Oh, Pengikut Setiaku!!!

Monday, May 20, 2024

Bab 13: Don't Say Good Bye

 Bab 13


Khalida pandang Dato' Syed Armand dari mula sampai, sehingga majlis meminang dan bertunang Khalif dan Syarifah Armalia hampir ke penutupnya. Entah kenapa, dia rasa macam pernah melihat wajah tua tapi berkarisma itu.


"Kak Ida, kenapa pandang bakal bapa mertua si Khalif macam tu?" Tegur Khaisara.


Sebenarnya, dari tadi lagi  dia perasan. Nak tegur orang masih ramai. Sekarang dah reda orang barulah dia berkesempatan bertanya.


"Tak adalah. Kak Ida rasa macam pernah nampak muka ayah si Armalia tu," balas Khalida, perlahan.


Khaisara mengangguk faham.


"Mungkin dalam surat khabar tak pun internet kut Kak. Dato' Syed Armand tu kan orang kenamaan. Tentulah muka dia biasa nampak."


"Agaknyalah. Tapi cantik betul Armalia tu. Sepadan dengan adik kita!" balas Khalida sekaligus menukar topik perbualan mereka.


"Alhamdulillah. Walaupun, nampak sombong sikit awalnya  tapi dengan Mak, baik betul dia. Mak pun nampak sayang betul dengan Armalia." Khaisara turut bersetuju.


"Harapnya, berjodoh sampai ke Jannah. Risau juga sebab, pembawakan keluarga kita dan keluarga Armalia tu sudah tentulah lain."


"Tak perlulah Kak Ida nak pening kepala. Khalif lelaki. Pandailah dia jaga isteri dia nanti," balas Khaisara.


"Amboi, gosip berdua saja ke? Tak ajak saya pun. Sejak bila ni?" Sergah Kamilla dari belakang.


"Sejak kau busy makanlah!" Seloroh Khalida disambut ketawa Khaisara.


Langsung cemberut wajah Kamilla. Mentang-mentang hobinya makan. Tak habis-habis dia di usik dengan perkara itu.


"Lupa nak cakap, Mak dah panggil balik. Lagipun banyak perkara nak kena settle lepas ni," beritahu Kamilla.


"Amboi mak! Teruja betul nak dapat menantu perempuan!" 


"Mestilah! Lama Mak kita tunggu Khalif bawak menantu. Bila dah sampai waktunya, mau tak all out!"  Kata Khaisara tidak kurang teruja juga.


Langsung tawa mereka bertiga bergabung di petang hari yang bahagia itu.



SYARIFAH ARMALIA tersenyum kecil melihat kakak-kakak Khalif berbual sesama mereka dari jauh. Seronoknya ada adik beradik. Untung Khalif.


"Kenapa tak join?" Tanya Khalif.


Dari tadi dia perasan Syarifah ARMALIA melihat kakak-kakaknya bersembang tapi tidak pula wanita itu menyertai mereka.


"Belum biasa lagi. Nampak mereka okay. Lagi pun, I nak meluangkan masa dengan tunang I ni."


Khalif senyum mendengar. Rasa peliklah juga bila hubungan dia dan Syarifah Armalia bertukar jadi begini. Tapi aturan takdir siapalah yang tahu. 


Alih-alih, memang dialah yang berjodoh dengan Syarifah Armalia! Punyalah wanita itu anti dengan dia. Dan dia pun kalau boleh tak mahu perempuan cengih jadi bini. 


"Tak cukup lagi ke tengok muka saya dekat pejabat? Tambah lagi dekat sini. Nanti lepas kahwin, Insha Allah jadi seumur hidup."


Syarifah Armalia menggeleng kepala.


"Sampai you beruban. Dan sampai you dah berkedut!" 


"Amboi. Saya sajalah yang  beruban dan berkedut? Awak?" Khalif melawak.


"I mestilah jadi Syarifah Armalia yang cantik jelita walaupun dah berusia!" Pantas Syarifah Armalia menjawab dengan nada mengusiknya.


Khalif terus  mencebik.


"Don't worry husband to be. I tak akan bagi you berkedut teruk. I akan  bawa you buat facial treatment juga. Biar kita jadi nenek dan atuk yang cantik dan handsome!"


Kali ini tawa Khalif meletus lagi. Ada-ada sajelah bakal isteri dia ni. Suka angkat bakul sendiri juga rupanya!


"Khalif," panggil Syarifah Armalia setelah tawa lelaki itu reda.


"Janji dengan I. Walaupun akan ada hari you bangun dari tidur dan tengok wajah I di sebelah dengan rasa marah, benci, geram atau pun rasa kosong tapi you tak akan sesekali tinggalkan I," pesan Syarifah Armalia, serius.


Khalif terdiam lama sebelum mengangguk perlahan.


Dia sedar besar tanggungjawab berkahwin dan menjadi suami kepada Syarifah Armalia nanti. Di sekelilingnya,  akan ada  banyak mata yang  mengecam dan muka yang berselindung disebalik kata yang manis. Hanya kerana dia bergelar suami kepada anak kenamaan.


Dalam keheningan hari, hatinya turut sama berdoa, semoga Tuhan jaga hati dia dan bakal isterinya ini. Biar mereka bercinta sampai ke syurga.



SELANG beberapa hari kemudian, Syarikat Dato' Syed Armand bergegar dengan berita tergempar mengenai pertunangan antara Syarifah Armalia dan Khalif. 


Itu pun selepas  jemputan majlis perkahwinan keduanya dimaklumkan melalui emel. 


"Pandai ya kau Khalif. Senyap-senyap bercinta dengan bos sendiri!" Perli Kak Salmah sebaik saja Khalif melabuhkan duduknya di kerusi.


Khalif membalas dengan senyuman kecil. Apa lagi yang dia boleh kata. Dia sebenarnya tidak bersetuju Syarifah Armalia menghebahkan  status hubungan mereka di tempat kerja.


Namun, wanita itu berkeras kerana tidak mahu ada staf  yang buat cubaan 'menyondol' Khalif nanti. Hampir tergelak juga Khalif mendengar jawapan kurang matang tunangnya. Tapi kerana pengalaman lalu Syarifah Armalia, Khalif bersetuju saja. 


"Betul tu Kak Salmah. Risaulah I lepas ni." Sarimah menyampuk perbualan mereka tiba-tiba.


"Eh, kenapa pulak kau nak risau Sarimah?" Hairan Kak Salmah dengan kata-kata yang keluar dari mulut Sarimah.


"Risau lah kak. Sebelum ini kan I kerap bergosip dengan Khalif pasal bos. Tup-tup, bos kita itu girlfriend dia!" 


Kak Salmah menghamburkan tawanya. Khalif pun sama. Risau pasal itu rupanya. 


"Itulah kau. Datang kerja tu cuba betulkan niat sikit. Ini nak bergosip aje!" Tempelak Kak Salmah dalam nada mengusik.


"I bukan bergosiplah Kak Salmah. I menyuarakan dan berkongsi kehairanan I saja. Kebetulan Khalif yang dekat dengan meja I. I ajaklah sekali.  Tapi I tak cakap benda buruk kan Khalif?"


Sarimah membalas sebelum menayang muka menagih simpati pada Khalif.


Khalif menggeleng kepala. Ada-ada saja. Masa bergosip manalah beringat banyak ke sikit perkara yang digosipkan itu.


"Lepas ni tak boleh ajak I bergosip dah ya. Terutama pasal Cik Melly tu," Khalif mengeluarkan amaran kecil.


Sarimah laju-laju mengangguk lagak sudah insaf, tidak mahu ulang lagi. Tapi soalan seterusnya sama saja. Mengundang gosip!


"Eh, dah bertunang pun panggil Cik Melly lagi ke?" 


"Sarimah!" Tegur Kak Salmah dalam nada geram seterusnya mengundang tawa mereka bertiga.



P/s: Done 3 bab dalam bulan Mei. Tak panjang tapi harapnya konsisten. Nak disiplin dan konsisten memang susah. Tapi yg paling susah lagi adalah mula. Rentak menulis pun dah lari lintang pukang. Lol.



No comments: