Oh, Pengikut Setiaku!!!

Saturday, January 31, 2026

Bab 17: Don't Say Goodbye

Cemburu Si isteri 

Sampai sahaja di majlis hari jadi kawan Khalif, Syarifah Armalia meminta izin dari suaminya untuk ke tandas. Dia mahu membetulkan solekan di wajahnya yang sedikit terjejas gara-gara memakan kacang di dalam kereta tadi.

Suka benar  dia mengunyah kekacang yang dibawa Khalif. Entah sejak bila dia menjadi peminat kekacang. Dulu dia anti dengan kekacang. Risau naik jerawat. 

Tapi sejak berkahwin dengan PA dia itu, makanan yang menjadi musuh dia jadi kegemaran pulak. Kuasa cinta agaknya. Atau dia sudah terbiasa dengan kebiasaan Khalif sehingga dia pun terikut sama.

Ish! Bahaya sungguh pengaruh Khalif ni! Silap hari boleh gemuk dia. Nasib baik dia selalu bersenam di gym. 

Tersedar diri mengelamun lama, Syarifah Armalia geleng kepala lalu mengeluarkan lipstik dan membuka bedak kompaknya.Dalam tandas pun boleh ingat suami! Punyalah angau dengan Khalif!

Dengan tertib, dia oles lembut lipstik ke bibir. Selepas berpuas hati dengan penampilan diri, dia mula menapak keluar dari tandas.

Apabila dia kembali, dari jauh dia nampak Khalif berdiri sambil bersembang dengan rakan-rakannya. 

Bibirnya terus mengukir senyum apabila  melihat suami sendiri. Begini rupanya perasan jatuh cinta yang sebenarnya. Tapi masalahnya Khalif Masih belum bicara cinta pada dia. Tapi dia yakin, semua yang Khalif buat untuk dia adalah bentuk cinta. 

Langkah kembali di atur dengan rasa teruja. Tak sabar nak memaut lengan lelaki milik dia. Tapi baru berapa tapak, tubuhnya pegun, buku limanya tiba-tiba tergenggam erat. Nafas juga menderu kasar.

Semuanya gara-gara seorang perempuan yang mendekati Khalif lalu dengan  selamba menghulur tangan untuk bersalam dengan suaminya.

Dia yang melihat jadi panas hati. Berani betul hulur tangan pada lelaki milik dia! Tidak tunggu lama, Syrifah Armalia segera mencelah antara Khalif Dan perempuan yang tidak dikenalinya itu.

"Well, hello dear. I Syarifah Armalia, isteri Khalif. Care to introduce yourself here?"Nada suara  Syarifah Armalia kedengaran tenang namun berbaur amaran. Tangan juga sudah memaut lengan Khalif erat. Biar perempuan tadi tahu, Khalif sudah ada pemiliknya.

Sarah menjatuhkan tangannya ke sisi. Terkesima campur terpegun dengan kehadiran wanita cantik di sisi Khalif. Terserlah persona elegan dan karismanya, mesti bukan calang-calang wanita.

"I Sarah. Rakan  satu Universiti dengan Khalif dulu. Nice meeting you," balas Sarah dalam lagak professional.

Dia pandang Khalif seketika. Lelaki itu nampak tenang dengan kehadiran wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai isteri Khalif. Mereka memang nampak sepadan. 

"Gembira jumpa awak, Sarah. Lama juga kita tak jumpa lepas masing-masing graduate kan?" Khalif bersuara. Dia sedar situasi tegang yang berlaku antara dua wanita ini.

"Lama sangat. Sampai awak pun dah kahwin. Melepas saya," balas Sarah berlelucon di sambut tawa kecil oleh Khalif.

Sementara Syarifah Armalia yang mendengar memendam rasa tidak puas hati. Sarah ingat luculah kata-kata dia tu? Khalif pun satu, ikut ketawa sama kenapa? Bukan lawak pun! Bisik hati dia.

Khalif dapat rasa lengannya dipaut semakin erat. Dia sedar, isterinya sedang menahan cemburu.  Tidak mahu mengeruhkan suasana, dia segera meminta diri untuk ke meja makan bersama Syarifah Armalia.

Sebaik saja menuntun si isteri ke meja makan, Khalif segera menapak ke meja yg menempatkan makanan pula. Hidangan yg menyelerakan itu segera di ambil dan diletakkan ke dalam pinggan sebelum dibawa ke meja mereka.

 Melihat air muka Syarifah Armalia yang masih masam mencuka membuatkan hati Khalif dijentik rasa lucu. Cemburu betul ni!

"Nah, saya ambilkan makanan untuk awak."

"Tak nak. I diet hari ni!"

"Eh, diet? Yang makan kacang lebih Dari segenggam dalam kereta tadi siapa?" Perli Khalif sambil membersihkan sudu menggunakan napkin.

Usai basmallah, dia terus menyua sudu ke mulut si isteri. Tidak tunggu pun balasan jawapan dari isterinya. Dah tahu dah, tentulah jawapan emosi saje yang keluar.

"Makanlah yang. Jangan risau, Kurus ke gemuk ke, cantik ke comot ke saya dah janji dengan Tuhan, insha Allah isteri saya seorang je," pujuk Khalif dengan nada lembut.

Syarifah Armalia yang mendengar terus menjeling manja pada si suami. Terpujuklah juga hati dia itu mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Khalif tadi.

"Okay, fine. Tapi janji dengan I jangan cakap dengan perempuan lain macam tadi tu!"

Khalif kerut dahi.

"Eh, macam tadi tu salah ke? Macam okay je?"

"Tak okay! I nampak jelas kat dahi dia nak ngorat you. I tahulah. I perempuan!"

Tergelak Khalif mendengar. Amboi perempuan kalau dah marah, yang bukan-bukan saje keluar. Nasib dia dah biasa dengan ragam perempuan, berkat jadi satu satunya anak lelaki dalam keluarga.

"Okaylah yang. Saya cuba. Tapi kalau hal kerja awak tak boleh buat perangai tak professional macam ni. Faham?"

"Well kita tengoklah dulu!" Acuh tak acuh Syarifah Armalia menjawab. Dia pun ragu-ragu dengan diri sendiri, sama ada boleh mengawal rasa cemburu dia atau tidak.

"Eh boleh pulak macam tu?"

"Bolehlah. Sebab I Boss-Wife you!" Geleng kepala Khalif. Ada-ada saje idea isteri nan seorang ni. 

"Sudah. Sekarang cepat makan. Nanti lapar, saya juga yang awak cari nak makan," arah Khalif sambil menyelit perli.

"Ya. Kalau ikutkan hati sekarang juga I nak makan you!" 

Terkedu sekejap Khalif.

 Isteri...Isteri...Nasiblah Kiri kanan tak ada orang. Nanti tak pasal-pasal jadi salah faham.

***

Khalif menguap kecil sebelum mengambil keputusan mematikan suis laptopnya. Walaupun cuti hujung minggu, tapi tugasan yang tidak sempat disiapkan dipejabat  dan memerlukan perhatian akan dibawa pulang ke rumah.

Tak kisahlah, dia satu rumah dengan bos sekalipun, tapi tugas memastikan segala urusan dipejabat berjalan lancar itu tanggungjawab dia. Bukan Syarifah Armalia. Jadi dia tetap tidak mahu mengambil kesempatan dengan bermalas-malasan.

Selesai menyimpan laptopnya, pandangan ditala pada kelilingi bilik tidur mencari kelibat sang isteri pulak. Nmpaknya Syarifah Armalia masih di dalam bilik gym di tingkat bawah rumah mereka. 

Katanya, mahu membakar kalori makanan dari majlis reunion di hotel siang tadi. Tergeleng-geleng kepala Khalif mendengarnya. Isterinya seperti obses tapi selagi tak keterlaluan dia okay saje. Jaga kesihatan pun penting kalau nak hidup lama.

Dia sendiri juga akan bersenam tiga Kali seminggu. Ini semua untuk tujuan kesihatan dan keyakinan diri. Apatah lagi, sekarang ada anak bapa mertua yang perlu dijaga.

"Yang, lama lagi ke nak exercise? Dah malam sangat ni." Khalif bertanya. Tuala bersih yang dibawa utk  kegunaan sang isteri tadi diletakkan sebentar di atas sofa.

Dengar saja suara Khalif, Syarifah Armalia terus berhenti dari aktiviti berlari di atas treadmill yang sedang dilakukannya.

Lansung butang tamat di tekan. Turun Dari treadmill, tangannya mengambil tuala putih yang dihulur suami.

Tuala kecil tadi di bawa ke wajah. Sebaik peluh di muka Dan badan mengering, Syarifah Armalia bergerak pula menghampiri Khalif. 

Punggung di labuh di atas paha si suami manakala tangan di bawa ke leher lelaki itu.

"Hah, nak apa ni datang ngendeng-ngendeng macam ni?" Khalif dah tahu mestilah ada sesuatu yang si isteri mahu kalau dah datang merapat macam ni.

"Nak manja pun tak boleh ke? Garang betul suami I sekarang!" Syarifah Armalia tarik muncung, merajuk. Lantas tangannya diturunkan dari leher si suami. Baik peluk diri sendiri!

"Okay...okay...awak nak apa yang? Tak nak pergi mandi ke? Dah tengah malam ni. Nanti selsema pulak." Bimbang juga Khalif kalau si isteri merajuk lama. Satu kerja pulak nak memujuk tengah malam buta.

Syarifah Armalia terus memicing mata. Pandang si suami siap tayang wajah nakal. Tak padan usia dah banyak. Masih nak berulah nakal-nakal.

Tapi tak apalah, yang dia nak nakal-nakal tu suami sendiri. Bukan suami orang. So, dia tak kisah!

"Nak tuntut janji siang tadi!" Tak beragak Syarifah Armalia menjawab. Dah pandai-pandai berjanji. Kenalah tepati.

"Ada janji apa?" Khalif sengaja pura-pura lupa ingatan. Nak kenakan si isteri.

"Janji nak spend masa berdua," bisik Syarifah Armalia, di tepi telinga sang suami.

"Ada ya? Tapi saya macam dah mengantuk. Awak pun mesti dah penat exercise. Kita postpone lah."Khalif gelak kecil.

"Khalif!" Jerit Syarifah Armalia. Geram betul dia di usik begitu.

Lalu tubuh si suami di cubit-cubit geram. Meliuk lintuk tubuh Khalif mengelak serangan wanita itu sambil ketawa.

Itulah berani lagi mengusik isteri!

Tak tahan mengelak, Khalif tangkap kedua-dua tangan Syarifah Armalia sebelum di tarik rapat ke dada bidang dia.

Wajah anggun itu di pandang lembut sebelum mendekatkan wajahnya ke wajah si isteri. 

Syarifah Armalia berdebar-debar. Walaupun sudah berapa bulan berkahwin, debaran bila berduaan dengan Khalif seakan-akan malam pertama! 

Kalau dia tahu indahnya berkahwin dengan Khalif, sudah lama dia heret lelaki itu ke pejabat kadi saat pertama Kali papa perkenalkan mereka!














Wednesday, March 12, 2025

Bab 16: Don't Say Good Bye

 Bab 16


KHALIDA sibuk mengasingkan  barang- barang lama dan baru di rumah Mak Adah. Selepas kenduri Khalif selesai, tiba-tiba Mak Adah mengajak anak-anak perempuannya yang lain pulang ke kampung untuk mengemas.


Tidak sampai hati mengecewakan permintaan Mak Adah, mereka sepakat pulang ke kampung juga hujung minggu itu di temani suami dan anak masing-masing.


Banyak juga barang lama yang sudah tidak boleh digunakan  di temukan mereka. Sambil mengemas dan mengasing barang,  mulut adik-adik perempuannya sibuk bergosip Hal ehwal semasa dikeliling mereka.


Khalida pula sesekali menyampuk Dan menjawab apabila di tanya adik-adiknya. Fokusnya lebih kepada untuk menyelesaikan kerja ditugaskan Mak Adah pada hari itu.


Ketika dia sedang mengasingkan kertas dan surat Khabar lama, anak matanya tiba-tiba tertancap pada tajuk besar di dada akhbar yang ditemukannya.


'Isteri usahawan berjaya Dato' Syed Armand meninggal dunia kemalangan.'


Macam kenal nama Syed Armand tu. Bisik hati Khalida sebelum tangannya mencapai akhbar yang sudah kekuningan dan berhabuk tebal itu.


Sempat dia mengibas surat Khabar itu bagi menghilangkan habuk sehingga dia terbersin beberapa Kali. Apabila  habuk sudah berkurangan, dia segera menyelak muka surat sambungan berita dari akhbar lama itu.


Lama dia terdiam membaca isi kandungan berita itu sehingga air matanya bergenang apabila tertancap pada baris petikan akhbar itu yang seterusnya.


'Kemalangan itu turut mengorbankan  Mohamad Kamil, 50 manakala anak mangsa Mohamad Khalif, 19 dilaporkan cedera parah  dan dikejarkan ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan lanjut.' 


Patutlah dia bagaikan  pernah melihat wajah ayah kepada Syarifah Armalia itu. Rupanya, Dato' Syed Armand itu adalah lelaki yang sama menunggu di koridor kecemasan hospital 12 tahun lalu!


"Eh, Kak Ida? Kak Ida kenapa?" Tegur Khaisara dalam nada cemas.  Dia terkejut apabila perasan Khalida yang sedang menangis ketika membaca surat Khabar di tangannya.


Tubuh Kakak sulungnya itu dirapati sebelum dia melipat sila di sebelah wanita itu. Tangannya segera mencapai surat Khabar yang sudah hampir renyuk di tangan Khalida lalu membacanya.


Sejurus itu, Khaisara juga tidak dapat menahan sebak lansung menekup mulut dengan telapak tangannya. Dia turut sama menangis teresak-esak.


"Eh Kak Ida, Kak Sara? Kenapa kau orang menangis ni?" Kamila memandang pelik kepada kedua orang kakaknya. 


Berkerut dahinya, tanda tidak mengerti.


"Kemalangan ayah dengan Khalif 12 tahun lalu..."


"Eh, kenapa buka cerita pasal ni pulak?"Tanya Kamila tidak sabar selain semakin keliru. Apa kaitan mereka menangis Dan Kemalangan 12 tahun lepas?


"Dato' Syed Armand dan Syarifah Armalia turut terlibat dalam Kemalangan yang sama dengan ayah dan Khalif 12 tahun lepas."


"Apa?"  Jerit Kamila lalu memandang wajah Kakak sulungnya,meminta kepastian.


Khalida lansung mengangguk kepala tanda mengiakan apa yang diberitahu Khaisara. 


"Ya Allah! Masya Allah. Kebetulan apa ni? Mak dan Khalif tahu ke?" Tidak percaya Kamila mendengar patah perkataan yang keluar dari mulut kakaknya.


"Kak Ida tak pasti. Tapi Kak Ida yakin, Khalif tak tahu. Sebab kalau Khalif tahu, dia pasti tak akan kahwin dengan Armalia." 


Khalida tatap wajah Khaisara dan Kamila apabila kedua-duanya terdiam, tidak lagi melontar soalan. Dia lihat,  Khaisara menghela nafas berat manakala Kamila pula sudah merenung jauh ke depan.


Dia tahu adik-adiknya sedang bersedih dan jadi runsing. Kerana mereka semua tahu, Kemalangan 12 tahun lepas merupakan satu titik hitam dalam keluarga kecil mereka.


Selepas Kemalangan itu, segalanya tidak lagi sama. Khalif si adik bongsu yang ceria berubah menjadi pendiam. Khalif sering menyalahkan diri sendiri kerana dia yang memandu pada malam kejadian.


Hanya masa yang berlalu membuatkan segala galanya  menjadi lebih baik. Namun,  walau apa pun jenis luka, baik fizikal mahupun emosi, ianya  tetap meninggalkan parut. Begitu juga keadaan mereka sekeluarga.


"Apa sebaiknya kita beritahu Mak dan Khalif ke? " Tanya Kamila selepas lama berdiam diri.


"Jangan!" Larang Khalida. Dia tidak mahu mengeruhkan keadaan. Bagi dia, ada perkara lebih baik di simpan rapi dan tidak di sentuh  untuk menjauhi keburukan. 


Sebaik mendengar larangan Khalida, Khaisara mengangguk setuju. Dia faham makna disebalik larangan  kakaknya itu kerana dia juga berkongsi pendapat yang sama dengan Khalida.


Apabila melihat reaksi kedua Dua orang kakaknya, Kamila hanya diam. Sebagai adik dan orang dewasa dia bersetuju sahaja jika perkara itu diputuskan untuk kebaikan semua orang.  Dalam hati dia berdoa agar semuanya akan baik-baik sahaja.


Dia juga  tidak mahu membangkitkan perkara yang sudah berlalu. Lagi pun, kemalangan itu bukanlah kemahuan mana- mana pihak. Ianya takdir yang di telah ditentukan Tuhan. Mereka sudah lama berdamai dengan takdir itu. Harapnya Khalif juga sama.


***


Khalif memandang jam dipergelangan tangannya sambil  menunggu Syarifah Armalia bersiap. Lamanya. Keluh dia.


Hari ini dia dan isteri sepatutnya sudah keluar menghadiri majlis hari jadi teman Khalif. Tapi jarum jam  sudah mengajak ke angka 4 petang, namun bayang Syarifah Armalia Masih tidak keluar Dari bilik persalinan.


"Yang! Awak lama lagi ke? Dah nak masuk asar dah ni, yang. Awak buat apa lama- lama dalam tu?" Laung Khalif.


Dari tadi dia sudah bersabar menunggu. Dari selepas Solat Zuhur, sampai dah nak masuk Asar, isterinya Masih tidak selesai bersiap. Entah buat apa lama- lama sangat dalam tu?


Takkan lah pengsan kot? Khalif sudah berua ura mahu bangun kerana risau jika isterinya benar benar pengsan di dalam bilik persalinan tapi sahutan suara Syarifah Armalia mematikan hasratnya. Terus dia labuh punggung semula di atas tilam.


"Sabar darling. Sikit lagi I siap! Nak keluar dah ni!" Sahut Syarifah Armalia.


Khalif geleng kepala.Sementara nak mengisi masa, dia capai telefon pintarnya lalu menatal aplikasi Instagram. Tersenyum kecil dia apabila melihat hantaran isterinya di Instagram. Semua hantaran  dipaut akaun insta dia juga. Macam nak beritahu satu dunia, dia seorang saja ada suami. 


Mengada! Komen Khalif sambil tersenyum sendiri namun tetap semua hantaran isterinya itu dia letak tanda suka.


"Siapa mengada?" Tanya Syarifah Armalia sebaik dia keluar dari bilik persalinannya.


Khalif terus angkat muka lalu  pandang isteri dia.  Alamak muka tu! Masam benar! Langsung telefon pintar di gelapkan skrin paparannya. Bimbang kantoi stalk bini sendiri!


"Siapa mengada?" Syarifah Armalia bertanya lagi. Dia  sudah berjalan merapati si suami. Telefon pintar milik Khalif itu sekarang adalah tujuan Dan  sasarannya. Tak sabar dia nak tengok siapa gerangan yang buat Khalif senyum dan komen macam itu. 


"Takde siapalah. Dah siapkan? Jom gerak sekarang!" Elak Khalif lalu bangun.


"Darling, baik you bagitahu. You tengok siapa dekat phone you tu?" Mata Syarifah Armalia sudah memicing tajam. Tangan juga sudah bercekak di pinggang.


"Adalah!" Ringkas jawapan Khalif membuatkan si isteri bertambah geram. 


Tidak dapat menahan rasa ingin tahu, Syarifah Armalia segera bertindak menggeletek Khalif sehingga lelaki itu terduduk kembali ke katil kerana mahu mengelak tubuhnya dari menjadi sasaran.


Kerana tidak tahan geli, Khalif terleka dan terlepas telefon pintar miliknya ke sisi. Kesempatan itu segera di ambil si isteri dengan mencapai Dan membelek isi kandungan telefon Milik si suami.


"Oh darling, you liked semua posting yang I tagged you  dekat Insta? I ingat you tak kisah." Terharu Syarifah Armalia lalu memandang si suami.


Pinggang Khalif dipeluknya erat sebelum kepalanya di labuhkan di dada suami.


"Saya tak rajin buka social media. Tapi sejak ada isteri ni nampaknya kena buka selalu sebab isteri saya suka tagged Dan mention saya dekat sana," balas Khalif sambil mengusap lembut belakang si isteri.


"Oh manisnya suami saya. I rasa kita tak payah pergilah birthday kawan you tu. Kita spend time berdua dekat sini. Macam mana?," pujuk Syarifah Armalia sambil jari jemarinya di lorek lembut di dada suami.


Khalif segera menangkap jemari nakal si isteri. Bimbang ke mana-mana perginya nanti. 


"Sorry yang. Saya dah janji nak datang. Tak baik kalau dah  berjanji tapi tidak penuhi. Ini pun dah kira lambat. Salah siapalah agaknya." Khalif meleraikan pelukan mereka lalu menarik tubuh si isteri untuk sama-sama berdiri. Sempat juga dia mengenakan isterinya itu.


Syarifah Armalia mencebik. Baru nak manja-manja. Tapi bukan salah Khalif, dia yang lambat lepas itu sempat lagi nak mencuri masa berkasih sayang pula dengan suami.


Apa boleh buat. PA halalnya itu terlalu susah untuk di tolak! Terlalu manis!


"Baiklah suami. Balik nanti I tuntut ya Darling!" 


Khalif mengangkat bahu. Tanda belum tahu lagi. Sengaja mahu mengusik si isteri. Dah lambat pun masih nak main-main dengan isteri.


"Aip! Tak baik mungkir janji. Lagi-lagi dengan isteri cantik you ni!"  


"We'll see!" Sakat Khalif bersahaja namun terletus tawanya apabila melihat wajah cemberut Syarifah Armalia. 


Lalu dahi si isteri dikucup lembut, sebagai tanda memujuk. Tidak mahu si isteri keluar rumah dengan bermasam muka. 


Apa lagi, terus berbunga hati Syarifah Armalia! Suka dan bahagia dimanja begitu.





P/s: Sajelah nak cakap. Suka betul kalau dapat suami macam Khalif ni. Tapi Kalau Khalif tahu kebenarannya nanti, adakah dia Masih akan kekal manis macam ni ke atau bertukar jadi lelaki jahat? Saya pun tak sabar nak tahu jugak nanti. Salam 11 Ramadan semua. 

Monday, December 9, 2024

Bab 15: Don't Say Goodbye

 Bab 15


KHALIF ralit  memandang Syarifah Armalia yang sedang bersiap-siap ke pejabat. Dari atas sehingga ke bawah matanya menilik tubuh si isteri. Bukan kerana nak menggatal, tapi lebih kepada memerhati pakaian yang dipakai isterinya.


"Kenapa pandang I macam tu?" Tanya Syarifah Armalia selepas  terasa dirinya diperhati lama.


"Kenapa pakai macam ni?"


Syarifah Armalia terus pandang diri sendiri. Kenapa Khalif tanya macam tu? Tak elok ke baju yang dia pakai sekarang?


"Kenapa you tanya macam tu? Tak elok ke baju ni?"


Khalif menggeleng.


"Bukanlah tak elok, tapi macam ketat sikit. Skirt tu kena pakai yang labuh  buku lali baru okay sikit." Komen Khalif .


Dia tak berkenan sikit kalau Syarifah Armalia pakai skirt ke pejabat. Dari dulu lagi. Tapi  dulu bukan suami tak apalah lagi. Sekarang takkan lah dia nak berkongsi tubuh isterinya itu dengan mata-mata gatal lelaki lain di pejabat? 


Namun, dia harus akui  pakaian isterinya itu sudah semakin bertambah baik dan sopan berbanding awal dulu.


"Tapi, skirt ni dah bawah lutut dah Darling! "Protes Syarifah Armalia lalu menarik muncung panjangnya.


Khalif bangun dari birai katil, lalu merapati si isteri yang jelas sudah merajuk. Tubuh wanita itu ditarik menghadap dia.


"Yang, kalau awak pakai lagi sopan lagi saya suka. Kalau seksi, saya suka jugak tapi bukan untuk kongsi dengan mata orang lain. Faham?"


Syarifah Armalia menahan senyum. Ceh, tahu cemburu juga rupanya. Sengajalah dia menduga Khalif di pagi hari ini. Ingat tak sayang bini! Kalau macam ini punya jaga, tak payah tunggu sampai ulangtahun pertama, dia yakin hati Khalif milik dia!


"Hmm, i tak sangka pulak PA I ni posesif orangnya. Tapi tak apa. I suka!" Gembira hati Syarifah Armalia.


Cupp! 


Terus tergamam Khalif apabila pipinya dikucup secara tiba-tiba. Dugaan betul ada bini yang berani menggoda!


"Wait for me, darling. I tukar baju sekarang!" Jerit Syarifah Armalia lalu menuju ke bilik persalinannya.


Khalif hanya menggeleng kepala sebelum menarik senyum kecil. Nakal !


***


"Wah, pengantin baru dah masuk kerja! Tak pergi honeymoon ke?" Tegur Sarimah sebaik sahaja melihat Khalif melabuhkan duduk di kerusi. Tidak sabar dia mahu bertanya khabar Khalif dan kehidupan barunya.


Tadi dia mahu menegur rakan sepejabatnya itu. Namun terpaksa menahan diri memandangkan Khalif melangkah masuk ke pejabat bersama bos kecil mereka.


Sebaik sahaja, Khalif keluar dari bilik Syarifah Armalia barulah dia berani menegur Khalif. Tidak mahulah dia cari pasal menyapa Khalif awal-awal. Nanti mahu Syarifah Armalia karate dia! Ngeri!


"Eh kau ni Sarimah. Sabarlah sikit. Orang tu baru je nak panaskan buntut. Tapi yang kau menyibuk sangat ni kenapa? "


"Alah, Kak pun sama kan? Tak sabar nak dengar khabar Khalif!" Sarimah mencebik.


Kak Salmah menggeleng kepala. Malas melayan Sarimah yang jelas benar kepohcinya.


"Alhamdulillah i sihat, bos kecil sihat. Terima kasih datang kenduri hari tu. Kalau mana yang kurang tu saya mintak maaflah ya Kak Salmah, Sarimah." 


"Terima kasih jugak Khalif menjemput. Alhamdulillah sedap lauk kenduri kau. Kak sekeluarga suka betul semua lauk-pauk kenduri kau!" Balas Kak Salmah gembira. 


"Samalah jugak dengan I. Tapi kenapa you all tak pergi honeymoon lepas tu?" Sampuk Sarimah. Masih tidak berpuas hati Khalif tidak menjawab soalan dia yang pertama tadi.


Khalif pandang Sarimah sekilas sebelum menjawab.


"Insha Allah pergi. Tapi lepas siap beberapa projek yang delay sebab bagi laluan pada majlis I hari tu," beritahu dia tenang.


"Takpelah, Khalif dengan bos  ada seumur hidup nak pergi bulan madu tu. Tak semestinya kena pergi sekarang. Yang penting korang berdua bahagia.  Seronok tau akak tengok muka kau dan bos kecil berseri-seri tadi." Ikhlas Kak Salmah puji.


Memang dia nampak air muka dua anak muda itu bagai di simbah pelangi. Berseri-seri. Aura bahagia pengantin baharu betul!


"Terima kasih Kak Salmah. Doa yang baik-baik untuk saya. Sarimah, walaupun kepohci, I tahu you ambil berat pasal I," balas Khalif sempat mengusik Sarimah yang sudah menarik muka dengan usikan Khalif.


"Mestilah! I ni menjaga kebajikan semua pekerja di company ni tau!" Bangga Sarimah lalu menenyeh hidung sendiri.


"Hah, sebab tulah orang panggil kau Sarimah PERKESO!" Tambah Kak Salmah disambut tawa Khalif dan Sarimah.


TENGAHARI itu, Khalif sudah bersiap nak ke bilik Syarifah Armalia. Dia mahu mengajak isterinya itu keluar makan tengahari.


Baru sahaja dia mahu memulas tombol pintu pejabat Syarifah Armalia, telinganya terdengar suara sumbang dari arah belakang. Langkahnya terus terhenti kerana terdengar namanya dan isteri disebut dalam perbualan dua pekerja lelaki.


"Untunglah Khalif  kahwin dengan lady boss. Hidup senanglah lepas ni."


"Alah, bukan Khalif tu yang untung. Lady boss. Kau tak ingat ke kes hari tu? Entah-entah lady boss tu sebenarnya sisa jantan lain, Khalif je baik sangat kutip. Mungkin kena sogok dengan duit kot.


"Boleh jadi jugak kan. Khalif tu tak adalah handsome atau nampak jantan sangat. Tapi lady boss ambil juga jadi laki dia. Boleh jadi, dalam bilik tidur, Khalif..."


"Hmm... dah puas mengumpat, bro?" Khalif mencelah. Telinga dia dah berbahang. Mungkin juga sudah memerah kerana menahan marah.


"Err, sorry bro. Kita sembang biasa je."


"Biasa?" Jerit satu suara dari arah belakang Khalif.


Alamak,Syarifah Armalia! Bisik Khalif.


Syarifah Armalia segera menapak ke hadapan Khalif sebelum merenung tajam Dua makhluk itu. Dia juga sudah terdengar dari tadi perbualan Dua orang staff lelakinya itu. Sejak dia keluar Dari tandas Dan mahu ke pejabatnya semula.


Khalif mungkin tak menyedari, kerana  dia berada di belakang lelaki itu. Tapi dia sempat  perasan buku lima Khalif sudah terkepal kepal dek mendengar umpatan Dua orang staff lelaki itu tadi.


"Kau orang ni tak ada kerja ke? Nak kena pecat sekarang ke? Orang dah bagi waktu berehat tu, gunakanlah sebaiknya. Bukan pergi mengumpat urusan bilik tidur orang lain!" 


"Sorry bos! Kita..."


"Apa kita-kita? Boleh lagi nak menjawab!" Syarifah Armalia menempik lagi, dia betul-betul marah.


Mendengar suara tinggi Syarifah Armalia, Khalif segera menarik lembut tangan isterinya itu. Dia tidak mahu Syarifah Armalia bertindak yang bukan-bukan dek amarah. Bukan dia tidak kenal isterinya itu. 


"Yang, bertenang okay." Pujuk Khalif di saat isterinya itu Masih meronta mahu menyerang pekerja lelaki tadi.


"Bro, ini  first and last warning. Kalau masih buat perangai macam ni, kami akan bawa isu ni ke HR. Faham?" Tegas Khalif.


Apabila Dua pekerja tadi mengangguk faham Dan beredar barulah Khalif menarik tangan Syarifah Armalia ke bilik pejabat wanita itu. 


Tubuh isterinya itu dibawa ke sofa sebelum masing-masing melabuhkan duduk di situ. Jemari runcing Syarifah Armalia diambil lalu digengam erat.


"Kenapa you tak bagi I marah Dua ekor tu tadi? Diorang  tu dah memang melampau!"


"Saya tahu awak marah. Saya pun marah. Tapi kita kena bersikap professional. Lagi-lagi awak tu ketua."


"Tapi diorang tu cakap pasal kita. Pasal urusan kat bilik tidur kita!" Syarifah Armalia Masih tidak berpuas hati. 


"I will monitor them. Okay? Lagipun apa yang diorang tahu pasal kita, pasal bilik tidur kita? Urusan tu kita dua aje yang tahu. Diorang cuma boleh meneka je."


"Hish geramnyalah! Kenapa you boleh sabar sangat? Kalau you tak ada tadi, memang I dah bagi penampar kat Dua orang tu!"


Khalif sambung mengusap belakang tubuh Syarifah Armalia pula. Masih berusaha menenangkan isterinya yang masih panas hati itu.


Syarifah Armalia menarik nafas panjang sebelum menghembus singkat. Hatinya yang menghangat tadi jadi mendingin apabila menerima perlakuan lembut suaminya.


"Dah tenang? Ke marah-marah lagi ? Kalau marah, kita gerak makan sekarang. Nanti perut kenyang hati senang!" 


"Ya darling. I lapar sangat ni. Jangan sampai I gigit you pulak kat sini," balas Syarifah Armalia lalu mengeyitkan sebelah matanya. Sengaja menduga si suami.


"Okay...okay kita gerak makan sekarang!" Cepat-cepat Khalif bangkit dan menarik Syarifah Armalia ke pintu. Bimbang ada yang terbabas pula karang!


Saturday, June 15, 2024

Bab 14: Don't Say Good Bye

Bab 14


Hari yang ditunggu, akhirnya tiba juga. Selepas enam bulan bertunang, Syarifah Armalia dan Khalif sah menjadi pasangan suami isteri  dalam majlis sederhana tapi bermakna untuk kedua-dua keluarga.


Dari tadi, Khalif tidak lepas-lepas memandang wajah jelita Syarifah Armalia yang manis mengenakan tudung bawal berwarna putih susu. Wajah itu disolek tipis namun  masih terserlah seri pengantinnya.


Tidak salah permintaan Khalif meminta Syarifah Armalia mengenakan tudung di hari perkahwinan mereka.  Walaupun, Syarifah Armalia awalnya menolak, tapi wanita itu akur apabila Mak Adah menasihatinya. Apatah lagi perkara itu disokong juga oleh Dato' Syed Armand.


"Cantik isteri saya hari ini!" Puji Khalif ketika Syarifah Armalia sedang menyuapkan makanan ke mulutnya.


Syarifah Armalia yang mendengar, sempat tersipu malu  kerana mendapat pujian dari lelaki yang baru saja bergelar suaminya. Suami! Sukanya dia dengan gelaran itu!


"Hari-hari pun I cantik. Tak pelik. Tapi  you lain. Hari ini you handsome extra sikit,  husband!" 


"Sikit je? Saya ingatkan saya handsome banyak hari ini. Nama pun raja sehari. Nampaknya, tak handsome jugaklah ni." Rajuk Khalif.


"Kalau you handsome banyak hari-hari, I pun risau banyak jugaklah. Hari ini pun i dah rasa risau sangat dah ni."


"Eh, kenapa pulak?"


"Sebab banyak mata anak dara tengok you macam nampak putera raja! Mata mereka tu macam ada love-love!"


"Oh, ye ke?Love-love?" 


"Ye ke? You ni tak perasan ke pura-pura tak perasan?"Panas pulak hati Syarifah Armalia mendengar balasan polos dari si suami.


"Yalah, saya tak perasanlah part love-love tu. Saya tak pandang anak orang lain. Saya pandang anak  Syed Armand ni saja dari tadi," ujar Khalif.


Dia nak cakap macam mana lagi. Memang dia fokus  dengan isterinya sahaja. Tak ada masa nak fikir perkara lain. Ciptaan indah Tuhan yang dipinjamkan kepadanya bermula hari ini.


Sementara itu, Syarifah Armalia sempat terkesima  apabila mendengar kata-kata yang keluar dari mulut suaminya itu. Tak sangka, pembantu peribadinya ini ada bakat mencairkan hati dia!


"Jadi maksudnya, you dah jatuh cinta ke dengan I?" Penuh harapan Syarifah Armalia bertanya.


Dia berharap sangat, Khalif bagi jawapan positif. Kerana selama enam bulan bertunang, dia menunggu Khalif beri balasan untuk setiap ucapan 'I love you' tapi lelaki itu senyum saja! Geram pulak dia.


Khalif mengerutkan bibir dengan anak mata yang pandang ke atas. Lagak sedang mempertimbangkan sesuatu.Makin  bertambah geramlah  Syarifah Armalia melihatnya.


"Saya bagitahu lepas ulangtahun perkahwinan kita yang pertama nanti, okay?" 


"What?" Terjerit Syarifah Armalia mendengarnya.


Nasib baik tetamu sudah beransur pulang. Yang tinggal hanya kaum keluarga terdekat saja. Kalau tidak susah juga nak menjawab!


"Hello love birds! Sorry I lambat datang!"Tegur satu suara dari arah belakang mereka.


"Lukman! I  Ingat  you tak jadi datang?" Teruja Syarifah Armalia.


Dia sudah bangun dan mahu memeluk Lukman seperti biasa tiap kali mereka bertemu. Tapi tindakannya tersekat dek tangan Khalif yang tiba-tiba memaut pinggangnya. Langsung dia tergamam.


Lukman pula sudah tersenyum kecil melihat reaksi kedua-dua pasangan pengantin baru itu.


"I saje nak buat surprise dekat you. And Khalif, good luck jadi husband Syarifah Armalia," usik Lukman lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Khalif.


Khalif sambut dan menyimpul senyum ringkas sebagai balasan.  


Dalam diam, Khalif menarik nafas lega. Nasib baik dia sempat menghalang isterinya itu dari berkelakuan lepas.


Dulu, mungkin dia terpaksa 'pejam mata'  kerana tidak mahu dikatakan 'busy body' dengan Syarifah Armalia. Apatah lagi status mereka ketika itu hanya  sebatas majikan dan pekerja.


Sekarang, dia suami. Wajar, dia lindungi maruah isteri dia. Apatah lagi hati dia tadi sempat menghangat apabila terbayang kalau si isteri sempat memeluk rakan lelakinya itu.


Di satu sisi lain, Syarifah Armalia berasa seronok melihat wajah merah dan lega Khalif. Adakah ini memberi petanda baik?



MALAM itu, Syarifah Armalia menunggu Khalif masuk ke bilik tidur mereka dengan sabar. Tadi selepas solat isya' berjemaah, Papa memanggil Khalif untuk menemaninya minum kopi.


Syarifah Armalia hanya membiarkan kerana faham sangat keakraban bapa dan suaminya itu. Walaupun, dalam hati geram juga kerana papa 'menculik' suaminya di malam istimewa mereka.


Apabila terdengar pintu di kuak, Syarifah Armalia segera berpura-pura menatal telefon pintarnya. Aplikasi laman sosial medianya dibuka spontan. walaupun 'berlakon'  tapi dia sempat perasan, ramai juga yang 'like dan 'comment' gambar perkahwinan dia dan Khalif.


"Tak tidur lagi? Dah lewat ni," tegur Khalif lalu melabuhkan duduknya di birai katil.


Songkok yang terletak dikepala ditanggal dan di letak di tepi meja konsul. Apabila tiada reaksi dari isteri, Khalif segera mencari wajah manis itu.


Alamak, masamnya muka tu! 


"Tahu pun dah lewat. Lama I tunggu you, Khalif." Rajuk Syarifah Armalia.


Khalif tergelak dek geli hati. Tak sangka, bos kecil dia yang garang selama  ini ada sisi mengada macam ni!


"Habis tu, kenapa awak tak tidur je? Tak perlulah tunggu saya. Saya bukannya baby," balas Khalif sempat mengusik.


"Tentulah tunggu. Ini malam pertama kita sebagai suami isteri."


"Jadi?" 


"Jadi? Jadi apa yang husband and wife buat kalau malam pertama?"


"Tidurlah. Takkanlah main golf pulak!"


"Khalif!" Jerit Syarifah Armalia,  lalu perut lelaki itu dicubit geram.


Terus meletus tawa besar Khalif. Sambil ketawa, badan lelaki itu meliuk ke kiri dan ke kanan demi mengelak dari serangan Syarifah Armalia. 


Penat mengelak, Khalif ambil tangan Syarifah Armalia lalu memegangnya erat. Kemudian bebola matanya mencari anak mata si isteri.


Ketika ini dada Syarifah Armalia terasa bagai dipalu kuat. Berdebar dengan pandangan suaminya. Tadi dia rasa, dia dah terlalu 'bold' dengan tindakannya.


Namun, apabila Khalif pula bertindak berani, terus dia rasa kelu. Tubuhnya juga terasa menghangat tiba-tiba apabila telapak tangan Khalif  memegang pipinya dan mengusap lembut.


"Assalamualaikum, isteri!" Ucap Khalif ditepi telinga  isterinya.


Dalam debaran, Syarifah Armalia menjawab salam suaminya. "Waalaikumsalam, suami saya!" 


Monday, May 20, 2024

Bab 13: Don't Say Good Bye

 Bab 13


Khalida pandang Dato' Syed Armand dari mula sampai, sehingga majlis meminang dan bertunang Khalif dan Syarifah Armalia hampir ke penutupnya. Entah kenapa, dia rasa macam pernah melihat wajah tua tapi berkarisma itu.


"Kak Ida, kenapa pandang bakal bapa mertua si Khalif macam tu?" Tegur Khaisara.


Sebenarnya, dari tadi lagi  dia perasan. Nak tegur orang masih ramai. Sekarang dah reda orang barulah dia berkesempatan bertanya.


"Tak adalah. Kak Ida rasa macam pernah nampak muka ayah si Armalia tu," balas Khalida, perlahan.


Khaisara mengangguk faham.


"Mungkin dalam surat khabar tak pun internet kut Kak. Dato' Syed Armand tu kan orang kenamaan. Tentulah muka dia biasa nampak."


"Agaknyalah. Tapi cantik betul Armalia tu. Sepadan dengan adik kita!" balas Khalida sekaligus menukar topik perbualan mereka.


"Alhamdulillah. Walaupun, nampak sombong sikit awalnya  tapi dengan Mak, baik betul dia. Mak pun nampak sayang betul dengan Armalia." Khaisara turut bersetuju.


"Harapnya, berjodoh sampai ke Jannah. Risau juga sebab, pembawakan keluarga kita dan keluarga Armalia tu sudah tentulah lain."


"Tak perlulah Kak Ida nak pening kepala. Khalif lelaki. Pandailah dia jaga isteri dia nanti," balas Khaisara.


"Amboi, gosip berdua saja ke? Tak ajak saya pun. Sejak bila ni?" Sergah Kamilla dari belakang.


"Sejak kau busy makanlah!" Seloroh Khalida disambut ketawa Khaisara.


Langsung cemberut wajah Kamilla. Mentang-mentang hobinya makan. Tak habis-habis dia di usik dengan perkara itu.


"Lupa nak cakap, Mak dah panggil balik. Lagipun banyak perkara nak kena settle lepas ni," beritahu Kamilla.


"Amboi mak! Teruja betul nak dapat menantu perempuan!" 


"Mestilah! Lama Mak kita tunggu Khalif bawak menantu. Bila dah sampai waktunya, mau tak all out!"  Kata Khaisara tidak kurang teruja juga.


Langsung tawa mereka bertiga bergabung di petang hari yang bahagia itu.



SYARIFAH ARMALIA tersenyum kecil melihat kakak-kakak Khalif berbual sesama mereka dari jauh. Seronoknya ada adik beradik. Untung Khalif.


"Kenapa tak join?" Tanya Khalif.


Dari tadi dia perasan Syarifah ARMALIA melihat kakak-kakaknya bersembang tapi tidak pula wanita itu menyertai mereka.


"Belum biasa lagi. Nampak mereka okay. Lagi pun, I nak meluangkan masa dengan tunang I ni."


Khalif senyum mendengar. Rasa peliklah juga bila hubungan dia dan Syarifah Armalia bertukar jadi begini. Tapi aturan takdir siapalah yang tahu. 


Alih-alih, memang dialah yang berjodoh dengan Syarifah Armalia! Punyalah wanita itu anti dengan dia. Dan dia pun kalau boleh tak mahu perempuan cengih jadi bini. 


"Tak cukup lagi ke tengok muka saya dekat pejabat? Tambah lagi dekat sini. Nanti lepas kahwin, Insha Allah jadi seumur hidup."


Syarifah Armalia menggeleng kepala.


"Sampai you beruban. Dan sampai you dah berkedut!" 


"Amboi. Saya sajalah yang  beruban dan berkedut? Awak?" Khalif melawak.


"I mestilah jadi Syarifah Armalia yang cantik jelita walaupun dah berusia!" Pantas Syarifah Armalia menjawab dengan nada mengusiknya.


Khalif terus  mencebik.


"Don't worry husband to be. I tak akan bagi you berkedut teruk. I akan  bawa you buat facial treatment juga. Biar kita jadi nenek dan atuk yang cantik dan handsome!"


Kali ini tawa Khalif meletus lagi. Ada-ada sajelah bakal isteri dia ni. Suka angkat bakul sendiri juga rupanya!


"Khalif," panggil Syarifah Armalia setelah tawa lelaki itu reda.


"Janji dengan I. Walaupun akan ada hari you bangun dari tidur dan tengok wajah I di sebelah dengan rasa marah, benci, geram atau pun rasa kosong tapi you tak akan sesekali tinggalkan I," pesan Syarifah Armalia, serius.


Khalif terdiam lama sebelum mengangguk perlahan.


Dia sedar besar tanggungjawab berkahwin dan menjadi suami kepada Syarifah Armalia nanti. Di sekelilingnya,  akan ada  banyak mata yang  mengecam dan muka yang berselindung disebalik kata yang manis. Hanya kerana dia bergelar suami kepada anak kenamaan.


Dalam keheningan hari, hatinya turut sama berdoa, semoga Tuhan jaga hati dia dan bakal isterinya ini. Biar mereka bercinta sampai ke syurga.



SELANG beberapa hari kemudian, Syarikat Dato' Syed Armand bergegar dengan berita tergempar mengenai pertunangan antara Syarifah Armalia dan Khalif. 


Itu pun selepas  jemputan majlis perkahwinan keduanya dimaklumkan melalui emel. 


"Pandai ya kau Khalif. Senyap-senyap bercinta dengan bos sendiri!" Perli Kak Salmah sebaik saja Khalif melabuhkan duduknya di kerusi.


Khalif membalas dengan senyuman kecil. Apa lagi yang dia boleh kata. Dia sebenarnya tidak bersetuju Syarifah Armalia menghebahkan  status hubungan mereka di tempat kerja.


Namun, wanita itu berkeras kerana tidak mahu ada staf  yang buat cubaan 'menyondol' Khalif nanti. Hampir tergelak juga Khalif mendengar jawapan kurang matang tunangnya. Tapi kerana pengalaman lalu Syarifah Armalia, Khalif bersetuju saja. 


"Betul tu Kak Salmah. Risaulah I lepas ni." Sarimah menyampuk perbualan mereka tiba-tiba.


"Eh, kenapa pulak kau nak risau Sarimah?" Hairan Kak Salmah dengan kata-kata yang keluar dari mulut Sarimah.


"Risau lah kak. Sebelum ini kan I kerap bergosip dengan Khalif pasal bos. Tup-tup, bos kita itu girlfriend dia!" 


Kak Salmah menghamburkan tawanya. Khalif pun sama. Risau pasal itu rupanya. 


"Itulah kau. Datang kerja tu cuba betulkan niat sikit. Ini nak bergosip aje!" Tempelak Kak Salmah dalam nada mengusik.


"I bukan bergosiplah Kak Salmah. I menyuarakan dan berkongsi kehairanan I saja. Kebetulan Khalif yang dekat dengan meja I. I ajaklah sekali.  Tapi I tak cakap benda buruk kan Khalif?"


Sarimah membalas sebelum menayang muka menagih simpati pada Khalif.


Khalif menggeleng kepala. Ada-ada saja. Masa bergosip manalah beringat banyak ke sikit perkara yang digosipkan itu.


"Lepas ni tak boleh ajak I bergosip dah ya. Terutama pasal Cik Melly tu," Khalif mengeluarkan amaran kecil.


Sarimah laju-laju mengangguk lagak sudah insaf, tidak mahu ulang lagi. Tapi soalan seterusnya sama saja. Mengundang gosip!


"Eh, dah bertunang pun panggil Cik Melly lagi ke?" 


"Sarimah!" Tegur Kak Salmah dalam nada geram seterusnya mengundang tawa mereka bertiga.



P/s: Done 3 bab dalam bulan Mei. Tak panjang tapi harapnya konsisten. Nak disiplin dan konsisten memang susah. Tapi yg paling susah lagi adalah mula. Rentak menulis pun dah lari lintang pukang. Lol.