Tajuk: Dendam Untuk Cinta
Nama penulis: NOORAIHAS
Tarikh pos : 11 Disember 2012
“Nur Radhiah!” Tinggi
suara ayah menyebut namaku. Tetapi aku sikit pun tidak gentar! Aku menjeling
tajam pada seraut wajah yang berdiri berhampiran dengan ayah. Wajah sinisnya
menyapa pandanganku. Namun, bila ayah memandangnya, cepat-cepat air muka wanita
separuh abad itu bertukar mendung. Hipokrit!
“Jangan kamu berani nak
tinggi kan suara dengan isteri ayah! Ayah tak pernah ajar kamu untuk jadi
kurang ajar!” jerkah ayah lagi padaku. Manakala
perempuan itu sibuk menenangkan ayah.
Aku melemparkan senyuman sinis
pada pasangan ‘romantik’ itu. Tak sangka ayah sudah pandai meninggikan suara
padaku semata-mata isteri barunya itu, merangkap ibu tiri padaku.
Ibu tiri! Ah, betapa aku
anti dengan semua perkataan yang ada ‘tiri’ di belakangnya! Kenapa ayah tak nak
faham? Kenapa ayah harus melupakan mama dan berkahwin dengan perempuan tu?
Kenapa ayah harus melupakan mama dengan begitu cepat? Adakah semua lelaki macam ayah? Tak boleh hidup tanpa wanita
walau sehari?
Hatiku sedih bila
memikirkannya. Walau bagaimana kuat aku membantah, ayah tetap dengan
keputusannya untuk mengahwini perempuan itu! Aku sendiri keliru, apa yang bagus
sangat tentang janda beranak satu itu pada pandangan mata ayah. Mujur sahaja
aku tidak menghadiri majlis akad nikah ayah yang berlansung pada bulan lepas,
kalau tidak mesti aku mati dek sakit hati!
“Sekarang ayah Cuma
nampak salah Dhiah je kan? Sejak ayah kahwin dengan perempuan ni!”marahku
serentak itu ayah melayangkan tangannya di pipiku.
Aku menahan rasa pijar
yang menjalar disekitar pipiku. Sakit! Tapi sakit lagi hatiku! Aku mengetap
bibir. Geram! Nampaknya ayah sudah pandai menaikkan tangannya ke mukaku juga.
Perkembangan yang ‘bagus’!
Untuk seketika wajah ayah
seperti terpana. Seolah-olah dia juga terkejut dengan tindakannya tadi. Ibu
tiriku itu pula bertindak mengusap lengan ayah. Berpura-pura menenangkan
kemarahan ayah kononnya! Aku mengukirkan senyuman sinisku.
“Kalau Dhiah rasa tak
boleh terima Makcik Ros, Dhiah boleh berambus dari rumah ayah!” sambung ayah
selepas beberapa ketika.
Aku sedikit tersentak.
Keluar dari rumahku sendiri? Ahh, bukan aku! Tapi perempuan itu yang harus
berambus! Walau apa pun yang berlaku, aku takkan angkat kaki keluar dari
rumahku sendiri! Sebaliknya aku yang akan berusaha membuat isteri baru kesayangan ayah itu keluar dari sini.
Ini janjiku!
“Dhiah, tak akan keluar
dari rumah Dhiah sendiri. Dan ayah pun takde hak nak halau Dhiah!” putusku
dengan tegas. Kaki aku buka menuju ke kamarku. Biar apa pun yang berlaku,
perempuan itu pasti akan mendapat balasannya!
***
Aku sedang menunggu
Huzaiman, kekasih hatiku. Dia adalah satu-satunya lelaki yang aku sayangi
selain ayah. Hubungan yang sudah terbina hampir setahun ini bermula dengan
pertemuan yang sangat dramatik! Kami dipertemukan secara tidak sengaja apabila
dia menyelamatkan tas tanganku daripada diragut pencuri. Selepas itu kami
saling berhubungan antara satu sama lain dan tanpa kami sedari, aku dan
Huzaiman rupanya bekerja dalam satu syarikat Cuma berlainan bahagian!
“Dhiah!” Aku segera
berpaling pada suara yang menyapaku. Tanpa sedar aku mengukirkan senyuman.
“Huz!” sapaku sedikit
ceria melihatnya. Hilang sebentar masalah demi melihat wajah tenangnya.
“Dah lama tunggu Huz?”
Soalnya lalu mengambil tempat di sebelahku. Dia kemudiannya menggamit pelayan
restoran untuk mengambil pesanannya.
“Baru lagi,” jawabku lalu
menyisip minumanku.
“Banyak kerja kan
sekarang? Nak makan pun terlewat,” rungutnya lalu mengeluh perlahan.
Aku mengangguk turut
setuju dengannya. Aku memahami apa yang dimaksudkannya itu. Sebagai akauntan syarikat,
kesibukkan Huzaiman pasti lebih daripada aku yang Cuma menjadi pegawai HR ini.
kadang-kadang kami tiada masa untuk keluar bersama.
“Dhiah, kita kahwin,”
ujar Huzaiman tiba-tiba membuatkan aku tergamam sendiri. Aku meneguk air liur
dengan payah. Kahwin?
“Huz, main-main kan?”
tebakku padanya bersama tawa kecilku tapi wajah Huzaiman tetap serius.
“Huz serius Dhiah. Kita
masing-masing sibuk sampai takde masa nak jumpa. Lagipun, kita dah setahun
bercinta. Huz sayang Dhiah, Dhiah sayang Huz. Kan?”katanya dengan muka yang
begitu mengharap.
Aku terharu mendengarnya.
Aku memang ingin memaknakan hubungan kami dengan perkahwinan tetapi masalahnya
keadaan keluargaku masih tidak ‘harmoni’. Aku perlu menghalau Mak cik Ros
dahulu dan membuat ayah membenci perempuan itu selamanya barulah aku akan
memperkenalkan Huzaiman pada ayah.
“Err...Dhiah memang
cintakan Huz. Tapi Dhiah tak bersedia lagilah nak berkahwin,” Aku memberi
alasan.
Huzaiman mengeluh
perlahan. Tangannya sudah menyentuh jari jemariku. Meminta pengertianku dalam
diam.
“Dhiah, Huz dah bersedia
untuk menjadi suami Dhiah. Kalau Dhiah tak bersedia dari pelbagai aspek dalam
perkahwinan kita, macam tak reti memasak ke, mengemas ke, jaga anak ke, Huz
sanggup terima dan bantu Dhiah sepenuh hati Huz,”ujarnya bersungguh.
Aku mengetap bibir. Bukan
itu yang aku tidak bersedia Huzaiman. Aku Cuma tidak bersedia untuk
memperlihatkan sisi keluarga ‘bahagia’ aku kepada kau! Jerit hatiku.
“Dhiah tak kesian ke kat
Huz? Huz dah di penghujung 20-an dah tau. Kerja ada. Rumah pun dah ada. Yang
takde Cuma isteri aje,” tambahnya lagi sambil mencuit hidungku.
Aku tergelak kecil demi
melihat ekspresi mukanya yang mencebik , berpura-pura sedih itu. Aku sedar dia
cuba ‘menarik’ aku untuk bersetuju dengan permintaannya itu. Hati kecilku masih ragu-ragu. Selagi ‘urusan’ aku
tidak selesai, aku tidak akan berasa tenang. Tapi kalau aku berkahwin dengan Huzaiman pun, tidak
semestinya rancangan aku akan terbantut. Aku masih boleh menghalau Mak cik Ros
dari rumahku secara ‘senyap’. Malah, aku akan terima kebahagiaan secara
berganda! Bahagia kerana dapat bersama Huzaiman dan bahagia kerana dapat
menghalau Mak cik Ros!
“Sayang? Dengar tak Huz
cakap ni?” Suara Huzaiman mengembalikan aku ke alam nyata. Aku tersenyum seraya
mengangguk padanya.
“Jadi, sayang setuju?”
Tanya Huzaiman dengan terujanya.
Aku menarik nafas
dalam-dalam. Sengaja membangkitkan keresahan Huzaiman yang memandang penuh
mengharap.
“Ye, Dhiah sudi kahwin
dengan Huz,” Aku bersetuju akhirnya. Huzaiman membulatkan matanya sebelum
meletuskan tawanya . Gembira dengan persetujuanku.
“Thanks sayang. Huz akan bahagiakan Dhiah. Nanti Huz bincang dengan mama,beritahu pasal hubungan kita dan bawa keluarga Huz datang meminang Dhiah,”terangnya tentang perancangan kahwin kami.
Aku Cuma mengangguk
lantas tersenyum. Turut tidak sabar menunggu hari itu tiba. Hari di mana aku di
ikat menjadi suri hatinya. Semoga TUHAN mempermudahkan segalanya. Doaku dalam
hati.
AYAH merenungku tajam. Memandang
seperti aku sudah melakukan jenayah besar. Padahal aku Cuma memberitahu tentang
rancangan aku untuk mendirikan rumah tangga bersama lelaki pilihanku.Mak cik
Ros yang sentiasa ‘setia’ di sisi ayah hanya menatapku dengan pandangan sinis.
Seolah-olah dia sedang merancang sesuatu.
“Ayah setuju tak? Tanyaku
setelah sekian lama mendiamkan diri.
Ayah berdehem beberapa
kali. Matanya sekali-sekala mengerling ke arah isteri barunya itu. Seolah-olah
menghantar bicara dalam diam.
“Ayah suka kalau Dhiah
sudah bersedia nak mendirikan rumah tangga,” Ayah sudah mula bersuara.
“....tapi bukan dengan
pilihan Dhiah tapi pilihan ayah,” sambung ayah membuatkan aku terduduk.
Terkejut!
“Ayah, Dhiah tak setuju!
Dhiah Cuma akan berkahwin dengan pilihan Dhiah sahaja. Bukan pilihan ayah!”
bentakku dengan suara yang meninggi.
“Dhiah!” Suara ayah
meninggi. Marah!
“Abang, sudahlah tu.
Jangan paksa Dhiah kalau dia tak nak,” Mak cik Ros memujuk ayah. Aku hanya
mencebik melihatnya. Aku tahu ini semua mesti rancangannya!
“Abang tak kira! Dhiah
mesti kahwin dengan anak Ros! Titik!”
Ternganga mulutku untuk
seketika. Apa? Kahwin dengan anak Mak cik Ros? Ayah mesti sudah hilang akal!
Walaupun aku tidak kenal siapa gerangan anak tiri ayahku itu, aku tetap tidak
akan berkahwin dengannya!
“Dhiah tak nak!” bantahku
sekeras-kerasnya.
“Dhiah!” Sekali lagi ayah
menaikkan tangannya ke mukaku. Aku memegang pipi yang sudah tentu memerah
kesakitan. Ayah kejam!
“Abang, sudahlah!” pujuk
Mak cik Ros lagi. Dalam kesempatan yang ada dia sempat menjeling padaku.
Perempuan kurang ajar!
“Ros jangan nak bela
budak ni. Entah jantan mana dia nak jadikan suami. Bukan kita kenal pun! Kalau
anak Ros tu takpelah jugak. Abang kenal,” kata ayah lalu menikam mataku dengan pandangan
tajamnya.
Ahh, sampai hati ayah
cakap begitu padaku! Aku anak kandung ayah tapi ayah seolah-olah tidak
memahamiku. Tak akanlah aku nak musnahkan hidupku dengan mengahwini lelaki yang
bukan-bukan! Besar betul ‘penangan’ Mak cik Ros! Seratus peratus ayah berubah!
“Ayah setuju atau tak,
Dhiah hanya akan berkahwin dengan pilihan Dhiah sahaja!” putusku lalu berlari
ke bilikku tanpa mempedulikan jeritan ayah yang kuat memanggil namaku.
***
Huzaiman memandangku dengan pandangan serba
salah. Aku kehairanan sendiri. Kenapa dia harus kelihatan begitu runsing
setelah aku memintanya mengahwiniku secepat mungkin? Adakah dia tidak mahu
mengahwiniku hanya kerana ayahku tidak bersetuju?
“Huz,” panggilku bersama
jemari yang sengaja disulamkan ke dalam celahan jari jemarinya yang meruncing.
“Dhiah, Huz rasa kita
takde jodoh,” ujarnya perlahan tapi masih sempat telingaku menangkapnya. Segera
aku menarik tanganku dan menikam anak matanya tajam.
“Apa Huz cakap? Dhiah tak
dengar?” Aku berpura-pura tidak faham.
“Huz mintak maaf. Bukan
Huz tak nak kahwin dengan Dhiah tapi mama Huz dah ada calon untuk Huz. Sumpah Huz tak tahu!” Bersungguh Huzaiman
cuba menerangkan situasinya padaku.
Aku memeluk tubuhku lalu menggelengkan
kepala beberapa kali. Tidak sangka lelaki yang aku sanjungi mudah menyerah.
“Huz tak rasa kita boleh
bahagia kalau kita melanggar kata orang tua kita. Jadi, jalan terbaik kita ikut
sahaja permintaan mereka,” sambungnya lagi tanpa sedar melukakan hatiku.
Senangnya Huzaiman berkata!
“Mudahkan Huz mengalah?
Nampaknya hubungan kita memang tiada makna pada Huz. Sebelum berjuang pun Huz
dah menyerah. Tapi takpelah. Mungkin betul apa Huz cakap kita tak akan bahagia
tanpa restu keluarga. Jadi, hubungan kita cukup sampai di sini. Saya doakan
awak berbahagia dengan pilihan mama awak,” pintaku lalu berdiri, ingin beredar.
“Dhiah,” Huzaiman
menghalangku dari berlalu. Tangannya erat mencengkam pergelangan tanganku. Lama
dia merenungku.
“Huz akan tetap mencintai
Dhiah sampai bila-bila,” janji Huzaiman padaku. Aku menggeleng. Senyuman sinis
aku hadiahkan padanya.
“Saya tak perlu cinta
dari lelaki yang mudah menyerah, Huzaiman,” bicara akhirku padanya. Huzaiman
tertunduk mendengarnya.
MAK CIK ROS melemparkan senyuman
sinisnya tatkala aku menjejakkan kaki ke dapur. Ibu tiri aku itu sedang
menyediakan bahan-bahan untuk memasak makanan tengahari. Percaya atau tidak,
aku tidak pernah menjamah masakannya walaupun ayah kerap kali menyuruhku
berbuat demikian. Untuk apa aku makan makanan dari air tangannya? Buatnya dia
letak ‘apa-apa’ habis aku! Tanpa mempedulikannya, aku membuka pintu peti ais
untuk mengambil minuman sejuk.
“Jadi ke kau nak kahwin
dengan lelaki pilihan kau tu? Nampak macam tak jadi je?” perlinya dengan tangan
yang sedang ligat menghiris bawang merah.
Aku menghempas peti ais.
Tidak jadi mengambil air minuman sejuk. Aku mencekak pinggangku dan memandang
tajam padanya.
“Apa sebenarnya yang Mak
cik Ros tak puas hati dengan saya? Sepatutnya saya yang tak puas hati dengan
Mak cik sebab mak cik kahwin dengan ayah saya semasa kubur mak saya merah
lagi!” semburku dengan kening yang sudah terjungkit sebelah. Mencabar!
“Untuk masa terdekat ni
aku tak akan bagitahu kau sehingga hari itu sampai. Hari di mana kau menderita. Hari yang kau rasa apa
yang pernah aku rasa dulu,” katanya masih menyembunyikan niat sebenarnya
dariku.
“Menderita? Saya tak
pasti saya yang akan menderita. Tapi saya yakin yang mak cik akan menderita
sebab saya!” Aku sudah mengangkat janji.
Mak cik Ros sedikit
tergamam sebelum menyembunyikannya dengan senyuman penuh sindiran padaku.
“Aku suka semangat kau.
Tapi aku yakin hidup kau yang akan menderita sepenuhnya,” Mak cik Ros turut
mengikrar janjinya.
“Saya akan bongkarkan
semuanya pada ayah dan ayah akan benci mak cik seumur hidup!” ujarku bersama
rasa dendam yang meluap.
“Aku tunggu hari itu sampai,” cabar Mak cik Ros dan sekali
lagi melemparkan senyuman sinisnya padaku. Wajahnya langsung tak terbias rasa
takut atau gementar dengan bicaraku. Apa-apa pun aku akan bongkarkan segalanya
pada ayah! Tekadku.
HANYA tinggal beberapa ketika lagi
aku bakal bergelar menantu kepada ibu tiriku sendiri. Dalam terpaksa aku
menerima juga anaknya itu demi sebuah jawapan dan boleh jadi juga perkahwinan
ini terjadi kerana aku mahu membalas dendam pada Mak cik Ros . Selain itu, aku
mahu membuktikan pada Huzaiman yang cintaku padanya sudah musnah pada hari dia
menyerah pada kehendak mamanya.
Majlis akad nikah
berlangsung di rumahku secara kecil-kecilan atas permintaanku. Cukuplah
kehadiran saudara mara terdekat dan jiran tertangga. Teman sepejabat pun aku
tidak undang kerana bagiku ini bukan perkahwinan atas dasar cinta atau
kerelaanku sendiri yang perlu di sambut meriah. Malah, nama penuh bakal suamiku
juga aku tidak ambil tahu. Apa yang aku tahu ayah memanggilnya Iman. Walau
bagaimanapun Iman itu, aku tidak akan pernah jatuh cinta padanya kerana dia
anak kepada Mak cik Ros, ibu tiriku!
Aku semakin berdebar
apabila ada suara yang sudah bersorak mengatakan pengantin lelaki sudah bergerak ingin memasuki kamar pengantin
perempuannya. Aku menundukkan wajah ke bawah. Tidak mahu melihat siapa pun dia.
“Nur Radhiah, salam suami
awak tu,” arah Mak andam perlahan di tepi telingaku. Aku mendongak perlahan
sambil tanganku hulurkan untuk bersalam. Sepasang anak mataku membulat apabila
wajah lelaki yang sudah sah menjadi suamiku menyapa pandanganku. Huzaiman!
Huzaiman tidak beriak.
Bersahaja memandangku yang masih dalam kejutan. Hatiku dipalu rasa terkejut
yang amat sangat! Huzaiman anak Mak cik Ros? Anak kepada ibu tiriku? Jadi,
selama ini aku bercinta dengan anak perempuan itu?
Tangan lelaki itu aku
sambut dan cium seadanya memandangkan
ramai mata yang sedang memerhati ke arah kami pada saat ini. Biarlah rasa hairan dan terkejut ini aku
pendamkan untuk seketika sehingga majlis selesai.
Puas aku menunggu
Huzaiman masuk ke kamar peraduan yang dihias cantik sempena hari perkahwinanku.
Seharian aku langsung tidak membuka mulut berbicara dengannya. Malah, dia juga
begitu. Kami seolah-olah dua insan yang tidak pernah mengenali antara satu sama
lain. Aku kaku. Dia membisu. Dalam hati aku tertanya-tanya sendiri, adakah
semua ini sudah di rancang?
Daun pintu yang dikuak
dari luar menyedarkan aku dari lamunan. Seraut wajah kepenatan milik Huzaiman
aku pandang. Dia melangkah tenang ke bilik air tanpa mempedulikan aku yang
masih berdiri di tepi katil.
Selama setengah jam aku
menunggu dia membersihkan diri akhirnya lelaki itu keluar dengan tubuh yang
sudah lengkap berbaju tidur. Seperti tadi, dia tetap tidak mempedulikan aku.
Sebaik sahaja menyidai tuala, dia terus berlalu ke katil ingin melelapkan mata!
Hatiku mendongkol geram. Boleh dia berpura-pura seperti tidak berlaku apa-apa?
Tanpa membuang masa aku merapati katil dan menarik kasar selimut yang sudah
membaluti tubuhnya.
“We need to talk!”Keras
suaraku meluahkan apa yang aku rasa.
Huzaiman menarik kembali
selimut. Masih tidak mahu mempedulikan aku. Untuk kesekian kalinya aku menarik
selimutnya dan menghempasnya ke lantai.
Huzaiman bangun dan bergerak
menjauh dariku. Dia nampak marah. tapi aku masih tetap merapatinya demi sebuah
penjelasan!
“Huz, Dhiah...”
“Hei, perempuan kau
dengar sini! Mulai hari ini kita buat hal masing-masing. Kau dengan hidup kau
dan aku dengan hidup aku!” ujarnya dengan bahasa yang kasar.
Tergamam aku
mendengarnya. Betul ke aku sedang berhadapan dengan lelaki yang pernah aku
cintai? Aku mengukirkan senyuman pahit padanya. Aku harus kuat! Aku juga harus
sedar yang lelaki di hadapanku ini bukan Huz yang aku cintai tapi Iman, anak
Mak cik Ros, ibu tiri yang amatku benci. Kalau itu yang diputuskannya, aku juga
tidak mahu terhegeh-hegeh padanya meminta penjelasan! Biar aku yang mencarinya
sendiri.
“Well, i guess hubungan
kita tak ubah macam orang asing, walau hakikatnya kita suami isteri. Begitu
Iman?” sindirku, pedih. Mulai saat ini tiada lagi Huz. Yang ada Cuma Iman.
Huzaiman melemparkan
senyuman sinisnya padaku sebelum mencapai selimut yang aku lempar tadi dan
beredar ke katil.
“Hmm...gembira berurusan
dengan orang yang faham bahasa. Tak penat nak terang lebih-lebih,” ujar
Huzaiman dengan sarkastiknya.
Aku terdiam sebelum
berlalu ke sofa dan merehatkan tubuhku di situ. Mata aku pejamkan, berdoa agar
semua ini hanya mimpi buruk sahaja.
***
“Macam mana malam pertama
kau semalam? Seronok? Opps! Aku lupa pulak, anak aku dah janji dengan aku yang
dia tak akan sentuh kau. Mesti kau sedih, kan?” Mak cik Ros pagi-pagi lagi
sudah menambah beban di kepalaku.
Aku melemparkan senyuman
sinis pada perempuan separuh abad itu. Biar dia fikir yang aku langsung tak
kisah sama ada anak kesayangannya itu
sentuh aku atau tidak.
“Mak cik, terima kasih ye
cakap kat anak mak cik macam tu. Sekurang-kurangnya kalau saya bercerai dengan
anak mak cik nanti takdelah saya ralat nak cari
pengganti lain. Maklumlah, janda berias gitu! Suci lagi murni!” balasku
bersama tawa kecil, menyindir.
Mak cik Ros menjelingku tajam. Tidak berpuas
hati. Air minuman yang dihidangnya sebentar tadi diteguk rakus untuk meredakan
amarah. Aku menggelengkan kepala bersama senyuman. Aku tidak akan kalah Mak cik
Ros!
“Hmm!”
Aku mengalihkan pandangan pada suara yang berdehem di belakangku. Huzaiman mengambil
tempat disebelah mamanya. Wajahnya yang bersahaja itu menjengkelkan aku. Entah
apa yang merasuknya berubah seratus peratus begini. Tapi aku tidaklah begitu
hairan. Penangan Mak cik Ros lah katakan . Sedangkan ayah boleh berubah selepas berkahwin dengannya
ini kan pula anaknya sendiri. Mesti senang dia canangkan cerita buruk tentangku
kepada Huzaiman sehingga lelaki itu hilang rasa cinta padaku.
“Kenapa termenung?
Makanlah,” arah Huzaiman disambut senyuman sinis oleh mamanya. Aku pantas
bangun. Tidak berselera selepas ditegur begitu. Baru sahaja aku ingin
mengangkat kaki, lenganku ditarik kasar sehingga aku terduduk kembali.
“Duduk!” tegas Huzaiman
tanpa mempedulikan aku yang kesakitan dek penangannya tadi. Aku mendengus
perlahan.
“Ros, masak apa pagi ni?”
Suara ayah memecah keheningan dapur. Ceria. Mungkin gembira kerana satu-satunya
anak perempuannya sudah mendirikan rumah tangga tanpa menyedari aku sebenarnya
menderita.
“Masak bihun goreng je
bang,” balas Mak cik Ros bersama senyuman manisnya. Menyampah aku melihatnya.
Sepanjang sesi sarapan, aku hanya mendiamkan diri. Langsung tidak terpanggil
untuk berbual sama meskipun ayah banyak kali mengajukan soalan padaku.
AKU mengemas fail-fail kerja yang
berselerakan di atas meja. Sebentar lagi aku akan keluar untuk makan tengahari. Aku sudah berjanji dengan Rusdi
untuk belanjanya makan tengahari memandangkan dia banyak membantu menyelesaikan
kerja-kerjaku yang tertangguh kerana cuti kahwin yang aku ambil.
“You dah siap?” Soal
Rusdi yang tiba-tiba muncul di muka pintu pejabatku. Aku tersenyum sebelum
mengangguk.
Restoran yang dipilih
Rusdi berhampiran dengan tempat kerja
kami. Maka , kami tidak perlu tergesa-gesa menghabiskan makanan kerana dihambat
masa. Sementara menunggu makanan, aku dan Rusdi berbual-bual kosong sehinggalah
Huzaiman muncul dan menyertai kami. Aku kembali diam, membiarkan Huzaiman
bersembang berdua bersama Rusdi. Sesekali Rusdi menarik aku untuk berbual dan
aku hanya menjawab seadanya. Apabila makanan yang dipesan sampai, aku terus
menjamah tanpa mempedulikan mereka.
“Dhiah, ada something kat
tepi bibir you,” tiba-tiba Rusdi bersuara padaku.
Aku meraba-raba di
sekitar bibirku seperti mana yang dikatakan Rusdi tetapi tetap tidak aku jumpa
apa-apa yang melekat di situ sehinggalah dia membantu. Ibu jarinya menguis sisa
makanan yang berada di tepi bibirku. Aku mengukir senyuman tanda terima kasih
pada Rusdi. Huzaiman yang duduk bertentangan di sebelahku tiba-tiba bangun dan
pamit. Aku menjungkitkan bahuku tanda tidak tahu bila Rusdi menghantar isyarat
bertanya dengan mengangkat sebelah keningnya padaku.
Sampai sahaja di rumah,
aku segera beredar ke kamar dan baring, merehatkan diri di atas katil. Penat!
Seharian berhadapan dengan tugasan pejabat cukup untuk buat aku terlelap
seketika. Lenaku terganggu apabila terasa ada seseorang yang mengambil tempat
di sebelah pembaringanku. Aku membuka mata dan ingin segera bangun apabila
menyedari yang Huzaiman sedang baring di sisiku namun dihalangnya. Berat dadaku
dek tangannya yang sengaja di jatuhkan di situ, mengambil kesempatan betul!
“HuzaIman!” Aku terjerit
kecil dan berusaha mengalihkan tangannya dari berada di atas dadaku. Akhirnya
dia mengalihkan tangannya dan mendengus kasar.
Aku segera bangun dan
beredar ke almari, mengambil baju. Baru sahaja aku ingin berlalu ke bilik
mandi, suara Huzaiman kedengaran.
“Lelaki lain pegang kau
suka. Bila aku suami kau sentuh sikit kau dah melenting!” sindirnya bersama
renungan tajam.
Aku tersenyum sinis mendengarnya.
Cemburu?
“Huzaiman, awak harus
berpegang pada janji. Awak kan dah janji dengan mama awak tu untuk tidak
menyentuh saya. Jadi, untuk apa awak membangkitkan isu sentuh, pegang ni?”perliku,
berani.
Huzaiman bangun dan
menghampiriku. Untuk seketika dia mengelilingiku. Memandangku dari atas
sehingga ke bawah. Aku hanya mempamerkan raut wajah selamba, seolah-olah tidak
kisah dengan perbuatannya.
“Janji? Ada apa dengan
janji tu? Sama ada ditepati atau dimungkiri, itu urusan aku dengan mama. Tapi
kau isteri aku, Cuma urusan aku seorang!” Tegasnya lalu menolak aku jatuh ke
lantai.
Tanpa belas kasihan dia
mengorak langkah ke bilik mandi. Tapi, belum sempat kakinya mencecah lantai
bilik mandi, aku bersuara menentang kata-katanya tadi.
“Saya akan pastikan
gelaran isteri itu sekejap sahaja Huzaiman. Bila saya dah tahu apa muslihat
mama awak tu dan bongkarnya pada ayah, awak dah tak berguna lagi!” ujarku
keras.
“Sekejap atau lama, itu
semua dalam tangan aku. Dan percayalah, bila hakikat sebenarnya terbongkar, kau
tak akan mampu berdiri pun!” sanggahnya sebelum menghempas pintu bilik mandi.
Aku mendengus kasar. Apa-apalah!
Pintu bilik yang diketuk
beberapa kali menganggu kosentrasiku yang sedang membaca sambil berbaring. Aku
menjadi malas untuk membuka pintu bila aku sedar yang Mak cik Ros yang
mengetuknya. Melihat Huzaiman yang baru siap mandi dan hanya bertuala sahaja,
idea jahatku muncul. Pantas tubuh lelaki itu aku dekati sebelum memeluknya
erat. Huzaiman meronta kecil ingin melepaskan diri, tapi aku tidak peduli.
Setelah beberapa ketika
aku melepaskannya dan tersenyum puas melihat tanda merah di dadanya yang putih
itu. Dia terkejut! Aku berpura-pura selamba. Dia cuba menolak tubuhku menjauh,
tapi aku bertahan.
“Sayang, pakailah baju
dulu. Nanti mama nampak malu,” Aku sudah mula menjalankan watakku. Suara aku
biarkan kedengaran manja dan sedikit mendesah. Biar Mak cik Ros gelisah
mendengarnya.
Pintu bilik yang dikuak
kasar menggembirakan aku. Cepat-cepat aku menarik tubuh Huzaiman supaya jatuh
menindih tubuhku di atas katil. Huzaiman yang tidak bersedia dan masih
terpinga-pinga dengan perbuatanku tadi tidak dapat mengelak dari jatuh di atas
aku.
“Iman!” jerkah Mak cik
Ros pada anak lelakinya itu. Huzaiman yang masih terpinga bertambah terkejut
melihat mamanya yang sudah berada dalam bilik kami. Segera dia bangun. Aku pula
berpura-pura membetulkan baju yang kononnya terdedah.
“Mama! This is not what
you think!” Huzaiman membela diri. Aku tersenyum menang melihat air muka Mak
cik Ros yang sudah berbahang menahan marah sebelum dia berlalu dan menghempas
kembali pintu bilikku.
Huzaiman kembali
berpaling melihat ke arahku. Wajahnya juga memerah. Bengang kerana aku sudah
membuat mamanya berfikir yang bukan-bukan. Aku dengan muka yang bersahaja
kembali berbaring di katil dan menyambung bacaan aku tadi.
Baru sekerat aku membaca,
majalahku ditarik kasar sebelum dicampak ke lantai. Aku memandangnya tajam.
Cari gaduh nampak! Aku ingin bangun, tapi tidak Berjaya bila tangan lelaki itu
sudah mencengkam kedua-dua bahuku. Aku meronta-ronta tapi tidak Berjaya
memandangkan kudrat lelakinya lebih dariku.
“Huzaiman alihkan tangan
awak! Saya cakap alihkan tangan awak!” marahku. Malangnya lelaki itu tidak
berganjak sedikit pun.
“Kenapa? Tadi kau okey je
peluk aku. Kau gembira je bila tarik aku jatuh atas kau. Jadi aku fikir kau
mesti mengharap lebih dari tu kan?”cabarnya. aku menelan air liur, ketakutan
tiba-tiba menerpa hatiku.
Wajah Huzaiman yang
mendekat secara tiba-tiba itu menggusarkan hatiku. Aku memalingkan muka ke arah
lain dan menolak badannya bila terasa bibirnya menyentuh kulit leherku kasar.
Sakit!
“Sekarang kita seri! Aku
ada. Kau pun ada!” katanya sambil memegang dadanya yang terdapat kesan merah di
situ angkara aku tadi.
Aku memegang leherku.
Mesti sudah memerah! Jahanam! Aku tidak sangka Huzaiman jadi sebegini kasar
denganku. Tidak ada sedikitkah belas kasihan di hatinya untukku?
“Jangan risau, aku tak
akan sentuh kau lebih-lebih. Nak tahu kenapa? Sebab aku tak nak kau membawa
zuriat aku. Aku tak nak ada zuriat dengan keturunan pembunuh!”
Aku tersentak! Keturunan pembunuh?
Apa maksud dia?
“Siapa keturunan
pembunuh? Apa yang kau cakap ni Huzaiman?” Tanyaku kasar. Sudah berubah bahasa
panggilanku padanya.
“Buat-buat tak tahu! Aku
benci dengan keturunan munafik!” Huzaiman melangkah ke almari dan menyarung
pakaiannya dan keluar meninggalkan aku kebuntuan seorang diri.
***
“ Hei, perempuan! Kau
dengar sini, kau goda anak aku pun belum tentu anak aku akan tertariklah!” aku
menjungkitkan kening sebelum tersenyum.
“Ye
ke? Cuba mak cik tengok kat leher saya ni. Ada apa ye?” Sengaja aku memalingkan
leherku ke arah Mak cik Ros. Tergamam sekejap ibu mertua merangkap ibu tiriku
itu melihat kesan merah sebesar duit syiling sepuluh sen itu.
“Kau
ni memang kurang ajar kan?” marah Mak cik Ros dan mendekatiku. Tangannya sudah
di angkat.
“Mak
cik janganlah marah. Sepatutnya saya yang marah sebab mak cik kacau saya dengan
Iman tadi,” ujarku sengaja menekan perkataan ‘kacau’ itu dan meledakkan tawa mengejek
padanya.
“Eee...kau,”
Mak cik Ros tidak jadi meneruskan kata-katanya sebaik sahaja melihat bayang
ayah yang melalui ruangan antara dapur dan ruang tamu.
“Arghh!”
Aku
dan Mak cik Ros segera berpaling dan berlari anak keluar setelah mendengar
jeritan ayah yang tiba-tiba. Tergamam aku melihat ayah yang terdampar di
sebelah tangga tidak sedarkan diri. Segera aku memangku kepala ayah.
“Ayah!
Ayah bangun!” Aku menggerakkan tubuh ayah beberapa kali.
“Mak
cik call ambulance. Call ambulance!” arahku dalam suara yang menjerit. Tapi Mak
cik Ros tetap diam dan kaku memandang.
“Kenapa
ni?” Huzaiman yang baru turun terkejut melihat ayah sudah terlentang tidak
sedarkan diri. Dia merapati dan
mencempung tubuh ayah.
“Iman!
Jangan!” Halang Mak cik Ros bila Huzaiman ingin membantu membawa ayah ke
hospital.
“Mak
cik kalau mak cik nak balas dendam pun bukan sekarang masanya. Ayah yang
penting sekarang. Kita kena selamatkan ayah dulu!” tegasku dan bergerak ke
pintu.
“Balas
dendam? Aku bukan nak balas dendam tapi ini pembalasan! Sudah, Iman! Jangan
tolong. Biarkan je!” larang Mak cik Ros lagi.
Aku
terkedu mendengarnya. Pembalasan?
“Mama
Iman janji ini kali pertama dan terakhir Iman tolong ayah,” janji Huzaiman pada
Mak cik Ros. Sebak aku mendengarnya. Rupanya masih ada sisa kasihannya padaku.
Sampai sahaja di hospital ayah terus dimasukkan ke
wad kecemasan. Aku pula sudah mundar-mandir sendiri di hadapan wad tersebut.
Risau. Huzaiman yang tadinya duduk sudah berdiri.
“Awak
nak ke mana?” Soalku. Saat-saat begini aku betul-betul perlukan seseorang untuk
menemaniku.
“Balik,”
ringkas Huzaiman menjawab tanpa memandangku. Aku meraih tangannya. Meminta
pengertian dan belasnya dalam diam.
“Temankan
saya,” pintaku bersama pandangan yang mengharap.
Huzaiman
melepaskan tangannya yang berada dalam genggamanku. Dia mula memandangku,
menghantar pandangan yang aku tidak mampu tebak sendiri.
“Setakat
ini je aku mampu tolong. Ihsan sebagai manusia. Walaupun orang macam bapa kau
tak sepatutnya ditolong!” ujarnya tanpa perasaan.
Aku
mengetap bibir. Sebenarnya apa masalah Mak cik Ros dan Huzaiman dengan
keluargaku? Apa yang kami sudah buat?
“Apa
maksud awak?”
Huzaiman
tiba-tiba mendengus kasar. Mukanya sudah merah menahan marah.
“Kalau
kau tak tahu, biar aku beritahu sekarang. Bapa kau dah bunuh ayah aku! Sepuluh
tahun lepas, dia langgar ayah aku sampai mati dalam satu kemalangan!Tapi, sebab
tiada saksi dan bapa kau sendiri tak mengaku salah, ayah aku mati tak terbela!”
luahnya bersama intonasi suara yang keras.
Aku
menggeleng.
“Kau
tipu! Ayah aku tak buat semua tu! Kau tipu!” jeritku. Lantas kedua-dua belah
telingaku ditekup dengan tangan. Tidak sanggup mendengar pembohongannya.
“Suka
hati kau! Nanti bila bapa kau dah sedar, kau tanya. Until then, good bye
Radhiah!” pamitnya dan berlalu.
SUDAH sebulan aku berulang alik dari
rumah ke hospital. Doctor yang merawat ayah mengesahkan yang ayah lumpuh
separuh badan kesan daripada jatuh. Mak cik Ros dan Huzaiman pula sudah keluar
dari rumah semenjak hari itu. Walaupun, aku masih kabur dengan perkara yang
sebenar, tapi aku masih tidak menyuarakannya pada ayah kerana bimbang tahap
kesihatannya terjejas. Cukuplah berita Mak cik Ros keluar rumah dan tidak
menjenguknya di hospital membuatkan ayah muram. Aku tidak mahu menambah beban
yang sedia ada.
“Maaf kan ayah Dhiah,”
pinta ayah padaku. Aku mengukirkan senyuman ringkas.
“Tak ada apa yang nak
dimaafkan ayah. Semuanya takdir,”balasku lalu menghulurkan minuman pada ayah.
Ayah tetap merenungku
dengan pandangan sayu.
“Ayah ingat, dengan
mengahwini Mak cik Ros, ayah boleh tebus dosa ayah pada keluarga mereka. Tapi
tak sangka jadi macam ni. Masa depan Dhiah musnah. Dhiah hilang kebahagiaan
Dhiah sendiri. Kalaulah ayah kahwinkan Dhiah dengan pilihan Dhiah sendiri mesti
Dhia tak akan lalui semua ni,” luah ayah. Kesal. Tanpa menyedari yang Huzaiman
sebenarnya adalah pilihanku.
Aku menggeleng perlahan.
Tangan ayah aku usap dengan penuh kasih. Aku tak sanggup melihat ayah terus
menyalahkan dirinya walaupun aku terkejut mendengar pengakuannya tadi.
Kebahagiaan aku mungkin masih boleh dicari kerana aku masih muda, tapi
kebahagiaan ayah mungkin tidak lama. Ayah sudah tua.Wanita yang dianggap mampu
menggantikan tempat mama dan menemani ayah dihujung senja Cuma hadir untuk
membalas dendam rupanya.
“Dhiah redha ayah. Sekarang
yang penting ayah sihat. Kebahagiaan
Dhiah Cuma ayah. Ayah sihat, Dhiah dah cukup bahagia,” ujarku bersama
linangan air mata. Ayah juga mengalirkan air matanya.
“Okeylah, ayah rehat ye.
Esok Dhiah datang lagi. Dhiah gerak dulu,” Aku meminta diri. Ayah mengangguk
seraya tersenyum sayu padaku.
Di pejabat, aku hanya
duduk termenung. Benar kata Huzaiman, terbongkarnya hakikat yang sebenar, aku
pasti tidak mampu untuk berdiri sekalipun. Setelah segalanya tersingkap, aku
tidak boleh menyalahkan Mak cik Ros dan Huzaiman seratus peratus kerana
bertindak begitu. Mereka Cuma mahu aku
dan ayah merasai apa yang pernah mereka lalui suatu ketika dahulu. Tidak
berdaya bila insan tersayang di timpa kecelakaan. Cuma aku bernasib baik kerana
ayah masih diberi kesempatan untuk hidup sedangkan mereka kehilangan orang yang
disayangi untuk selamanya.
“Dhiah!” Rusdi
memanggilku dari arah pintu. Aku melemparkan senyuman padanya.
“Ada apa Di?” Soalku.
“Time to go home!” ceria
suaranya di halwa telingaku.
Aku menepuk dahi. Terlupa
yang keretaku rosak dan sedang berada di bengkel untuk dibaiki. Aku sudah
meminta tolongnya untuk mengambil dan menghantarku untuk sementara waktu
memandangkan kami tinggal dalam satu taman yang sama Cuma berlainan peringkat
sahaja. Segera aku mencapai beg sandangku dan bergerak keluar beriringan dengan
Rusdi.
Rusdi menghantarku
pulang setakat di hadapan rumah sahaja.
Sebaik sahaja mengucapkan terima kasih padanya, kereta Rusdi terus meluncur
laju meninggalkan perkarangan rumahku.
Baru sahaja aku ingin
mengunci semula pintu pagar, kereta milik Huzaiman berhenti betul-betul di
hadapan pintu pagar. Mahu tidak mahu aku kembali membuka pintu pagar seluasnya,
memberi laluan untuk lelaki itu memakirkan kenderaannya di dalam.
“Seronok nampak? Baru
habis dating?” perli Huzaiman padaku.
“Awak ada tertinggal
apa-apa ke kat rumah ni? Kalau ada ambil cepat dan balik. Saya tak nak mama
awak fikir yang bukan-bukan tengok awak balik lewat,” kataku tanpa menghiraukan
sindirannya tadi.
“Sejak bila kau dengan
Rusdi? Kenapa tak ajak dia teman kau kat sini?”Huzaiman langsung tidak
mengambil perhatian dengan kata-kataku. Malah, semakin giat menyindirku.
“Saya nak naik bilik
dulu. Kalau awak nak balik jangan lupa kunci pintu dan pintu pagar,” Aku
berlalu ke kamar, membiarkan Huzaiman terkulat-kulat sendirian di bawah.
Belum sempat aku menutup
daun pintu, tangan Huzaiman mencelah masuk. Aku membiarkan sahaja. Selagi kami
masih bergelar suami isteri, bilikku juga masih biliknya.
“Mama nak aku ceraikan
kau!” bicara Huzaiman padaku setelah dia melabuhkan duduknya di birai katil.
Raut wajahnya muram ketika menyebut perkataan ‘cerai’ itu.
Aku tidak terkejut.
Memang itu yang aku jangkakan setelah semua ini berlaku. Tapi mengapa Huzaiman
bagai tidak rela? Adakah dia masih mencintai aku? Ahh, itu tidak mungkin! Dia
sendiri kata yang hubungan kami tidak ubah seperti orang asing. Jadi, nyatalah
dia tidak menginginkan perkahwinan ini.
“Ikut jelah cakap mama
awak tu. Saya okey je,” Selamba aku berkata. Bagai tidak kisah dengan perkataan
cerai itu.
“Kenapa kau tak kisah?Oh,
aku lupa pulak. Kau kan dah ada pengganti. Nak-nak aku tak pernah sentuh kau,
mesti Rusdi seronok dapat janda berias kan?”Huzaiman sudah membuat andaian
sendiri.
Aku menjungkitkan bahu.
Malas nak melayan kata-katanya yang lebih pedas dari cili itu. Kalau aku
melayan, makin menjadi-jadilah Huzaiman membidas aku. Lantas, tuala aku ambil
dan berlalu ke kamar mandi.
Aku fikir Huzaiman sudah
pulang setelah hampir setengah jam aku membersihkan diri. Tapi andaianku
merosot apabila melihat dia yang berbaring santai di katil. Bajunya juga sudah
bertukar.
“Saya rasa baik awak
balik. Mama awak mesti tengah risau,” aku ‘menghalau’ Huzaiman dengan cara
halus.
“Kalau pasal mama kau tak
perlu risau. Aku beritahu mama yang aku balik rumah aku,” jawabnya selamba.
Aku mengeluh berat.
Maknanya malam ini dia bermalam di sini? Ah, suka hati dialah. Tidak ada apa
yang perlu aku risau. Dia pernah berkata yang dia tidak akan menyentuh aku,
anak keturunan pembunuh ayahnya. Lalu aku mengambil tempat di sebelahnya. Mata
ini betul-betul sudah kepenatan. Baru beberapa minit meletakkan kepala di
bantal, aku terus lena.
Tubuh yang terasa di
hempap, memaksa aku membuka mata dalam terpaksa. Hilang ngantukku bila wajah
Huzaiman menyapa pandanganku. Begitu hampir wajah kami. Aku meronta-ronta,
ingin melepaskan diri.
“Huzaiman, apa awak buat
ni? Let me go!” jeritku bersama tangan yang sudah memukul dadanya. Huzaiman
tidak berganjak sedikit pun. Matanya tajam menikam anak mataku.
“Untuk malam ini sahaja,
tolong...tolong penuhi kehendak aku sebagai suami dan...sayangi aku sebagai
lelaki yang pernah kau cintai,” pintanya.
Aku memejamkan mata dan
berhenti meronta demi mendengar bicaranya yang kedengaran sendu di telingaku.
Air mata yang sudah mengalir di pipi di seka jemari kasar miliknya sebelum
sebuah kucupan singgah di situ dan melurut ke bawah.
***
Tergesa-gesa aku melangkah ke bilik
mandi dan menghamburkan muntah di sinki. Masuk kali ini sahaja sudah enam kali
aku berulang-alik ke bilik mandi. Nampaknya aku benar-benar sudah salah makan!
Tapi makan apa?
Setelah rasa mual sedikit
berkurangan aku melangkah keluar dari bilik dan beredar ke ruang tamu. Ayah
yang sedang menonton televisyen memandang pelik padaku yang baru sahaja
melabuhkan punggung di sebelahnya. Kepala aku picit-picit halus. Pening!
“Dhiah sihat tak? Pucat
je muka,” kata ayah sambil meletakkan tangannya di dahiku.
Aku menggeleng perlahan
tidak mahu ayah bimbang.
“Pening sikit ayah. Cuaca
kot. Sekejap panas sekejap mendung,” dalihku sebelum bertindak menuangkan
minuman sejuk ke dalam gelas dan meneguknya.
Ayah mengangguk dan
kembali menonton televisyen. Bunyi kereta memasuki perkarangan rumah, membuatkan
aku dan ayah saling berpandangan. Siapa? Tanpa menunggu masa yang lama, aku
bergerak ke pintu dan membukanya.
Tergamam aku bila wajah
Huzaiman dan Mak cik Ros terjengul di hadapanku. Aku memberi ruang pada
keduanya untuk masuk. Untuk seketika ruang tamu menjadi hening.
“Ros,” ayah menegur Mak
cik Ros yang masih berdiri sambil memerhatikannya. Mak cik Ros hanya
melemparkan muka sombongnya.
“Aku datang nak bagitahu
yang aku dah mintak fasakh. Minggu depan kita jumpa di mahkamah!” kata Mak cik
Ros dengan angkuhnya. Terkedu aku mendengarnya kepala yang tadinya berdenyut
sedikit bertambah sakit pula jadinya.
“Ros, tak boleh ke Ros
maafkan abang?” pinta ayah yang lebih kepada merayu.
Mak cik Ros tersenyum
sinis.
“Kalau maaf kau boleh
hidupkan suami aku, aku pasti maafkan kau. Tapi masalahnya tak boleh,” bidas
Mak cik Ros lalu memandangku.
“Dan kau pun Radhiah akan
di ceraikan Huzaiman,”
Aku memandang Huzaiman
lama. Namun, lelaki itu langsung tidak memberi reaksi. Aku mengeluh perlahan. Kecewa. Dia langsung
tidak berusaha mempertahankan perkahwinan kami setelah kejadian sebulan lebih
itu berlaku. Aku benar-benar diperlakukan seperti habis madu sepah dibuang! Jadi,
untuk apa lagi aku mengharap padanya lagi? Cinta? Tanggungjawab?
“Ros! Dhiah tak salah.
Abang yang salah. Jangan musnahkan hidup dia Ros,” rayu ayah.
“Ayah sudah. Dhiah tak
kisah,” ujarku selamba bersama rasa pening yang mencengkam kepala. Huzaiman
tergamam mendengarnya. Dia pantas menarik tanganku kasar, aku yang tidak
bersedia terjatuh akibat tersalah langkah.
“Dhiah!” jerit ayah dan
Huzaiman serentak sebelum pandanganku kelam, tidak sedarkan diri.
***
Aku mengusap lembut pipi
montel Muhd Haziq bin Muhd Huzaiman. Bayi
lelakiku yang berusia 3 bulan itu
mempunyai raut wajah yang sangat memberat pada ayahnya. Anak yang menyatukan
kembali hubungan yang hampir terlerai dan memadamkan api dendam Mak cik Ros dan
Huzaiman sendiri.
“Menyusu lagi?”Aku
memandang pada suara yang bertanya. Kemudian, menepuk perlahan katil,
memintanya duduk di sebelahku.
“Anak abang ni kan memang
kuat menyusu,” balasku perlahan pada Huzaiman. Dia tersengih sendiri.
“Ala, ibu ni Haziq lapar.
Mestilah Haziq nak susu ibu. Tak kan Haziq nak makan KFC pulak,” ajuk Huzaiman
sambil mengusap pipi Haziq yang masih menyusu.
Aku mencubit lengan
suamiku itu bila kata-katanya itu seperti mahu mengenakan aku. Huzaiman
mengelak perlahan sebelum tertawa kecil. Gembira dapat mengenakanku.
“Ayah dengan mama mana?”
Soalku setelah tawa Huzaiman reda.
“Kat bawah. Tengok tv,”
ujarnya sambil mencium pula pipi anak kami.
Aku tersenyum sendiri.
Syukurlah segalanya sudah beransur pulih. Allah S.W.T telah menerima doaku. Mak
cik Ros dapat memaafkan kesilapan ayah dan Huzaiman kembali menjadi seperti
Huzaiman yang pernah aku cintai dulu.
Selesai menyusukan Haziq,
aku meletakkannya di dalam baby cot yang terdapat di sebelah katil dan kembali
duduk di sebelah Huzaiman. Lelaki itu menyandarkan kepalanya di bahuku sebelum
meraih tanganku dan mengucupnya lembut.
“Abang,”
“Hmm,”
“Sebelum abang kahwin
dengan Dhiah, abang betul-betul cintakan Dhiah ke atau sekadar berpura-pura
sebab nak balas dendam pada Dhiah?”
Huzaiman berdehem beberapa
kali dan membetulkan duduknya sebelum menjawab pertanyaanku. Raut wajahnya
tenang, seolah-olah tidak terganggu dengan soalanku tadi.
“Mula-mula tak,”
jawabnya, terus-terang.
Aku diam. Memberi ruang
supaya dia meneruskan lagi.
“Tapi sebab Dhiah lain,”Aku
mengerut dahi tanda tidak mengerti.
“Kalau perempuan lain
dating pakai cantik-cantik. Dhiah pulak pakai selipar, seluar jean lusuh dengan
t-shirt bodoh je. Sempoi habis! Itu yang abang suka Dhiah,” terangnya bersama
senyuman di bibir.
“Tapi, sebab dah janji
dengan mama, abang terpaksa sembunyi semua perasaan abang pada Dhiah. Hanya
Allah je tahu betapa hati abang sakit bila terpaksa menyakiti Dhiah,” tambahnya
lagi.
Aku mengangguk faham.
Tapi, masih ada satu lagi pertanyaanku. Kalau dia tidak rela menyakitiku
mengapa dia meninggalkan aku dan kembali semula padaku setelah aku di sahkan
hamil? Adakah dia akan meninggalkan aku jika aku tidak di sahkan hamil?
“Kalau Dhiah tak pengsan sebab mengandung
dulu, abang tetap akan ceraikan Dhiah ke?” Tanyaku. Sudah lama perkara ini
bermain dalam kotak fikiranku. Cuma baru hari ini aku berpeluang untuk
bertanya.
“Tak,” jawabnya pantas.
“Kenapa?” Aku kehairanan.
“Ingat tak yang abang
tiba-tiba tarik Dhiah lepas Dhiah cakap Dhiah tak kisah kalau abang nak ceraikan
Dhiah tu?” Huzaiman memandangku dalam.
Aku mengangguk.
“Abang sebenarnya nak
cakap kat Dhiah yang walau apa pun berlaku abang tak akan ceraikan Dhiah.
Walaupun mama pasti membantah. Kan,
abang pernah cakap yang Dhiah urusan
abang. Tambahan, kuasa menjatuhkan talak ada di tangan abang. Mama tak boleh
masuk campur,” terangnya bersungguh padaku.
“Lagipun, sejak malam tu
abang tak boleh tidur. Asyik teringat kan Dhiah je. Nak-nak malam tu Rusdi ada
hantar mesej kat Dhiah, wish good night konon. Sakit hati abang!” luahnya
bersama wajah yang muram.
Aku mengerutkan dahi.
Rusdi ada hantar mesej?
“Dhiah tak sedar pun,”
kataku perlahan. Huzaiman tiba-tiba mengukirkan senyuman.
“Sayang memanglah tak
sedar. Kan sayang ‘overtime’ malam tu. Terus tertidur lepas tu,”Nakal suaranya
mengenakan aku.
“Eee...gatal!” Aku
mencubit lengannya dan mana-mana anggotanya yang hampir denganku. Huzaiman
tergolek di atas katil dalam cubaannya untuk mengelak dari terkena cubitanku. Penat
mengelak akhirnya, dia meraih tubuhku ke dalam pelukan.
“I love you,” bisiknya di
telingaku.
“Love you too,”sambutku.
Lembut.
Akhirnya, dendam untuk
cinta ini terlerai sudah. Benarlah kata bijak pandai, sebuah kelahiran,
mendatangkan sejuta nikmat kebahagiaan. Aku bersyukur kerana kelahiran bayiku
menyatukan dan meleraikan segala-galanya...
19 comments:
best sangat2
cerpen baru. okay. seronok baca. tapi kan kena check huruf besar, huruf kecik sikit. hehe.
cerpen br =)
keep it up...
Thanks Ruunna! i'll appreciate your comment so much!
AZ yang tak nak check! tunggang terbalik la :p
thanks in Zfyrh! saya masih berlajar untuk memuaskan hati pembaca :)
lps ni leh try wt novel plak hehhehe =)
Hai sis, best citer ni :) you're such a talented writer.keep it up :D
thank you so much An-Najah! i'll do everything to make sure people around me feel joy baca my 'ksarut-marut'! hehehe
akak saya peminat setia cerpen akak... cerpen akak teramatlah best and menarik minat sesiapa yg baca cerpen akak
dahsyat kan cerpen ni. tak pernah terfikir nak ada kisah camni. tapi logik. best! :)
lebih kurang mcm cerpen jodoh bersulamkn dendam la...
Finally ! Dulu pernah baca cerita nii . Dah lama gila baca . Tapi lupa tajuk cerita niii . Akhirnya jumpa balikk . terus save cerita ni dekat bookmarks
boring mcm penah baca cite nie
Skenye... Best
Besttttttt.. Asal lambat sgt sy jmpa blog cik writer ni¿
Love ur KARYA!!!
Akak ? Where have you been ? Busy eh ? Rindu nk baca cerpen akak yg baru update. Dh 2-3 kali baca tp still nk baca lg. Jalan cerita best kak.
Bagus
Post a Comment