, bertanya khabar kami, nenek di alukan di sini. Kalau datang nak menyakiti hati, nenek boleh balik." Putus Lukeman lalu menghulurkan tanganya untuk disambut tanganku. Mengajak sama-sama beredar ke tingkat atas rumah.


***


AKU pandang wajah Lukeman dengan hati belas. Raut wajah itu nampak mendung. Mungkin dia  rasa bersalah dan sedih sedikit sebanyak atas kata-kata yang di keluarkan kepada neneknya tadi.


"Saya minta maaf. Pasal saya, awak dengan nenek bertikam lidah tadi."


"Tak ada benda nak di maafkan. Nenek cakap perkara yang diluar kawalan kita dan dalam masa sama menyakiti hati awak. Sebagai suami, saya kena lindungi awak. Tak macam tu, puan isteri?"


Birai mata aku tiba-tiba rasa panas dan berair. Terharu!


"Tapi, awak sedih kan?"


" But, you mattered the most. Lagipun, saya tak rasa, apa yang saya cakap tadi salah. Anyhow later, kita kena minta maaf jugaklah. Orang tua bukan kira siapa betul salah pun. Kita yang muda mengalah sajelah. Panjangkan masalah bukan dapat apa pun."


"Baiklah suami saya!" Aku menjawab lalu memeluk lengan tegapnya.


"Dah happy?"Tanya dia.


Aku mengangguk laju. Bertambah gembira kerana Lukeman hadiahkan ciuman lembut di sisi dahi.


Bertuah badan memiliki suami seperti Lukeman. Menyesal dulu jual mahal!



SESUDAH Subuh aku bergegas turun ke dapur untuk memasak nasi lemak untuk dijamah suami dan nenek. Mesti Puan Mariah dah lapar. Kerana dari malam tadi Puan Mariah ada di rumah kami. Tapi tak keluar bilik lansung untuk makan.


Ini mencetuskan kebimbangan dalam hati aku. Dia kan sudah berusia. Kalau tak makan, macam mana nak ambil ubat pulak lepas tu.


Usai memasak, aku memanggil Lukeman sebelum berlalu ke bilik tamu yang di huni Puan Mariah.


Aku ketuk pintu bilik. Namun, kerana tiada jawapan, aku mengambil keputusan untuk masuk tanpa keizinan. Risau kalau berlaku sesuatu pada Puan Mariah kesayangan Lukeman itu.


"Siapa benarkan kamu masuk bilik aku ni?"Serang Puan Mariah sebaik bola matanya menangkap figura aku di jenang pintu. 


Tertelan sekejap liur. Masuk-masuk saje dah kena serang! Kus semangat!


"Saya nak ajak nenek turun. Saya ada masak nasi lemak pagi ni. Nanti lepas makan, bolehlah nenek makan ubat pulak."


Puan Mariah diam seketika. Mungkin sedang berkira-kira nak sambung marah atau abaikan dan makan saje nasi lemak yang di masak aku.


Walaupun nenek garang, tapi dia nampak suka dan berselera betul kalau aku masak nasi lemak. Sedaplah agaknya.


"Hmm. Kejap lagi aku turun. Kamu turunlah dulu."Kali ini nada suara Puan Mariah sudah tidak meninggi lagi. 


Mungkin dia terpujuk dengan menu makan pagi kami hari ini. Dan inilah masa yang sesuai untuk aku berbincang dari hati ke hati dengan dia.


"Nenek," panggilku.


Puan Mariah pandang.


"Saya harap nenek tak ambil hati dengan kata-kata Lukeman semalam."


Terdengar keluhan kecil keluar dari Puan Mariah.


"Aku tahulah cucu aku."


"Dan saya pun nak minta maaf belum dapat bagi cicit untuk nenek," sambungku.


Puan Mariah terdiam lama sebelum menjawab.


"Kamu tak salah. Aku yang naik hantu semalam. Sudahlah. Lekas turun, aku dah lapar ni!"


Aku mengangguk lalu menghulurkan tangan untuk membantu Puan Mariah berdiri. 


Lapang sikit dada apabila air muka Puan Mariah sudah tidak sekeruh semalam. Mungkin dia sudah bertenang dan sedar salahnya.Lagi pun,  Lukeman selalu cakap nenek dia garang, tapi berhati baik.


"Jom!" 


KETIKA mahu turun tangga bersama Puan Mariah, badanku tiba-tiba terasa hilang imbangan. Kepala pun tiba-tiba terasa ringan seperti mahu tersungkur.


Memang sedari bangun pagi, aku rasa penat berlebihan. Tapi aku tetap gagahkan diri untuk memasak. Rasanya itu mesti disebabkan penat berjalan dan tak sempat berehat semalam.


Aku memegang kepala,dan cuba memejam celik mata beberapa kali namun masih gagal mencari keseimbangan. Aku mengambil keputusan untuk mencari sisi tangga untuk menyokong tubuh.


Namun ketika itu, dengan tidak sengaja aku tertolak tubuh Puan Mariah yang berada di hadapanku, mengakibatkan wanita itu tergolek jatuh ke anak tangga bawah.


Aku tergamam!


"Nenek!"


Jeritan kuat daripada  Lukeman menyebabkan aku tersedar dari pegun. Ya Allah, apa yang aku dah buat ni?


***


Semua orang menarik nafas lega apabila doktor khabarkan Puan Mariah berada dalam keadaan stabil dan tiada kecederaan serius.


Sekarang, Puan Mariah sedang berehat selepas doktor melakukan pemeriksaan secara menyeluruh tadi.


Seorang demi seorang ahli keluarga kami beransur pulang. Sehingga yang tinggal hanyalah aku dan Lukeman di kerusi yg berada di luar wad Puan Mariah.


Aku cuba menarik perhatian Lukeman dengan mencapai tangan kasarnya, tapi dia menariknya perlahan sebelum menggunakannya untuk  menyebak rambut.


Tindakan spontan dia menyebabkan aku berjauh hati. Adakah Lukeman masih menyalahkan aku terhadap apa yang berlaku kepada Puan Mariah? 


"Luke, awak okay ke?"


Dia menggeleng sebelum melepaskan nafas berat. Kenapa dia mengeluh?


"Beritahu saya, apa yang menganggu fikiran awak tu. Saya nak dengar." 


Lukeman pandang mata aku. Wajah itu jelas keletihan. Simpati aku memandangnya. Kerana aku, dia jadi begini.


Sekali lagi, Lukeman menarik nafas dan menghembusnya perlahan-lahan. 


"Tell me the truth, kenapa awak kat bilik nenek?"


"Betul ke awak tak sengaja tertolak nenek sebab awak rasa nak pengsan?"


"Wait!"


Aku memintas pertanyaan dia. Mataku juga membulat kerana tak percaya soalan berbaur tuduhan itu keluar dari mulut Lukeman. 


"Adakah awak rasa apa yang berlaku pada nenek tu sebab saya sengaja?" Soalku dengan dada yang sudah berombak.


"I don't know. You tell me," balas dia ringkas tapi dah cukup buat hati aku rasa membara dengan amarah.


Seraya aku menggeleng kepala. 


"Saya tak sangka ini yang keluar dari mulut awak, Luke!"


"Saya ingatkan kita akan saling percaya dan ada untuk satu sama lain. Tapi nampaknya saya salah."


Aku berdiri. Sudah mahu beredar. Hati rasa sudah tak sanggup lagi menampung rasa kecewa. Tak sangka Lukeman tuduh aku!


"Dekat rumah awak tu ada CCTV. If you are done with me here, you can watch the CCTV and tell me if I'm wrong or not. Tak kuasa nak bela diri bila orang tak nak percaya!"


Baru sahaja nak menapak pergi, tapak tangan Lukeman menarik lenganku lembut. Aku pejam mata. Rasa tak rela disentuh selepas dituduh!


"Lepas!"


"I'm sorry, isteri."


"Saya penat Luke. Awak pun penat." Aku tarik nafas berat sebelum menghembus perlahan. 


Luke juga buat benda yang sama. Air muka dia jelas sugul. Nampak serabut. Sudah beberapa kali dia meraup rambutnya kebelakang.


"Mungkin kita perlu masa 'berehat', " sambungku.


Serentak itu, Lukeman menarik tubuh aku ke dalam dakapannya. Aku tak membalas. Rasa dah tak berdaya. Letih hati, letih emosi dan letih fizikal yang luar biasa.


"Kita tak perlukannya. We can do this together!" Nyaring suara Lukeman tanda tidak bersetuju.


"Janganlah bertahan untuk gagal, Luke. Awak tahu kita perlu masa dan ruang."


Aku menolak tubuh Lukeman. Sukar aku nak tafsirkan perasaan dan situasi kami sekarang ini. 


Perkara kecil tapi jadi besar kerana kami penat dan ada rasa tidak percaya dalam hati.


Tapi ini asasnya. Kalau kami berpura tidak nampak dan membiarkannya, seolah-olah semuanya baik-baik saja, macam mana untuk cabaran yang seterusnya? Boleh skip jugak ke? Skip sampai bila? Sampai dah membarah dan parah?


"If you go, I will hate you, wife!" Tegas Lukeman. Cuba menggunakan kuasa vetonya sebagai suami.


Aku tersentak mendengarnya. Kerana terasa seperti di cabar, aku membalas katanya dalam amarah juga.


"Then, hate me!"


DAN begitulah cerita aku membawa diri beberapa bulan lamanya. Tak sangka dah 30-an ni masih main lari-lari macam budak-budak. 


Tiba-tiba rasa kelakar dan bodohlah pulak. Masalah hormon agaknya.


Genggaman hangat di tangan, menarik aku kembali ke dunia sebenar. 


Aku nak tarik semula tapi biar dululah. Rasa seronok juga dipujuk. Hormon mengandung agaknya. Lah, salahkan hormon lagi!


"Maaf sebab dah tuduh isteri saya melulu tanpa siasat. Sedangkan saya dah berjanji apa-apa hal kita akan duduk bincang sama-sama."


Aku diam sebelum melontar tanya.


"Kenapa baru sekarang maaf? "


"Kenapa ambil masa yang lama?"


"Tahu tak lama saya tunggu? Tahu tak saya takut jadi isteri derhaka? Tapi saya takut juga awak masih marah dan benci saya!" Pecah sudah suara tangisku.


Serentak itu Lukeman berpindah kerusi, duduk di sebelah kananku. Bahu dipaut rapat ke sisi tubuhnya. 


"Maaf untuk apa saja yang awak rasa dan  lalui selama ni. Maaf juga kerana tak jadi suami contoh untuk awak."


"I'm sorry," bisik Lukeman lagi bila aku masih tersedu-sedu di sisinya.


Lama Lukeman membiarkan aku melampiaskan emosi dalam bentuk tangisan. Sesekali tangannya mengusap lembut di belakang tubuhku, memujuk dalam senyap. 


Dan bila aku sudah rasa lega, perlahan aku mencari dan menggenggam tangan Lukeman pula.


"Minta maaf jugak dah langgar arahan awak, dah jadi isteri derhaka dan memilih melarikan diri. Awak  nak ke maafkan saya?" Luahku sambil menentang tepat anak mata Lukeman.


Lukeman tersenyum kecil sebelum memicit lembut hidungku secara tiba-tiba.


"Selalu. Tak kira apa salah dan kekurangan awak pada saya, you always be the greatest thing that ever happened in my life. Hal hebat dalam hidup seorang Lukeman," balasnya kedengaran ikhlas sehingga menerbitkan senyum dibibirku.


Hati terus rasa tenang.


Dan bahagia.


Okaylah. Dah tamatlah tu. Kira dah okaylah tu. Yang lain tu perlahan-lahanlah uruskan. Hidup ni masih panjang.  Selagi diberi waktu, cuba saje  buat dan berikan yang terbaik. 


Kan?


~Tamat~



P/s: Tak tahulah tulis cerpen ke novel. Tapi lama sungguh amik masa nak menulis. Mungkin ini yg orang panggil skill dah berkarat. Terima kasih sudi baca. Jumpa lagi tak tahulah bila. ^^