Oh, Pengikut Setiaku!!!

Showing posts with label # Novel. Show all posts
Showing posts with label # Novel. Show all posts

Saturday, June 15, 2024

Bab 14: Don't Say Good Bye

Bab 14


Hari yang ditunggu, akhirnya tiba juga. Selepas enam bulan bertunang, Syarifah Armalia dan Khalif sah menjadi pasangan suami isteri  dalam majlis sederhana tapi bermakna untuk kedua-dua keluarga.


Dari tadi, Khalif tidak lepas-lepas memandang wajah jelita Syarifah Armalia yang manis mengenakan tudung bawal berwarna putih susu. Wajah itu disolek tipis namun  masih terserlah seri pengantinnya.


Tidak salah permintaan Khalif meminta Syarifah Armalia mengenakan tudung di hari perkahwinan mereka.  Walaupun, Syarifah Armalia awalnya menolak, tapi wanita itu akur apabila Mak Adah menasihatinya. Apatah lagi perkara itu disokong juga oleh Dato' Syed Armand.


"Cantik isteri saya hari ini!" Puji Khalif ketika Syarifah Armalia sedang menyuapkan makanan ke mulutnya.


Syarifah Armalia yang mendengar, sempat tersipu malu  kerana mendapat pujian dari lelaki yang baru saja bergelar suaminya. Suami! Sukanya dia dengan gelaran itu!


"Hari-hari pun I cantik. Tak pelik. Tapi  you lain. Hari ini you handsome extra sikit,  husband!" 


"Sikit je? Saya ingatkan saya handsome banyak hari ini. Nama pun raja sehari. Nampaknya, tak handsome jugaklah ni." Rajuk Khalif.


"Kalau you handsome banyak hari-hari, I pun risau banyak jugaklah. Hari ini pun i dah rasa risau sangat dah ni."


"Eh, kenapa pulak?"


"Sebab banyak mata anak dara tengok you macam nampak putera raja! Mata mereka tu macam ada love-love!"


"Oh, ye ke?Love-love?" 


"Ye ke? You ni tak perasan ke pura-pura tak perasan?"Panas pulak hati Syarifah Armalia mendengar balasan polos dari si suami.


"Yalah, saya tak perasanlah part love-love tu. Saya tak pandang anak orang lain. Saya pandang anak  Syed Armand ni saja dari tadi," ujar Khalif.


Dia nak cakap macam mana lagi. Memang dia fokus  dengan isterinya sahaja. Tak ada masa nak fikir perkara lain. Ciptaan indah Tuhan yang dipinjamkan kepadanya bermula hari ini.


Sementara itu, Syarifah Armalia sempat terkesima  apabila mendengar kata-kata yang keluar dari mulut suaminya itu. Tak sangka, pembantu peribadinya ini ada bakat mencairkan hati dia!


"Jadi maksudnya, you dah jatuh cinta ke dengan I?" Penuh harapan Syarifah Armalia bertanya.


Dia berharap sangat, Khalif bagi jawapan positif. Kerana selama enam bulan bertunang, dia menunggu Khalif beri balasan untuk setiap ucapan 'I love you' tapi lelaki itu senyum saja! Geram pulak dia.


Khalif mengerutkan bibir dengan anak mata yang pandang ke atas. Lagak sedang mempertimbangkan sesuatu.Makin  bertambah geramlah  Syarifah Armalia melihatnya.


"Saya bagitahu lepas ulangtahun perkahwinan kita yang pertama nanti, okay?" 


"What?" Terjerit Syarifah Armalia mendengarnya.


Nasib baik tetamu sudah beransur pulang. Yang tinggal hanya kaum keluarga terdekat saja. Kalau tidak susah juga nak menjawab!


"Hello love birds! Sorry I lambat datang!"Tegur satu suara dari arah belakang mereka.


"Lukman! I  Ingat  you tak jadi datang?" Teruja Syarifah Armalia.


Dia sudah bangun dan mahu memeluk Lukman seperti biasa tiap kali mereka bertemu. Tapi tindakannya tersekat dek tangan Khalif yang tiba-tiba memaut pinggangnya. Langsung dia tergamam.


Lukman pula sudah tersenyum kecil melihat reaksi kedua-dua pasangan pengantin baru itu.


"I saje nak buat surprise dekat you. And Khalif, good luck jadi husband Syarifah Armalia," usik Lukman lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Khalif.


Khalif sambut dan menyimpul senyum ringkas sebagai balasan.  


Dalam diam, Khalif menarik nafas lega. Nasib baik dia sempat menghalang isterinya itu dari berkelakuan lepas.


Dulu, mungkin dia terpaksa 'pejam mata'  kerana tidak mahu dikatakan 'busy body' dengan Syarifah Armalia. Apatah lagi status mereka ketika itu hanya  sebatas majikan dan pekerja.


Sekarang, dia suami. Wajar, dia lindungi maruah isteri dia. Apatah lagi hati dia tadi sempat menghangat apabila terbayang kalau si isteri sempat memeluk rakan lelakinya itu.


Di satu sisi lain, Syarifah Armalia berasa seronok melihat wajah merah dan lega Khalif. Adakah ini memberi petanda baik?



MALAM itu, Syarifah Armalia menunggu Khalif masuk ke bilik tidur mereka dengan sabar. Tadi selepas solat isya' berjemaah, Papa memanggil Khalif untuk menemaninya minum kopi.


Syarifah Armalia hanya membiarkan kerana faham sangat keakraban bapa dan suaminya itu. Walaupun, dalam hati geram juga kerana papa 'menculik' suaminya di malam istimewa mereka.


Apabila terdengar pintu di kuak, Syarifah Armalia segera berpura-pura menatal telefon pintarnya. Aplikasi laman sosial medianya dibuka spontan. walaupun 'berlakon'  tapi dia sempat perasan, ramai juga yang 'like dan 'comment' gambar perkahwinan dia dan Khalif.


"Tak tidur lagi? Dah lewat ni," tegur Khalif lalu melabuhkan duduknya di birai katil.


Songkok yang terletak dikepala ditanggal dan di letak di tepi meja konsul. Apabila tiada reaksi dari isteri, Khalif segera mencari wajah manis itu.


Alamak, masamnya muka tu! 


"Tahu pun dah lewat. Lama I tunggu you, Khalif." Rajuk Syarifah Armalia.


Khalif tergelak dek geli hati. Tak sangka, bos kecil dia yang garang selama  ini ada sisi mengada macam ni!


"Habis tu, kenapa awak tak tidur je? Tak perlulah tunggu saya. Saya bukannya baby," balas Khalif sempat mengusik.


"Tentulah tunggu. Ini malam pertama kita sebagai suami isteri."


"Jadi?" 


"Jadi? Jadi apa yang husband and wife buat kalau malam pertama?"


"Tidurlah. Takkanlah main golf pulak!"


"Khalif!" Jerit Syarifah Armalia,  lalu perut lelaki itu dicubit geram.


Terus meletus tawa besar Khalif. Sambil ketawa, badan lelaki itu meliuk ke kiri dan ke kanan demi mengelak dari serangan Syarifah Armalia. 


Penat mengelak, Khalif ambil tangan Syarifah Armalia lalu memegangnya erat. Kemudian bebola matanya mencari anak mata si isteri.


Ketika ini dada Syarifah Armalia terasa bagai dipalu kuat. Berdebar dengan pandangan suaminya. Tadi dia rasa, dia dah terlalu 'bold' dengan tindakannya.


Namun, apabila Khalif pula bertindak berani, terus dia rasa kelu. Tubuhnya juga terasa menghangat tiba-tiba apabila telapak tangan Khalif  memegang pipinya dan mengusap lembut.


"Assalamualaikum, isteri!" Ucap Khalif ditepi telinga  isterinya.


Dalam debaran, Syarifah Armalia menjawab salam suaminya. "Waalaikumsalam, suami saya!" 


Saturday, July 22, 2023

Bab 9: Don't Say Goodbye

 Bab 9


     Khalif memandang Syarifah Armalia dengan rasa hairan. Sejak peristiwa dia membantu menyelamatkan majikannya itu daripada perbuatan jahat bekas teman lelakinya, wanita itu sudah tidak lagi garang mahupun marah tidak tentu hala padanya.

     Walaupun berasa pelik dengan perubahan majikannya itu, namun dalam hati dia bersyukur atas segala perubahan positif yang berlaku. Perkara yang baik dia sangat alu-alukan!

    Cuma kadangkala terdetik juga dalam hati dia, adakah perubahan Syarifah Armalia itu disebabkan rasa terhutang budi dengannya?

    Kerana dengan pekerja lain Syarifah Armalia masih tegas dan dingin. Cuma sudah kurang sedikit barannya dan lebih berhati- hati dalam pemilihan perkataan. Mungkin tidak mahu lagi orang berkata buruk mengenai peristiwa hari itu.

    Selepas kejadian Zarif menyerang Syarifah Armalia menjadi kes siasatan polis, ramai staf mengetahuinya dan mengandaikan itu satu bentuk balasan kepada perangai buruk wanita itu selama ini.

     Dan ketika gosip mengenai perkara itu berlegar di ruang udara ARMAND Holding, dia dan Syarifah Armalia kebetulan berada di situ dan mendengarnya.

      Khalif masih teringat lagi kata-kata Syarifah Armalia kepada dua orang staf wanita di ARMAND Holding.

      "I mungkin jahat dan mungkin juga betul cakap you all yang ini satu pembalasan untuk perbuatan I selama ni. 

       Tapi satu perkara I tak buat di tempat kerja adalah menabur pasir dalam periuk nasi sendiri. 

     Kerana I percaya rezeki bekerja akan  menjadi darah daging dalam keluarga. Dan I juga percaya bergosip pun bukan perkara baik terutamanya mengenai nasib malang orang lain.

     Kalau you all tak nak di buang kerja ataupun menyebabkan I berdoa pada Tuhan supaya nasib malang menimpa you all pula, baik buat kerja seperti mana company bayar you all selama ni. Faham?" Tegas Syarifah Armalia dengan pandangan tajam namun dinginnya terasa sehingga ke tulang.

     Khalif yang berada di sisi juga terdiam menghadam. Dia percaya dua pekerja wanita di hadapan mereka ini pasti merasakan perkara sama. Kerana kedua-duanya diam sebelum akhirnya mengangguk mengerti.

      "Khalif! Are you listening to me! Back on earth please!" 

       Suara Syarifah Armalia menyedarkan Khalif daripada peristiwa yang berlaku beberapa hari lepas.

       "Ya, Cik Melly. Saya dengar," balas Khalif sebelum berdehem beberapa saat. 

        Malu juga tertangkap tidak profesional dengan Cik Melly nya ini. Boleh pulak dia mengelamun di siang hari!

      Kalau Syarifah Armalia versi dulu,  pasti fail atas meja wanita  itu sudah terbang ke lantai! 

        Syarifah Armalia mengangguk berpuas hati selepas menjeling seketika melihat buku catatan Khalif penuh dengan perkara penting yang di bincangkannya tadi. Tanda lelaki itu fokus juga walaupun nampak seperti orang sedang berangan tadi.

      "You ada perkara ke nak tanya I? Sebab muka you macam ada tanda soal." Tanya Syarifah Armalia.

    Khalif segera membetulkan duduknya. Alang-alang sudah tertangkap, baik saja dia terus bertanya. Bukan kena bayar pun! Cuma kalau tak bernasib baik dan datang angin kus-kus bosnya ini, dia mungkin di kenakan tarta tertiblah kot.

      "Betul. Saya ada persoalan tetapi bukan tentang kerja. Am I allow to do so, now?" Berhati-hati Khalif memula bicara.

       Bimbang juga Khalif  kalau Syarifah Armalia tak ada mood nak berbual walaupun kerja mereka sudah siap. Tidak lagi  baran dan berlembut sedikit, bukan bermakna wanita itu boleh diperlakukan sesuka hati.

       "Shoot!" Balas Syarifah Armalia. Ringkas.

        "Cik Melly nampak dah berubah sejak kejadian hari tu."

         "Berubah? Berubah in a good way is it? You suka tak?" Terkedu Khalif mendengarnya.

    Eh, kenapa pulak dia yang kena suka tak suka dengan perubahan baru Cik Syarifah Armalia ni?

      "Alhamdulillah, perkara baik semua orang suka. Kalau boleh kena konsisten. Saya doakan yang terbaik untuk Cik Melly.

     Tapi terlebih dahulu saya minta maaf ya kalau saya salah, perubahan semua ni sebab  Cik Melly yang  nak berubah sendiri ke atau Cik Melly rasa terhutang budi dengan saya?" Soal Khalif berlapik namun di sambut tawa kecil pula oleh Syarifah Armalia.

      Seraya kening lelaki itu berkerut. Soalan dia tadi tak ada pulak unsur jenaka. Tapi kenapa pulak bos nan seorang ini boleh tertawa sebagai respons?

      Syarifah Armalia perlahan-lahan menutup fail kerja yang di semaknya tadi sebelum melabuhkan pandangan redupnya ke dalam anak mata lelaki di hadapannya ini.

        "I know you are sharp and sensitive towards your surroundings. You don't take forever to aware on anything. And yes you're correct. I change for you and of course for better version of me.

     Kalau you nak tahu, I sangat bersyukur, Tuhan gerakkan hati you untuk datang selamatkan I hari itu. Tapi bukan itu saja, I nak you tahu sejak hari itu, i sedar yang I like you!" Serius Syarifah Armalia menuturkan isi hatinya. 

    Lain pula reaksi Khalif. Lelaki itu agak terpempan. Wajahnya juga terasa berbahang. Ada rasa malu menyinggah apabila wanita itu berterus terang mengenai perasaannya.

    Lalu air mineral di atas meja di ambil.  Penutupnya di buka dan air putih itu diteguk perlahan selepas lafaz basmallah.

      "I tahu ini tentu terlalu tiba-tiba untuk you. But I akan bagi masa untuk you. Dan you kena terima yang I akan keep wooing on you sampai you juga suka I,"sambung Syarifah Armalia lagi.

      Dia tahu, Khalif tidak selesa, terkejut dan mungkin malu dengan pengakuan tiba-tibanya hari ini. Tapi sudah menjadi prinsip Syarifah Armalia untuk bekerja keras dan pantas dalam setiap perkara yang di hajati.

      "Kalau saya tak jatuh cinta jugak dengan Cik Melly? Apa akan jadi? Are you going to give up on me and move on?" Lama Khalif berdiam diri sebelum mengambil keputusan untuk melontarkan pertanyaannya.

     "Learn this, Khalif.  I don't give up easily. For me, it's do or die!"


SARIMAH memerhati langkah Khalif yang baru keluar daripada bilik majikan mereka. Daripada tingkah laku lelaki itu, Sarimah dapat mengagak pasti ada perkara yang berlaku.

      Wajah Khalif yang nampak bingung menambahkan lagi kecurigaan dalam hati wanita itu. Biasanya, riak wajah Khalif tenang, walaupun dilempar fail ke muka oleh majikan diktator mereka.

    Namun, kali ini auranya nampak berbeza. Seolah-olah ada awan mendung yang berarak sekali mengikuti langkah lemah Khalif.

     Lalu, Sarimah melangkah ke arah meja Khalif. Meja pemuda itu diketuknya beberapa kali bagi menarik perhatian subjek yang masih jauh termenung walaupun sudah berlabuh di meja kerjanya.

      "Apa tak kena dengan muka kau ni, Khalif? Nak kata kena marah tak ada pulak dengar cik  Melly tu menjerit tadi. Cuba cerita dekat akak sikit?"Tidak menunggu lama Sarimah terus bertanya.

     Khalif mengangkat wajahnya. Memandang Sarimah Yang berada dihadapannya. Hendak dicerita pada Sarimah macam tidak kenalah pula!

     Walaupun rakan sekerjanya itu baik orangnya tapi tidak bermakna dia boleh sewenang-wenangnya bercerita perkara peribadinya kepada Sarimah.

      "Khalif, kau okay ke tidak ni? Kenapa kau diam saje?"Soal Sarimah lagi apabila lelaki yang muda beberapa tahun dari dia itu masih diam tidak berkutik.

     "Tak ada apalah Kak. Cuma serabut sikit sebab banyak perkara penting nak kena settle dalam masa terdekat ni."

      "Lah, betul ni? Sebab kerja? Bukan sebab perkara lain? Sebab akak nampak muka kau macam pelik sikit. Tapi tak apalah kalau kau cakap macam tu. Akak pun tak boleh nak campur lebih-lebih. Kerja akak pun banyak," balas Sarimah terselit gurauan sebelum melepaskan tawa kecilnya.

     Khalif menyambutnya dengan gelengan perlahan. Apalah! Macam nak ambil berat pasal dia tadi tapi bila sebut kerja terus sedar diri sendiri pun sama ada kerja nak kena buat!

    Tapi betul cakap Sarimah. Tanpa melihat cermin pun Khalif tahu air mukanya seperti orang menanggung beban yang berat.

      Pengakuan Syarifah Armalia tadi sangat mengejutkan. Selama ini dia tidak pernah 'dilamar' oleh mana-mana perempuan. Dan dia juga tidak menyangka Syarifah Armalia, majikan berhati batu itu yang akan menjadi pertama bertindak melamarnya. 

    Akan tetapi, terdetik juga dalam hati Khalif, adakah Syarifah Armalia betul-betul memaksudkan kata-katanya tadi? Atau itu hanya di dorong rasa terhutang budi? Atau boleh jadi, wanita itu hanya mahu main hati saja dengannya?

      Perlahan, Khalif bawa telapak tangan ke dadanya. Dia akui ada sedikit rasa berdebar di hati dek pengakuan tiba-tiba Syarifah Armalia itu. Tapi adakah itu cinta? Atau hanya satu bentuk kegelisahan? 

    Dia betul-betul tidak tahu. Apa yang dia tahu dia perlu mengekalkan darjah kewarasannya. Boleh jadi ini satu permainan untuk anak orang kaya seperti Syarifah Armalia. Dia perlu bertenang!







      




Friday, October 9, 2015

# BAB 7 : DON'T SAY GOOD BYE





BAB 7


I will be there right for your command....



Syarifah Armalia mengerling jam tangannya sebentar. Dah pukul Sembilan malam rupanya. Lama betul dia menghadap kertas-kertas kerja. Boleh naik juling rasanya dek terlalu lama memandang kertas putih dan tulisan sahaja . Agak-agak Khalif dah balik ke? Tak perasan pulak dia. Yelah dia awal-awal lagi sudah berpesan pada lelaki itu supaya tidak mengacaunya seharian ini. kalau nak balik pun jangan cakap. Balik je. Itu kata-katanya pada lelaki itu. Sekarang rasa menyesal pulak. Suasana pejabat ini pun rasa macam seram semacam pulak. Kalau ada setiausahanya itu tidaklah terasa sangat takutnya.

Haih...tak boleh jadi ni. Aku kena balik jugak. Tekadnya lalu menutup laptop dan mengemas kertas dan fail yang berselerakan di atas mejanya. Selesai mengemas, dia cepat-cepat mencapai beg tangannya dan bergerak ke muka pintu pejabat.

Saat dia mengunci pintu bilik pejabatnya entah kenapa dia terasa seperti diperhatikan. Bagai ada anasir jahat pulak yang berhampiran. Ada ke macam tu? Lengan  baju diselaknya. Huihh...meremang bulu roma aku! Pak guard ni masa-masa gawat macam ni tak nak pulak meronda. Sempat lagi dia menyalahkan pak guard kerana tidak melakukan rondaan pada waktu sekarang.

“Hai sayang!”

Syarifah Armalia segera berpaling ke arah suara yang tiba-tiba menyapanya. Sekejapan sahaja rasa takut tadi digantikan dengan rasa marah. Meluap-luap rasa marahnya. Seperti gunung berapi yang menunggu masa sahaja untuk mengeluarkan lavanya.

“You nak apa datang sini?” Keras Syarifah Armalia menyoal.

Zarif senyum menggoda. Naik menyampah pulak Syarifah Armalia melihatnya. Kalau tujuan lelaki itu datang sini semata-mata nak flashback-flashback kisah lama, dia memang tak ada masa nak dengar semua tu!

“I nak you balik semula kat i. I rindukan you.”

Syarifah Armalia tarik senyum. Senyuman sinis. Rindu? Ada apa dengan rindu dari lelaki yang sanggup meninggalkannya semata-mata kerana harta? Kalau dari segi harta dan wang ringgit, dia juga tak kurang kayanya. Walaupun harta kekayaan semua itu milik papanya. Tapi Zarif tamak! Tetap mahukan yang lebih. Hah, itu yang tua pangkat mak-mak pun dia rembat buat bini!

Wednesday, March 25, 2015

BAB 6 - Don't Say Good Bye

                                                                                                                                                                              

BAB 6

Your existence is a mysterious puzzle for me...

Dato Syed Armand memerhatikan kelakuan anak gadisnya dari tadi lagi. Termenung. Dia kehairanan. Biasanya Syarifah Armalia akan menggunakan waktu hujung minggu begini untuk berhibur. Mungkin ke pusat membeli belah atau berjalan-jalan, makan angin. Tapi pada hari ini lain pula gelagatnya. Mengapa? Ada masalahkah yang menghantui fikiran anaknya itu? Masalah peribadi atau kerja?

Lantas, surat khabar yang dibaca tadi ditutup. Dia tidak senang hati melihat anaknya begitu. Naluri seorang bapa dapat merasakan, ada sesuatu yang sedang berlegar di fikiran gadis itu, tinggal dia sahaja untuk bertanya. Dato’ Syed Armand kenal benar anaknya itu. Jika ada sesuatu yang sedang bermain di kepalanya, anaknya itu akan termenung dan diam sepanjang hari. Terpaksalah dia yang memulakan dahulu, bertanya. Kalau tidak sampai tahun depan pun anak gadisnya itu tidak akan berkata apa-apa.

Syarifah Armalia yang sedang terbaring di atas sofa didekatinya. Duduknya dilabuhkan di atas kerusi yang bertentangan dengan kedudukan anaknya. Dia memandang raut wajah anak tunggalnya yang seolah-olah tidak menyedari kehadirannya itu.

“Melly,”

Sunday, September 28, 2014

#novel : Bab 5 Don't Say Good Bye.






BAB 5


Is there ‘us’ in our story?

Syarifah Armalia memandang ke luar pejabatnya. Lebih tepat lagi ke arah meja milik Khalif. Melihat lelaki itu dia jadi teringat pada kata-kata Mak Adah kembali. Teringat peristiwa yang berlaku di rumah Mak Adah.

Sebaik sahaja dia bersiap-siap ingin tidur, pintu biliknya diketuk Mak Adah. Wanita bertubuh gempal itu tersenyum memandangnya sebelum duduk di birai katil bersaiz queen itu. Syarifah Armalia dapat merasakan kedatangan Mak Adah pasti ada hubung kaitnya dengan kejadian di meja makan tadi. Dia diam, menanti hujah daripada Mak Adah.

“Mak Adah minta maaf bagi pihak Khalif,” Mak Adah memulakan bicaranya. Tangan tua itu mencapai tangan milik Syarifah Armalia. Kedua-dua tangan itu bertaut. Erat!
Syarifah Armalia mengukir senyumannya. Meredakan gusar di hati tua itu.

“Mak Adah salah sebab bagi kamu kain batik tu. Mak Adah ingat kamu pandai pakai. Rupanya tak,” jelasnya lagi.

Syarifah Armalia menggeleng perlahan.

“Salah saya sebenarnya Mak Adah. Sepatutnya saya bertanya, macam mana nak pakai kain batik tu. Tapi tidak, saya diam je. Berlagak  macam tahu,”ujar Syarifah Armalia. Tidak  mahu Mak Adah terus-terusan menyalahkan diri. Hakikatnya,  salah datang daripada dirinya sendiri.Cuba dia bertanya dahulu, pasti kejadian memalukan itu tidak akan berlaku!

Mak Adah tersenyum lega. Dia tahu gadis di hadapannya ini baik orangnya walaupun memakai pakaian yang tidak cukup kain. Pakaian kadang-kadang tidak mampu mencerminkan akhlak seseorang dengan baik. Semuanya terletak pada hati! Baik hatinya, maka baiklah budinya.

“Kamu jangan bimbang, Mak Adah dah suruh Khalif padamkan kejadian tu dari memori dia,” tambah Mak Adah bersungguh-sungguh.

Syarifah Armalia meledakkan tawanya. Boleh ke macam tu?

Sunday, September 21, 2014

# Novel : Bab 4 Don't Say Good Bye...






BAB 4
To get to know you is the precious moment...

“Kita nak ke mana ni Khalif?” Tanya Syarifah Armalia dengan nada yang keras. Dia pelik apabila lelaki itu tidak menghala ke susur keluar Kuantan sebaik sahaja siap menunaikan solat Asar tadi. Sangkanya mereka akan terus pulang ke Kuala Lumpur.

Khalif diam. Pandangannya masih difokuskan di jalan. Tidak ambil peduli dengan soalan majikannya itu.

“Hei, you dengar ke tidak ni? Dah pekak ke apa?”marah Syarifah Armalia. Panas hatinya apabila Khalif hanya mendiamkan diri seperti tidak mendengar soalannya tadi.

Khalif memegang  telinga kirinya. Boleh tertanggal telinganya mendengar suara tinggi milik Syarifah Armalia tadi. Kalau Ziana Zain ada ini belum tentu dia boleh menang lawan dengan majikan wanitanya ini.

“Saya nak balik rumah mak saya kejap. Kakak saya kirim barang suruh saya bagi kat mak,” Khalif akhirnya membuka bicaranya.

Syarifah Armalia mendengus kasar.

“Siapa bagi you keizinan untuk balik rumah mak you? Ada i kata you boleh balik rumah mak you? Ada?” Serang Syarifah Armalia. Langsung tidak prihatin!

Khalif memandang sekejap ke arah Syarifah Armalia. Dia mengeluh perlahan.

“Cik Syarifah Armalia binti Syed Armand. Sekarang dah di luar waktu kerja. Jadi saya tak perlu nak minta izin bagai dari cik Armalia untuk balik rumah mak saya. Awak bos saya dari pukul 9 pagi sampai 5 petang sahaja. Lebih daripada masa itu, awak tak ada hak untuk arah-arahkan saya!” Tegas Khalif.

Tersentak Syarifah Armalia mendengarnya. Selama ini dia menyangkakan Khalif boleh dipijak sesuka hati. Rupanya tidak! Khalif tegas dalam diam!

“Baik! Kali ni i ikut cakap you.Tapi dengan syarat malam ni jugak kita balik. I tak suka bermalam kat tempat kampong macam ni!” putus Syarifah Armalia tanpa memandang Khalif.

Khalif hanya tersenyum mendengarnya. Itu pun kalau mak aku bagi baliklah. Bisik hati Khalif. Dia tahu yang emaknya itu pasti tidak akan membenarkannya memandu di malam hari.

SAMPAI sahaja di hadapan rumah milik keluarga Khalif, Syarifah Armalia terus memejamkan matanya. Berpura-pura tidur! Dia tidak mahu keluar daripada kereta semata-mata mahu menyapa ahli keluarga Khalif dan kemudiannya terpaksa bermalam di situ. Memang dia tidak betah!

Khalif tahu yang Syarifah Armalia hanya berpura-pura tidur. Bukan dia tidak nampak gelagat wanita itu sepanjang perjalanan mereka. Syarifah Armalia tidak tidur, tetapi apabila sampai sahaja diperkarangan rumah orang tuanya terus sahaja dia memejamkan mata. Mahu mengelaklah tu!

“Cik Armalia, bangun. Kita dah sampai,” gerak Khalif dekat di telinganya Syarifah Armalia..

Bulat mata Syarifah Armalia mendengar suara Khalif yang kedengaran hampir di telinganya. Pantas dia menjauhkan diri.

“Apahal you ni? Orang nak tidur pun susah!” marah Syarifah Armalia kemudian kembali memejamkan matanya.

Khalif hanya tersenyum melihat gelagat majikannya itu. Tidur konon! Malas melayan karenahnya Syarifah Armalia, Khalif terus membuka pintu keretanya dan memberi salam. Melihat kelibat ibunya, Khalif pantas merapati tubuh tua itu.

“Apa khabar mak?”

Mak Adah memeluk anak bongsunya itu. Rindu! Sebaik pelukan dilepaskan Khalif mencapai tangan ibunya lantas dikucupnya.

“Mak, baik je. Alhamdulillah!” jawab Mak Adah dalam masa yang sama dia meninjau ke dalam kereta anak lelakinya itu.

“Kata bawak kawan, mananya?” Mak Adah terus bertanya.

Khalif turut melihat ke dalam keretanya. Nampaknya tiada tanda-tanda yang Syarifah Armalia akan keluar. Degil betul majikannya itu!

“Dia malu mak. Mak  pergilah ajak dia masuk Khalif nak bawa masuk barang kejap,”pinta Khalif lalu bergerak ke belakang keretanya.

Mak Adah bergerak ke pintu kereta sebelah kanan pemandu. Cermin tingkap kereta itu di ketuknya perlahan.

Syarifah Armalia membuka matanya bila mendengar ketukan di cermin tingkap. Pandangannya tertancap pada wajah wanita separuh abad yang sedang melihatnya dengan senyuman. Mesti mak Khalif! Desis hatinya. Dengan rasa yang berbelah bahagi, dia membuka pintu kereta dan keluar dari kenderaan itu.

“Anak ni kawannya Khalif ye?” Soal Mak Adah, ramah.

Syarifah Armalia mengangguk seraya menyalami tangan tua itu. Tidak  mahu dikata kurang ajar, jika dia berbuat tidak tahu dengan kehadiran wanita itu.

“Mak cik ni, maknya Khalif. Panggil Mak cik, Mak Adah,” beritahu Mak Adah lalu tersenyum. Anak gadis di hadapannya ini sungguh cantik! Alangkah bertuahnya jika dapat bermenantukan gadis ini. Tapi masalahnya, pakaiannyalah pulak! Macam tak cukup kain!

“Saya Syarifah Armalia, majikannya Khalif,” Syarifah Armalia pula memperkenalkan diri. Apabila dia sedar pandangan Mak Adah yang sedang meneliti pakaiannya, dia menjadi segan sendiri. Ahh, ini semua salah Khalif! Pandai-pandai je paksa aku ikut balik rumah orang tua dia! Marah Syarifah Armalia.

“Eh, jemputlah naik!” pelawa Mak Adah lalu menarik tangan gadis itu menuju ke dalam rumah separuh batu dan papan itu.

Syarifah Armalia memerhati segenap ruang dalam rumah milik keluarga Khalif itu. Susun atur perabotnya rapi walaupun tak semoden dan semahal perabot di rumah keluarganya. Sejuk mata memandang!

Dalam rumah itu terdapat empat buah bilik. Salah sebuahnya tentulah bilik Khalif! Tapi yang mana itu dia tidak pasti. Ahh, bukan penting pun untuk aku tahu! Fikirnya.

“Kalau Cik Syarifah Amalia nak berehat, masuklah bilik kedua dari kanan tu. Itu bilik anak perempuan sulung Mak Adah,” beritahu Mak Adah bila dia melihat gadis itu leka memerhati ke arah deretan bilik tidur . Mungkin gadis itu mahu berehat.

“Err...tak. Bukan!” nafi Syarifah Armalia sedikit terkejut bila ditegur secara tiba-tiba begitu.

“Takpelah Mak Adah,” ucap Syarifah Armalia setelah rasa terkejutnya hilang.

Mak Adah hanya tersenyum.

“Cik Syarifah Armalia kalau nak apa-apa jangan segan beritahu Mak Adah,” pesan Mak Adah sebaik sahaja melihat Syarifah Armalia seperti berfikir sesuatu.

“Eh, Mak Adah janganlah ber’cik’ dengan saya. Panggil Melly je,” ujar Syarifah Armalia sopan.

“Kalau Mak Adah nak panggil Lia je boleh?”

“Boleh, Mak Adah. Asal Mak Adah selesa,”

Khalif yang sedang menatang air minuman ketika itu hanya tersenyum ringkas mendengarnya. Sopanlah pulak majikannya ini. kena sampuk ke apa?

Syarifah Armalia memandang pekerja lelakinya yang tekun menuangkan air minuman ke dalam cawan. Cukup berhati-hati dan tertib! Kalah dia!

“Jemput minum Cik Armalia,” pelawa Khalif lalu menyua secawan air Nescafe yang masih berasap itu kepada Syarifah Armalia.

Syarifah Armalia menyambutnya dengan berhati-hati. Minumannya di sisip ke mulutnya setelah meniupnya perlahan.

“Mak Adah tak minum?”Tanya Syarifah Armalia apabila dia perasan yang wanita itu tidak mengambil minuman yang dibancuh Khalif tadi.

“Mak Adah tak minum air manis bila dah malam macam ni. Nanti gula dalam darah naik. Bila dah tua macam ni lah” terang Mak Adah sebelum ketawa kecil.

Syarifah Armalia hanya mengangguk seraya senyum.

“Kamu balik esok ye Lif,” ujar Mak Adah bila memandang anak lelakinya yang senyap dari tadi dan tanpa sedar membuatkan Syarifah Armalia tidak keruan duduknya.

“Aar..Kalau Lif nak balik malam ni jugak mak tak boleh ke?” Khalif mencuba nasib. Dia perasan renungan Syarifah Armalia yang tajam padanya.

Mak Adah menggeleng. Tidak bersetuju.

“Tapi mak...”

“Takde tapi-tapi. Kamu tak ingat apa yang berlaku kat kamu dulu?” marah Mak Adah.

Syarifah Armalia mengetap bibirnya. Tak puas hati dalam diam. Namun, dalam hati tertanya-tanya juga, apa yang berlaku pada Khalif dulu?

“Mak Adah minta maaf ye Lia. Mak Adah harap Lia tak marah sebab tak benarkan Lif balik malam-malam macam ni sekaligus buat kamu tak boleh balik jugak,” pohon Mak Adah.

Syarifah Armalia diam. Tidak tahu untuk berkata apa-apa. Kalau ikut hatinya, dia mahu pulang sekarang jugak! Tapi bila Mak Adah melarang keras, dia jadi serba salah! Dia tak betah bermalam di rumah orang!

Dalam terpaksa dia mengangguk juga. Tidak rela kalau Mak Adah menggelarnya majikan tidak prihatin semata-mata memaksa Khalif memandu malam. Tambahan, mata tua itu kelihatan menyembunyikan sesuatu. Sesuatu yang menyedihkan.

Mak Adah perlahan mengukir senyuman lega.

Khalif mengalihkan pandangannya. Menatap seraut wajah milik Syarifah Armalia. Kecewa,marah terpaksa, semuanya bercampur aduk!


SYARIFAH ARMALIA mengeluh berat. Sudah berapa kali dia cuba memakai kain batik yang diberikan Mak Adah kepadanya, namun dia masih gagal untuk memakainya. Baru bergerak sedikit, ikatan kain batik itu sudah terlerai! Menyusahkan betul!

Tetapi mahu tidak mahu, itu sahaja pakaian yang diberikan wanita itu selain sehelai t-shirt berwarna kuning muda kepunyaan kakak Khalif. Agaknya kain batik memang pakaian rasmi gadis kampong, kalau tidak mengapa Mak Adah tidak memberikannya pakaian lain.

Hendak menyesal pun tiada guna. Semalam, papanya sudah menyuruhnya membawa sehelai dua pakaian untuk dibawa ke sini, malangnya dia tidak mendengar! Malah, pagi tadi Khalif  juga ada berpesan perkara yang sama sebelum mereka meneruskan perjalanan. Dia sahaja yang degil!

“Lia,” panggil Mak Adah dari luar pintu bilik milik anak sulungnya itu.

Syarifah Armalia tersedar daripada lamunannya.

“Ye, Mak Adah,” jawab Syarifah Armalia.

“Jom, turun makan,” ajak Mak Adah.

“Aar...kejap lagi saya turun,”

“Jangan lama sangat, nanti lauk sejuk. Mak Adah turun dulu,” ujar Mak Adah lalu bergerak ke dapur.

Syarifah Armalia melepaskan keluhan beratnya. Macam mana nak turun kalau kain batik pun tak tersimpul kemas lagi di tubuhnya?

Mahu tidak mahu Syarifah Armalia keluar juga dari kamar yang dihuninya dengan kain batik yang diikat tidak rapi.

Semasa keluar dari bilik, Syarifah Armalia terserempak dengan Khalif yang juga ingin turun ke dapur. Lelaki itu tersenyum melihatnya. Dia geram! Mesti Khalif sedang mentertawakannya dalam hati. Lawak sangatkah cara dia memakai kain batik? Syarifah Armalia kembali meneliti diri sendiri.

“Cantik Cik Armalia pakai kain batik. Manis!” puji Khalif ikhlas walau dalam hati rasa lucu juga melihat gadis itu menyarung kain batik begitu. Sebagai seorang lelaki yang membesar bersama empat orang wanita, dia cukup arif bagaimana kain batik sepatutnya tersarung. Tetapi dia tidak mahu mengecilkan hati majikannya itu. Kritikan pada halwa telinga Syarifah Armalia hanyalah berbunyi cacian! Dia pasti itu.

“You perli i ye?” teka Syarifah Armalia sudah bercekak pinggang. Geram!

Khalif mengangkat kedua belah bahunya. Terserah!

Syarifah Armalia mengetap bibirnya. Jagalah kau! Amboi bukan main lagi perangai lelaki ini diluar pejabat. Kalau di pejabat, Khalif hanya menikus, mendengar semua arahannya.

“Lia, Lif, mari makan!” panggil Mak Adah dari dapur.

Khalif mengangkat kakinya dahulu sebelum diikuti Syarifah Armalia. Wanita itu hanya diam di meja makan. Tidak banyak bersuara. Sekali-sekala bila ditanya ibunya barulah Syarifah Armalia bersuara.

“Lia tak makan kari daging tu?” Mak Adah mengunjukkan mangkuk yang berisi kuah kari daging ke arah gadis yang duduk disebelahnya itu.

Syarifah Armalia menggeleng sebelum tersenyum, menolak. Daging? Lauk bersantan? Memang bukan selera tekaknya!

“Saya tak makan daging merah Mak Adah,” jelas Syarifah Armalia sebaik sahaja melihat kerutan di dahi tua itu.

              Khalif segera memandang Syarifah Armalia. Pelik!

“Kenapa?”Mak Adah kehairanan.  Dia jarang melihat orang tak makan daging. Kecualilah penganut agama Hindu. Itu pun daging lembu sahaja. Anak  gadis di sebelahnya ini pulak boleh dikategorikan tak makan semua jenis daging. Hilang nikmat dunia!

“Tekak saya tak boleh terima. Kalau setakat ayam dengan ikan tu bolehlah,” balas Syarifah Armalia, ringkas.

“Hmm...macam tu pun ada ye? Apa-apa pun nanti kamu kena belajar makan jugak. Mana tahu nanti dapat suami suka makan daging. Susah kamu nanti,” seloroh Mak Adah.

Syarifah Armalia menyambutnya dengan senyuman sahaja manakala Khalif sudah tertawa kecil mendengarnya.

Selesai menjamu makan malam, Syarifah Armalia bertindak membantu Mak Adah mengemas meja sementara Khalif membasuh pinggan mangkuk kotor yang telah digunakan tadi.

Ketika Syarifah Armalia sibuk mengelap meja, tanpa disedari kain batik yang dipakainya terlucut ! Menampakkan peha gadis itu yang gebu. Mujur sahaja baju yang dipakainya labuh menutupi bawah punggungnya. Khalif yang baru berpaling untuk meletakkan pinggan di rak terkejut! Terhempas pinggan di tangannya.

Mak Adah segera memandang ke arah anak terunanya itu sebelum pandangannya jatuh pada Syarifah Armalia pula.

“Ya, Allah!”jerit Mak Adah. Patutlah anak lelakinya yang seorang itu tergamam! Dapat melihat ‘tayangan percuma’ rupanya.

Syarifah Armalia yang mulai sedar keadaan dirinya, segera menaikkan kain batiknya semula dan menyimpulnya ala kadar sahaja sebelum beredar ke bilik yang didiaminya.

Sebaik  mengunci pintu bilik itu, dia memegang kedua belah pipinya. Panas! Dia benar-benar malu! Untuk pertama kalinya dia malu bila mendedahkan anggota tubuhnya! Selama ini dia langsung tidak kisah dengan pandangan orang bila dia memakai skirt yang menampakkan betisnya. Hairan! Mengapa kini baru terbit rasa malu? Ahh, ini mungkin kerana dia hormatkan Mak Adah. Apa-apa pun, lepas ni dia takkan pakai kain batik! Tekadnya.




p/s : Nak lagi tak? ada yang minat tak dengan karakter melly-Khalif ni? sebab mengikut perkiraan saya, cerita ni akan jadi acah-acah melodrama. benci-cinta-konflik-air mata- nak berkorban tak kena tempat, keluarga menentang- benci balik- sayang balik  etc...tapi kalau ada yg nak ikut, saya alu-alukan. hehe

Sunday, September 7, 2014

#NOVEL : Bab 3 Don't Say Good Bye


BAB 


Syarifah Armalia sibuk meneliti fail-fail kerja yang menimbun di atas mejanya. Satu- satu di belek dan di baca. Kosentrasinya menjadi sedikit terganggu apabila interkom  yang berada di atas mejanya berbunyi.

“Cik Melly, Encik Lukman is here, he want to meet you,” Suara Khalif kedengaran jelas di intercom.

“Hmm, just let him in,”jawab Syarifah Armalia, ringkas.

Syarifah Armalia tersenyum senang hati saat melihat kelibat Lukman yang memasuki ruang pejabatnya. Lelaki yang segak memakai pakaian jenis three pieces suits itu juga  turut tersenyum apabila melihat Syarifah Armalia yang duduk elok di meja kerjanya.

“ Jemput duduk,” Pelawa Syarifah Armalia sambil mengemas fail-fail yang sedikit berselerak di atas mejanya.

“ Sibuk nampak?” ujar  Lukman sebaik sahaja melihat Syarifah Armalia yang sedang menyusun fail- fail kerjanya.

“Hmm, adalah sikit. Tapi i tak lah sibuk macam orang tu,sibuk dia macam perdana menteri,” jawab Syarifah Armalia sedikit memerli.

Lukman ketawa kecil demi mendengar kata-kata yang terkeluar dari bibir gadis di hadapannya itu. Syarifah Armalia masih seperti dahulu, dalam kata ada sinisnya. Mungkin sebab itu ramai lelaki tidak  berani menghulurkan salam pengenalan.

“You ni mulut longkang you tu tak habis-habis.”

Syarifah Armalia hanya menjungkitkan bahunya lalu mencebik bosan.

“Kat luar tu secretary you ke?” Tanya Lukman tiba-tiba  bersama senyum penuh maknanya.

Syarifah Armalia menggelengkan kepalanya beberapa kali. Lukman masih tidak berubah rupanya.

“ You ni, bila nak berubah selera you tu?”

“Alah, you mengata i, yang you tu pun sama, bila nak habis perspektif buruk you terhadap lelaki ?”balas Lukman sambil memandang tajam ke anak mata Syarifah Armalia. Gadis itu terdiam.

Lukman tahu sejarah silam Syarifah Armalia. Mereka berkawan daripada sekolah menengah lagi. Sehingga melanjutkan pelajaran ke luar Negara pun mereka masih berkawan rapat. Syarifah Armalia mula membenci lelaki selepas di tinggalkan Zarif, kekasihnya demi  minah salleh yang selayaknya di panggil mak.

Syarifah Armalia juga tahu yang dia seorang homoseksual. Itu sudah menjadi rahsia mereka berdua untuk bertahun lamanya. Sudah  beratus kali Syarifah Armalia menasihatinya namun tidak di pedulinya seperti mana Syarifah Armalia tidak mempedulikan nasihatnya untuk tidak membenci lelaki.

“ Melly, i mintak maaf kalau you terasa.”

Syarifah Armalia hanya tersenyum. Dia tahu Lukman betul. Sikit pun kata-kata Lukman tidak mengganggu emosinya.

“ Takpelah macamlah i tak biasa dengan mulut you tu,” balas Syarifah Armalia sambil menepuk bahu Lukman perlahan.

“ Eh, sembang- sembang lupa pulak nak tanya you nak minum apa?”

“ Ha... Tulah you, dah naik kering dah tekak i ni.”
           
             Syarifah Armalia senyum sebelum bertindak menekan butang intercom.

“Khalif  bawakkan kopi untuk I dan tetamu  I  ni,” arah Syarifah Armalia dengan nada garangnya.

Lukman hanya mampu menggelengkan kepalanya untuk beberapa kali. Degil yang tak boleh nak di ajar!