Tajuk: Dendam Untuk Cinta
Nama penulis: NOORAIHAS
Tarikh pos : 11 Disember 2012
“Nur Radhiah!” Tinggi
suara ayah menyebut namaku. Tetapi aku sikit pun tidak gentar! Aku menjeling
tajam pada seraut wajah yang berdiri berhampiran dengan ayah. Wajah sinisnya
menyapa pandanganku. Namun, bila ayah memandangnya, cepat-cepat air muka wanita
separuh abad itu bertukar mendung. Hipokrit!
“Jangan kamu berani nak
tinggi kan suara dengan isteri ayah! Ayah tak pernah ajar kamu untuk jadi
kurang ajar!” jerkah ayah lagi padaku. Manakala
perempuan itu sibuk menenangkan ayah.
Aku melemparkan senyuman sinis
pada pasangan ‘romantik’ itu. Tak sangka ayah sudah pandai meninggikan suara
padaku semata-mata isteri barunya itu, merangkap ibu tiri padaku.
Ibu tiri! Ah, betapa aku
anti dengan semua perkataan yang ada ‘tiri’ di belakangnya! Kenapa ayah tak nak
faham? Kenapa ayah harus melupakan mama dan berkahwin dengan perempuan tu?
Kenapa ayah harus melupakan mama dengan begitu cepat? Adakah semua lelaki macam ayah? Tak boleh hidup tanpa wanita
walau sehari?
Hatiku sedih bila
memikirkannya. Walau bagaimana kuat aku membantah, ayah tetap dengan
keputusannya untuk mengahwini perempuan itu! Aku sendiri keliru, apa yang bagus
sangat tentang janda beranak satu itu pada pandangan mata ayah. Mujur sahaja
aku tidak menghadiri majlis akad nikah ayah yang berlansung pada bulan lepas,
kalau tidak mesti aku mati dek sakit hati!
“Sekarang ayah Cuma
nampak salah Dhiah je kan? Sejak ayah kahwin dengan perempuan ni!”marahku
serentak itu ayah melayangkan tangannya di pipiku.
Aku menahan rasa pijar
yang menjalar disekitar pipiku. Sakit! Tapi sakit lagi hatiku! Aku mengetap
bibir. Geram! Nampaknya ayah sudah pandai menaikkan tangannya ke mukaku juga.
Perkembangan yang ‘bagus’!
Untuk seketika wajah ayah
seperti terpana. Seolah-olah dia juga terkejut dengan tindakannya tadi. Ibu
tiriku itu pula bertindak mengusap lengan ayah. Berpura-pura menenangkan
kemarahan ayah kononnya! Aku mengukirkan senyuman sinisku.
“Kalau Dhiah rasa tak
boleh terima Makcik Ros, Dhiah boleh berambus dari rumah ayah!” sambung ayah
selepas beberapa ketika.
Aku sedikit tersentak.
Keluar dari rumahku sendiri? Ahh, bukan aku! Tapi perempuan itu yang harus
berambus! Walau apa pun yang berlaku, aku takkan angkat kaki keluar dari
rumahku sendiri! Sebaliknya aku yang akan berusaha membuat isteri baru kesayangan ayah itu keluar dari sini.
Ini janjiku!
“Dhiah, tak akan keluar
dari rumah Dhiah sendiri. Dan ayah pun takde hak nak halau Dhiah!” putusku
dengan tegas. Kaki aku buka menuju ke kamarku. Biar apa pun yang berlaku,
perempuan itu pasti akan mendapat balasannya!