Oh, Pengikut Setiaku!!!

Monday, May 20, 2024

Bab 13: Don't Say Good Bye

 Bab 13


Khalida pandang Dato' Syed Armand dari mula sampai, sehingga majlis meminang dan bertunang Khalif dan Syarifah Armalia hampir ke penutupnya. Entah kenapa, dia rasa macam pernah melihat wajah tua tapi berkarisma itu.


"Kak Ida, kenapa pandang bakal bapa mertua si Khalif macam tu?" Tegur Khaisara.


Sebenarnya, dari tadi lagi  dia perasan. Nak tegur orang masih ramai. Sekarang dah reda orang barulah dia berkesempatan bertanya.


"Tak adalah. Kak Ida rasa macam pernah nampak muka ayah si Armalia tu," balas Khalida, perlahan.


Khaisara mengangguk faham.


"Mungkin dalam surat khabar tak pun internet kut Kak. Dato' Syed Armand tu kan orang kenamaan. Tentulah muka dia biasa nampak."


"Agaknyalah. Tapi cantik betul Armalia tu. Sepadan dengan adik kita!" balas Khalida sekaligus menukar topik perbualan mereka.


"Alhamdulillah. Walaupun, nampak sombong sikit awalnya  tapi dengan Mak, baik betul dia. Mak pun nampak sayang betul dengan Armalia." Khaisara turut bersetuju.


"Harapnya, berjodoh sampai ke Jannah. Risau juga sebab, pembawakan keluarga kita dan keluarga Armalia tu sudah tentulah lain."


"Tak perlulah Kak Ida nak pening kepala. Khalif lelaki. Pandailah dia jaga isteri dia nanti," balas Khaisara.


"Amboi, gosip berdua saja ke? Tak ajak saya pun. Sejak bila ni?" Sergah Kamilla dari belakang.


"Sejak kau busy makanlah!" Seloroh Khalida disambut ketawa Khaisara.


Langsung cemberut wajah Kamilla. Mentang-mentang hobinya makan. Tak habis-habis dia di usik dengan perkara itu.


"Lupa nak cakap, Mak dah panggil balik. Lagipun banyak perkara nak kena settle lepas ni," beritahu Kamilla.


"Amboi mak! Teruja betul nak dapat menantu perempuan!" 


"Mestilah! Lama Mak kita tunggu Khalif bawak menantu. Bila dah sampai waktunya, mau tak all out!"  Kata Khaisara tidak kurang teruja juga.


Langsung tawa mereka bertiga bergabung di petang hari yang bahagia itu.



SYARIFAH ARMALIA tersenyum kecil melihat kakak-kakak Khalif berbual sesama mereka dari jauh. Seronoknya ada adik beradik. Untung Khalif.


"Kenapa tak join?" Tanya Khalif.


Dari tadi dia perasan Syarifah ARMALIA melihat kakak-kakaknya bersembang tapi tidak pula wanita itu menyertai mereka.


"Belum biasa lagi. Nampak mereka okay. Lagi pun, I nak meluangkan masa dengan tunang I ni."


Khalif senyum mendengar. Rasa peliklah juga bila hubungan dia dan Syarifah Armalia bertukar jadi begini. Tapi aturan takdir siapalah yang tahu. 


Alih-alih, memang dialah yang berjodoh dengan Syarifah Armalia! Punyalah wanita itu anti dengan dia. Dan dia pun kalau boleh tak mahu perempuan cengih jadi bini. 


"Tak cukup lagi ke tengok muka saya dekat pejabat? Tambah lagi dekat sini. Nanti lepas kahwin, Insha Allah jadi seumur hidup."


Syarifah Armalia menggeleng kepala.


"Sampai you beruban. Dan sampai you dah berkedut!" 


"Amboi. Saya sajalah yang  beruban dan berkedut? Awak?" Khalif melawak.


"I mestilah jadi Syarifah Armalia yang cantik jelita walaupun dah berusia!" Pantas Syarifah Armalia menjawab dengan nada mengusiknya.


Khalif terus  mencebik.


"Don't worry husband to be. I tak akan bagi you berkedut teruk. I akan  bawa you buat facial treatment juga. Biar kita jadi nenek dan atuk yang cantik dan handsome!"


Kali ini tawa Khalif meletus lagi. Ada-ada sajelah bakal isteri dia ni. Suka angkat bakul sendiri juga rupanya!


"Khalif," panggil Syarifah Armalia setelah tawa lelaki itu reda.


"Janji dengan I. Walaupun akan ada hari you bangun dari tidur dan tengok wajah I di sebelah dengan rasa marah, benci, geram atau pun rasa kosong tapi you tak akan sesekali tinggalkan I," pesan Syarifah Armalia, serius.


Khalif terdiam lama sebelum mengangguk perlahan.


Dia sedar besar tanggungjawab berkahwin dan menjadi suami kepada Syarifah Armalia nanti. Di sekelilingnya,  akan ada  banyak mata yang  mengecam dan muka yang berselindung disebalik kata yang manis. Hanya kerana dia bergelar suami kepada anak kenamaan.


Dalam keheningan hari, hatinya turut sama berdoa, semoga Tuhan jaga hati dia dan bakal isterinya ini. Biar mereka bercinta sampai ke syurga.



SELANG beberapa hari kemudian, Syarikat Dato' Syed Armand bergegar dengan berita tergempar mengenai pertunangan antara Syarifah Armalia dan Khalif. 


Itu pun selepas  jemputan majlis perkahwinan keduanya dimaklumkan melalui emel. 


"Pandai ya kau Khalif. Senyap-senyap bercinta dengan bos sendiri!" Perli Kak Salmah sebaik saja Khalif melabuhkan duduknya di kerusi.


Khalif membalas dengan senyuman kecil. Apa lagi yang dia boleh kata. Dia sebenarnya tidak bersetuju Syarifah Armalia menghebahkan  status hubungan mereka di tempat kerja.


Namun, wanita itu berkeras kerana tidak mahu ada staf  yang buat cubaan 'menyondol' Khalif nanti. Hampir tergelak juga Khalif mendengar jawapan kurang matang tunangnya. Tapi kerana pengalaman lalu Syarifah Armalia, Khalif bersetuju saja. 


"Betul tu Kak Salmah. Risaulah I lepas ni." Sarimah menyampuk perbualan mereka tiba-tiba.


"Eh, kenapa pulak kau nak risau Sarimah?" Hairan Kak Salmah dengan kata-kata yang keluar dari mulut Sarimah.


"Risau lah kak. Sebelum ini kan I kerap bergosip dengan Khalif pasal bos. Tup-tup, bos kita itu girlfriend dia!" 


Kak Salmah menghamburkan tawanya. Khalif pun sama. Risau pasal itu rupanya. 


"Itulah kau. Datang kerja tu cuba betulkan niat sikit. Ini nak bergosip aje!" Tempelak Kak Salmah dalam nada mengusik.


"I bukan bergosiplah Kak Salmah. I menyuarakan dan berkongsi kehairanan I saja. Kebetulan Khalif yang dekat dengan meja I. I ajaklah sekali.  Tapi I tak cakap benda buruk kan Khalif?"


Sarimah membalas sebelum menayang muka menagih simpati pada Khalif.


Khalif menggeleng kepala. Ada-ada saja. Masa bergosip manalah beringat banyak ke sikit perkara yang digosipkan itu.


"Lepas ni tak boleh ajak I bergosip dah ya. Terutama pasal Cik Melly tu," Khalif mengeluarkan amaran kecil.


Sarimah laju-laju mengangguk lagak sudah insaf, tidak mahu ulang lagi. Tapi soalan seterusnya sama saja. Mengundang gosip!


"Eh, dah bertunang pun panggil Cik Melly lagi ke?" 


"Sarimah!" Tegur Kak Salmah dalam nada geram seterusnya mengundang tawa mereka bertiga.



P/s: Done 3 bab dalam bulan Mei. Tak panjang tapi harapnya konsisten. Nak disiplin dan konsisten memang susah. Tapi yg paling susah lagi adalah mula. Rentak menulis pun dah lari lintang pukang. Lol.



Tuesday, May 14, 2024

Bab 12: Don't Say Good Bye

 Bab 12


'ADIK!'


Khalif tarik nafas sebelum hembus. Nampak saja notifikasi nama kumpulan whatsapp yang  timbul di dada telefon pintarnya, dia sudah tahu.


News travel! 


Pasti kakak-kakaknya sudah tahu. Dan tukang yang beritahu itu tentulah dia sudah tahu siapa! 


Cepat betul Mak Adah buat kerja. Belum habis terkejut lagi dia dengan kedatangan Syarifah Armalia minggu lepas. 


Ini kakak-kakaknya pula sudah ajak bergosip. Bukan pasal orang lain. Pasal dia jugalah!


'Betul ke ada orang masuk meminang Adik?' - Khalida.


Khalida, si kakak sulungnya sudah mula mengajukan soalan. Straight tak ada mukadimah. Memang Kaklongnya itu tak suka belok-belok.


'Mak cakap, bos adik. Kenapa boleh sangkut dengan bos sendiri ni? Ke bos syok  dulu dengan Adik 😂? - Khaisara, kakak nombor duanya pula menyelit. 


'Orang pergi bekerja. Awak pergi bercinta. Lol 😆' - Kamilla, kakak nombor tiga pula 'masuk', menghangatkan lagi perbincangan antara adik beradik itu.


'No comment!' -Khalif balas ringkas. Itu pun selepas lama mendiamkan diri.


Sebenarnya dia pun tak tahu nak jawab macam mana. Sudah tiga hari berlalu, tapi dia masih belum beri jawapan pasti kepada Syarifah Armalia.


Dia bimbang buat keputusan yang salah. Dalam masa yang sama dia risau kalau Syarifah Armalia fikir dia mempermainkan maruah wanita itu dengan buat orang itu menunggu lama.


Rasa keliru betul dengan apa yang dia rasa sekarang ini.


Dia rasa dia perlu meminta petunjuk Allah. Semoga Allah tunjukkan yang terbaik untuk dia.


Perlahan doa tidur dilafaz, kelopak mata ditutup rapat. Semoga ada rezeki untuk dia bangun Tahajud dan Istikharah sebelum subuh  nanti. 



SUDAH masuk seminggu. 


Bermakna tujuh hari. Sudah TUJUH hari! Khalif masih mendiamkan diri.


Walaupun, lelaki itu bekerja seperti biasa dan tidak menyentuh perkara yang berlaku antara mereka, tapi jauh di sudut hati Syarifah Armalia rasa kecewa.


Tapi kerana dia wanita dewasa, tak akanlah dia hendak mengamuk lagi gara-gara luahan hatinya dipandang sepi. 


Banyak perkara yang dia belajar dari Khalif tanpa perlu lelaki itu mengajarnya secara harfiah. Termasuklah, belajar bersabar. 


Jadi, bersabarlah Melly. 


"Cik Melly, okay ke?"


"Hah?" 


"Are you still in this meeting ke? Nak take five?" Khalif tanya, bila nampak air muka bos kecilnya itu terpinga-pinga selepas tertangkap mengelamun.


"I okay. Teruskan!" 


Mesyuarat diteruskan dan fokus Syarifah Armalia kembali kepada isi perbincangan penting pada hari itu. Tentang Khalif, biarlah dahulu. 


Selepas hampir satu jam, mesyuarat akhirnya bersurai. Semua staf sudah melangkah keluar. Hanya tinggal Syarifah Armalia dan Khalif.


Syarifah Armalia pandang Khalif yang masih menaip di tabletnya. Mungkin mengemas kini laporan kandungan mesyuarat mereka pada hari itu.


Melihat Khalif yang fokus dan tenang menyebabkan hati Syarifah Armalia digigit cemburu. Mudahnya jadi Khalif. Apa pun tak terganggu.


"Kenapa?" 


"Hah?" Respon Syarifah Armalia bila ditegur tiba-tiba oleh lelaki di depannya ini. Terkejut dia tiba-tiba disoal.


"Kenapa pandang? Cik Melly ada nak cakap apa-apa ke?"


Wanita itu menggeleng sebelum menolak kerusi lalu berdiri. 


"I keluar dulu. Nanti emel  update report macam biasa."


"Nanti sekejap!" Tahan Khalif.


Eh? Tak jadi Syarifah Armalia nak memulas tombol pintu. 


"Hari Sabtu ni, Cik Melly dan Dato' ada nak ke mana-mana ke?"


Syarifah Armalia berfikir sejenak. Rasa macam tak ada hal. Kalau ada pun mungkin pergi membeli-belah.


"Kenapa? You nak datang meminang I ke?" Seloroh wanita itu lalu tayang wajah mengusik.


Niat dia cuma tidak mahu wujud situasi tegang dan pelik  antara mereka selepas apa yang berlaku. Tapi bila difikirkan, entah sejak bila dia kisah dengan situasi remeh temeh ini pun dia tidak tahu.


Khalif angkat kepala dari memandang tabletnya. Wajah bos kecilnya itu dipandang sekejap sebelum membalas.


"Ya!"


"Hah?"


"Ya. Saya nak datang meminang!" Tegas Khalif dengan air muka serius.


Namun, dalam diam dia geli hati juga melihat wajah tidak percaya Syarifah Armalia. Macam manalah wajah dan personaliti 'singa' majikannya ini boleh berubah sebegini rupa?


Lama berdiam akhirnya Syarifah Armalia membetulkan kotak suaranya. Dia jadi gugup tiba-tiba.


"Okay. Datanglah." 


Saya tunggu. Sambung wanita itu dalam hati.



KELUAR sahaja Khalif dari bilik mesyuarat tadi, Sarimah cepat-cepat mendekati lelaki berfikiran positif itu.


"Khalif, you nampak tak muka Cik Melly kita tadi tu?" Serang Sarimah. Dia benar-benar tak sabar nak bergosip.


Dengan staf lain, dia risau sikit. Bimbang tak pandai menjaga rahsia. Tapi dengan Khalif lelaki itu suka mendengar saja. Tak ada masa nak menjaja cerita katanya.


"Nampak apa?" Tanya Khalif. Tidak faham konteks pertanyaan Sarimah.


Sarimah mengerutkan dahi. Khalif ni betul-betul tak nampak ke atau buat-buat tak faham?


"Cik Melly pandang you macam nak makan? Kalau mata dia ada super power, dah boleh tembus dah dahi you tu dengan pandangan dia," beritahu Sarimah dalam nada rendah tapi berbunyi kepohci.


Tawa kecil Khalif terus meletus. Lah, pasal itu ke? Memanglah dia sedar. Tak akanlah dia tak sedar? Sedangkan dia yang menegur Syarifah Armalia ketika wanita itu sibuk mengelamun.


Itu pun gara-gara dia terasa diperhatikan ketika sibuk memasukkan isi kandungan mesyuarat dalam tabletnya.


"Tak ada apalah. Agaknya dia ada hal peribadilah tu," balas Khalif ringkas tidak mahu memanjangkan cerita. 


Dia juga belum bersedia nak berkongsi bahawa status dia dan Syarifah Armalia akan bertukar tidak lama lagi.


Sarimah yang mendengar terus mencebik.


"Lol. So, hal peribadi Cik Melly tu you ke? Kenapa tak ada angin tak ada ribut, pandang anak teruna orang macam tu?"


Khalif angkat bahu. Walaupun dia tahu telahan rambang Sarimah mengena.


"Tapi kan, sejak kes you selamatkan Cik Melly. I rasa dia dah berubah sikit. Dah kurang marah-marah. Terutamanya pada you."


"Lepas tu, I perasan pandangan dia pada you pun lain. Macam pandangan seorang wanita kepada lelaki yang dia cintai!" Tambah Sarimah, curiga.


Khalif hendak tak hendak, ketawa sajalah. Kerana mungkin sebahagian telahan Sarimah itu betul. Tapi bahagian cinta itu dia tidak tahu. 


Syarifah Armalia kata, dia cinta. Tapi Khalif tidak pasti betul atau tidak. Tapi hati dia jadi terbuka untuk menerima wanita itu selepas doanya dalam Istikharah.


"Kalau dia cinta, apa salahnya. You doakanlah yang terbaik untuk dia. You kan staf yang paling prihatin dengan Cik Melly."


"Haih, cakap dengan you ni memang tak ada kata sepakat!"


"Tak ada kata sepakat pun you tetap cari I untuk ajak bergosip jugak!" Gelak Khalif, mengusik Sarimah.


"Yalah. Lepas ni, I doakan you berjodoh dengan Cik Melly. Biar you bersepakat dan bermuafakat dengan Cik Melly tu sampai akhir usia!" Doa Sarimah dalam nada geram.


Khalif hanya membalas 'Amin'. Dalam hati, kalau Sarimah tahu yang dia akan betul-betul  berkahwin dengan Syarifah Armalia, tentulah perempuan itu akan terkejut besar dan hilang partner bergosip selepas ini.


Haih, macam-macam!




P/s: Tak tahulah akan rajin sampai bila. Tapi sementara rajin, kita buat je. Nanti datang malas, nak mula pun payah.


Sunday, May 12, 2024

Bab 11: Don't Say Good Bye

 Bab 11


Suasana rumah Mak Adah tenang sahaja pada pagi hujung minggu itu, namun suasana hati Khalif dan Syarifah Armalia pula sebaliknya.


Khalif terasa mukanya memerah bagai disimbah cat merah, hangatnya pula seperti ditonyoh cili padi. Hangat kerana malu. Tak sangka, Syarifah Armalia betul-betul bertandang ke rumah keluarganya untuk meminang dia!


Selama ini, tak pernahlah seumur hidup dia berangan nak dilamar oleh mana-mana perempuan. Tapi dia tahu, akan ada satu hari di hidupnya nanti melamar gadis yang dicintai. Bukanlah yang sebaliknya seperti sekarang ni!


Sementara Syarifah Armalia pula rasa berdebar-debar. Dia tahu ini keputusan gila dan sedikit mencalar egonya sebagai wanita. 


Tapi bila difikirkan semula tiada yang salahnya dia bertindak segera. Papanya juga okay, tidak melarang. Cuma sempat lagi papa menyelit nasihat supaya dia tidak kecewa dan berdendam jika Khalif menolaknya.


"Jemput minum, Dato'. Air teh o panas dengan nasi goreng kampung sajelah yang ada. Budak bertuah ni bagitahu lambat sangat."


"Tak perlu panggil saya Dato,Kak Adah. Panggil Armand aje. Saya pun nak mintak maaf, anak saya Melly pun bagitahu saya lambat. Biasalah orang muda sekarang," balas Dato'Armand, tenang.


"Melly minta maaf, Papa...Mak Adah...saya salah. Maaf juga kalau saya tak sopan pada  Mak Adah. Saya cuma..."


"Mak...Dato' boleh ke saya dan Cik Melly berbincang berdua sekejap kat luar? Nanti kami datang balik." Khalif mencantas kata-kata Syarifah Armalia sebelum sempat wanita itu menghabiskan ayatnya.


Mak Adah pandang kedua orang muda itu sebelum matanya pula beralih pada wajah redup Dato' Armand. Lelaki itu mengangguk mengerti.


"Baiklah. Kita ke laman luar lah Armand. Akak nak tunjuk  orkid yang baru beli dekat pasar pagi semalam. Khalif bawak Lia duduk kat beranda tu. Bincang dekat situ," putus Mak Adah lalu bangun dari duduknya, di ikuti yang lainnya.


"APA yang Cik Melly buat ni?"


"Buat apa yang I cakap nak buatlah. I dah bagitahu haritu. Jangan nak buat lupa ya!" Syarifah Armalia tayang muka tak bersalah.


Tadi dia gementar dan berdebar. 


Mungkin sebab berdepan dengan Mak Adah dan nyaris-nyaris memberitahu tujuannya ke kampung Khalif tadi. Walaupun dia tekad tapi dia masih rasa sedikit segan kalau Mak Adah menolaknya sebagai menantu nanti.


"Saya tahu Cik Melly berani tapi perkara ni melibatkan hati, bukan urusan jual beli dan untung rugi yang Cik Melly buat hari-hari."


"That's why I berani. Kerana ia urusan hati. Hati I cakap dia dah nekad nak you. Hati I  yakin yang kita akan jadi pasangan yang sepadan,"balas Syarifah Armalia.


"Sepadan? How? Cik Melly tak risau ke kalau orang luar pandang rendah pada kredibiliti Cik Melly, kalau kita kahwin nanti?" 


"Kenapa nak libatkan orang luar? I yang  nak kahwin dengan you. Kalau Papa sebagai wali I pun okay kenapa I nak kisahkan orang lain?"


Khalif mengurut dahinya perlahan. Susah betul bercakap dengan Syarifah Armalia ni! 


"Saya bukan orang kaya. Saya tak mampu nanti nak bagi kehidupan mewah pada Cik Melly!" Khalif masih tidak berputus asa.


"Kenapa pulak I nak bermewah dengan duit you? I bekerja, ada duit sendiri. You nanti jadi suami bagi nafkah macam biasa sajelah. Nak mewah-mewah I gunalah duit I."


What? Khalif tiba-tiba rasa bengang. Dia tak tahulah kalau kata-kata Syarifah Armalia itu dikeluarkan selepas memikirkan sebaiknya atau di picu oleh ego?


Lalu dia tarik nafas, bertenang. Dia jarang nak naik marah. Tapi wanita di hadapan dia ini kena juga di ajar. Tapi bukan dengan kekasaran. Itu bukan cara dia.


"Kenapa Cik Melly nak kahwin dengan saya? Sebab terhutang budi? Sebab saya selamatkan  maruah Cik Melly?Begitu? Cukup ke hanya disebabkan itu untuk kita bersama sampai hujung nyawa?"Tanya Khalif bertalu-talu.


Syarifah Armalia diam sejenak sebelum memeluk tubuh sendiri. Dia pun kena bertenang jugak. Dah orang jelas tak hendak, tapi dia hendak. Jadi, dia kenalah berjuang. Walaupun seorang. Untuk masa sekarang.


"Tak boleh ke? Tak boleh ke semudah because I love you Khalif?"


Khalif terpempan.


'I love you?'


'Syarifah Armalia loves me?'


Melihat respon keliru Khalif buat Syarifah Armalia rasa mukanya tebal berinci-inci! 


Apa yang salahnya? I love you ke?




P/s: Pendek jelah. Moga rajin hendaknya. Berkarat betul tulisan kita skrg. Jumpa lagilah bila nanti2.