Nama penulis : NOORAIHAS
Tarikh post : 28 ogos 2013
“You’re fired!” jerit majikanku dengan
muka yang merah. Ops, bekas majikan!
Kepala aku jatuhkan ke bawah sebelum
menapak keluar dari pejabat. Kena buang
kerja lagi...Huh! Masuk kali ini, sudah sepuluh kali aku kena buang kerja!
Bukan silap orang lain. Silap aku jugak! Aku pun tak tahu kenapalah aku ni mudah sangat gelabah dan cuai! Dalam
bahasa inggerisnya, clumsy! Sampai kawan baik aku si Huda pun panggil aku Miss
Clumsy! Kalau gelabah sikit-sikit tak apalah jugak! Ini sampai mendatangkan
kemarahan kepada bekas-bekas majikan
aku.
Biar aku bagi contoh hasil kegelabahan
dan kecuaian aku yang telah menyebabkan bekas bos-bos aku yang terdahulu
mengamuk sakan! Kita mulakan dari sekecil-kecil kesalahan sehinggalah kepada
sebesar-besar kesalahan. Pertama,tersilap bancuh minuman kegemaran bos. Nampak
macam remeh aje kesilapan aku ni, kan? Tapi kalau sampai 3 bulan kerja dan masih salah bancuh lagi memang makan sumpah seranahlah.
Aku akui memang silap aku kerana tidak prihatin dengan perkara kecil begitu!
Okey, kecuaian yang kedua,terlupa nak aturkan temujanji bos dengan isterinya.
Memandangkan temujanji bos aku tu dengan isteri dia sendiri, maka aku pun buat
relaks aje kerana pada fikiran otak aku yang tak berapa nak seimbang ini,
takkanlah dengan isteri sendiri pun nak
buat temujanji. Nak kena ingatkan jugak. Pandai-pandailah isteri bos tu datang
sendiri. Tapi natijahnya sangat besar kerana bekas majikan aku dan isterinya akhirnya
bercerai dengan alasan bos aku tak luangkan sikit pun masa untuknya! Sedih,
kan? Aku pun turut bersimpati dan merasa bersalah kerana kecuaian aku yang telah meruntuhkan masjid orang lain.
Kesilapan
ketiga ini sangat dasyat! Tersilap hantar fail
yang bos minta. Aku masih ingat lagi , waktu itu aku sedang berusaha menahan
teksi untuk ke tempat yang bos katakan. Pada saat genting dengan lalu lintas yang sesak, majikan aku telah menelefon
untuk memberitahu bahawa dia sudah mengubah tempat dia dan klien berjumpa. Kerana terlalu panik, aku terlupa alamat yang
telah bos beritahu. Hanya dengan sebuah
panggilan telefon, aku melakukan kecuaian dengan pergi ke alamat yang salah
bersama fail yang salah! Akibat kesalahan ini, syarikat tempat aku bekerja
kehilangan tender yang bernilai jutaan ringgit.
“Haih!”Aku mengeluh lagi. Pendek kata,semuanya salah aku!
“Sudah-sudahlah Mira! Tak guna kau nak
mengeluh. Benda nak jadi. Anggap ajelah kau tak ada rezeki kat situ,” nasihat
Huda sebelum melabuhkan duduknya di sebelahku.
Wajah jelita milik Huda aku pandang
sekilas sebelum menggeleng.
“Bukan tak ada rezeki. Tapi salah aku
sebab cuai sangat! Selalu cuai,” keluhku dengan suara rendah.
Huda menepuk bahuku perlahan.
“Kecuaian tu memang selalu berlaku.
Tapi kalau kita bertenang dan berfikir sebelum bertindak, semuanya boleh di
atasi,” ujar Huda, tenang.
“Tapi aku selalu sangat jadi macam ni.
Aku takut tak ada orang nak ambil aku jadi pekerja nanti. Kalau keadaan
berterusan, apa aku nak bagi mak aku kat kampong tu makan? Mana lagi aku nak
cari kerja ni?” risauku.
Huda diam. Mungkin sedang berfikir
sejenak.
“Hah!”Dia tiba-tiba menjerit setelah
lama mendiamkan diri.
“Apa?”Soalku tidak sabar.
“Aku ada sepupu,” beritahunya bersama
senyuman lebar.
“So?”Aku kehairanan. Ada apa dengan
sepupu dia?
“Dia ada syarikat sendiri. Mungkin aku
boleh tolong recommend kau kerja kat syarikat dia,” usul Huda bersama kening
yang terangkat.
“Syarikat sendiri? Whoa...Dasyatnya
sepupu kau!”Terkagum aku sekejap.
Huda senyum bangga.
“ Kenapa kau tak pernah cakap pun
pasal ni?”Aku bertanya hairan. Punyalah banyak kali aku kena pecat, baru hari
ini dia nak bagitahu yang sepupu dia ada syarikat sendiri!
Senyuman Huda tiba-tiba mati.
“Aku tak nak cakap, tapi aku kesian
tengok muka kau yang macam hilang laki ni!” jawabnya.
Aku mencebik. Bukan hilang laki!
Hilang kerja...
“Sepupu aku ni pelik sikit. Kalau kau
cuai, dia cermat! Teliti! Semua kena lengkap! Sebab tulah aku takut nak suggest
kau kerja dengan dia bila setiap kali kau kena buang kerja,” jelasnya dengan
air muka bimbang.
Aku mengerutkan dahi. Itu aje? Memang
semua majikan macam tu apa! Tak hairanlah! Janji ada kerja.
“Aku nasihatkan, bila kau dah kerja
dengan dia, kau carilah kerja lain sama. Buat back up! Aku bukan apa takut dia
tak tahan kerja dengan kau dan kau pun tak tahan kerja dengan dia!”Huda memberi
amaran.
“Kau jangan risau, demi kau...aku akan
kerja sungguh-sungguh!” janjiku bersama tangan yang diangkat sebelah.
Huda mengangguk.
“Janji dengan aku jugak yang kau kena
baiki kelemahan kau tu. Jangan asyik ulang kesilapan yang sama!” tegas Huda
lagi dengan riak muka serius.
Kepala aku jatuhkan beberapa kali.
Berjanji pada Huda yang aku akan baiki kelemahan aku yang selalu sangat cuai dalam
apa jua pekerjaan. Bertuah aku ada rakan serumah yang prihatin macam Huda. Ya
ALLAH, permudahkanlah segala urusanku untuk mencari rezeki...