Oh, Pengikut Setiaku!!!

Saturday, June 15, 2024

Bab 14: Don't Say Good Bye

Bab 14


Hari yang ditunggu, akhirnya tiba juga. Selepas enam bulan bertunang, Syarifah Armalia dan Khalif sah menjadi pasangan suami isteri  dalam majlis sederhana tapi bermakna untuk kedua-dua keluarga.


Dari tadi, Khalif tidak lepas-lepas memandang wajah jelita Syarifah Armalia yang manis mengenakan tudung bawal berwarna putih susu. Wajah itu disolek tipis namun  masih terserlah seri pengantinnya.


Tidak salah permintaan Khalif meminta Syarifah Armalia mengenakan tudung di hari perkahwinan mereka.  Walaupun, Syarifah Armalia awalnya menolak, tapi wanita itu akur apabila Mak Adah menasihatinya. Apatah lagi perkara itu disokong juga oleh Dato' Syed Armand.


"Cantik isteri saya hari ini!" Puji Khalif ketika Syarifah Armalia sedang menyuapkan makanan ke mulutnya.


Syarifah Armalia yang mendengar, sempat tersipu malu  kerana mendapat pujian dari lelaki yang baru saja bergelar suaminya. Suami! Sukanya dia dengan gelaran itu!


"Hari-hari pun I cantik. Tak pelik. Tapi  you lain. Hari ini you handsome extra sikit,  husband!" 


"Sikit je? Saya ingatkan saya handsome banyak hari ini. Nama pun raja sehari. Nampaknya, tak handsome jugaklah ni." Rajuk Khalif.


"Kalau you handsome banyak hari-hari, I pun risau banyak jugaklah. Hari ini pun i dah rasa risau sangat dah ni."


"Eh, kenapa pulak?"


"Sebab banyak mata anak dara tengok you macam nampak putera raja! Mata mereka tu macam ada love-love!"


"Oh, ye ke?Love-love?" 


"Ye ke? You ni tak perasan ke pura-pura tak perasan?"Panas pulak hati Syarifah Armalia mendengar balasan polos dari si suami.


"Yalah, saya tak perasanlah part love-love tu. Saya tak pandang anak orang lain. Saya pandang anak  Syed Armand ni saja dari tadi," ujar Khalif.


Dia nak cakap macam mana lagi. Memang dia fokus  dengan isterinya sahaja. Tak ada masa nak fikir perkara lain. Ciptaan indah Tuhan yang dipinjamkan kepadanya bermula hari ini.


Sementara itu, Syarifah Armalia sempat terkesima  apabila mendengar kata-kata yang keluar dari mulut suaminya itu. Tak sangka, pembantu peribadinya ini ada bakat mencairkan hati dia!


"Jadi maksudnya, you dah jatuh cinta ke dengan I?" Penuh harapan Syarifah Armalia bertanya.


Dia berharap sangat, Khalif bagi jawapan positif. Kerana selama enam bulan bertunang, dia menunggu Khalif beri balasan untuk setiap ucapan 'I love you' tapi lelaki itu senyum saja! Geram pulak dia.


Khalif mengerutkan bibir dengan anak mata yang pandang ke atas. Lagak sedang mempertimbangkan sesuatu.Makin  bertambah geramlah  Syarifah Armalia melihatnya.


"Saya bagitahu lepas ulangtahun perkahwinan kita yang pertama nanti, okay?" 


"What?" Terjerit Syarifah Armalia mendengarnya.


Nasib baik tetamu sudah beransur pulang. Yang tinggal hanya kaum keluarga terdekat saja. Kalau tidak susah juga nak menjawab!


"Hello love birds! Sorry I lambat datang!"Tegur satu suara dari arah belakang mereka.


"Lukman! I  Ingat  you tak jadi datang?" Teruja Syarifah Armalia.


Dia sudah bangun dan mahu memeluk Lukman seperti biasa tiap kali mereka bertemu. Tapi tindakannya tersekat dek tangan Khalif yang tiba-tiba memaut pinggangnya. Langsung dia tergamam.


Lukman pula sudah tersenyum kecil melihat reaksi kedua-dua pasangan pengantin baru itu.


"I saje nak buat surprise dekat you. And Khalif, good luck jadi husband Syarifah Armalia," usik Lukman lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Khalif.


Khalif sambut dan menyimpul senyum ringkas sebagai balasan.  


Dalam diam, Khalif menarik nafas lega. Nasib baik dia sempat menghalang isterinya itu dari berkelakuan lepas.


Dulu, mungkin dia terpaksa 'pejam mata'  kerana tidak mahu dikatakan 'busy body' dengan Syarifah Armalia. Apatah lagi status mereka ketika itu hanya  sebatas majikan dan pekerja.


Sekarang, dia suami. Wajar, dia lindungi maruah isteri dia. Apatah lagi hati dia tadi sempat menghangat apabila terbayang kalau si isteri sempat memeluk rakan lelakinya itu.


Di satu sisi lain, Syarifah Armalia berasa seronok melihat wajah merah dan lega Khalif. Adakah ini memberi petanda baik?



MALAM itu, Syarifah Armalia menunggu Khalif masuk ke bilik tidur mereka dengan sabar. Tadi selepas solat isya' berjemaah, Papa memanggil Khalif untuk menemaninya minum kopi.


Syarifah Armalia hanya membiarkan kerana faham sangat keakraban bapa dan suaminya itu. Walaupun, dalam hati geram juga kerana papa 'menculik' suaminya di malam istimewa mereka.


Apabila terdengar pintu di kuak, Syarifah Armalia segera berpura-pura menatal telefon pintarnya. Aplikasi laman sosial medianya dibuka spontan. walaupun 'berlakon'  tapi dia sempat perasan, ramai juga yang 'like dan 'comment' gambar perkahwinan dia dan Khalif.


"Tak tidur lagi? Dah lewat ni," tegur Khalif lalu melabuhkan duduknya di birai katil.


Songkok yang terletak dikepala ditanggal dan di letak di tepi meja konsul. Apabila tiada reaksi dari isteri, Khalif segera mencari wajah manis itu.


Alamak, masamnya muka tu! 


"Tahu pun dah lewat. Lama I tunggu you, Khalif." Rajuk Syarifah Armalia.


Khalif tergelak dek geli hati. Tak sangka, bos kecil dia yang garang selama  ini ada sisi mengada macam ni!


"Habis tu, kenapa awak tak tidur je? Tak perlulah tunggu saya. Saya bukannya baby," balas Khalif sempat mengusik.


"Tentulah tunggu. Ini malam pertama kita sebagai suami isteri."


"Jadi?" 


"Jadi? Jadi apa yang husband and wife buat kalau malam pertama?"


"Tidurlah. Takkanlah main golf pulak!"


"Khalif!" Jerit Syarifah Armalia,  lalu perut lelaki itu dicubit geram.


Terus meletus tawa besar Khalif. Sambil ketawa, badan lelaki itu meliuk ke kiri dan ke kanan demi mengelak dari serangan Syarifah Armalia. 


Penat mengelak, Khalif ambil tangan Syarifah Armalia lalu memegangnya erat. Kemudian bebola matanya mencari anak mata si isteri.


Ketika ini dada Syarifah Armalia terasa bagai dipalu kuat. Berdebar dengan pandangan suaminya. Tadi dia rasa, dia dah terlalu 'bold' dengan tindakannya.


Namun, apabila Khalif pula bertindak berani, terus dia rasa kelu. Tubuhnya juga terasa menghangat tiba-tiba apabila telapak tangan Khalif  memegang pipinya dan mengusap lembut.


"Assalamualaikum, isteri!" Ucap Khalif ditepi telinga  isterinya.


Dalam debaran, Syarifah Armalia menjawab salam suaminya. "Waalaikumsalam, suami saya!" 


No comments: