Oh, Pengikut Setiaku!!!

Thursday, January 31, 2013

#15 cerpen : Opps, Silap Hati!


Tajuk : Opps, Silap Hati!
Nama Penulis : NOORAIHAS
Tarikh post : 1Februari 2013


 Lelaki itu! Apa yang dia buat di sini? Kenapa dia harus ada di sini? Aku tak sanggup untuk melihat dia lagi Ya Allah! Bantulah aku hambaMu yang lemah ini TUHAN! Dia sudah banyak meninggalkan kesan dalam diri ini!Luka yang teramat dalam!

“Aisyah, kau kenapa ni?” tegur Sarah padaku.

Aku menggeleng lemah. Rasanya lebih baik aku balik dari menghadiri majlis ini. Tanpaku juga majlis ini akan berjalan lancar.

“Sarah, aku  nak balik dululah. Kepala aku tiba-tiba pening,” pintaku secara tidak langsung memberi alasan pada Sarah.

Sarah memandangku kehairanan sebelum mengangguk. Mungkin tidak mahu bertanya lebih lanjut apabila melihat air mukaku yang pucat.

Tanpa menunggu lebih lama, aku beredar meninggalkan majlis reunion sekolah menengahku itu. Salahku kerana menghadirkan diri pada acara malam ini. Sepatutnya aku ikutkan kata hatiku yang melarang keras aku kembali ke sini. Tapi kerana kerinduanku pada wajah dia membuatkan aku kembali. Namun, malang nasibku apabila bukan wajah dia yang mataku sapa dahulu tetapi wajah jantan keparat itu!

Aku mempercepatkan langkah, melalui kelas-kelas kosong yang tidak berpenghuni. Entah kenapa degupan jantungku berdetak  pantas saat melalui deretan bilik darjah itu. Rasa seperti diperhatikan! Mungkin firasat aku sahaja.

Namun, apabila aku melalui pintu kelas yang paling hujung, tanganku ditarik kasar oleh seseorang. Aku ingin menjerit tetapi mulutku sudah ditekup oleh tangannya. Mataku membulat melihat gerangan manusia di hadapanku ini. Jantan keparat!

Aku meronta-ronta ingin melepaskan diri tetapi tidak Berjaya kerana tubuhku sudah ditekan ke dinding oleh tubuhnya. Agak mustahil untuk orang melihatku di sini memandangkan keadaan kelas yang hanya di terangi lampu jalan di luar.

“Hai, sayang!” tegurnya perlahan. Cukup untuk pendengaran kami berdua sahaja. Aku memalingkan muka. Tidak mahu memandang seraut wajahnya. Wajah yang telah mempergunakan aku suatu masa dahulu.

“Miss me?” Soalnya. Tekak milikku meloya mendengar pertanyaannya.

Aku menjelingnya sebelum menjawab.

“Aku tak rindu, tapi aku benci yang teramat pada kau!”

Matanya mencerlung tajam melihatku serentak itu bibirku dipagut kasar olehnya! Aku cuba menolak tubuhnya yang tegap itu tetapi apalah sangat tenagaku jika nak dibandingkan dengan tenaga lelakinya.

“Kau tak rindu aku? Sebab dalam hati kau masih ada dia lagi kan?”Keras suaranya menyoalku.

Aku pejamkan mata rapat-rapat. Membenarkan kata-kata lelaki tak guna ini di dalam hati.

“Hmm...apa kata aku bagitahu dia sekarang tentang perasaan suci kau tu,” meleret suara Syed Amriz menggertakku dalam diam.

Pantas aku menggeleng laju. Aku tidak mahu begitu!

“Jangan! Jangan bagitahu dia! Tolong Amriz...” rayuku bersama juraian air mata.

Syed Amriz menyeka air mataku sebelum membawa tubuhku rapat padanya.

“Then, tugas kau macam biasalah...”bisiknya rapat di telingaku.

Aku menolak tubuhnya kasar. Mata kuyu itu aku tatap dengan penuh rasa benci. Dia membalasnya dengan senyuman penuh makna. Selama tujuh tahun aku bebas daripada cengkaman Syed Amriz, tapi takdir tetap membawa aku padanya. Namun, demi tiga hati yang perlu aku jaga keharmoniannya, aku rela di cengkam di bawah taklukan Syed Amriz selamanya...



***

Aku Khurul Aisyah Abdullah, anak yang tiada berbapa dan beribu. Anak yang dikatakan anak haram pada pandangan mata masyarakat. Aku di temui di dalam tandas awam lalu dibawa dan dibesarkan di rumah Anak Yatim Hurairah.  Asal-usul yang meragukan, bukan?

Duniaku ketika itu hanyalah sekolah dan rumah anak yatim itu. Hidupku kosong dan sunyi. Sehinggalah dia datang. Dia...Syed Khairul. Aku mencintainya dalam diam.  Tapi aku sedar siapa diriku. Anak haram! Anak luar nikah! Dan yang sewaktu dengannya! Sedari kecil lagi aku pasakkan di dalam fikiranku bahawa aku tidak layak untuk mencintai apatah lagi dicintai oleh lelaki sebaik Syed Khairul.Hakikat cinta dalam diam ini sangat perit rasanya.Hati ini menjadi  bertambah walang apabila aku mengetahui yang Umairah, sahabat karibku turut menyimpan rasa pada dia dan sudah pun bergelar kekasihnya. Dan aku rela berkorban rasa ini deminya kerana aku terhutang kasih dan sayang pada Umairah. Dia gadis yang baik. Tidak pernah menghina status milikku. Malah ,aku dilayan bagai ahli keluarganya sendiri!

Pada mulanya,tiada sesiapa yang tahu akan perasaan cinta ini. Biarlah ikatan itu aku paterikan atas nama teman sekelas sahaja. Sehinggalah Syed Amriz, sepupu kepada Syed Khairul terbaca diariku yang tercicir di perpustakaan. Dan di situlah bermulanya dunia gelapku.

Syed Amriz seorang lelaki yang ego. Demi menjaga rahsiaku, aku relakan diri menjadi perempuan simpanannya seawal umurku 19 tahun. Janjinya akan menjaga rahsiaku sebaiknya jika aku juga berjanji akan menjadi perempuan simpanannya!Kerana akal singkat remajaku dan didikan agama yang senipis kulit bawang ketika itu, aku turutkan segala kehendaknya.

Perit jiwa dan ragaku dek penangan Syed Amriz. Didekati bila diingininya dan dibuang selepas puas digaulinya. Mujur sahaja aku tidak mengandung akibat perlakuan kami itu. Hubungan kami aku fikir tamat sebaik sahaja berakhirnya STPM, malangnya kerana kedegilanku untuk melihat seraut wajah Syed Khairul, akhirnya mengundang semula Syed Amriz dalam hidupku selepas tujuh tahun berlalu. Oh, Tuhan dugaan apakah ini?

***
Aku terjaga daripada lamunanku tatkala titisan hujan jatuh di atas pipiku. Tiupan angin yang kencang menandakan hujan sebentar lagi  akan datang dengan lebatnya. Cepat-cepat aku memboloskan diri ke dalam apartment milik Syed Amriz. Lelaki itu mungkin masih tidur nyenyak di kamarnya setelah kehendaknya aku puaskan sekali lagi  setelah tujuh tahun berlalu.

Saat aku berpaling selepas menutup pintu gelongsor balkoni,mataku dijamah dengan seraut wajah Syed Amriz yang santai berehat di atas sofa miliknya. Merenung ke arahku sambil memeluk tubuhnya yang tidak berbaju. Hanya memakai boxer.

“Dah berapa lama kau duduk kat situ?”Soalku dengan suara yang mendatar . Tidak berminat untuk bersembang, Cuma lebih kepada ingin mengetahui sudah berapa lama dia di situ memerhatikanku.

“Agak lama. Lepas kau tinggalkan aku sorang-sorang atas katil tadi dan keluar semata-mata untuk termenung kat tepi balkoni tu,” jawabnya yang bernada sinis dipendengaranku.

Aku mengeluh panjang. Aku rasa sudah sampai masanya untuk aku tamatkan hubungan terlarang ini.  Aku tidak mahu hidup dalam lingkaran dosa. Aku inginkan sebuah kehidupan yang diredhai Tuhan. Bukan yang dimurkaiNya!

“Amriz...” panggilku seraya menghantarnya pandangan sayu milikku.

Dia merenungku dalam. Bagai tidak rela aku meluahkan apa yang terpasak dalam fikiranku.

“... lepaskan aku!” pintaku dengan air mata yang sudah bergenang di tubir mata.

Tiba-tiba Syed Amriz meledakkan tawanya, mengundang kehairanan di benak akalku.

“Kau nak aku lepaskan kau? Tak bimbang rahsia kau aku pecahkan? Tak risau Umairah akan kecewa dengan rahsia kau tu?” Tanya lelaki itu bertalu-talu.

Aku kaku di tempatku berdiri.

“Lagi satu kau ingat kalaupun aku lepaskan kau, ada lelaki lain ke nak kat kau? Syed Khairul nak ke perempuan macam kau? Sudahlah,lupakan angan-angan kau tu.  Sekarang , lelaki kecintaan kau tu dah nak kahwin dengan Umairah. Kau, tinggal apa?” ejeknya.

Aku mengetap bibirku. Benar  katanya,tiada lelaki yang nak perempuan yang tiada apa-apa ini! Tetapi dia harus ingat kerananya aku bergelar perempuan ‘tinggal apa’ dan juga kerana kebodohanku sendiri. 

Seandainya aku biarkan rahsia itu terbongkar, mungkin aku masih perawan, perempuan yang masih bermaruah! Walaupun,hubunganku dan Umairah terpaksa menjadi galang gantinya. Namun, apa-apa pun aku perlu keluar dari cengkaman lelaki ini.  keluar dari lingkungan dosa kami. Meski apa pun risikonya!

“Baguslah! Diorang dah nak kahwin. Aku lega. Dan seharusnya Umairah pun gembira sebab dapat bersuamikan dia. Tak perlu kisah dengan kehadiran aku kalaupun kau dah bongkarkan rahsia tu,”provokku, sengaja.

Syed Amriz bangun. Berjalan mengelilingiku. Tubuhku dijamah matanya daripada atas sehingga ke bawah sebelum tangannya mencengkam kuat mukaku .

“Khurul Aisyah. Aku ingatkan kau sekali lagi yang kau tetap akan menjadi perempuan simpanan aku sampai bila-bila! Walaupun, rahsia kau pecah sekali pun, kau takkan boleh lari dari aku! Faham!”gertaknya sekaligus menolak tubuhku jatuh di atas sofa.

Aku tersedu sendiri manakala lelaki itu berpaling ke arah lain. Rambutnya diramas kasar.

“Syed Amriz aku merayu sangat pada kau, tolong lepaskan aku! Aku tak mahu hidup dalam gelumang maksiat! Cukuplah, aku seorang lahir tidak berbapa dan beribu Amriz! Aku tak kuat andai suatu hari nanti ada bayi yang lahir dari hubungan kita ni! Mungkin dulu kita selamat,takde benih kau yang bercambah dalam rahim aku, tapi nanti-nanti belum tentu lagi! Aku tak mahu anak itu nanti memegang gelaran anak haram seperti mana aku! Kau faham tak?” jeritku kuat.

Syed Amriz tersentak! Mungkin dia tidak pernah terfikir yang hubungan kami ini akan menjadi sejauh itu. Lelaki...berseronok pandai! Bila diberi tanggungjawab...lari!

Aku merapati tubuh lelaki itu. Tangannya aku gapai dan aku kucup lembut. Setitis air mataku gugur lagi di atas tangannya.

“Biarkan aku cari bahagia aku sendiri ,Riz,”pintaku lembut. Memohon simpatinya sekali lagi.

Dia tidak bersuara sebaliknya merentap tangannya dari pegangan tanganku dengan kasar sekali. Tubuhnya dibawa ke kamarnya. Meninggalkan aku sendiri di ruang tamu miliknya.

“Kau...berambus dari sini! Sekarang!”Bicaranya yang terakhir sebelum tubuh itu menghilang disebalik pintu.

Aku tersenyum pedih. Mungkinkah itu tandanya dia sudah melepaskan diriku? Mungkin...

***

Aku menerima kunjungan daripada Umairah di pejabat. Raut wajah yang berseri itu mengundang cemburuku. Mengapa hidupku tidak semudah Umairah?  Sentiasa bahagia.Namun, bila difikirkan, siapalah aku untuk mempersoalkan suratan takdir ini?

“So,kau bila lagi?” Soal Umairah padaku, segera mengembalikan aku ke alam yang nyata.

Aku melemparkan senyuman pahit. Tiada istilah hari bahagia buat aku Umairah jika itu yang kau cuba maksudkan.

“Siapalah nak aku ni Mai? Anak tak ...”

“Aisyah!” cantas Umairah bila dia sedar perkataan apa yang bakal keluar dari mulutku.

“Setiap manusia tu berhak untuk bahagia Aisyah. Antara cepat dengan lambat je,” nasihatnya lembut, persis seorang ibu. Bertuah Syed Khairul!

“Okey. Maafkan aku. Ni...Kau keluar, Khairul tahu tak?” Aku sengaja mengalihkan topik perbualan kami.

Dia mengangguk lantas tersenyum.

“Eh, kau jangan lupa datang awal sebab aku nak kau jadi pengapit aku,”ujarnya ceria tetapi membuatkan aku gundah sendiri.

“Hish, tak mahulah aku. Aku malulah,” dalihku. Masakan aku mahu menjadi pengapit di hari perkahwinan insan yang aku cintai sepenuh hati . Tidak mungkin! Lagipun, aku tidak mahu bertemu dengan Syed Amriz yang aku yakin turut menghadiri majlis itu.

“Alaa...Kau mesti datang jugak! Kalau kau tak datang kita bukan kawan dah!” gertaknya manja.

“Tapi...”

“Eh...takde tapi-tapi. Kehadiran kau wajib! Kalau tak aku tak kahwin nanti!” tambahnya lagi.

Aku terpaksa bersetuju akhirnya. Melihat kekecewaan orang lain memang bukan hobiku. Perlahan kepala aku angguk, setuju dengan pelawaannya. Umairah tersenyum puas hati.

SUDAH sebulan lebih aku tidak bertemu dengan Syed Amriz. Namun, kerana majlis perkahwinan Umairah dan Syed Khairul, kami dipertemukan sekali lagi. Rasa janggal pula setiap kali bertentang mata dengan lelaki itu.

“Riz, Aisyah, korang dah cuba ke baju pengapit yang aku bagi tu?”Suara Umairah memecah keheningan antara aku dan Syed Amriz. Tidak aku sangka dia juga berada di sini sebagai pengapitnya Syed Khairul.

Dia merenungku tajam. Seolah-olah menghantar mesej supaya aku menjawab pertanyaan daripada Umairah.

“Belumlah,” balasku.

Umairah mengeluh berat.

“Kenapa?” Soalnya.

“Bilik penuh,” jawabku lagi.

“Eh, tu dua bilik dah kosong. Cepat korang masuk!” arah Umairah teruja.

Segera aku dan Syed Amriz bergegas ke ruangan persalinan yang dimaksudkan Umairah tadi.

Pintu bilik persalinan aku tutup rapat. Mencuba sepersalinan baju kurung moden berwarna putih gading itu. Cantik! Desis hatiku. Tapi sayangnya aku menghadapi kesukaran untuk memasang zip di bahagian belakang baju itu

Aku mengeluh berat.

“Kenapa?” Sapa Syed Amriz yang berada di sebelah kamar persalinanku. Mungkin mendengar keluhanku tadi.

“Ermm...zip belakang baju ni tak sampai tangan aku nak pasang,” rungutku perlahan.

“Buka pintu kau, aku tolong pasangkan,” arahnya bersahaja.

Aku mengetap bibirku. Ambil kesempatan...

“Takpelah, aku panggil Mai,” tolakku.

“Tak payah! Mesti dia sibuk dengan Khai,” balasnya.

“Takpelah. Aku nak buka balik baju ni. Aku rasa muat dah,”kataku lagi.

“Yang kau banyak alasan sangat ni kenapa? Setakat belakang badan kau tu, lebih dari tu aku dah nampak. 
Buka pintu ni sebelum aku pecahkan!” ugutnya dengan suara sedikit keras.

Dalam terpaksa aku membuka pintu bilik persalinan itu dan berundur ke belakang, membenarkan Syed Amriz masuk. Lelaki ini seorang yang suka mengikut hati! Andai dia berkata, dia pasti kotakan. Pintu ditutup kembali oleh lelaki itu.

Aku tergamam melihatnya. Tampan sungguh dia dalam busana baju melayu itu. Untuk seketika kami saling berpandangan sebelum dia bertindak memusingkan tubuhku.

Rambutku yang panjang di selaknya ke hadapan. Tatkala zip bajuku ditariknya separuh, gerakannya terhenti. Dapat aku rasakan nafasnya yang hangat menyapa kulitku sebelum mendaratkan ciumannya di sebelah kanan belakang bahuku.

Dadaku berdetak hebat! Aku tidak mahu berperang dengan rasa begini! Syed Amriz perlu disedarkan!

“To...tolong cepat sikit! Mai dah tunggu,” pintaku sedikit keras.

Serentak itu zip ditarik penuh ke atas olehnya. Selesai! Aku menyuruh lelaki itu keluar dahulu dan kemudiannya dituruti olehku. Aku tidak mahu sesiapa curiga dengan kelakuan kami. Terutamanya Umairah!

Hatiku sayu melihat wajah gembira milik Syed Khairul dan Umairah. Cinta dalam diam memang sangat menyakitkan! Tidak dapat diluahkan,tetapi hanya mampu melihat dari jauh! Oh, hati relakanlah semua rasa 
ini...rintihku.

“Aisyah, lepas ni confirm ada yang masuk meminang you,” usik Syed Khairul tanpa menyedari gurauannya menjadi nanah dalam hatiku.

“Betul cakap abang,” sambut Umairah, bersetuju.

Aku tersenyum menyembunyikan rasa. Siapa yang mampu menggantikan tempatmu wahai Syed Khairul? Siapa?

“Ada-ada je you ni! Siapalah nak kan i ni? Tak cantik pun,” ujarku merendah diri.

“Eh, you cantik apa!” puji Syed Khairul disambut deheman Syed Amriz yang dari tadi memerhati.

“Ala..susah-susah kau ambil je Riz ni. Habis cerita! Dari dulu kosong tak berpenghuni,” sakat Umairah 
pula.

Aku hanya mampu tersenyum mendengarnya. Sedangkan Syed Amriz tajam merenungku.

***

Menitis air mataku melihat Syed Khairul bersanding dengan Umairah di hari bahagia mereka ini. wajah-wajah ceria mengelilingi kehidupan mereka. Sedangkan aku meratap sendiri demi mencari kebahagiaan.

“Dah puas menangis?” Tegur Syed Amriz dengan sarkastiknya.

Aku mengesat air mataku dengan kedua belah tanganku. Terkejut bagaimana dia boleh tahu aku di sini?

“Aku ikut kau dari tadi,” jawabnya bagai tahu apa yang berada di benakku.

“Mesti susahkan berlakon tabah di depan orang lain? Yelah, sebelah kanan kawan baik, sebelah kiri pulak cinta yang terendam, tak sempat diluahkan,” sindirnya.

Aku pandang wajah itu. Kenapa kau sengaja menabur garam pada lukaku Syed Amriz? Apa salah aku pada kau? Jeritku dalam hati.

“Balik! Aku tak nak tengok kau!” arahku tanpa memandang wajahnya. Syed Amriz masih kaku di sebelahku. Tiada tanda ingin beredar.

“Kau tahu...seperti mana kau cemburu dengan kebahagiaan Umairah, begitu jugak aku cemburu dengan kehidupan bahagia Khai. Ada ibu bapa yang prihatin, adik beradik yang happening, pendek kata keluarga yang bahagia...” ceritanya perlahan.

Aku memejamkan mata tapi masih ingin mendengar luahannya.

“Sedangkan keluarga aku berpecah belah. Mama dan papa bercerai selepas aku dilahirkan. Mujur ada nenda yang jaga aku . Tapi lepas nenda meninggal, aku keseorangan semula. Bila aku jumpa diari kau tu, bertambah-tambah rasa cemburu aku pada Khai dan aku rasa kisah kita hampir serupa walau tak sama sebab tu aku sengaja suruh kau jadi perempuan simpanan aku,” terangnya lagi.

Air mataku menitis untuk sekian kalinya. Tak sangka dia juga tidak gembira dengan kehidupannya.

“Aku bahagia sepanjang bersama kau walau aku tahu kau tak rasa macam tu. Cinta kau pada Khai buat aku sakit hati. Kenapa kau tak pernah pandang aku walaupun sekejap? Tujuh tahun...tujuh tahun aku lepaskan kau bebas supaya kau pulihkan hati dan bila kita jumpa semula kau akan cintakan aku. Tapi apa yang aku nampak dari mata kau? Cinta masih lagi untuk Khai, benci untuk aku. Selama tujuh tahun, hati aku tak pernah berpaling dari kau. Tujuh tahun aku setia untuk kau. Aku janji pada diri aku, kau akan jadi isteri aku walau apa pun terjadi!”

Aku menelan air liur yang terasa pahit di kerongkongku. Syed Amriz cintakan aku?

“Mungkin dosa aku menyentuh kau sebelum masanya, jadi Allah tak alihkan perasaan cinta kau pada Khai untuk aku. Tujuh tahun tak ubah apa-apa pun. Inikan pulak tujuh minit!” tambahnya lalu tergelak sendiri. Pedih!

“Riz...aku minta maaf,”pohonku. Sayu!

Dia berpaling, memandang dalam ke anak mataku. Segaris senyuman ikhlas miliknya terukir.Buat dadaku bergetar tidak keruan secara tiba-tiba.

“Tak perlu minta maaf. Aku yang sepatutnya minta maaf pada kau. Mulai saat ini, aku relakan kau cari bahagia kau sendiri seperti mana yang kau nak. Dan tolong maafkan aku sebab menyentuh kau sebelum masanya,” putusnya lalu bergerak meninggalkan aku sendiri.

Saat ini, hatiku meronta-ronta tidak mahu dia pergi jauh dariku. Urusan hati memang sesuatu yang rumit! Bila dia ada di depan mata, tidak mencari. Bila sudah pergi, bersungguh ingin dia kembali...

Entah apa yang merasuk fikiranku untuk mengejarnya. Tidak aku hiraukan keselamatanku berlari menggunakan kasut tumit tinggi begini kerana apa yang penting dia tidak berlalu begitu sahaja.

“Riz!” jeritku. Lelaki itu berpaling memandangku kehairanan.

Aku gembira dia berpaling. Langkahku buka. Cepat-cepat ingin sampai padanya. Tetapi kerana terlalu teruja, langkah yang aku atur jadi sumbang. Aku jatuh terhentak ke lantai! Aku memandang dengan penuh kesakitan ke arah  Syed Amriz yang sudah berlari mendapatkan aku.

“Khurul Aisyah, are you okay?”Syed Amriz bertanya, cemas.

Aku memegang sekitar perutku. Pedih! Mencucuk-cucuk! Aku pegang lengan lelaki itu.

“Riz, perut aku sakit sangat!” rintihku sehingga air mata menitis lagi.

“Aku bawa kau ke hospital!” ujar Syed Amriz lalu mencempung tubuhku.

Dengan berhati-hati Syed Amriz membawa aku keluar dari majlis Umairah  dan Syed Khairul tanpa disedari orang ramai. Mujur sahaja ramai tetamu sudah beransur pulang. Umairah dan Syed Khairul pula mungkin masih leka melayan sanak saudara yang lain.

“Aisyah, ada darah kat kain,” tegur lelaki itu setelah kami berada di dalam kereta. Raut wajahnya bimbang. 

Aku pandang ke bawah. Benar, ada darah yang sedang mengalir di celah kelangkangku. Tidak mungkin aku didatangi haid. Ini bukan masanya.

Sampai sahaja di hospital, aku terus di kejarkan ke wad kecemasan. Setelah dibius oleh doctor, aku sudah tidak sedarkan diri.

Rasanya sudah lama aku tidur sehingga badan pun rasa kebas. Perlahan mataku buka. Seraut wajah Syed Amriz yang sedang lena menyapa pandanganku. Aku usap rambutnya lembut. Perbuatanku itu menyebabkannya terjaga daripada lena.

“Sakit lagi?”Soalnya dengan suara serak.

Aku mengangguk lemah. Senyuman lesu aku lemparkan padanya. Gembira bila dia masih setia di sisiku, 
menemaniku sehingga aku jaga dari lena tanpa memikirkan keselesaannya yang mungkin terganggu kerana baju melayu yang dipakainya terlekat darahku. Darah?

“Amriz aku sakit apa? Nak kata darah period, ini bukan waktu aku datang bulan,” ujarku dalam nada bimbang.

Dia menundukkan kepalanya sebentar sebelum mencapai tanganku dan dikucupnya lembut.

“Riz,” panggilku lagi. Meminta penjelasannya.

“Kau...keguguran,” Takut-takut Syed Amriz memberitahuku.

Aku tergamam! Perkara yang paling aku takuti akhirnya terjadi!

“Ka...kau tipu kan?”

Syed Amriz menggeleng.

“Kau keguguran sebab jatuh tadi,” jelasnya.

Aku menahan sebak didada.pelbagai  rasa sedang bercampur baur dalam hatiku.

“Aku tahu tu anak aku.  Dan aku nak kita kahwin supaya aku boleh bertangunggjawab walaupun a...an..anak tu dah tiada,” tambahnya lagi. Melukakan hatiku.

Air mataku mengalir laju. Teresak-esak kepiluan. Lelaki itu bangun dan menarikku ke dalam dakapannya. Belakangku diusapnya lembut. Menenangkan aku dalam diam.

“Kita kahwin. Aku minta maaf, sebab aku... kau kembali terluka. Tapi aku pohon sangat, tolong kahwini aku, kita bina kehidupan baru. Kehidupan yang lebih diberkati Illahi,”pintanya dengan suara serak.

Tanpa sedar aku merangkulnya erat. Bersetuju dalam diam.

***
Lapan bulan kemudian...

Aku mengemaskan lipatan tudung. Rasa tenang membaluti hati bila tuntutan menutup aurat itu aku penuhi dengan ikhlas. Dari biasan cermin solek, dapatku lihat seseorang merenungku lembut sambil tersenyum manis. Tak lain dan tak bukan, suamiku, Syed Amriz.

“Abang, pergilah bersiap cepat. Nanti lambat pulak kita,” tegurku. Risau kalau kami terlewat ke rumah keluarganya. Umairah dan Syed Khairul juga ada. Pasangan itu sangat terkejut bila mendapat berita aku dimasukkan ke hospital semasa hari perkahwinan mereka dan bertambah terkejut bila aku dan Syed Amriz pula mendirikan rumah tangga seminggu selepas perkahwinan mereka.

Syed Amriz tersengih nakal. Masih tidak berganjak daripada katil.

“Siapa yang buat abang lambat tadi kalau bukan sayang,” perlinya selamba membuatkan pipiku merah 
tiba-tiba.

Dia bangun mendekatiku, membantu aku bangun dari kerusi dan mendudukkan aku di atas sofa yang terdapat dalam bilik. Perut aku yang sedikit membulat diusapnya penuh kasih sayang. Ya, aku mengandung selepas 4 bulan berkahwin dengan Syed Amriz. Anak sah kami!

“Abang pergilah mandi. Nanti lambat apa pulak keluarga abang cakap,” pujukku lembut.

“Tak nak!” balasnya bersahaja. Membuatkan aku panas hati.

“Kenapa tak nak?” Tanyaku berhemah. Dia memeluk kejap bahuku seperti tidak mahu melepaskanku. 

Aku hanya membiarkannya.

“Sebab Syed Khairul awak tu ada kat situ,” jawabnya dalam nada cemburu.

Aku tergelak kecil. Cemburu rupanya.

“Sampai bila nak cemburu  ni?”

Dia memandangku dalam.

“Sampai sayang cakap ‘saya cintakan awak’ pada abang,” Syed Amriz membuatkan aku terkedu sendiri.

Betul aku tidak pernah mengatakan cinta padanya. Aku sendiri tidak pasti sama ada aku cinta atau tidak 
padanya. Boleh jadi hubungan baik kami ini atas dasar tanggungjawab kami terhadap bayi yang bakal lahir ini. Tidak  mahu bayi kami rasa kurang selesa kalau papa dan mamanya asyik bertengkar.

“Saya suka bersama awak,”

“Suka tak bermakna cinta,” sambutnya pantas.

“Tapi abang tahu saya selesa bersama abang kan?” dugaku. Aku yakin dia dapat merasakannya. Setiap sentuhan dan helaan nafasnya sudah sebati dalam hidupku selama lapan bulan kami mendirikan rumah tangga. Kalau aku tidak selesa bersamanya pasti dirinya aku abaikan dari segi zahir dan batin.Dia juga tahu 
itu.

Syed Amriz mengangguk laju. Aku tersenyum puas hati. Pipinya aku pegang dengan kedua-belah tanganku, membawa wajah itu dekat padaku sebelum menghadiahkan kucupan lembut di dahinya.

Dia tersenyum senang hati.

***
Bertemu dengan kesemua ahli keluarga Syed Amriz turut menggembirakan hatiku. Dahulu aku hanyalah anak yatim yang berkongsi kasih sayang dengan penghuni rumah anak yatim itu sahaja. Sekarang, aku juga sudah mempunyai keluarga kerana lelaki itu. Keluarga yang sebenar! Dalam pertemuan itu aku berkesempatan bertemu dengan mama Syed Amriz, ibu mertuaku. Seiring dengan pertambahan usia, wanita itu matang menerima perkahwinan anaknya bersamaku. Syukurlah!

“Kau makin tembamlah. Dah berisi ke?”Tegur Umairah sambil tersenyum padaku.

Aku mengangguk perlahan.

“Bestnya! Aku kahwin dulu, tapi kau dengan Riz dapat baby dulu,” ujarnya lagi.

“Dah rezeki kami,” sambut Syed Amriz yang membawa minuman untukku. Aku menyambut minuman itu dan menghadiahkannya senyuman tanda terima kasih.

“Dah berapa bulan ni?” Tanya Umairah lagi.

Aku mengukir senyuman manis sebelum mengangkat tiga jariku. Syed Amriz yang memandangku tersenyum bahagia.

“Nanti dah selamat bersalin, kau datang ye. Bagi hadiah,” seloroh Syed Amriz

Umairah mencebik.

Aku dan Syed Amriz hanya ketawa melihat reaksinya.

“Apa yang you all sembangkan ni?” tegur Syed Khairul yang baru tiba.

Syed Amriz memegang kejap tanganku. Bagai tidak rela aku memandang ke arah sepupunya itu. Aku membalas pegangannya.

“Ni, hah...sepupu abang ni dah nak timang baby! Siap minta hadiah kat kita untuk anak diorang ni!”jawab Umairah bersahaja.

Syed Khairul memandang ke arahku.

You dah pregnant?” Soalnya sedikit terkejut.

Aku hanya mengangguk sebagai balasan pertanyaannya.

“Whoa...thats so fast! Riz ‘cekap’ kau buat kerja!” usik Syed Khairul pada suamiku.

Syed Amriz senyum lebar. Bangga!

“Rezeki Allah, Khai,” balasnya.

“Tapi aku pelik jugak korang ni, bila masa korang bercinta? Tup-tup dah kahwin je,” Syed Khairul masih 
lagi mengusulkan pertanyaannya.

Syed Amriz senyum.

“Eh..aku pun nak jugak kahwin! Ingat kau sorang je nak kahwin! Korang jugak yang suruh Aishah dengan 
aku. Lagipun aku dan Aisyah dua-dua kosong dan dah bersetuju nak bercinta lepas kahwin. Kan, sayang?” Syed Amriz menggamit perhatianku.

Syed Khairul dan Umairah meledakkan tawa mereka demi mendengar jawapan daripada suamiku itu.

Aku pula tersenyum ringkas sahaja sebagai balasan. Dalam hati merasa bahagia. Syed Amriz lelaki yang bertangungjawab dan tahu menjaga aib kami, walaupun kami telah melakukan dosa besar! Malah, aku terharu pabila usai solat kami lelaki itu tidak putus berdoa pada Yang Maha Esa agar mengampunkan segala dosa kami. Acap kali lelaki itu bangun di tengah malam untuk melakukan solat sunat Taubat dan menangis sendiri memohon keampunan Illahi. Namun, apa-apa pun aku bersyukur kerana selama aku bersama Syed Amriz, aku sudah mampu melenyapkan rasa cinta pada Syed Khairul. Perkahwinan ini benar-benar bermakna! Tetapi hatiku masih keliru ,  hubungan kami masih dipersimpangan, sama ada  cinta atau teman tapi mesra?

SEBAIK sahaja pulang dari rumah keluarga Syed Amriz, aku segera membersihkan badan. Penat seharian melayan karenah setiap ahli keluarga suamiku itu. Tetapi aku seronok begitu! Meriah! Syed Amriz pula sebaik sahaja tiba di rumah terus menerjah ruangan kerjanya. Sibuk menyiapkan pelan-pelan miliknya! Maklumlah senior arkitek!

Selesai mandi aku merapati almari pakain, mencari baju tidur untuk dipakai. Dalam leka mencari, aku terasa tubuhku dipeluk dari belakang. Sebuah kucupan hangat melekat di bahu kananku yang terdedah.

“Terima kasih,” ucap Syed Amriz.

Aku mengerutkan dahi. Kenapa?

“Untuk apa terima kasih tu?” Tanyaku. Hairan.

Syed Amriz mengetatkan lagi pelukannya.

“For being my wife. Walaupun abang banyak buat dosa dengan sayang,” jawabnya dengan suara serak.

Aku senyum sebelum berpaling menghadapnya.

“Terima kasih jugak sebab abang sudi terima anak har...”

“Shhh...jangan cakap macam tu. Tiada insan yang sempurna Khurul Aisyah,” potongnya lalu mengucup dahiku. Syahdu!

Aku menyembamkan mukaku di dadanya. Terima kasih Ya Allah!

“Sayang ni, tak pakai baju lagi. Saje nak goda abang ye?” usiknya selamba bersama senyuman nakalnya.

Aku segera menolak tubuhnya. Malu!

“Okeylah...abang nak mandi. Lepas ni tunggu abang. Kita mengaji sama-sama,” katanya sambil mengambil tuala di ampaian.

Aku mengangguk. Faham . Sejak aku di sahkan mengandung, amalan mengaji sebelum tidur itu selalu dilakukan Syed Amriz. Untuk memudahkan bersalin katanya. Tapi aku tahu, jauh di sudut hatinya, dia mahu bakal anak kami menjadi insan yang bertakwa dan tidak tersasar dari jalan-Nya seperti yang pernah kami lalui dulu.

“Lagi satu, abang baru beli minyak baby. Mulai malam ni, abang akan sapukan minyak tu kat perut sayang. Nanti perut sayang tetap kekal cantik seperti sebelum mengandung,” jelasnya lagi bersama senyuman sebelum menghilang di sebalik pintu bilik mandi.

Aku menggelengkan kepala. Syed Amriz....Semakin hari semakin aku mengenalimu. Penyayang dan bertanggungjawab!

***
Aku menyudahkan tugasan di pejabat seawal jam lima petang. Oleh kerana waktu masih lagi awal, aku mengambil keputusan untuk membeli barangan dapur untuk dimasak malam ini. sampai sahaja di pasaraya, aku terus menuju ke bahagian sejuk untuk  mencari bahan mentah. Selesai memborong di bahagian itu, aku mengambil keputusan untuk berjalan-jalan disekitar pasaraya sebelum singgah di Baskin and Robins untuk menikmati aiskrim.

Ketika aku enak menikmati aiskrim, mataku tertancap pada wajah seseorang yang aku kenal. Syed Amriz! Dia sedang rancak berbual dengan rakan-rakannya yang terdiri daripada dua orang perempuan dan tiga orang lelaki.Dia masih tidak perasankan kelibatku yang duduk selang beberapa buah meja darinya. Dari pengamatanku, mereka mungkin rakan belajarnya kerana hanya Syed Amriz yang memakai baju formal sedangkan yang lain santai memakai jeans dan t-shirt. Jadi tidak mungkin rakan sekerja!

Setelah beberapa minit mereka berborak, nampaknya rakan-rakan Syed Amriz mula bangun, meminta diri untuk pulang. Mereka saling bersalaman dan mataku membulat terkejut apabila melihat salah seorang rakan gadis suamiku itu bertindak memeluknya. Aku segera berdiri kerana tindakan spontanku akibat terkejut. Saat itulah Syed Amriz melihatku. Dia  tergamam. Pandangan kami saling bertaut. Dia segera merungkaikan pelukannya dengan gadis itu. Sementara aku sudah berlalu keluar dari pasaraya.

Tiba sahaja di apartment milik Syed Amriz, aku segera mengurung diri dalam bilik. Aku tidak mengerti mengapa aku harus rasa terkejut dengan adegan tadi. Rasa marah melihat Syed Amriz, suamiku dipeluk wanita lain walaupun dia tidak membalasnya. Adakah ini cemburu? Kalau cemburu maksudnya sayang. Jika sayang tandanya cinta! Tapi benarkah aku sudah jatuh cinta dengan Syed Amriz? Kerana terlalu penat memikirkan perasaan baruku ini, aku akhirnya terlelap sendiri di atas katil.

Aku tersedar dari lena tatkala azan Maghrib berkumandang dari masjid yang berhampiran dengan apartmen milik  Syed Amriz ini. aku ingin segera bangun untuk membersihkan diri seterusnya menunaikan solat, tetapi pergerakkanku terbatas kerana tubuhku dipeluk dari belakang. Syed Amriz! Bisik hatiku. Aku tarik tangannya yang melingkar di sekitar pinggangku, malangnya tidak berhasil kerana pegangannya yang kejap di situ.

“Riz, bangun,” kejutku sedikit keras nada suaraku.

Dia masih tidak bangun. Tidak terkesan sedikit pun!

“Riz, bangun. Saya nak solat ni,” gesaku.

“Abang takkan bangun selagi sayang tak panggil abang, abang,” ujarnya dengan suara serak.

Aku melepaskan nafas beratku.

“Abang, bangunlah. Saya nak solat Maghrib. Dah lambat ni,”ujarku, mengalah kerana Maghrib semakin 
tiba dipenghujungnya.

Spontan Syed Amriz melepaskan pelukannya di pinggangku. Dia senyum sebelum bangkit dari pembaringannya. Aku turut ikut bangun dan mencapai tuala lalu masuk ke bilik mandi. Namun, tidak sempat pintu bilik mandi aku tutup, tangan lelaki itu telah  menghalangku  daripada berbuat demikian . 

Aku pandangnya. Dia sengih.

“Dah lambat, kita mandi sama-sama je,”ujarnya nakal sebelum membolos masuk ke dalam bilik mandi dan menutup pintu. Aku hanya diam kerana masih marah.

Selesai menunaikan solat maghrib secara berjemaah, aku berlalu ke dapur untuk memasak. Setelah  setengah jam bertungkus lumus memasak, aku segera menghidangkan makanan malam kami. Aku masih marah dengan lelaki itu. Dia masih tidak membuka mulutnya tentang kejadian petang tadi.

Aku berdiri memandang lauk-pauk yang aku masak. Rasa seperti sudah hilang selera. Sudah kenyang dengan rasa marah mungkin. Ahh, kenapa Syed Amriz masih berdiam diri? Mahu menguji akukah?

Aku memejam mata apabila terasa ada tangan yang sedang mengusap perutku dari belakang. Tidak perlu memandang aku sudah tahu siapa. Bau badan Syed Amriz sudah lama melekat dalam ingatanku.

“Hows our baby today?”Tanya lelaki itu, lembut. Tangannya masih mengusap sekitar perutku yang semakin membulat. Aku kekejangan sendiri menahan rasa.

“Anak saya, okey je,” balasku sengaja menekan ayat ‘saya’ itu. Mahu menyakitkan hatinya.

Dia bertindak memalingkan tubuhku menghadapnya setelah mendengar kata-kataku. Sinar matanya terpancar rasa marah. Tapi dia cuba mengawalnya dengan senyuman.

“Anak saya? Bukan anak kita?” Soalnya penuh makna.

Aku menjungkitkan kedua bahuku. Enggan mengulas. Dia senyum melihat reaksiku.

“Kalau takde usaha abang, baby ni takde tau?” usiknya sengaja membakar hatiku.

Aku memeluk diri dan memandang ke arah lain. Tidak mahu memandangnya. Dia meletuskan tawanya tiba-tiba. Aku jadi terpinga-pinga melihat reaksinya.

“Kita makan dulu okey? Lepas tu baru sayang ada tenaga nak gaduh dengan abang, kan?” tambah Syed 
Amriz lalu menarik tanganku sebelum mendudukkan aku di kerusi. Kami sama-sama menjamu selera, menikmati makan malam bersama.

SYED AMRIZ berdiri memeluk dirinya sambil memerhatikanku yang sedang duduk di sofa. Aku tidak menghiraukan pandangannya. Malah, aku sedang menunggunya membuka bicara mengenai kejadian petang tadi.

“So, tell me, what you wanna know?”Syed Amriz akhirnya mula bersuara.

Aku pandang tepat wajahnya. Dia tenang menentang pandanganku.

“You know better,” jawabku ringkas. Bantal sofaku ambil dan bawa ke dalam dakapan. Cuba menyembunyikan perasaan sebenarku.

Dia melemparkan senyum sinisnya. Menambahkan kehairananku. Adakah dia sudah mampu membaca perasaanku? Perasaan cemburuku ketara sangatkah?

“I can’t help you kalau kita terus main hide and seek macam ni,” katanya yang mempunyai maksud yang dalam.

Aku menjelingnya. Aku main sembunyi? Bukan dia? Panas hatiku mendengarnya.  Dari firasatku, dia seperti sengaja mahu aku hamburkan segala rasaku padanya.

“What do you mean by that?” Tanyaku, sengaja walau aku sudah mulai faham permainannya.

Syed Amriz mampir padaku. Bantal sofa yang berada dalam dakapanku dialihkannya. Mendedahkan bentuk perutku yang dilindungi bantal kecil tadi. Aku melihat tangannya yang jatuh di atas permukaan perutku.

“Dalam hidup ni, kadang-kadang kita  tak sedar yang kita suka dua orang dalam satu masa. Kesilapan biasa berlaku dalam kehidupan, kan? Samalah macam perasaan cinta. Sayang cintakan Khai dulu, tapi sayang tak pernah sedar yang sayang jugak cintakan abang dalam masa yang sama,” jelasnya, lalu tanganku digenggamnya.

Aku mengerutkan dahi, tidak faham dengan penjelasannya.

“Sayang sukakan Khai, tapi tetap setuju jadi perempuan simpanan abang dulu, kan?”sambungnya lagi.

Aku masih tidak faham. Bagiku, aku jadi perempuan simpanannya suatu masa dulu kerana tidak mahu rahsiaku pecah. Bukan kerana aku sudah cintakan dia.

“Abang tahu yang sayang jadi perempuan simpanan abang sebab tak nak rahsia sayang pecah. Tapi cuba tengok dari sudut lain, sepatutnya sayang tidak terima pelawaan abang tu. Pada awal hubungan kita, abang tak pernah sentuh sayang,kan? Sampai satu hari tu baru abang paksa sayang tidur dengan abang. Kalau betul sayang suka dan cintakan Khai, kenapa sayang sanggup bagi  segalanya pada abang?” tambah Syed Amriz.

Aku membawa ingatanku kembali ke zaman persekolahan kami dulu. Saat aku mula bersetuju menjadi perempuan simpanannya kerana mahu menjaga rahsiaku yang ada dalam genggamannya. Pada mulanya, dia memaknakan status ‘perempuan simpanan’ padaku sebagai temannya sewaktu dia kebosanan. Kerap juga aku menemaninya di sekolah ataupun di luar bila-bila dia mahukannya.  Lama-lama, aku semakin selesa dengannya dan membuatkan aku terlupa sebentar pada Syed Khairul. Dalam masa itu, Syed Amriz  tidak pernah melebih-lebih denganku sehinggalah suatu hari ketika itu kami berdua-duaan di rumahnya. Dia memaksaku untuk tidur bersamanya. Dengan berat hati aku merelakannya kerana masih beranggapan yang dia akan memecahkan rahsiaku jika aku menolak.

“Betul tak,”  Suara Syed Amriz memecahkan lamunanku.

“Saya baru 19 tahun masa tu. Masih mentah dan keliru dengan perasaan saya sendiri. Lagipun awak ugut saya,” Aku membela diri meski aku sendiri tidak yakin yang Syed Amriz akan mempercayainya.

Lelaki itu tersenyum sinis lagi. Meragui kata-kataku sepertimana telahanku.

“Ye ke? Habis tu pada usia 26 tahun, kenapa sayang masih menyerah diri pada abang? Takkan sebab kena ugut sekali dah takut,” sindirnya, tajam.

“Memang pun, awak ugut saya dengan ugutan yang sama!” bentakku.

Dia ketawa mengejek.

“ Pada usia 26 tahun, takkan sayang masih tak belajar menolak?” provoknya.

Aku sekali lagi menghadiahkannya dengan jelingan tajamku.

“Lagipun, takkan sayang tak rasa apa-apa masa abang sentuh sayang? Tak rasa betapa dalamnya cinta abang pada Khurul Aisyah?”

“Nope,” balasku selamba dalam masa yang sama menidakkan rasa yang selalu bertandang dalam hati setiap kali kami berdekatan.

Syed Amriz hanya senyum mendengarnya.

 “ Yelah tu, actually  you’re deeply in love with me. Cuma tak perasan. kalau tak, kita takkan ada ni,” ujarnya sambil menyentuh perutku lagi.

Aku mencebik.

“Oh, ye untuk menambah bukti yang sayang sebenarnya cintakan abang adalah kejadian petang tadi. Sayang marah abangkan? Tengok Cathrine peluk abang?” katanya lagi.

“Sukalah kena peluk?” perliku, sakit hati bila dia sudah menyentuh kejadian petang tadi.

“Cathrine dah kahwinlah. Dia memang macam tu. Lagipun dia peluk tak ketat-ketat la. Biasa je. Sayang peluk lagi best!” jelasnya sambil meletakkan tangannya di bahuku.

Yelah tu! Detik hatiku, masih marah.

“Tapi awak tak tolak, kan?”

“Sayang cemburu,kan?”

“Jawab soalan saya dulu!” tegasku.

“Not until you answer mine first!” dia juga berkeras mahu mendengar jawapan dariku dulu.

“Saya dulu!” gesaku

“You love me and you are jealous!” ujarnya, tidak mahu mengalah.

“No!”jawabku.

“Yes!”

“No!”

“Yes!”

“No!”

“Yes!”

“No!”

“No!”

“Yes!” Aku menutup mulutku. Terperangkap akhirnya. Dia senyum meraikan kemenangannya.

“Abang kan pernah kata, dari dulu sampai sekarang seorang je ada dalam hati ni. Itu pun sayang je. Mana boleh letak nama orang lain. Hati abang ni limited space,”terangnya,menyejukkan hatiku.

Aku mengetap bibir, terharu.

“I’m sorry for doubting you,”pintaku, perlahan di telinganya.

Dia mengangguk.

“Lagi?” Tanyanya.

“ Apa lagi?” Aku tidak faham.

“Takkan tu je, maaf tu tak cukup menyakinkan abang kalau tak disertakan lafaz yang abang tunggu selama tujuh tahun ni,” katanya masih berselindung.

Aku sudah mulai faham apa yang dia mahu dengar dariku. Tanpa sedar mukaku sudah mula berbahang menahan malu.

“I love you,” bisikku di telinganya. Perlahan.

“Apa? I like you ?” Soalnya, sengaja menukar kata-kataku.

“Hish, kan saya beritahu ‘I love you’ kat abang, bukan ‘i like you’,” Tanpa sedar aku menyatakannya dengan kuat di hadapan Syed Amriz.

Lelaki itu tersenyum lebar melihat keterlanjuranku. Aku sudah menutup muka dengan tapak tanganku tatkala tersedar.

“Hmm...dah lega hati abang ni dengar sayang cakap macam tu,”ujarnya lalu tersenyum bahagia.

“Sorry saya ambil masa nak sedar cinta abang,” pohonku.

“Takpe. Better late than never,”balasnya, bersahaja sebelum mencium pipiku.

Aku tersenyum gembira. Bahagia bila dua hati saling mencintai. Tidak perlu lagi bersembunyi. Tidak ada lagi alasan sebab tidak perasan sudah jatuh cinta. Tidak perlu cemburu lama-lama!

Dalam hidup, kita akan selalu melakukan kesilapan. Setiap kesalahan yang dilakukan akan mematangkan fikiran dan menyedarkan kita. Cinta pula akan selalu menjadi punca untuk kita membetulkan kesilapan, kerana... cintakan universal fungsinya!

P/S : Status anak luar nikah (anak yang tidak sah tarafnya) adalah anak yang lahir dari hubungan ibu bapa tanpa ikatan pernikahan yang sah dari segi syariat Islam. Anak tersebut bukan anak haram, bukan najis dan kotor, sebenarnya anak itu adalah sempurna dan dilahirkan dalam keadaan fitrah dan bersih tanpa dosa. Bagi saya tidak baik dan tidak patut sangat menggelar anak tersebut sebagai anak haram. Yang menjadi masalah ialah hubungan zina kedua ibu bapanya tanpa ikatan perkahwinan. Haram itu adalah pelakuan ibu bapanya dan bukan anak itu haram. Firman Allah yang bermaksud :

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia Dalam bentuk Yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai Dengan keadaannya).” (At-Tin : 4)

“Dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda Yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka Dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk Yang telah Kami ciptakan.” (Al-Isra : 70)

Hadis Nabi yang bermaksud : “Setiap anak yang dilahirkan adalah fitrah”.

Ketiga-tiga dalil yang diberikan di atas ini, sangat jelas dan tidak dapat dipertikaikan bahawa setiap manusia yang dilahirkan adalah dalam keadaan yang sangat baik dan bukan dalam keadaan aib dan hina sepertimana yang digambarkan oleh sesetengah pihak terhadap anak-anak luar nikah ini. Jangan dibinasakan anak tersebut disebabkan anak tersebut luar nikah. Sepatutnya kita sebagai orang Islam wajib memuliakan antara satu sama lain, berbuat baik antara satu sama lain kerana ini yang dikehendaki oleh Islam dan ini juga merupakan sifat Rasulullah saw.( Ustaz Nor Amin)

NOORAIHAS:  Niat tidak pernah menghalalkan cara.  Kalau anda cintakan seseorang dan ingin memilikinya, pastikan anda menggunakan cara dan alternatif yang tidak melanggar syariat agama...


22 comments:

Ruunna Qizbal said...

mcm biasa, BEST BEST BEST

in zfyrh said...

best3....
thanks cik writer...

Nooraihas said...

Terima kasih pada yang sudi komen :) selamat menjalani aktiviti hujung minggu yek! hehehe...

Anonymous said...

cerpen awk best.......
next cerpen???

Anonymous said...

like like like like like like

Ruunna Qizbal said...

smbng lgi akak.. hehe, xpuas hbis mcm ni je.. hehe, uat lgi ya cerpen.. sbb smua akak uat.. BEST BEST BELAKA

Anonymous said...

bez...cite yg slalu trjadi pde skeliling kite...gud job!

Unknown said...

Best sgt2

ija anas said...

erm, best.. tapi kan, saya tak sokong sangatla kisah ni.. bukan sebab anak luar nikah tu.. tapi sebab apa yang dia buat sebelum kahwin tu.. risau je kalau ada orang yang baca ni terdorong nak buat macam tu.. hee sory la kalau komen saya ni macam tak kena la pulak kan..

mengeluh panjang ---> hmmmmmm..

sentebale-hk said...

Cinta bukan utk nafsu shj..
Cinta buat kita rasional jika guna akal..
Cinta x bg kenyang jika hanya ingat yg manis...tanpa fikir sehari ke hadapan.
Guna akal..matangkan fikiran walau umur masih muda...bg sy itu cara utk baca tanpa terpengaruh. Hiburan dan pesanan boleh bertukar fungsi jika kita yg menyalahgunakan pendekatannya. Tahniah dan syabas penulis kerana berani pamer idea yg kdg2 dianggap jumud..tabu.keji pd masyarakat..dgn cara yg simple..cervel cinta...

Unknown said...

Penuh dengan pengajaran. Thumbs up! ;')

cahaya kerinduan said...

Good job writer..

Unknown said...

a wonderful karya. you were born to be an 'artist', enjoy sangatt baca cervel awkk..

Unknown said...

Best gilerr..nak nangis bace cerpen nie..hehe..

Unknown said...

Super best hehe

miss qaseh said...

Best...... .

Unknown said...

Best, gud job

Anonymous said...

Terbaik kak aihas.

Unknown said...

Akak. Still me. I'm in love with your cervel. Trully in love without doubting.

Unknown said...

Good job

Anonymous said...

Best...

Hanahreum said...

Entry yang menarik kak. Taktahu dah berapa kali singgah sini semata2 nak baca cervel akak. Mini love from Hana 🫰🏻