Bab 12
'ADIK!'
Khalif tarik nafas sebelum hembus. Nampak saja notifikasi nama kumpulan whatsapp yang timbul di dada telefon pintarnya, dia sudah tahu.
News travel!
Pasti kakak-kakaknya sudah tahu. Dan tukang yang beritahu itu tentulah dia sudah tahu siapa!
Cepat betul Mak Adah buat kerja. Belum habis terkejut lagi dia dengan kedatangan Syarifah Armalia minggu lepas.
Ini kakak-kakaknya pula sudah ajak bergosip. Bukan pasal orang lain. Pasal dia jugalah!
'Betul ke ada orang masuk meminang Adik?' - Khalida.
Khalida, si kakak sulungnya sudah mula mengajukan soalan. Straight tak ada mukadimah. Memang Kaklongnya itu tak suka belok-belok.
'Mak cakap, bos adik. Kenapa boleh sangkut dengan bos sendiri ni? Ke bos syok dulu dengan Adik 😂? - Khaisara, kakak nombor duanya pula menyelit.
'Orang pergi bekerja. Awak pergi bercinta. Lol 😆' - Kamilla, kakak nombor tiga pula 'masuk', menghangatkan lagi perbincangan antara adik beradik itu.
'No comment!' -Khalif balas ringkas. Itu pun selepas lama mendiamkan diri.
Sebenarnya dia pun tak tahu nak jawab macam mana. Sudah tiga hari berlalu, tapi dia masih belum beri jawapan pasti kepada Syarifah Armalia.
Dia bimbang buat keputusan yang salah. Dalam masa yang sama dia risau kalau Syarifah Armalia fikir dia mempermainkan maruah wanita itu dengan buat orang itu menunggu lama.
Rasa keliru betul dengan apa yang dia rasa sekarang ini.
Dia rasa dia perlu meminta petunjuk Allah. Semoga Allah tunjukkan yang terbaik untuk dia.
Perlahan doa tidur dilafaz, kelopak mata ditutup rapat. Semoga ada rezeki untuk dia bangun Tahajud dan Istikharah sebelum subuh nanti.
SUDAH masuk seminggu.
Bermakna tujuh hari. Sudah TUJUH hari! Khalif masih mendiamkan diri.
Walaupun, lelaki itu bekerja seperti biasa dan tidak menyentuh perkara yang berlaku antara mereka, tapi jauh di sudut hati Syarifah Armalia rasa kecewa.
Tapi kerana dia wanita dewasa, tak akanlah dia hendak mengamuk lagi gara-gara luahan hatinya dipandang sepi.
Banyak perkara yang dia belajar dari Khalif tanpa perlu lelaki itu mengajarnya secara harfiah. Termasuklah, belajar bersabar.
Jadi, bersabarlah Melly.
"Cik Melly, okay ke?"
"Hah?"
"Are you still in this meeting ke? Nak take five?" Khalif tanya, bila nampak air muka bos kecilnya itu terpinga-pinga selepas tertangkap mengelamun.
"I okay. Teruskan!"
Mesyuarat diteruskan dan fokus Syarifah Armalia kembali kepada isi perbincangan penting pada hari itu. Tentang Khalif, biarlah dahulu.
Selepas hampir satu jam, mesyuarat akhirnya bersurai. Semua staf sudah melangkah keluar. Hanya tinggal Syarifah Armalia dan Khalif.
Syarifah Armalia pandang Khalif yang masih menaip di tabletnya. Mungkin mengemas kini laporan kandungan mesyuarat mereka pada hari itu.
Melihat Khalif yang fokus dan tenang menyebabkan hati Syarifah Armalia digigit cemburu. Mudahnya jadi Khalif. Apa pun tak terganggu.
"Kenapa?"
"Hah?" Respon Syarifah Armalia bila ditegur tiba-tiba oleh lelaki di depannya ini. Terkejut dia tiba-tiba disoal.
"Kenapa pandang? Cik Melly ada nak cakap apa-apa ke?"
Wanita itu menggeleng sebelum menolak kerusi lalu berdiri.
"I keluar dulu. Nanti emel update report macam biasa."
"Nanti sekejap!" Tahan Khalif.
Eh? Tak jadi Syarifah Armalia nak memulas tombol pintu.
"Hari Sabtu ni, Cik Melly dan Dato' ada nak ke mana-mana ke?"
Syarifah Armalia berfikir sejenak. Rasa macam tak ada hal. Kalau ada pun mungkin pergi membeli-belah.
"Kenapa? You nak datang meminang I ke?" Seloroh wanita itu lalu tayang wajah mengusik.
Niat dia cuma tidak mahu wujud situasi tegang dan pelik antara mereka selepas apa yang berlaku. Tapi bila difikirkan, entah sejak bila dia kisah dengan situasi remeh temeh ini pun dia tidak tahu.
Khalif angkat kepala dari memandang tabletnya. Wajah bos kecilnya itu dipandang sekejap sebelum membalas.
"Ya!"
"Hah?"
"Ya. Saya nak datang meminang!" Tegas Khalif dengan air muka serius.
Namun, dalam diam dia geli hati juga melihat wajah tidak percaya Syarifah Armalia. Macam manalah wajah dan personaliti 'singa' majikannya ini boleh berubah sebegini rupa?
Lama berdiam akhirnya Syarifah Armalia membetulkan kotak suaranya. Dia jadi gugup tiba-tiba.
"Okay. Datanglah."
Saya tunggu. Sambung wanita itu dalam hati.
KELUAR sahaja Khalif dari bilik mesyuarat tadi, Sarimah cepat-cepat mendekati lelaki berfikiran positif itu.
"Khalif, you nampak tak muka Cik Melly kita tadi tu?" Serang Sarimah. Dia benar-benar tak sabar nak bergosip.
Dengan staf lain, dia risau sikit. Bimbang tak pandai menjaga rahsia. Tapi dengan Khalif lelaki itu suka mendengar saja. Tak ada masa nak menjaja cerita katanya.
"Nampak apa?" Tanya Khalif. Tidak faham konteks pertanyaan Sarimah.
Sarimah mengerutkan dahi. Khalif ni betul-betul tak nampak ke atau buat-buat tak faham?
"Cik Melly pandang you macam nak makan? Kalau mata dia ada super power, dah boleh tembus dah dahi you tu dengan pandangan dia," beritahu Sarimah dalam nada rendah tapi berbunyi kepohci.
Tawa kecil Khalif terus meletus. Lah, pasal itu ke? Memanglah dia sedar. Tak akanlah dia tak sedar? Sedangkan dia yang menegur Syarifah Armalia ketika wanita itu sibuk mengelamun.
Itu pun gara-gara dia terasa diperhatikan ketika sibuk memasukkan isi kandungan mesyuarat dalam tabletnya.
"Tak ada apalah. Agaknya dia ada hal peribadilah tu," balas Khalif ringkas tidak mahu memanjangkan cerita.
Dia juga belum bersedia nak berkongsi bahawa status dia dan Syarifah Armalia akan bertukar tidak lama lagi.
Sarimah yang mendengar terus mencebik.
"Lol. So, hal peribadi Cik Melly tu you ke? Kenapa tak ada angin tak ada ribut, pandang anak teruna orang macam tu?"
Khalif angkat bahu. Walaupun dia tahu telahan rambang Sarimah mengena.
"Tapi kan, sejak kes you selamatkan Cik Melly. I rasa dia dah berubah sikit. Dah kurang marah-marah. Terutamanya pada you."
"Lepas tu, I perasan pandangan dia pada you pun lain. Macam pandangan seorang wanita kepada lelaki yang dia cintai!" Tambah Sarimah, curiga.
Khalif hendak tak hendak, ketawa sajalah. Kerana mungkin sebahagian telahan Sarimah itu betul. Tapi bahagian cinta itu dia tidak tahu.
Syarifah Armalia kata, dia cinta. Tapi Khalif tidak pasti betul atau tidak. Tapi hati dia jadi terbuka untuk menerima wanita itu selepas doanya dalam Istikharah.
"Kalau dia cinta, apa salahnya. You doakanlah yang terbaik untuk dia. You kan staf yang paling prihatin dengan Cik Melly."
"Haih, cakap dengan you ni memang tak ada kata sepakat!"
"Tak ada kata sepakat pun you tetap cari I untuk ajak bergosip jugak!" Gelak Khalif, mengusik Sarimah.
"Yalah. Lepas ni, I doakan you berjodoh dengan Cik Melly. Biar you bersepakat dan bermuafakat dengan Cik Melly tu sampai akhir usia!" Doa Sarimah dalam nada geram.
Khalif hanya membalas 'Amin'. Dalam hati, kalau Sarimah tahu yang dia akan betul-betul berkahwin dengan Syarifah Armalia, tentulah perempuan itu akan terkejut besar dan hilang partner bergosip selepas ini.
Haih, macam-macam!
P/s: Tak tahulah akan rajin sampai bila. Tapi sementara rajin, kita buat je. Nanti datang malas, nak mula pun payah.
No comments:
Post a Comment