BAB 6
Your
existence is a mysterious puzzle for me...
Dato Syed Armand memerhatikan
kelakuan anak gadisnya dari tadi lagi. Termenung. Dia kehairanan. Biasanya
Syarifah Armalia akan menggunakan waktu hujung minggu begini untuk berhibur.
Mungkin ke pusat membeli belah atau berjalan-jalan, makan angin. Tapi pada hari
ini lain pula gelagatnya. Mengapa? Ada masalahkah yang menghantui fikiran
anaknya itu? Masalah peribadi atau kerja?
Lantas, surat khabar yang dibaca tadi ditutup. Dia
tidak senang hati melihat anaknya begitu. Naluri seorang bapa dapat merasakan,
ada sesuatu yang sedang berlegar di fikiran gadis itu, tinggal dia sahaja untuk
bertanya. Dato’ Syed Armand kenal benar anaknya itu. Jika ada sesuatu yang
sedang bermain di kepalanya, anaknya itu akan termenung dan diam sepanjang
hari. Terpaksalah dia yang memulakan dahulu, bertanya. Kalau tidak sampai tahun
depan pun anak gadisnya itu tidak akan berkata apa-apa.
Syarifah Armalia yang sedang terbaring di atas sofa
didekatinya. Duduknya dilabuhkan di atas kerusi yang bertentangan dengan
kedudukan anaknya. Dia memandang raut wajah anak tunggalnya yang seolah-olah
tidak menyedari kehadirannya itu.
“Melly,”