Oh, Pengikut Setiaku!!!

Wednesday, February 26, 2014

#30 Cerpen : Suami Cadangan.


Tajuk : Suami Cadangan
Nama penulis:NOORAIHAS
Tarikh post: 26 Februari 2014

Jeaz Jazaril bin Jamsari. Dia anak jiran sebelah rumahku. Peramah orangnya. Mungkin sebab itulah mak ayah aku suka kat dia, siap berkenan nak jadikan menantu lagi! suami untuk aku! Tapi aku...tak mahu. Alasan paling klise aku bagi kat mak ayah bila keduanya nak menjodohkan aku dan dia adalah ‘I don’t love him’. Namun... aku tak sangka pulak alasan aku dulu akan menghantui aku untuk seumur hidupku...

***

Aku memakirkan kereta kelisa kesayanganku di sebelah kereta Perdana milik ayah. Sebaik sahaja enjin kereta dimatikan, gegendang telingaku menangkap sapaan seseorang. Lantas aku berpaling dan mengukirkan senyuman ringkas.

“Baru balik jugak Jeaz?” Aku menyapanya kembali.

Jeaz senyum seraya mengangguk.

“Lama tak nampak Along? Kursus ke?” Tanya Jeaz sambil menyeluk poket seluarnya.

Aku mengangguk perlahan. Jeaz sekeluarga memang selesa memanggil aku ‘Along’ kerana sudah terbiasa mendengar mak dan ayah memanggilku begitu. Hampir sepuluh tahun kami berjiran sejak keluarga Jeaz berpindah ke sini ketika aku baru sahaja menginjak ke angka 16 tahun. Lamalah jugak tu kan?

“Uncle Jay dengan Aunty Sari mana? Tak nampak pun. Biasanya petang-petang macam ni diorang selalu bersembang kat depan ni,”Soalku pada Jeaz sambil mata ini tidak lepas memandang ke hadapan rumah orang tuanya. Mencari kelibat Uncle Jay dan Aunty Sari yang sudah beberapa hari aku tak nampak.

“Mama dengan abah tidur rumah Kaklong Anim. Esok baliklah tu. Katanya rindu dengan Damia,” jawabnya masih tidak lepas dengan senyuman.

“Ohh...patutlah tak nampak,”

“Along outstation kat mana kali ni?” Jeaz mengajukan soalannya lagi bilamana aku sudah berkira-kira mahu masuk ke dalam rumah.

“Terengganu. Ehh...Jeaz, saya masuk dulu ye. Penat. Badan pun dah bau kambing ni.” Aku masih sempat berjenaka setelah meminta diri.

Jeaz tertawa kecil. Mungkin terkesan dengan lawakku tadi.

“Yelah. Kirim salam dengan mak  ayah Along ye,” Jeaz menitipkan salam buat kedua orang tuaku sebaik sahaja tawanya reda.

Aku mengangguk sebelum berlalu ke dalam rumah.

MAK cepat-cepat meluru ke sofa sebaik sahaja melihat aku yang mula menapak ke pintu rumah. Bukan aku tak nampak, tadi mak punyalah lama berdiri kat tepi sliding door itu. Mungkin mahu mengintai aku dan Jeaz berbual. Mak...Mak... sampai macam tu sekali berkenan kat Jeaz!

“Assalamualaikum.”Aku memberi salam.

Mak menjawab salamku sambil tersenyum-senyum. Satu perlakuan yang menggambarkan betapa dia sedang gembira dan aku tahu apa punca kegembiraannya itu.Jeaz!

“Lama borak dengan Jeaz. Borak apa?” Mak mula mengendalikan sesi ‘Q and A’. Bibirnya masih mengukirkan senyuman penuh makna.

Aku meletakkan beg sandangku di atas sofa dan menghenyakkan punggungku di situ. Mata di pejamkan sebentar. Penat!

“Along!” Panggil mak sambil mencuit pahaku.

Beria betul dia nak tahu apa yang aku sembangkan dengan  Jeaz! Haish...mak!

“Tak ada apa-apa mak. Sembang biasa je,” jawabku sambil lewa.

“Sembang biasa ke macam tu? Mak nampak muka masing-masing bercahaya je! Macam kekasih lama yang jumpa kembali! Nak-nak muka Jeaz!”

Aku mengerutkan dahi. Ada pulak macam tu! Mak ni memang suka exaggerating! Jeaz tu biasa-biasa je aku tengok. Tak ada pun muka bercahaya macam yang mak cakapkan.

“Mak ni ada-ada je. Hah, ayah mana mak? Kereta ada, orangnya takde.” Aku cuba mengalihkan perhatian mak. Lari dari topik yang dia sangat gemari bila bersembang denganku. Apa lagi kalau bukan tentang si Jeaz tu!

“Nak larilah tu!” kata mak, sudah masak agaknya dengan sikapku yang suka ‘menyimpang’ kalau berbicara pasal Jeaz.

Aku menyengih sahaja.

“Ayah kau tu mesti tersekat kat restoran kat simpang sana tu. Bersembang sampai petang macam ni tak balik-balik,” jawab mak bersama rungutan kecilnya.

“Takpelah mak. Nasib baik ayah pergi bersembang, buatnya ayah pergi kahwin lagi satu? Hah, menangis mak nanti!” Usik aku pada mak.

Mak mencerlungkan matanya. Marah!

“Hish kau ni mulut! Mak cili-cili sampai jadi bibir Angelina Jolie baru kau tahu!” Marah mak lalu mencubit pinggangku.

Tubuhku mengelak ke kiri dan ke kanan kerana cubitan mak yang sangat menyengat itu sebelum tawaku meletus di segenap ruang tamu rumah. Up grade betul mak aku ni! Angelina Jolie punya bibir pun dia tahu!

***

Hari minggu yang sentiasa dinanti pun tiba. Aku memang gemar waktu hujung minggu begini. Boleh bersantai dengan keluarga dan bebas daripada tekanan kerja! Opps, bukan aku sorang je tapi semua orang yang berkerja pun akan berfikiran begitu.

Mak dan ayah awal-awal pagi lagi sudah bangun dan berkebun di luar rumah. Katanya nak dapatkan vitamin dari cahaya matahari pagi. Barulah awet muda! Nak harapkan aku turun padang sekali memang tidaklah! Aku kalau bab-bab berkebun ni memang tak pernah  tersenarai dalam hobi atau azam tahun baru ! Dalam bahasa sopannya, aku tiada bakat. Tapi kalau dalam bahasa kasarnya, aku memang PEMALAS! Kalau ada minat, bakat boleh datang dengan sendirinya. Namun, kalau dah MALAS, bagi cincin Tiffany and Co free sebagai ganjaran pun aku tak nak!

“Hah, anak dara! Dah puas termenung?” Tegur ayah lalu menepuk bahuku. Terbang segala lamunanku sebentar tadi.

Aku membuat muka. Sakit hati dan jantung aku ni dek sergahan kuasa lapan milik ayah. Mujur sahaja jantung dengan hati aku ni dah diservis baik punya! Kalau tak dah lama aku ‘jalan’.

“Ayah ni. Sakit Along tau! Kalau ALong mati macam mana?” Soalku dalam nada menggedik. Nama aje aku ni anak sulong, tapi perangai kalah budak tadika! Berbeza tingkahku dengan adik bongsuku, Hanim yang nyata seorang yang matang tapi paling suka ikut kepala sendiri!

“Macam tu lah!” Balas ayah dengan selambanya.

Aku menarik muncung. Ayah tak sayang aku dah...Sobs...Sobs...

“Ayah memang tak sayang Along. Biarlah Along bawak hati yang lara ni ke KFC. Kalau KFC tak bukak, McD ada lagi nak terima Along dengan penuh kasih sayang,” luahku dengan penuh perasaan sebelum bangkit meninggalkan gazebo yang aku duduki tadi.

Baru kaki aku nak melangkah ke dalam rumah,  telingaku menangkap suara orang ketawa. Aku berpaling seraya mataku membulat dengan besarnya!

Jeaz dengan ayah gelakkan aku! Agak-agak berapa lama dah lelaki itu berada di situ? Kenapa aku tak sedar? Lupa pulak tadi masa aku sedang dalam sesi meluahkan perasaan, aku memejamkan mata sambil meletakkan tangan kanan di dada kiriku. Konon-kononnya hatiku sedang dalam mode pilu!

Aku menjeling ayah! Kalau Jeaz ketawa aku boleh terima, ini dengan ayah sekali ketawa! Tak nak support anak sendiri langsung! Takpe,  Father’s Day nanti, Along tak nak bagi ayah hadiah! Huh!

“Itulah Jeaz, Pak cik dah cakap anak Pak cik ni ‘Drama Queen’. Jangan layan sangat! Kalau siapa jadi suami dia ni, habislah!” Sakat ayah lagi.

Jeaz hanya ketawa sambil menutup mulutnya. Lawak sangat la tu!

“Takpe pak cik, rumah tangga lagi berseri. Tak adalah sunyi macam dalam library!” Jeaz  pula sambung mengusikku.

Aku mendengus kasar sambil memeluk tubuhku. Haish...ada anak Uncle Jay ni aku tolak dalam longkang besar karang! Pandai sangat mengusik aku!

“Apa-apa jelah Jeaz. Ehh...Pak cik nak masuk dalam dulu. Tengok Mak cik kamu buat apa lama sangat kat dalam tu. Kamu sembang-sembanglah dulu dengan Along,” pamit ayah lalu meninggalkan aku dan Jeaz di luar.

Aku  dan Jeaz hanya di pisahkan pagar rumah. Tapi kalau boleh aku nak duduk jauh lagi dengan dia. Ini semua gara-gara ayah! Kalau tak, tak adanya aku nak malu-malu harimau dengan Jeaz ni!

“Along marah Jeaz ke?” Jeaz memulakan bicaranya denganku.

Aku memandangnya sebentar sebelum kembali duduk di gazebo. Jeaz pula masih setia berdiri di balik pagar, memerhatikanku.

“Marah! Marah sangat! Tapi sebab Along baik hati dan dalam mood cuti hujung minggu,maka Jeaz Along maafkan,” ujarku membangga diri. Lantaklah kalau Jeaz nak muntah sebab dengar aku cakap macam tu 
pun! Kira baiklah aku tak ambil hati sebab dia ketawakan aku tau!

Jeaz ketawa lagi. Haish...lelaki ni dah kenapa? Asyik ketawa je kerjanya! Aku lempar dalam Sungai Pahang karang baru tahu!

“Along ni so adorable lah. Rasa nak cubit-cubit je pipi tembam tu! Nasib baik bukan muhrim, kalau tak dah lama...” Jeaz berhenti dan kemudiannya ketawa lagi.

Aku mengerutkan dahi. Agaknya Jeaz lupa nak makan ubat pagi ni. Itu yang asyik ketawa je dari tadi. Cakap pun tak habis! Kesian Uncle Jay dengan Aunty Sari ada anak tak siuman macam Jeaz!

“Kalau tak dah lama apa Jeaz? kamu sembang apa dengan Along tu?” Tegur Aunty Sari lalu mendekati anak bujangnya itu.

Jeaz sengih sambil menggaru rambutnya. Seganlah tu...Tertangkap dengan mak sendiri!

Aku melebarkan senyuman sebaik sahaja melihat Aunty Sari. Wanita sebaya mak itu masih anggun walaupun sudah bergelar nenek! Aku kalau boleh nak jadi anggun macam itulah! Tak payah cucu aku nanti sibuk-sibuk nak panggil nenek! Panggil aje granny! Kasi up sikit! Cehh...Berangan tak sudahlah  kau! Suami pun tak ada lagi. Ada hati nak cucu!

“Kamu mengorat Along ye? Kalau kamu suka Along cakaplah kat mama. Mama dengan abah boleh tolong pinangkan,” ujar Aunty Sari. Sengaja mengusik anak lelakinya itu.

Jeaz hanya senyum. Muka aku pulak sudah memerah tidak semena. Malu! Straight forward sungguh Aunty Sari ni! Naik segan aku!

“Err...Aunty, Along masuk dulu ye. Nak tolong mak memasak,” dalihku. Tidak mahu terus menjadi bahan usikan anak beranak itu.

Aunty Sari mengangguk sebelum tersenyum. Jeaz juga begitu. Haish... kenapalah aku hari ni jadi bahan usikkan je? Salah bangun tidur ke aku subuh tadi? Getus hatiku sebelum melangkah masuk kedalam rumah.



***

Hari ini aku dikejutkan dengan kedatangan Marissa.  Bekas kawan baikku! Kenapa bekas? Hmmm...sebab dia tertangkap dengan bekas teman lelakiku di atas katil di rumah sewa kami! tapi itu cerita zaman belajar dulu. Mungkin dia sudah berkahwin dengan Zakuan memandangkan dia datang dalam keadaan berbadan dua. Nampak sarat. Mungkin sudah masuk bulan ke tujuh.

“Apa khabar Imtiaz?” ujarnya bersama senyuman nipis sebaik sahaja aku mempelawanya untuk duduk.

“Alhamdulillah. Hidup lagi,” balasku, ringkas bersama pandangan yang dalam.

Untuk seketika suasana bertukar sepi. Rasa janggal bila dia terus-terusan merenung aku tanpa menyatakan tujuannya ke mari.

“Berapa bulan dah?”Soalku bila dia masih tidak bersuara.

“Tujuh bulan,”Dia menjawab sambil mengusap perutnya.

Aku mengangguk perlahan. Haih, canggung betul!

“So, apa tujuan kau datang? “ Bunyinya macam aku kejam sangat kan? Macam nak menghalau.

Wajah itu tiba-tiba bertukar sendu.

“Zakuan nak ceraikan aku.” Mulanya dengan air mata yang sudah bertakung.
Menarik! Fikir hatiku.

“Dia masih cintakan kau dan nak kembali pada kau,” sambungnya lagi.

“Walaupun kau dah bulat macam ni?” sampukku sedikit sarkastik nadanya.

Dia mengangguk lalu menyapu air mata.

“Cakap kat Zakuan, aku tak berminat nak menjilat ludah sendiri. Dan kau jangan bimbang, aku tak suka ‘barang terpakai’,” sinisku tapi aku benar-benar memaksudkannya.

Marissa tersenyum pahit. Mungkin terasa!

“Kalau dia merayu kau?” Dia menginginkan kepastianku.

“Aku dah ada pilihan hati!” tegasku, menjawab dan sekaligus meyakinkan dia. Entah mana aku nak cekau Encik Pilihan Hati ni!

SETELAH pertemuan antara aku dan Marissa berlaku seminggu lepas, semakin kerap aku menerima bunga dan kad ucapan dari Zakuan. Semakin rimas hati ini! bertambah bengang bila dia bertindak datang ke rumah orang tuaku. Dasar lelaki tak reti bahasa!

“Salah ke saya nak datang rumah teman wanita saya?”soalnya dengan wajah yang sengaja dibiarkan dalam mode menggoda. Sikitpun aku tak tergoda!

“Bekas teman wanita!” Aku membetulkan status hubungan kami.

“Saya akan ceraikan Marissa kalau itu yang awak bimbangkan!” tegasnya sambil cuba meraih tanganku.

“Maaf! Tapi saya tak suka ‘bekas’ orang!” perliku dengan suara yang sudah tinggi.

Terpempan sebentar lelaki itu.

“But i still love you Imtiaz!” Dia menyatakan cintanya padaku.

Itu bukan cinta Zakuan. Itu ketaksuban! Gumam hatiku. Senyuman aku sunggingkan dengan  penuh sindiran.

“Just love your wife and your incoming baby, okay? They need you more!”  ujarku bersahaja.

Zakuan semakin resah melihat kekerasan hatiku.

“Saya akan terus berusaha untuk dapatkan kembali awak! no matter what happen, you’ll be mine! Walaupun saya kena korbankan nyawa orang lain!” Zakuan sudah menyatakan janjinya.
Entah kenapa aku jadi tidak sedap hati mendengarnya. Aku kenal Zakuan. Dia seorang yang nekad dalam melakukan sesuatu. Risau aku jika dia akan mengapa-apakan orang-orang disekelilingku demi kegilaannya padaku. Itu yang aku paling bimbangkan.

Keluhan berat aku lepaskan entah untuk kali yang ke berapa. Isu Zakuan bertandang ke rumahku petang tadi memang menjadi tanda tanya mak serta ayah. Nyata-nyata mak dan ayah tidak menggemari Zakuan. Jelas air muka keduanya berkerut tidak senang dengan kewujudan watak si Zakuan dalam hidupku.

“Along,” tegur ayah lalu melabuhkan duduknya di sisiku.
Mata tua itu aku pandang. Jelas ada riak bimbang di situ.

“Ayah tak nak buat mukadimah panjang-panjang. Apa yang ayah nak cakap, ayah dengan mak tak suka budak Zakuan tu,”kata ayah terus pada isi kandungannya.

Aku mengangguk faham.

“Along dah tak suka dia yah. Tapi dia siap ugut-ugut nak dapatkan Along tak kira apa pun terjadi walaupun ada yang jadi mangsanya. Along takutlah ayah.” Aku sudah meluahkan kerisauanku.

Ayah terdiam sebentar. Nampak seperti sedang berfikir.

“Hmm...mungkin Jeaz boleh tolong Along,”ujar ayah setelah lama mendiamkan diri.

Keningku hampir bercantum mendengar cadangan ayah. Apa yang Jeaz boleh tolong?

“Tolong macam mana?”Soalku, kabur.

Malangnya ayah Cuma tersenyum penuh makna dan mengangkat sebelah keningnya. Mencetuskan elemen saspen padaku. Apa pulak rancangan ayah ni...
Jarum jam sudah hampir menginjak angka 9 malam. Tapi aku masih tersangkut di pejabat dan baru hendak berkemas untuk pulang ke rumah. Suasana yang sunyi kadang-kala mendatangkan gentar juga dalam hatiku. Siapa aje yang tak takut duduk di tempat sunyi tanpa berteman.
Bila lampu pejabatku sudah aku tutup, langkah segera aku buka ke tempat parkir kereta. Hmm... parkir kereta pun sunyi sepi! Ini yang buat aku nak menangis ni. Mana semua orang? Baru pukul Sembilan kot! Haih...

“Imtiaz,”

Aku berpaling ke belakang bila namaku diseru dan serentak itu tubuhku dipaut kasar.

“Hei, lepas! Lepaskan aku!” bentakku lalu meronta kasar untuk melepaskan diri.

“Syyhh...sayang. Jangan marah-marah,” ujar lelaki itu tanpa memperlihatkan wajahnya padaku. Namun dia silap besar, kerana aku tahu siapa dia!

“Zakuan! Kau nak buat apa ni?” jeritku lantang sambil mata melilau mencari kelibat manusia yang mungkin boleh membantuku.

“Nak buat apa? Nak sayanglah!” balasnya membuatkan aku rasa loya mendengarnya.
Nampaknya, aku tak ada cara lain. Terpaksalah aku melepaskan segala keayuanku demi menyelamatkan maruahku. Nafas aku tarik dan hembus. Cuba bertenang. Bila pautan Zakuan terasa longgar di badanku lalu kakiku hayun sekuat hati ke belakang, menendang tempurung lututnya. Hampir terlentang tubuh lelaki itu.

Tubuh yang sudah bebas dari cengkamannya membuatkan aku lebih bersedia untuk membuka langkah taekwando yang pernah aku pelajari dulu.  Kedua tanganku genggam dan kakiku buka. Zakuan yang nampak berang mula menghampiri dan menyerangku. Tanpa melengahkan masa tubuh lelaki itu aku ‘hadiahkan’ dengan tumbukan yang bertubi-tubi serta tendangan padu di perut dan ‘sentuhan terakhir’ di celah kelangkangnya! Touchdown!

Aku mengibas-ngibas tudung serta bajuku.

“Ada hati nak aniaya aku!” Aku membangga diri sekejap dan bila aku berpaling, mata ini hampir terbeliak besar melihat Jeaz di sini! Entah berapa lama dia berdiri dan melihat ‘keganasan’ aku.

“Jeaz?”

“Along okey?”Tanya Jeaz dengan air muka yang masih terkejut.

Gugup pulak aku nak meluahkan kata. Jadi aku hanya mengangguk perlahan. Baru sahaja mahu melangkah ke kereta, Jeaz menarik lenganku dan mendorong tubuh ini ke belakang badannya sebelum dia bertindak menumbuk Zakuan yang sudah bangkit dan mahu menyerangku tanpa aku sedari. Terdampar lelaki itu di atas jalan.

Kali ini aku pulak yang terpana! Hanya sekali tumbukan Jeaz, Zakuan sudah terbaring!

“Nak bawak dia ke balai polis tak?” Soal Jeaz sambil bercekak pinggang memandang Zakuan yang sedang mengerang kesakitan.

“Tak payahlah Jeaz. Along tak nak masalah jadi kes polis. Dia ada anak bini yang perlu dijaga,”jawabku dengan nada simpati.

“Okeylah kalau Along dah cakap mcam tu. Jadi, hari ini Along balik dengan Jeaz ye?”pintanya lalu menolak tubuhku lembut menuju ke keretanya.

“Tapi, kereta...”

“Esok Jeaz hantar Along pergi kerja. Lagipun ayah Along yang suruh Jeaz tengokkan Along tadi,” potongnya lalu membukakan pintu kereta untuk aku.

Mahu tidak mahu terpaksalah aku pulang bersamanya malam itu.

***

Mak menarik tanganku menuju ke sofa. Ada hal yang mahu dia bincangkan, katanya. Entah apa yang mak mahu bincangkan pada hujung minggu begini!

“Dalam sampul putih ni ada 10 orang calon suami cadangan Along,” ujar mak lalu menyerahkan sampul putih itu ke tanganku.

Ternganga sebentar aku.

“Apa mak? Calon suami cadangan?” Soalku mahu kepastian.

Mak mengangguk sebelum tersenyum nipis. Aku mengeluh kasar.

“Untuk apa ni mak? Pandai-pandai mak aje!” marahku dan meletakkan sampul itu di atas meja.

“Untuk apa? Untuk kaulah. Mak tak nak kejadian minggu lepas berulang lagi. Bahaya! Kalau Along kahwin, ada jugak orang yang boleh jagakan keselamatan Along,” jelas mak dengan air muka yang jelas 
risau.

Aku mencebik. Apa guna polis kat Malaysia ni kalau tak boleh jaga keselamatan aku?

“Poliskan ada untuk jaga keselamatan Along! Tak payahlah mak risau sangat sampai suruh kahwin bagai,” 
Aku tidak setuju dengan pandangan mak.

Kali ini mak pulak mencebik.

“Kau ingat polis tu ada masa banyak nak jaga keselamatan kau sorang? Banyak lagi tau kerja dia!” bangkang mak bersungguh.

“Habis mak ingat dengan berkahwin suami Along tu ada masalah nak selalu jagakan Along?”

“Dia mesti kena adakan masa jugak. Sebab kau bini dia! Faham?”

Aku diam. Hmm...betul jugak!

“Dah jangan nak bantah-bantah cakap mak. Kau pergi aje temujanji yang mak dah atur dengan 10 orang calon suami yang mak cadangkan untuk kau tu. Lepas jumpa bagitahu kat mak yang mana kau berkenan nak jadikan suami,” putus mak. Serius!

Aku mengangguk setuju. Hmmm...pergi ajelah. Tak berkenan, tolak. Habis cerita!

***

Temujanji yang diaturkan oleh mak aku jalani dengan penuh kesabaran. Sudah berpuluh-puluh kali aku mengeluh melihat karenah calon-calon suami cadangan aku ini. semuanya baik-baik belaka. Cuma aku rasa tidak selesa bila bersama mereka. Mungkin kerana ini kali pertama aku berjumpa dengan mereka. Tapi takpe, tinggal lagi seorang sahaja lagi!

Penat menunggu, aku letakkan kepala di atas meja dengan beralaskan kedua-dua lenganku. Selesa! Bila difikir-fikir ini semua tak akan terjadi kalau Zakuan tak buat  hal! Psiko betul! Macam manalah aku boleh tersangkut dengan dia dulu? Haih...

“Cik Imtiaz?”

Aku tidak mengangkat kepalaku kerana aku tahu ini mungkin calon terakhir suami cadangan untuk aku yang mak aturkan.

“Biar saya teka. Awak belum berpunya.  Suka  makan. Jarang kemas rumah. suka bola sepak. Jarang masak dan ada perniagaan sendiri. “ Aku membuat andaian rambang memandangkan itu semua adalah jawapan klise daripada calon-calon lepas!

Lama dia mendiamkan diri, aku bertindak mengangkat kepala. Tidak semena-mena dahi ini berkerut seribu. Lalu sampul putih yang mengandungi gambar calon suami aku itu aku capai dan belek satu persatu. Sah, lain dari dalam gambar! Tapi kenapa?

“Saya bakal berpunya. Memang suka makan. Selalu kemas rumah dan memasak, awak boleh tanya mama saya kalau awak sangsi. Perniagaan sendiri? Saya takde perniagaan sendiri tapi tetap ada kerjaya sendiri.” 

Dia membalas setiap satu andaian rambangku tadi dengan senyuman manis di bibir.

Aku hanya mampu tersengih.

“May i have a seat?” pintanya.

“Eh, duduklah Jeaz,” pelawaku.

Jeaz duduk. Dia nampak tenang dan selesa dengan temujanji ini. Tapi, kalau ikut gambar bukan dia yang sepatutnya aku jumpa. Mungkin dia lalu di sini dan nampak aku lalu datang untuk menyapa.

“Calon suami Along yang ke sepuluh tarik diri sebab dia jumpa makwe lama dia balik. So, i’m here to replace him and i’m really looking forward for this relation to succees,” terangnya masih lagi dengan wajah tenang.

“Hehehe...Jeaz ni main-main pulak.” Aku tertawa kecil kerana aku tahu dia sedang bergurau. Dan...aku harap dia betul-betul bergurau!

Jeaz menggeleng kepalanya.

“I’m dead serious!” jawabnya dengan muka yang tak main-main.

Okey...dia serius. Mak, tolong!

***

“Nak bie tolong sayang ke?”Soal Jeaz, menggoda. Baju di tanganku dibelek-beleknya.

Aku hanya senyum seraya menggeleng. Bie? Sayang? Hahaha...Korang jangan fikir yang bukan-bukan! Kami belum kahwin lagilah! Baru bertunang lebih kurang 3 bulan. Dia yang menggedik sangat nak panggil bie-sayang. Aku follow aje!

Walaupun, hampir 3 bulan menjadi tunangannya, aku masih tidak dapat mengenali dirinya dengan sepenuhnya. Misteri betul! Kadang-kala aku berfikir sendiri, kenapa dia nampak easy-going  dari jauh tapi bila aku makin merapati, ternyata dia lebih misteri dari dasarnya!

“Menung apa lagi yang?”Dia menggamit perhatianku.

“takde apa-apalah. Cuma risau sebab kita nak nikah lagi 2 bulan, barang-barang ada sikit lagi tak cari,”luahku, perlahan.

Dia mengangkat keningnya.

“Itu aje?  Bie ingatkan apalah sangat. Mama dengan  mak kan ada,”balasnya bersahaja.

“Memanglah. Tapi...”

“Takde tapi-tapi. Sekarang jom  kita pergi makan!” ajaknya tanpa sempat aku menghabiskan kata. 
Lenganku di tariknya ke salah sebuah restoran.

Beginilah dia bila aku cuba membincangkan persiapan perkahwinan kami. Agaknya dia serius atau tidak untuk berkahwin dengan aku? Kenapa aku rasa seperti terhegeh-hegeh ni?

***

Tinggal dua minggu lagi aku dan Jeaz bakal berumah tangga. Tapi dek kesibukkan aku menguruskan urusan perkahwinan, kami sudah semakin jarang berjumpa  walaupun rumah sebelah-menyebelah. Bila aku mencarinya di rumah, bakal mama mertua aku cakap Jeaz ada di rumahnya. Sibuk mengemas untuk persediaan aku masuk ke rumahnya.

Wah, nampaknya Jeaz betul-betul sudah bersedia nak kahwin, kan? Aku rasa nak kejutkan dialah! Agaknya dia marah tak kalau aku tiba-tiba muncul di hadapan rumahnya? Mestilah  tak, kan? Aku kan bakal isterinya. Tak salah aku nak melihat rumah yang bakal aku diami. Tak gitu?
Lalu dengan keyakinan dan rasa ingin tahu yang membuak-buak, aku menuju ke rumahnya. Rumah yang telah diberitahu oleh mamanya itu hanya mengambil masa 20 minit sahaja dari rumah orang tua kami. sampai sahaja di simpang rumahnya aku memperlahankan kelajuan kereta dan mula mencari nombor rumahnya.

Hampir 5 minit mataku meliar mencari nombor rumah Jeaz, pandanganku tertancap pada susuk tubuh itu yang sedang keluar dari Suzuki Swift berwarna biru gelap. Wajah lelaki itu tersenyum manis. Aku terus menukar gear dan menghampirinya. Kereta aku berhentikan tidak jauh dari rumahnya. Baru sahaja aku mahu keluar dari kereta, mata ini menangkap kelibat seorang wanita keluar dari kereta Suzuki Swift tadi dan datang untuk memeluk Jeaz!

Aku sentap! Tapi tidak untuk Jeaz. Wajah itu kelihatan sangat gembira menerima pelukan ketat-ketat dari perempuan itu. Tanpa membuang masa aku keluar daripada kereta dan menapak laju ke arah pasangan itu.

“Hmm...sweetnya korang! Peluk ketat-ketat! Berapa lama dah bercinta ni?” perliku bersama senyuman yang memang dibuat-buat.

Jeaz terkedu! Manakala perempuan yang memeluknya tadi pula memandang pelik padaku. Mungkin tidak tahu siapa aku pada Jeaz.

“Eh, lupa pulak nak kenalkan diri! Saya Imtiaz, tunang Jeaz! Eh, bukan! Bakal jadi bekas tunang!” ujarku selamba sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

Perempuan itu menjeling tajam tanpa menghulurkan tangan. Memang sombong! Bila aku memandang kea rah Jeaz pula, dia cepat-cepat memaut tangan lelaki itu.

“Imtiaz...listen to me,” pinta Jeaz mendatar. Tidak mesra seperti selalu.

“No! You listen to me! Majlis perkahwinan kita batal! Tak akan ada majlis! Faham?” tegasku dan  bergerak meninggalkannya.

Berkali-kali dia menyeru namaku tapi sikitpun aku tidak berpaling! Biarlah majlis perkahwinan ini tidak berlangsung! Biarlah aku dan keluarga menanggung malu kerana majlis yang tidak jadi ini. biarlah keluargaku dan Jeaz bermusuh! Asalkan hidup aku tidak musnah di tangan lelaki yang belum tentu tahu erti SETIA!

Di saat aku sudah memberi tapak dalam hatiku untuknya...bersedia untuk memberi dan menerima cinta untuknya...sanggup Jeaz hancurkan semua rasaku untuk dia!-

WAJAH mak dan ayah nampak sedang dilanda kerisauan. Terbang segala ayat mukadimah yang bermain dalam fikiran yang aku reka  untuk memujuk mak dan ayah membatalkan majlis perkahwinan aku dan Jeaz. Nampaknya belum sampai masanya aku mengkhabarkan berita itu pada mereka. Kalau aku memberitahu sekarang mahu serabut kepala mereka!

“Mak. Ayah. Kenapa muka ketat ni?”Soalku dan melabuhkan duduk. Mata ini leka memerhati gelagat ayah yang sibuk memegang telefon seolah-olah menanti panggilan daripada seseorang dan mak yang sudah siap dengan bagasi kecil di tepi sofa.

“Pak Anjang kau yang duduk kat kedah tu tengah sakit. Nazak katanya. Itu yang mak dengan ayah risau ni. Ayah tunggu diorang call tapi sampai sekarang tak call-call lagi,” beritahu ayah risau.

“Sakit? sakit apa yah?”

“Biasalah sakit orang tua,” sambut mak.

Aku mengangguk.

“Ini mak dengan ayah takde kat rumah, Along tinggal dengan Aunty Sari ya? Bukan apa mak takut kalau jadi apa-apa kat Along. Along tu darah manis. Nanti jadi apa-apa susah,”ujar mak lalu menepuk tanganku.

“Eh, mak tak payahlah! Along boleh duduk soranglah. Along bukan kecil lagi,” bantahku tidak setuju. Bukan itu yang jadi masalahnya. Masalahnya aku tak mahu melihat muka Jeaz walaupun untuk sehari!

“Alah, Along jangan risaulah. Uncle Jay dengan Aunty Sari tak kisahlah. lagipun Uncle Jay dah suruh Jeaz duduk rumah dia sementara nak tunggu hari perkahwinan korang. Mak dan ayah pergi sana dua tiga hari aje,” tambah mak.

Bila aku mahu berkata, telefon bimbit ayah tiba-tiba berdering. Ayah menjawab untuk beberapa minit sebelum menekan butan merah.

“Jom kita gerak sekarang”

“Okey. Along ingat pesan mak tu!” pesan mak dan berlalu ke pintu bersama ayah.

“Kalau ada apa-apa hal telefon ayah. Jaga diri elok-elok!” Kali ini ayah pula menitipkan pesanannya padaku.

Aku hanya mengangguk perlahan. Aduh, macam mana ni? Masa bila aku nak cakap?

AKU sudah bertekad! Walaupun tanpa berbincang dengan mak dan ayah, aku tetap akan membatalkan perkahwinan aku dan Jeaz! Walau apa pun risikonya! Ini tentang masa depanku! Tanpa membuang masa, aku segera merapati Aunty Sari yang sedang sibuk membelek tanaman orkednya.

“Aunty?” Tegurku lalu melabuhkan duduk di bangku batu.

Aunty Sari memandang seraya tersenyum manis.

“Hei? Berapa kali mama nak cakap? Panggil mamalah. Kurang dua minggu lagi Imtiaz nak kahwin dengan Jeaz. Nanti dah kahwin tergeliat pulak lidah tu nak panggil mama,” usiknya.

Aku tersenyum nipis. Aduh, Aunty Sari! Kenapalah Aunty baik sangat? Susahlah saya nak beritahu Aunty!

“Err...Aunty eh mama, Imtiaz nak ca..cak...cakap sesuatu boleh?”Aku membuka kata.
Aunty Sari senyum lagi.

“Ini kenapa tergagap-gagap? Imtiaz ada buat salah ya?”

“Eh, bukan! Bukan macam tu.” Aku sudah menggaru-garu kepala.

“Habis tu?”

Baru sahaja aku mahu membuka mulut, kereta Jeaz sudah menjalar masuk ke perkarangan rumah. Alamak! Apasal pulak mamat ni balik hari ni? Mesti Aunty Sari panggil balik!

“Mama!”tegur Jeaz lalu menyalami Aunty Sari. Mata itu dikalihkan ke arahku.

Cepat-cepat aku mengalihkan pandangan. Benci betul!

“Eh, jomlah kita masuk. Mama dah buatkan makan petang untuk kita!” ajak Aunty Sari lalu menarik tanganku  masuk ke dalam rumah dan di ikuti anak lelaki kesayangannya itu!

Malamnya, aku menolong Aunty Sari menyediakan makan malam. Jeaz dan Uncle Jay pula sedang menonton televisyen di ruang tamu sementara menunggu kami menyediakan makanan. Bila sudah siap menghidangkan makanan, Aunty Sari ke ruang tamu dan memanggil kedua beranak itu.

“Hmmm...bau sedap! Imtiaz ke yang masak semua ni?” Tanya Uncle Jay lalu duduk di kerusi.

“En, mana ada! Imtiaz tolong sikit-sikit aje. Ini semua mama buat,”nafiku lalu menyengih.

“Baguslah sayang tolong mama kat dapur. Nanti lagi meningkat skill memasak sayang. Betul tak cakap bie?” Jeaz melemparkan pertanyaannya padaku.

Aku yang baru nak menyuap nasi ke dalam mulut jadi  tergendala sekejap.

“Hah? Hmm...”Itu sahaja yang keluar dari mulutku.

“Alah, jangan risau. Mama ada nak bantu Imtiaz masak lepas korang berdua kahwin. Mama pun masa mula-mula kahwin dengan abah pun macam tu jugak,” ujar mama.

Aku hanya mengangguk. Itu tak akan mungkin terjadi Aunty Sari! Tak mungkin! Getus hatiku.

MATA yang sudah mengantuk memaksaku tidur dengan lebih awal. Ini mesti penangan masakan Aunty Sari! Sedap betul! Kalau aku betul-betul ditakdirkan jadi menantunya, mahu gemuk badan aku ni. Tapi aku pasti itu semua tidak mungkin terjadi. Lambat laun aku akan memberitahu mereka juga tentang perkahwinan yang bakal terbatal ini. Antara cepat atau lambat...

***

Perut yang tiba-tiba sahaja memulas, menyedarkan aku dari tidur yang lena. Mata yang masih mengantuk terpaksa aku buka demi ‘tuntuan alam’ ini. hei, perut ni masa sedap tidur jugak dia nak buat hal! Marah hatiku dan mengangkat tubuh dari perbaringan.

Namun, kerana ada sesuatu menimpaku, aku tidak boleh mengangkat badan daripada bangun. Lalu dalam kesuraman cahaya, aku memfokuskan pandanganku.

“Ya ALLAH! Jeaz!” Aku terjerit kecil seraya menolak kakinya yang menindih kakiku.

Lelaki itu segera terjaga dek jeritan kecilku tadi. Dia pantas menekup mulutku.

“Diamlah! Awak nak mama dengan abah saya dengar ke?” marahnya bila aku masih tidak berhenti meronta.

Bila aku sudah bertenang dia melepaskan tangannya yang masih dimulutku.

“Hei, kau memang sengaja buat semua ni kan?” Aku menyoal kasar sebaik sahaja dia melepaskan tangannya dari mulutku. Memang tak guna jantan ni! Hilang terus rasa nak ‘membuang’.

Dia berdehem beberapa kali sebelum menyandar tenang di kepala katil.

“Memang! Memang sengaja pun!”balasnya, menyakitkan hatiku.

“Aku tetap nak batalkan perkahwinan ni!”putusku lalu berdiri. Mata aku jatuhkan pada badan sendiri. Mujur pakaian masih elok melekap dibadanku. Ini meyakinkan aku bahawa tiada apa yang terjadi malam tadi.

“Walaupun awak dah tak suci macam ni?” Sarkastik dia menyoalku.

Aku mendengus kasar.

“Jangan nak kelentong akulah! Malam tadi tak ada jadi apa-apa, kan?”

Dia ketawa sinis.

“Jangan yakin sangat sayang!”Sindirnya lalu bangun dari katil dan menghampiriku. Rambutku yang 
panjang mengurai melepasi bahu diselaknya sebelum menekan permukaan leherku.

Tidak membuang masa, aku menepis tangan lelaki gatal itu! Tak sangka dia masih nak mengambil kesempatan walaupun tertangkap macam ni! Dasar buaya!

“Harap awak pandai-pandailah cover tempat merah kat leher awak tu ya?” pesannya dan menapak ke pintu.

Aku membulatkan mata dan menekan suis lampu sebelum berlalu ke cermin. Jelas ada sedikit tanda merah di situ. Tapi tak nampak macam lovebite pun. Nampak macam kesan kena gigit nyamuk adalah! Penipu!

“Oh, ya! Kurang dua minggu lagi kita bernikah. Kalau awak berani batalkan perkahwinan kita, saya akan bongkarkan peristiwa malam tadi!” ugutnya lalu memboloskan diri dari  ruangan kamar.

Terduduk aku mendengarnya. Air mata perlahan menuruni permukaan pipiku.Apa muslihat Jeaz sebenarnya dengan memerangkap aku begini? Atas dasar apa dia melakukan semua ini? kalau betul dia mahu meneruskan perkahwinan ini, baiklah! Tapi aku akan pastikan hidup dia tak akan bahagia! He started the game. I’ll finish the game!  Ini dendamku!

***
Ucapan tahniah dan selamat yang bertali arus daripada kaum keluarga mahupun sahabat handai hanya menjadi santapan telingaku untuk masa yang singkat. Masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Langsung tak melekat dalam fikiran apatah lagi hati!

Sepandai manapun Jeaz berdrama, aku juga tidak kurang hebatnya! Sedaya upaya aku mengikut rentak permainan buaya darat ini. aku mahu buktikan padanya bahawa aku tidaklah senaif yang dia sangka. Aku tidak mungkin tertipu lagi untuk kali kesekiannya.

Memandangkan rumah keluarga kami sebelah menyebelah, maka majlis hanya berlangsung sekali. Malah tiada istilah bermalam di rumah mana-mana pihak. Kedua orang tua aku dan Jeaz sepakat untuk membenarkan kami menginap selama 3 hari 2 malam di  Hotel Seri Malaysia di Terengganu.

“Aku tidur dalam bilik ni. Kau pandai-pandailah cari bilik lain,” ujarku sebaik sahaja masuk ke dalam bilik yang sudah ditempah untuk bulan madu aku dan Jeaz oleh orang tua kami.

Jeaz senyum sebelum mampir padaku. Pinggang yang tak berapa nak ramping ini di sauknya sekali ke dalam pelukannya.

“Kita kan tengah honeymoon ni sayang. Tak kan sayang sanggup tengok bie tidur sorang-sorang. Macam mana nak raikan malam pertama kita kalau tidur asing-asing?” Pintanya dengan suara mengada.

Tangan yang melingkari pinggangku segera aku tolak dengan kasar sebelum berhadapan memandangnya tajam.

“Malam pertama? Eh, setahu aku kita dah sambut malam pertama sebelum kita kahwin. Kurang dua minggu sebelum kita kahwin lagi kan? Nak malam pertama apa lagi?” sindirku kasar sebelum melemparkan senyuman sinis padanya.

Baju-baju yang ada dalam bagasi aku keluarkan dan gantung ke dalam almari yang disediakan. Sengaja buat tidak kisah dengan kehadirannya. Lama dia memerhatikan tingkahku sehinggalah dia sudah hilang sabar dan mencampakkan baju-baju yang sudah aku letakkan ke dalam almari ke lantai.

Kening aku angkat sebelah. Mencabar dalam diam. Sikit pun aku tidak gentar dengan amukannya.

“Aku suami! Aku boleh minta hak aku bila saje aku nak!” marahnya lalu menolak badanku jatuh ke atas katil.

 Sebaik sahaja lelaki itu mendekat, aku pantas bangun namun tetap tidak Berjaya bilamana dia sudah mengunci kakiku dengan kakinya. Lama kami saling bergelut. Aku dengan tujuanku untuk melepaskan diri dan dia dengan tujuannya mahu memuaskan nafsu.

Penat bergelut aku kembali bertenang membiarkan dia melakukan sesuka hatinya untuk beberapa saat. Lelaki seperti Jeaz tak akan berganjak dari keputusannya. Mahu tak mahu aku hanya boleh menggoncang 
emosinya sahaja.

“Kau boleh ambil aku secara paksa banyak kali pun. Tapi bukan hati aku!”kataku perlahan. Menyerang psikologinya dalam diam.

Kucupan yang baru menjalar di telinga terhenti dek kata-kataku tadi. Terus sahaja dia mengalihkan badannya dari badanku dan kembali menyandar di kepala katil.

Aku menarik nafas kelegaan dan segera mengengsot menjauhinya.

“Kisah kita akan jadi banyak konflik, kan?”Soalnya bersama senyuman pahit setelah agak lama mendiamkan diri.

Senyuman sinis aku hadiahkan padanya.

“Kisah kita tak sepatutnya ada. Tak sepatutnya ada Jeaz dan Imtiaz dalam kisah ni! Tapi kau yang mulakan dan aku akan tamatkannya,”luahku sebak dan menapak perlahan ke bilik mandi tanpa menunggu dia membalasnya.


‘***

Tarian  salah sebuah kumpulan K-pop yang aku minati, aku ikut dengan penuh dedikasi. Habis berpeluh satu badan! Tapi itulah yang aku mahukan. Tak perlu keluar berjoging bagai. Cuma duduk depan tv dan ikut tarian pun dah cukup bagi aku. Hilang tekanan kerja mahupun tekanan berhadapan dengan Jeaz!

“Saya lapar!”

Aku berpaling memandang suara yang tiba-tiba bertandang di belakangku. Lelaki itu duduk sambil merenung ke arahku.

“Berapa lama dah kau duduk situ?” Aku menyoalnya dengan suara mendatar. Botol yang mengandungi minuman mineral itu aku capai dan meneguknya dengan rakus.

“Lama jugaklah. Setengah jam,” balasnya, perlahan.

Aku menghela nafas. Penat!

“Saya lapar. Nak makan. Awak tolong masakan?” pintanya setelah beberapa ketika mendiamkan diri lalu menekan perut.

“Malas!” jawabku. Mudah!

“Tolonglah. Saya lapar sangat ni,” rayunya lagi.

Aku pandang dia. Bila aku tenung dengan teliti, barulah aku perasan yang raut wajah Jeaz sebenarnya sudah pucat. Tanda tidak sihat! Dengan sedikit kerisauan, aku menapak ke arahnya.

“Kau okey tak ni?”

Dia geleng. Tak menunggu balasan yang seterusnya, aku meraba dahi serta lehernya. Panas!

“Eh, kau demam ni! Jom aku bawa ke klinik,” kataku cemas dan menarik tangannya untuk bangun.

Namun, sekali lagi dia menggeleng.

“Demam sikit aje. Lepas makan ubat okeylah,” dalihnya.

“Aku tak kira kita pergi hospital jugak!” bentakku dengan air muka yang memerah. Heish, geram betul!

“Tak nak!”

“Kau nikan nama aje doctor. Tapi takut klinik apasal?” marahku.

“Doktor haiwan okey! Bukan doctor manusia!” balasnya juga nampak tidak berpuas hati.

Tengok! Ada hati nak menjawab masa sakit-sakit macam ni!

“Jomlah kita ke klinik,” pujukku, kali ini dengan suara rendah pula.

Dia mendengus kasar.

“I don’t need a doctor! What i need is my wife!” jeritnya sudah hilang sabar dan kemudiannya berlalu ke tingkat atas. Dia menghempas kuat pintu. Tanda marah!

Tidak mengambil masa yang lama, aku terus mendaki tangga ke biliknya. Masuk sahaja ke biliknya, pandangan ini terus tertancap pada susuk badan suamiku itu yang sudah berkelubung dalam selimut. 

Melihat tingkap bilik yang terbuka luas, aku segera menutupnya memandangkan hari juga kelihatan mendung. Cuma tunggu masa untuk hujan.

“Merajuk aje! Susah kalau kahwin dengan anak lelaki bongsu ni!” rungutku dengan suara rendah sebelum  mengambil tuala kecil untuk dibasahkan.

Badan itu aku sentuh sedikit. Nampaknya dia betul-betul sudah lena.  Selimutnya aku tarik sehingga paras dada dan tuala kecil yang aku basahkan tadi aku letakkan di atas dahinya. Merajuk sampai tertidur! Bagus jugak! Bolehlah aku ke dapur dan memasak. Selepas itu boleh bagi dia ubat. Karang demam melarat aku jugak yang kena tuduh tak pandai jaga suami!

MANGKUK yang berisi bubur ayam dan segelas air suam aku letakkan ke dalam dulang dan bergerak ke tingkat atas, ke bilik Jeaz. Sebaik sahaja melabuhkan punggung di sebelahnya, aku mengambil tuala basah di dahinya dan meletakkannya di sisi katil meja.

“Jeaz bangun!” Aku menggerakkan tubuhnya sedikit.

Dia perlahan-lahan membuka kelopak matanya dan beberapa saat kemudian mengiring membelakangiku.

“Bangun. Makan bubur ni. Lepas tu makan ubat,” arahku dengan suara yang tidak mesra. Bukan tidak risau tapi biarlah kerisauan itu aku sembunyikan disebalik sifat tidak mesraku. Tidak mahu dia mengambil kesempatan di atas kebaikanku lagi.

Dia masih diam tidak berkutik. Nampaknya ada orang melancarkan perang dingin hari ini!

“Bangunlah. Makan ubat. Sakit melarat nanti saya tak nak bertanggungjawab!”tambahku lagi bila dia masih tidak beriak.

“Biarlah! Mama saya ada. Saya kan anak bongsu kesayangan. Mesti  mama sanggup datang jaga saya. Bukan macam orang tu!” tukasnya dalam masa yang sama memerliku.

Aku membuat muka. Dasar anak mak!

“Okeylah anak mama...makanan, minuman dengan ubat ada kat sini. Pandai-pandailah awak makan ya! Saya keluar dulu,” pamitku malas nak berlama lagi di dalam biliknya.

Baru nak menapak, lenganku sudah ditariknya duduk di katil. Wajah itu merenung sayu padaku. Eh, tadi beria sangat tak kisah! Mama adalah! Apalah!Sekarang tarik-tarik tangan orang pulak.

“Nak suap!” rengeknya manja. Buat aku nak kasi penyepak aje!

“Hei, makan sendiri tak boleh ke?” marahku lalu berdiri bercekak pinggang.

“Awak tak suap saya bagitahu mama!” ugutnya pula.

Mangkuk ni kan! Demam-demam pun boleh ugut orang ya. Siap kau nanti. Gumam hatiku geram lalu kembali duduk dan mencapai mangku berisi bubur lantas menyumbat makanan ke mulutnya.

“Hei, perlahanlah sikit. Nak bunuh orang ke?” Dia memarahiku kali ini dengan nada suara yang sudah sumbang.

Aku hanya membuat muka kosong dan kembali menyuapnya sehinggalah bubur itu luak separuh.

“Dah lah. Tolong hulurkan ubat,” pintanya dalam nada merajuk.

Paket ubat segera aku hulurkan padanya.

“Okeylah. Aku keluar dulu,” pamitku sebaik sahaja dia selesai menelan ubat.

Dia hanya mengangguk dan kembali berbaring sementara aku terus mengangkat kaki, keluar dari kamarnya itu.

JAM di dinding aku kerling seketika. Baru pukul 6.00 petang. Tapi hujan yang lebat beserta guruh menjadikan kawasan sekeliling seperti pukul tujuh malam. Menggigil badanku menahan sejuk. Aku yang sihat walafiat pun rasa sejuk sampai ke tulang hitam macam manalah keadaan orang sakit masa hujan-hujan macam ni ya? Hmm...orang sakit? Alamak Jeaz!

Bergegas aku menapak ke bilik Jeaz. Sebaik sahaja pintunya aku buka, pandangan ini tertancap pada tubuh lelaki itu yang sedang menahan sejuk. Siap boleh dengar giginya bergetar lagi! Lantas suis penghawa dingin aku tutup dan merapatinya.

Baru sahaja aku nak menarik selimut menutup badannya, dia tiba-tiba memegang lenganku bersama renungan yang dalam. Lama kami saling merenung antara satu sama lain sehinggalah bunyi guruh yang kuat menampang pendengaranku. Spontan aku terduduk di birai katil.

“Just trust me once again, will you?”luahnya perlahan dengan suara lirih.Aku cuba melepaskan lenganku dari tangannya. Tidak selesa.

“Eh, ka...kau dah sihat ke?” dalihku lalu menyentuh dahi dan lehernya. Nampak macam dah okey.

Dia tidak menjawab sebaliknya menarik bahuku rapat dengannya. Bila wajah itu mendekat, aku berpaling. 

Aku dapat mendengar keluhan kasar daripada lelaki itu.

“Demam ni tak ada apa-apa kalau nak dibandingkan sakit kat sini,” ujarnya lalu membawa telapak tanganku ke dadanya.

Tanganku tarik semula.

“Yang sakit kat sini bukan kau tapi aku. Sakit ditipu. Dicurangi,” cantasku dengan air mata yang sudah bertakung. Sebak.

Dia mendengus kasar dan menggugah bahuku.

“Semua tu kisah lama. Semua orang buat silap!”balasnya, geram.

Aku senyum mengejek. Senangkan kalau bercakap?

“Semua orang boleh buat silap tapi bukan kesilapan yang macam kau buat. Aku paling pantang dengan lelaki yang main kayu tiga! Kau pun dua kali lima aje dengan Zakuan!” jeritku lantas berdiri dengan nafas yang sudah tidak teratur.

Jeaz menumbuk permukaan katil. Dia melepaskan geram di situ. Dalam hati aku mengutuknya, tak padan dengan tak sihat!

“Habis apa awak nak saya buat? Apa?” bentaknya kuat dan bangun menghadap aku.

Aku meneguk air liur . Sedikit takut sebenarnya. Tapi sakit hati itu melebihi segalanya. Biarlah jika dia mahu berkasar pun! Aku akan berdiri di sini dan menentangnya habis-habisan. Tekadku.

“Apa aku nak? Kau tanya apa aku nak dari kau?” Soalku dengan sarkastiknya.

Dia memandang tepat ke mataku. Tidak mengangguk mahupun membalas kata. Betul-betul mahu menunggu jawapan dariku.

“Aku nak kau lepaskan aku. Ceraikan aku!” sambungku dengan menekankan perkataan ‘cerai’ itu. Biar dia sedar betapa aku serius untuk ‘membuang’ lelaki bermain kayu tiga sepertinya dari hidupku!

Dia tersentak! Lama dia memandang ke dalam anak mataku. Seolah-olah bertanya dalam hati sama ada tekadkah aku untuk lari dari kehidupannya. Tapi satu perkara yang dia perlu tahu bahawa aku bukan hanya setakat mahu lari malah sudah bersedia untuk lenyap dari hidupnya. Sudah lama bersedia untuk melepaskan statusku sebagai isteri kepada Jeaz Jazaril kerana aku tidak rela nasibku dipertaruhkan pada lelaki curang!

“Baiklah!” Akhirnya dia mengeluarkan sepatah perkataan.

Aku hampir menarik nafas kelegaan tapi tidak kesampaian demi mendengar setiap patah ayat seterusnya yang keluar dari mulut lelaki itu yang berbunyi...

“Saya boleh lepaskan awak tapi dengan syarat...”Jeaz merapatkan bibirnya ditelingaku. Berbisik.

Kali ini aku pula yang tersentak!

***

Zakuan datang menemuiku di pejabat. Raut wajah yang kusam dan tidak bermaya itu menarik perhatianku. Tapi aku langsung tidak berminat untuk bertanya kerana aku sendiri ada perkara yang perlu dirisaukan dan diambil perhatian lebih daripada untuk memikirkan lelaki itu!

“Apa tujuan kau datang sini? Kau tak reti bahasa ya? Kan aku cakap aku dah kahwin! Kau nak apa lagi?” marahku sambil bercekak pinggang.

Dia diam menunduk untuk seketika sebelum bertindak membuka mulutnya.

“Marissa nak jumpa awak sebelum dia melahirkan bayi kami. Tolonglah jumpa dia,” rayunya dengan suara yang sudah bertukar sebak.

Ini berita yang sangat mengejutkan aku. Simpati pun ada. Tapi...demi mengenangkan apa yang pernah mereka lakukan dulu, aku jadi berat hati walau untuk mengangguk sekalipun.

“So, apa kena mengena dengan aku?”provokku setelah lama mendiamkan diri.

“Tolonglah jumpa dia. Saya merayu sangat...”pinta Zakuan, lirih.

Otak ini gigih berfikir sama ada mahu menurutnya atau tidak. Patutkah aku memberi peluang dan ruang kemaafan pada mereka?

“Tolonglah...sekali ini aje...”

***

Keinsafan boleh datang dalam pelbagai bentuk mahupun pendekatan. Melihat Marissa yang menahan kesakitan melahirkan cukup menjentik rasa keinsafan dalam hatiku meskipun dia pernah melakukan kesilapan padaku.

“Ma..ma...maafkan aku. Tol...tolong maafkan aku...”Dengan susahnya Marissa meminta kemaafan dariku. Wajah itu dibasahi titisan peluh kesakitan.

Sekeras manapun hatiku cuba untuk mempedulikan maaf yang dipinta, tapi naluri ihsan sebagai manusia itu melebihi segala-galanya. Maaf mungkin tiada harga tapi itu yang membuat hati kita lega. Lantas dengan segala rasa dendam yang aku leburkan, kepala aku jatuhkan beberapa kali. Memaafkan dia seikhlas hatiku...

Sebaik sahaja aku memberi kemaafan, Marissa akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir tanpa sempat melihat bayi lelakinya. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah mensedekahkan Al-Fatihah padanya kerana urusan maut memang bukan dalam kemampuanku.  Kita manusia wajib redha dengan ketentuan-Nya...

SEMINGGU selepas pemergian Marissa, aku sibuk membantu Zakuan menyesuaikan dirinya dengan kehadiran bayi lelakinya sehingga terlupa dengan kewujudan Jeaz. Masa aku lebih diberikan kepada dua beranak itu berbanding suamiku sendiri. Namun, aku tidak rasa serba salah langsung, kerana berada jauh dari Jeaz adalah matlamatku!

“Seronok?”

Aku mengalihkan pandangan pada pemilik suara yang sangat aku kenali itu.

“Apa yang seronok?”Aku bertanya semula. Tidak mengerti dengan pertanyaan yang berbaur sindiran itu.

Dia tidak menjawab sebaliknya melabuhkan punggungnya di sofa lalu memeluk tubuhnya. Mata itu tajam merenungku. Seolah-olah akulah pesalah di sini!

“Seronok dapat berdua-duan dengan kekasih lama? Sampai lupa rumah. Hebat betul jantan tu!”tambahnya dengan niat menyakitkan hatiku.

Tubuh aku angkat. Jelingan tajam aku berikan percuma untuk dia. Sepatutnya soalan begitulah yang aku tanyakan padanya sewaktu dia tertangkap berpelukkan dengan kekasihnya dahulu.

“Jangan masuk campur urusan aku. Selama ini aku tak pernah ganggu hidup kau. Jadi kau jangan ganggu hidup aku. Ada aku larang kau keluar dengan mana-mana perempuan? Ada?” provokku kasar dan ingin berlalu ke tingkat atas.

Entah bila dia bangun, sedar-sedar sahaja tanganku sudah ditarik kasar sebelum menolak badanku jatuh ke sofa. Wajah itu bengis sungguh!

“Aku tak suka kau keluar dengan jantan tu! Walau sekalipun, kau jangan nak mengada keluar dengan dia! Faham?” marahnya sehingga menampakkan urat-urat di muka serta lehernya.

Aku  mendengus kasar.

“Aku tolong jaga anak dia. Bukan saje-saje aku nak jumpa Zakuan. Yang kau nak emosi sangat ni kenapa?”

“Jaga anak?”Jeaz seakan tidak percaya dengan alasanku.

“Kalau kau nak anak...nak jaga anak... Aku boleh bagilah! Tak payah nak jaga anak orang lain,”

Merah padam mukaku mendengarnya.

“Huh, whatever!” dengusku kasar bersama rasa menyampah yang melampau!

“I really mean it Imtiaz. Lagi pun hari tu...”

“Stop! Aku tak nak dengar!” pintasku lalu bangun dan menolak tubuhnya kasar ke sofa. Kemudian aku berlari anak naik ke tangga atas, meninggalkan Jeaz dengan ketawa penuh maknanya.

Bagiku peristiwa itu tak sepatutnya dia bangkitkan. Buat hatiku makin sakit dan rasa takut dengan segala kemungkinan yang bakal terjadi. Semoga apa yang aku fikir tidak terjadi.

***

Lewat petang itu Zakuan datang ke rumahku dengan muka yang muram. Dalam gendongannya ada Zarith yang sedang menangis kuat.

“Kenapa ni?” Tanyaku risau sambil menyua tangan, mahu mengambil Zarith.

Zakuan segera  menyerahkan anak lelakinya itu ke dalam gendonganku. Kepalanya digaru-garu. Wajah itu kusut masai. Seperti orang tak cukup rehat!

“Zarith asyik menagis dari tadi. Saya dah cuba bagi susu, tapi dia tetap menangis lagi. Saya tak tahu nak buat apa,” keluhnya lalu melabuhkan punggung di kerusi batu di taman mini milik Jeaz.

“Mungkin perut dia kembung. Takpe awak duduk sini dulu saya masuk rumah tengok Zarith,”beritahuku lalu membawa bayi lelaki itu ke dalam rumah, meninggalkan Zakuan di luar.      

Hampir limabelas minit berlalu, tangisan Zarith masih lagi nyaring. Aku sudah kehabisan idea bagaimana untuk menenangkan si kecil, Zarith. Aku tahu Zakuan di luar juga sudah mundar-mandir keresahan sehingga dia aku lihat menapak masuk kedalam rumahku.

“Zarith tak okey lagi ke Imtiaz?” Tanyanya risau sebelum mendekati aku yang sedang duduk elok di sofa sambil memangku Zarith. Melihat dia merapatiku, hati ini mula dibelenggu kerisauan memandangkan kami Cuma berdua sahaja di dalam rumah tanpa kehadiran mahramku iaitu Jeaz.

“Saya dah sapu minyak kat perut dengan telapak kaki Zarith tapi dia masih menangis,” terangku dengan riak muka yang tidak selesa. Ingin menyuruh Zakuan keluar semula, aku tidak sanggup pula bila melihat wajah itu yang semakin risau. Tidak langsung nampak seperti berniat jahat. Akhirnya aku mendiamkan diri sahaja.

Zakuan yang mendengar segera menundukkan sedikit badannya untuk mengambil bayi lelakinya itu yang berada dalam pangkuanku. Tapi belum sempat dia mengambilnya, suara Jeaz bergema melaungkan namanya. Serta merta tangisan Zarith berhenti!

“Zakuan!”

Aku memalingkan kepala ke arah belakang. Terkedu sebentar aku melihat dia sudah pulang. Dia  berada betul-betul berada di muka pintu dengan air muka yang merah padam menahan marah!

Tidak membuang masa, Jeaz meluru ke arah Zakuan dan melayangkan penumbuknya di muka lelaki itu. Terduduk Zakuan menerima tumbukan padu dari Jeaz. Melihat Jeaz yang bagai orang dirasuk, aku segera bangun sambil memangku Zarith dan melangkah merapati Jeaz dan Zakuan.

“Berhenti!” arahku dengan suara sedikit keras. Tidak mahu mengejutkan Zarith yang masih terjaga.

Jeaz menikam anak mataku dengan pandangannya yang tajam. Nafasnya menderu laju. Nampak sangat marah! tapi aku entah mengapa rasa biasa. Seolah-olah aku tidak kisah tertangkap dalam cara begini oleh Jeaz walau pada mulanya aku sangat risau perkara ini terjadi. Mungkin kerana dia juga pernah tertangkap begini oleh aku sebelum kami berkahwin dulu. Jadi, adil dan saksamalah! Kan?

“Berhenti? Awak suruh saya berhenti bila ada jantan lain masuk rumah saya. Berdua-duaan dengan isteri saya dan hampir melakukan perkara yang tidak senonoh. Awak suruh saya berhenti?” tekan Jeaz dengan suara yang sudah melantun tinggi.

Aku mendengus kasar demi mendengar kata-kata yang diluahkan Jeaz. Ya. Memang salah aku membiarkan Zakuan masuk ke dalam rumah. Tapi aku yakin Zakuan tidak berniat jahat. Lelaki itu Cuma merisaukan bayinya sahaja sebab itulah dia terlupa bahawa dia sudah bertindak tidak wajar dengan memasuki rumahku semasa ketiadaan mahramku.

“Jeaz, kami tak buat apa-apa. Saya Cuma nak ambil anak saya tadi. Anak saya menangis tak henti-henti. Itu yang saya minta tolong Imtiaz,” celah Zakuan memberi penjelasan.

“Damn it! Nak ambil anak kau ke nak ambil kesempatan pada bini aku? Dah jauh mana dah kau bermesra dengan bini aku ni?” sindir Jeaz, kasar.

“Jeaz!” Jeritku kuat. Lantas Zarith yang berada dalam dukungan, aku berikan semula pada Zakuan. Cepat-cepat Zakuan mengambil bayi lelakinya itu dan memujuk bila Zarith kembali menangis.

“Zakuan, awak balik dulu. Saya ada hal dengan Jeaz,” suruhku  senada. Sedaya upaya aku menahan rasa amarah yang terbuku di dada.

Zakuan mengangguk dan menapak ke pintu.

“Sekejap!” tahan Jeaz pada Zakuan. Segera Zakuan berpaling dan memandang suamiku itu.

Aku memandang pelik ke arah Jeaz. Apa lagi yang dia nak cari pasal sangat ni!

“Bersaksikan kau Zakuan, aku Jeaz Jazaril bin Jamsari ceraikan Imtiaz binti Hussien dengan talak satu,”lafaz Jeaz sambil merenung sayu ke mataku.

Zakuan tergamam. Aku kelu.

***

2 tahun kemudian...

Orang kata...kesilapan boleh dibuat hari-hari. Tapi nak betulkan kesilapan makan masa lebih dari sehari malah bertahun lamanya.

“Mama kita kat mana?” Soal Zarith, hairan sebaik sahaja aku memberhentikan kereta di hadapan rumah orang tuaku. Ehan yang masih nyenyak tidur di baby seat di sebelah kiri tempat pemandu aku ambil.

“Ini rumah atok dengan nenek. Mama nak jumpa atok dengan nenek. Ayith nak jumpa atok dengan nenek tak?” Lembut aku menyoal anak lelaki Zakuan yang sudah berusia tiga tahun itu.

“Nak!” jawabnya pantas seraya membuka pintu kereta dan keluar. Aku pula segera mendukung Ehan yang masih tidur dan membuka pintu kereta.

Loceng rumah aku tekan beberapa kali sambil memandang ke sebelah kanan rumah orang tuaku ini. rumah bekas mertuaku. Rumah itu masih seperti dulu. Tiada apa yang berubah. Hanya hubungan antara kami sahaja yang berubah.

“Imtiaz!” seru mak mengejutkan aku dari lamunan. Cepat-cepat aku kalihkan pandangan ini ke muka mak diikuti wajah ayah yang turut keluar bersama mak.

Pelukan erat dari mak dan ayah hampir menitiskan air mataku. Hampir dua tahun aku tidak menjejakkan kaki ke rumah orang tuaku ini sebaik sahaja aku sah bercerai dengan Jeaz. Aku tidak tahu mengapa aku yang harus membawa diri jauh dari sini. Pada mak dan ayah, aku katakan bahawa aku perlukan masa dan telah ke suatu tempat untuk menyambung pelajaranku supaya mereka tak tertanya-tanya dan melihat sisi terluka hati ini.

Tangisan Ehan yang terjaga membangunkan aku dari kisah semalam. Segera aku memujuk pengarang jantungku ini. Bila mak merenungku penuh tanda tanya pada Ehan, aku tahu hati tua itu sudah jumpa jawapannya.

“Mak. Ayah. Ini anak Along ,Zarith dan Ehan.” Aku memperkenalkan Zarith dan Ehan.

Ayah dan mak saling berpandangan. Hairan. Namun tidak pula mereka bertanya apa-apa. Mungkin mereka risau kalau-kalau aku bakal lari lagi seperti dua tahun lepas jika mereka terlebih soal tentang Zarith dan Ehan.

“Eh, jomlah masuk Along. Jom Zarith ikut atok masuk rumah,” ajak ayah lalu menarik tangan Zarith masuk ke dalam rumah.

Aku mengangguk lalu menapak masuk bersama mak.

MALAM itu, mak berhempas pulas bertanyakan soal kewujudan Zarith dan Ehan dalam hidupku. Tidak tahan dengan desakkan mak, aku akhirnya terpaksa membuka mulut kerana hendak menipu, aku tidak sanggup apatah lagi dengan orang yang sudah membawa aku ke dunia.

“Kalau Along tak kahwin lagi dan Zarith pulak anak Zakuan dengan arwah Marissa. Jadi siapa Ehan? Siapa ibu bapa kandungnya?”

Tidak sempat aku mahu memberi jawapan, tangisan Ehan sudah kedengaran. Mata aku kerling ke     arah jam di dinding. Sudah tiba masanya Ehan menyusu. Lantas Ehan yang sedang baring di atas katil aku ambil dan pangku diribaan  sebelum menarik bajuku sedikit lalu menyusukannya.

Mak terpempan melihat kelakuanku tadi.

“Ehan...Ehan...anak...”Tergagap-gagap mak memberi jawapan.

“Jehan Jazaril bin Jeaz Jazaril. Anak Along dengan Jeaz. Anak yang Jeaz tak tahupun kewujudannya,”terangku pada mak.

“Ya ALLAH Along! Kenapa tak beritahu? Kenapa rahsiakan semua ni? Kenapa?” Mak ternyata sangat kecewa denganku.

Aku mengetap bibir.

“Along tahu tak, lepas korang bercerai Jeaz dah tak macam dulu. Hidup dia Cuma kerja dan kerja sampai dah tak nampak macam manusia! Along nak tahu sebab apa? Sebab dia kecewa dengan perkahwinan korang yang musnah tu!”

Aku mendengus kasar sebelum meletakkan Ehan yang sudah kekenyangan di atas katil.

“Dia  kecewa bukan salah Along. Dia yang pilih jalan tu,” bentakku, tidak rela terus dipersalahkan mak.

“Ada kaitannya!” cantas mak.

“Dia cintakan kamu. Sayangkan kamu dari sebelum kamu berdua  berkahwin lagi,” sambung mak.

“Dia tipu! Kalau dia cintakan Along, kenapa masa kami bertunang dulu dia sempat lagi main kayu tiga? Sedangkan waktu tu Along dah sayang dia. Kalau dia sayang Along dia tak kan lepaskan Along dengan mudah! Mak tahu tak!” Tangisku dengan esakkan yang berat. Biar mak tahu aku juga  pihak yang kecewa bila Jeaz membuangku. Walaupun sepanjang perkahwinan kami, akulah orang yang selalu menyakitkan hatinya, tapi aku tetap seorang isteri biasa. Seorang isteri yang tetap terselit rasa sayang dan bimbang padanya biarpun lidah ini mengungkapkan benci!

Mak diam sebelum memeluk eratku.

“Semua orang buat silap Along. Semua orang! Tapi dengan membenci Jeaz begini, menafikan haknya pada Ehan itu silap besar yang Along pernah buat. Jadi apa beza Along dengan Jeaz?” pujuk mak.

Aku menahan sedu.

“Jangan biasakan diri mengira silap orang. Kira silap sendiri dulu,”tambah mak lalu mengusap air mataku.
Hendak membantah mahupun menangkah cakap mak, aku sudah hilang modal. Semua yang mak cakap, semuanya benar! Kebenaran memang menyakitkan...

“Along jumpa Jeaz ya? Bincang dan beritahu perkara sebenar pada dia. Kasihankanlah dia. Selama kamu tak ada ,dia  hidup menyeksa diri sendiri,”ujar mak dengan suara yang lirih.

 Kepala aku jatuhkan beberapa kali. Bersetuju. Pandangan ini ditala pula pada Ehan. Anak itu Cuma ada aku dari saat dia dilahirkan. Nampaknya sudah tiba masa dia mengenali siapa papanya.

***

Lagi seminggu umat Islam akan menyambut bulan Ramadhan. Untuk itu, mak sudah mengerah tenagaku membeli barangan untuk persiapan menyambut bulan penuh rahmat itu. Walaupun hati ini mendongkol geram, tapi tetap aku melakukannya dengan gembira kerana sudah hampir 3 tahun aku tidak melakukannya.

Hari ini aku hanya ditemani Ehan, memandangkan Zarith sudah Zakuan bawa pulang untuk menyambut pertama Ramadhan di kampungnya. Stroller yang membawa Ehan aku tolak dengan berhati-hati. Tidak mahu mengejutkannya dari lena.

Selesai mencari barangan yang telah mak senaraikan, aku angkat kaki melencong ke POPULAR. Aku ingin mencari buku resepi biskut raya yang terbaru. Tapi belum sempat aku menapak ke dalam gedung buku itu, aku di sapa seseorang.

“Puan, i believe this is yours.”

Cepat-cepat aku berpaling dan melihat gerangan yang menegurku itu. Hati ini. mata ini. seolah-olah berhenti berfungsi melihatnya berdiri di hadapanku dengan memegang tuala kecil milik Ehan setelah hampir dua tahun tidak bertemu.

Dia pula segera menanggalkan kaca mata hitam yang tersarung. Bagai tidak percaya yang dia akan menemuiku hari ini. Masa seakan terhenti bila mata dia dan aku bersabung dalam satu pandangan.

Lama kami begitu sehinggalah dia bertindak meletakkan tuala kecil milik Ehan di dalam stroller lalu 
berpaling dan bersedia untuk melangkah tanpa berkata apa-apa.

“Jeaz!” Aku memanggilnya.

Dia berhenti namun tidak sedikitpun berpaling untuk memandangku. Seolah-olah dia tidak pernah mengenaliku sebelum ini. seolah-olah akulah memori terburuk dalam hidupnya.

“Saya ada sesuatu nak cakap dengan awak,”pintaku seringkas mungkin.

“I’ve nothing to say. Just leave!”

“Tapi...”

Belum sempat aku hendak menyambung kata, tangisan Ehan sudah  memenuhi ruangan POPULAR sehingga menggamit perhatian beberapa orang yang lalu lalang di situ. Baru sahaja aku mahu menolak stroller, tanganku sudah ditepis Jeaz sebelum dia menolaknya ke bangku yang terdapat di luar POPULAR. Aku hanya menurut langkahnya.

“Buat anak pandai. Jaga tak pandai!” sindirnya pedas bila aku sudah mengangkat Ehan dari stroller.

Berasap telingaku mendengarnya. Lalu Ehan yang berada dalam dukungan, aku hulurkan pada dia. Kelam kabut Jeaz menyambut Ehan.  Dan dia nampak super kekok bila dia cuba memangku Ehan.

“Awak pandai kan jaga anak. Awak jaga sekejap. Saya nak ke tandas,”pamitku sengaja mengenakannya.

“Eh, anak ni macam mana?” jeritnya bila aku sudah menapak ke tandas. Sengaja aku buat tidak dengar dengan soalannya. Biarlah Jehan berkenalan dengan papanya itu.

Hampir sepuluh minit berada dalam tandas, aku mengambil keputusan untuk keluar dan melihat perkembangan anak dan bapa itu. Keluar sahaja dari tandas, aku sudah dapat melihat senyuman dari Jehan mahupun Jeaz. Kedua-duanya saling berpandangan. Jeaz nampak leka mengelus pipi Jehan yang bulat dan gebu itu. Sekali-sekala dia mengacahnya dengan mendekatkan mukanya dengan Jehan sebelum membuat muka lawak. Tawa galak Jehan boleh aku dengari hanya dalam sepuluh tapak sahaja dari mereka!

“Hmm...”Aku berdehem.

Jeaz kembali menukar moodnya. Kaku dan beku. Malah Jehan yang sedang dipangkunya segera dia hulurkan semula padaku. Tergawang-gawang tangan kecil Jehan sebaik sahaja aku mengambilnya. Bagai tidak rela berjauhan dari papanya itu.

“Pa...pa...”

Terkejut! Bulat mataku memandang Jehan demi mendengar sebutan tidak lancar yang lahir dari bibirnya. Bagaimana aku tidak terkejut, Jehan tidak pernah sekalipun Berjaya memanggilku mama tapi hari ini, dalam tempoh kurang 24 jam bersama Jeaz, Jehan Berjaya memanggilnya papa. Aku pandang Jeaz. Lelaki itu juga bagai terpempan. Tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

“Ehan...Ehan sebut apa tadi sayang. Sebut sekali lagi untuk mama,” pujukku sambil merenung mata Jehan.

Jeaz juga sudah menghampiri kami. tidak mahu ketinggalan mendengar Jehan memanggilnya ‘papa’.

“I’ve heard that he’s calling me papa,”ujar Jeaz teruja lalu memandangku dalam. Mata itu bersinar gembira.

Dada ini kembali berdebar melihat wajah gembiranya. Tetapi hati ini tetap dihambat rasa bersalah melihat dia  tetap senang hati walaupun tidak mengetahui kebenarannya. Kebenaran yang meletakkan hakikat bahawa Jehan adalah darah daging Jeaz.

“Dia panggil tak Zakuan papa?”Tanya Jeaz lembut sambil mengusap rambut Jehan.

Pertanyaan Jeaz seperti kilat yang menghentam laman hatiku. Benar kata mak, merahsiakan kewujudan Jehan dari Jeaz adalah kesilapan terbesarku kerana lelaki itu sudah beranggapan yang tidak benar. Dia sudah beranggapan bahawa Jehan anak Zakuan!

“Tak. Sebab Zakuan bukan papa Ehan,”balasku setelah lama mendiamkan diri.

Jeaz mengangkat kepalanya sebaik sahaja mendengar jawapan daripadaku. Mencari anak mataku seolah-olah meminta kebenaran disebalik kata-kata yang aku luahkan sebentar tadi.  Penuh tanda tanya berlegar di atas kepalanya.

“Jehan Jazaril bin Jeaz Jazaril, your biological son.”sambungku. Tidak lagi mahu berselindung dari rahsia sebesar ini.

Dia tergamam sehingga perbuatannya mengusap rambut Jehan, terhenti.

“He’s my... son?”

***

Diam dan terus diam. Apa lagi yang aku harus lakukan bila semua yang hadir memandangku seperti akulah pesalah yang nyata di sini. Ayah diam manakala mak bersikap neutral, langsung tidak menentang mahupun membelaku. Aunty Sari dan Uncle Jay pula nampak sungguh kecewa. Jeaz? Entah hilang ke mana dia.

“Kenapa sembunyi Imtiaz?” Aunty Sari mengemukan soalan yang pernah mak tanyakan dulu. Agaknya semua mak-mak di dunia ni memang bernaluri yang sama. Soalan pun dah jadi sama.

“Imtiaz tak bermaksud nak sembunyi atau pun lari. Tapi masa tu Imtiaz pun tak tahu Imtiaz pregnant. Lepas, Jeaz ceraikan Imtiaz baru Imtiaz tahu. Imtiaz minta maaf, Aunty,Uncle,” terangku dengan sepenuh hati.

“Sudahlah benda nak jadi. Kita tak boleh nak putar balik. Sekarang apa yang penting Jehan dengan Jeaz. Imtiaz dah berbincang dengan Jeaz tentang Jehan?” Soal Uncle Jay pulak.

Kepala aku gelengkan. Peristiwa dua hari lepas bersiaran ulangan dalam fikiranku. Sebaik sahaja aku mengiayakan Jehan anaknya, Jeaz terus berlari meninggalkan aku. Tanpa mengeluarkan sepatah perkataan pun.

“I want the baby. I want Ehan!”

Suara yang tiba-tiba mencelah itu mengejutkan aku. Membawa pandangan ini menikam anak matanya. Lantas tubuh aku angkat. Kaget.

“Ehan anak saya. Saya yang lahirkan dia. Saya yang besarkan dia. Awak tak boleh ambil dia sesuka hati macam ni!” bentakku sudah tidak mampu menyembunyikan kegelisahan hati jika benar Jeaz mahu mengambil Jehan nanti.

Jeaz mengetap bibirnya. Nampak geram dan tidak berpuas hati. Dia menapak perlahan ke arahku. Sehingga jarak muka kami hanya tinggal seinci, suara Uncle Jay sudah kedengaran, menghalang.

“Jeaz, behave!”

Jeaz langsung tak makan saman. Dia terus merapati dekat dengan cuping telingaku. Ingin berbisik.

“Kalau betul dia anak aku, kenapa sekarang baru kau nak bagitahu? Kenapa tak lama dulu? Kenapa kau takut sangat aku nak ambil dia? Atau  kau datang ni sekadar nak mengaburi pandangan keluarga kita yang anak tu anak haram kau...”

“Jeaz!”jeritku kuat sebelum menampar pipi kanannya. Mak  dan ayah segera datang menarik tubuhku jauh dari lelaki itu. Sementara itu,Uncle Jay dan Aunty Sari sudah menggeleng lemah. Kecewa!

Jeaz memegang pipinya yang baru di tampar oleh aku dengan renungan tajam menikam.

“Kalau awak masih ragu yang Ehan anak awak kenapa awak masih nak Ehan? Kenapa?” soalku, kasar.

Jeaz melepaskan dengusan kasarnya.

 “Memang awak pernah nampak Zakuan masuk dalam rumah kita, tapi kami tak buat apa-apa. Saya tak serendah itu! Semua orang buat silap. Salah  saya Cuma menyembunyikan kewujudan Jehan dari awak.”luahku, kesal bersama nafas yang menderu ganas!

“Baru hari ni awak nak nyatakan kesalahan awak. nak betulkan salah awak....”Jeaz berjeda seketika lalu menyungging senyuman sinis.

“....Saya...Saya ni...sebab kesalahan saya curang dengan awak masa kita bertunang, awak hukum saya sepanjang perkahwinan kita. Saya pun buat salah jugak masa tu. Ada awak nak faham? Ada awak nak berikan peluang untuk saya? Ada?”

Begitukah aku selama ini di matanya. Seorang penghukum? Hinanya! Perlahan-lahan kelopak mataku terasa suam.

“Sekalipun awak tak nampak usaha saya untuk betulkan silap saya. Di mata awak, sayalah yang buruknya. Sayalah lelaki kayu tiga yang tak berhak untuk peluang kali kedua. Zakuan yang curang dengan kawan awak...awak boleh maafkan. Kenapa saya...awak tak boleh buat macam tu?”Lirih suara Jeaz menuturkan luahan hatinya yang selama ini dipendamnya. Mata itu sudah merah. Mungkin menahan tangis.

Dadaku terasa sakit mendengar rintihannya. Bibir ini kalau boleh berkata-kata, tentu sudah menangis menahan sakit diketap gigi! Tapi masih tetap tidak boleh melawan rasa sakit dalam hati ini. melihat dia sakit begini...membuatkan aku juga merasa deritanya. Hati tak akan dapat menyentuh apa-apa rasa jika orang yang kita sayang tidak menyayangi kita...

“Jeaz...”Aku menyeru namanya. Memintanya berhenti dari terus mengeluarkan kata-kata yang akan membuatkan aku terluka sama!

“No! Let me finish...”pintasnya sambil mengangkat sebelah tangannya, tanda menghalangku dari berbicara.

Kelu. Lidah kaku. Diri ini juga membeku. Patuh pada arahan tidak rasminya yang memintaku untuk terus mendengar.

“Tahu sebab apa saya lafazkan cerai? Sebab apa saya tetap lepaskan awak walaupun saya yakin awak tak bersalah masa tu?” sambungnya dalam bentuk pertanyaan pula.

Tiada jawapan yang aku mampu berikan bila air mata ini lebih pantas memberi reaksi sebenar gambaran emosi dan hati yang cedera teruk!

“Jeaz sudahlah!” tegur Uncle Jay sedikit keras.

“Tak abah! Biar Jeaz selesaikan semuanya hari ini!” halangnya. Keras.

Mata aku pejamkan sebentar. Mencari kekuatan yang lebih nipis dari kulit bawang! Sedikit kekuatan untuk terus mendengar luahan darinya...yang mungkin lebih melukakan...

“Imtiaz binti Hussien...”Dia memanggilku dengan rasa yang bercampur baur.

“...menjadi suami cadangan awak...saya bahagia...sikitpun tak ada rasa terpaksa. Tapi... untuk melihat awak terluka kerana ingin menyakiti saya....sungguh saya tak sanggup. Tak sanggup melihat wanita yang saya cinta dapat dosa free, kerana tak patuh pada suami walaupun hati saya ikhlas disakiti awak atas silap saya dulu...”

Mendengar itu, kaki ini sudah tidak dapat menampung badan. Terus aku jatuh terjelepok di atas permukaan permaidani bersama tangisan yang kuat. Jadi... dia melepaskan aku bukan sebab curiga melihat aku berdua-duaan dengan Zakuan...tapi sebab  tidak mahu aku terus menggalas dosa menzalimi zahir dan batinnya!

 “Imtiaz. Bangun sayang. Jangan macam ni,” pujuk Aunty Sari lalu memaut bahuku. Mak dan ayah juga sudah merapat sebelum menarik tubuhku bangun.

Walau dengan pandangan mata yang kabur dengan air mata, aku tetap boleh melihat wajah Jeaz yang tidak kurang juga lencun dek air mata. Saling terseksa... Saling terluka...saling memendam rasa...

Perlahan-lahan aku melepaskan pegangan tangan mak dan ayah yang memaut tubuhku supaya kukuh berdiri tadi. Ingin merapati lelaki yang aku cintai dalam aku sibuk membencinya suatu ketika dahulu...

Wajahnya yang basah aku sentuh dengan telapak tangan sebelum mengusapnya lembut. Bila pandangan kami saling bersatu, aku gelengkan kepala beberapa kali.

“I hate you so much!” luahku dengan suara yang serak. Telapak tangan pula sudahku bawa ke dadanya.

Halkum  Jeaz bergerak kasar, menelan air liur yang mungkin terasa kesat di kerongkongnya. Berdebar...kerana aku juga dapat merasa getaran di jantungnya yang tidak menentu.

“....but please love me back!”  rayuku sebelum menumbuk lembut dadanya beberapa kali sehingga Jeaz bertindak memegang kedua-dua belah pergelangan tanganku, menghentikan pergerakkanku yang mungkin menyakitkannya sebelum tubuhku ditarik ke dalam dakapannya. Erat! Ketat!

“Syyhh...I’ll always love you. Always...”bisiknya di tepi cuping telingaku.

Aku menghamburkan tangisan yang lebih kuat saat ini. Dalam hati mengucap syukur pada Yang Esa kerana TUHAN masih melindungi cinta Jeaz padaku walau hati dia teruk aku lukai...Untuk beberapa ketika kami saling tenggelam dalam drama air mata arahan kami berdua sehinggalah ayah dan Uncle Jay berdehem beberapa kali.

Mahu tidak mahu aku terpaksa menolak tubuh Jeaz menjauh meski dia bagai tidak mahu melepaskan aku pergi dari dakapannya. Merah wajahku sebaik sahaja pandangan ini bertembung dengan pandangan mak, Aunty Sari, Ayah dan Uncle Jay yang merenung penuh makna pada kami.

“Aku rasa esok pejabat kadi buka lagi kan Sein?” Soal Uncle Jay pada ayah. Sengaja mengusik aku dan Jeaz.

Baru ayah nak membuka mulut,Jeaz sudah mencelah untuk membantah.

“Asal esok bah? Hari ni tak boleh ke?”

Rasa nipis kulit mukaku demi mendengar butir bicara yang keluar dari mulut lelaki itu, sehingga 
membuahkan bunga tawa dari ahli keluarga yang lain. Haih, tak menyempat betul!

“Boleh je kalau kamu tak sabar sangat Jeaz!” usik ayah pula membuatkan wajah lelaki itu merah padam menahan malu!

“Yeay...Ehan dapat papa Ehan balik!” sorak mak sambil membawa  Jehan yang baru bangun tidur didalam dukungannya. Entah bila mak pergi ambil Jehan pun aku tak sedar.

 Mak  menyuakan Jehan pada Jeaz. Bulat mata anak lelakiku itu memandang papanya.

“Anak papa!” sambut Jeaz lalu  mencium pipi gebu Jehan  bertalu-talu. Melepaskan rindu! Aku hanya 
melemparkan senyuman manis bila Jeaz merenung ke mataku, menzahirkan cintanya.

Semua orang boleh cerita tentang CINTA, PELUANG KEDUA dan MAAF banyak kali pun. Tapi bila sampai masa terkena batang hidung sendiri...ketiga-tiga perkara tadi macam perkara terakhir yang kita akan lakukan. Hanya hati yang boleh yakinkan diri sama ada mahu terus berada di dalam kisah semalam atau tidak...

***

“Papa!”

“Ya, mama!”

“Mama nak makan rendang tok yang papa masak masa hari raya hari tu,” pintaku sedikit mengada-ngada sambil menarik lengan bajunya.

Jeaz yang sedang membaca segera menanggalkan kaca matanya dan meletakkannya di meja lampu. Dia mengerutkan dahinya sambil memandang wajahku yang lagi berbaring.

“Eh, mama bukan tak makan ke rendang tu?”Jeaz sudah hairan.

Aku menarik muncung. Banyak tanya pulak laki aku ni!

“Alah papa ni! Banyak tanya pulak. Tolonglah masakkan? Ya? Ya?”Kali ini aku merengek pula.

Jeaz senyum.

“Mama ni makin hari makin cantik. Apa rahsia?”goda Jeaz lalu mendekatkan mukanya dengan mukaku.

Dadanya aku tolak lembut. Orang cakap lain, dia lipat ikut lain! Proteslah macam ni! Bisik hatiku geram lalu mengiring membelakanginya. Merajuk!

Baru sahaja mata inginku pejamkan, Jeaz sudah melilit tangannya di pinggangku. Kemas! Beberapa ketika kemudian dia menepuk lembut perutku.

“Papa masakkan untuk mama. Anything for my sweet lady. Dah jangan merajuk. Tak comel!” pujuknya dalam masa yang sama mengenakan aku.

“Macam tak ikhlas je!” Aku sengaja menduganya. Pura-pura masih berasa hati.

Dia menarik tubuhku berpaling menghadapnya. Wajah itu jelas nampak serius! Macam nak marah je. Eh, siapa marah siapa ni?

“Jangan cakap macam tu. Papa tak suka. For mama, Ehan and this incoming baby...buat rendang tok tu 
hari-hari pun papa sanggup,”ujarnya lalu mengucup lembut dahiku.

Aduh, syahdunya! Gumam hatiku bersama senyuman menggedik.

“Thanks papa. Sayang papa!”kataku, teruja sebelum mencium pipinya.

“Love you too mama. Love you too!”  bisiknya lembut dan mengeratkan pelukan.

“Dah....Jom tidur.”Jeaz menepuk lembut badanku, mendodoikan aku seperti mana dia buat untuk menidurkan Jehan. Nyaman....TUHAN...biarlah nikmat bahagia ini sampai syurga...Jika ada halangan yang datang...biarlah kami tabah menghadapinya...Doaku sebelum melelapkan mata dengan tenang dalam dakapan seorang suami yang pernah aku lukai...

Peluang itu tak akan datang banyak kali...Tak akan datang dengan tawaran yang sama... Jadi hargai PELUANG!


***TAMAT***

p/s : cervel ni agak bosan bagi saya. tapi saya upload ajelah. tak sanggup tengok blog bersawang. hiks! selamat membaca dan memberi komen dear readers :)

24 comments:

Anonymous said...

Waaa tggu2 cerpen baru hri2 tq miss writter. :)

Anonymous said...

Bosan? Eh eh mana ada. Besttt dan terbaek sis. Dah boleh kenal penulisan sis, u hv ur own trademark! :) Pliss buat satu novel then hantar mana2 penerbitan..... Hehe

-myaz-

Unknown said...

pertama memang agak bosan, lepas itu macam rasa best sikit, lah lama2 jeaz macam berubah watak lepas kahwin , waktu pertama dulu suka senyum2 ketawa2 hbis itu jadi cool dingin ,, , tapi keseluruhan tetap best, suka cerpen2 akak,,, semua best2 ,

EYZA said...

BEST SGT!!

Anonymous said...

best...
-ada

Anonymous said...

Masa start baca agak bosan tapi bila kat pertengahan sampai la ending memang daebak!

Unknown said...

Best sngt2 walaupun ade rase mcm kurang sikit kat zakuan tu tapi keseluruhannya best!!!

beginner said...

serius x bosan....menarik and yg penting ada pengajarannya...

nur hannatie said...

Serius besttt sangtttt :-)....jgn lupa upload banyak2 lagi yerw....always support u ;-)

CikCtQairunniesa Hj Taib said...

Best ada la mna da bosan... nk request cerpen lg bley? Cerpen awk mmg x pernah mengecewakan. .. ★★★★★

hajar said...

best la..terus kan lagi usaha..hehe x boring pon...

Unknown said...

best......

Anonymous said...

Daebak. Mmg terbaik

Anonymous said...

Best gilee.. Tp pnggiln mama and papa tu mcm tk elok sbenrnye.. Tu yg sy dengar lhaa. Suami isteri x elok gune pnggilan mama papa and yg seangktn dengan nye..hehhe.. :)

Peminat cerpen said...

Best gilerr...Jgn berhenti buat cerpen best2 please...

Anonymous said...

Sedih tapi best.... memang terbaik lah cerpen Kak Aiha

Anonymous said...

kenapa jeaz curang ye? sedangkan dia kan dah suka dekat imtiaz. just bertanya

Anonymous said...

Best!!!!

Anonymous said...

Best sangat Cik writer . Memang terbaik lah.. saya sentiasa tunggu cervel terbaru dari cik writer. Teruskan usaha. Banyak pengajaran yg saya dpt setelah baca cervel cik writer.

Unknown said...

Bosan bagi akak tp tak bagi saya. Apepun memang terbaik kak. Cerpen mengenai cinta, maaf dan peluang kedua yg jarang sekali dapat. Miss your incoming cervel a lot.

Unknown said...

Malam ni menjengah lagi cerpen suami cadangan kak aihas walaupun dah tak terkira ulang baca. Miss kak Aihas and her work in writing.

Unknown said...

Kalau dlm dunia nyatA saya tak nak lah perkawinan macam ni,kurang logik,tak berimbang,drama sangat,imtiaz mmg salah selalu marah suami,tapi jeaz yg curang dan blm minta maaf lg dan minta lanjutkan pertunangan dgn cara tak betul itu tak dosa ke??? Patutlah pernikahan bnyk masalah tak dapat Rahmat Allah kot,tak berkah,untungnya cuma cerpen,bukan realiti,perkawinannya kurang baik dalam berkomunikasi,hikshiks

Unknown said...

Watak jeaz bukanlah baik sangat macam pikiran papa mama imtiaz,betul kata imtiaZ "penuh misteri"

Hanahreum said...

22 April 2022. Here I am again. Miss kak Aihas cervel. Tak pernah boring walau dah baca berulang kali. Malah akan teringat-ingat. Jalan cerita yang smooth relly kena dengan jiwa saya. Baca cervel oleh writer lain takde sampai teringat-ingat macam ni. Haish. Sentiasa menunggu khabar berita dari akak. Tak sangka dah 8 tahun usia 'Suami Cadangan' ni.